7 Feb 2012
EKSTRA!
WARISAM KITA
Rumah Tradisional Melayu
Canggih, cantik dan serasi dengan gaya hidup dan alam sekitar
Yang bertiang dan bertangga
Beratap penampung hujan penyangga panas
Berdinding penghambat angin dan tempias
Berselasar dan berpelantar
Beruang besar berbilik dalam
Berpenanggah dan bertepian
Tempat berhimpun sanak saudara
Tempat berunding cerdik pandai
Tempat bercakap alim ulama
Tempat beradat berketurunan
DEMIKIAN antara ungkapan Melayu yang menggambarkan sifat dan pengertian rumah orang Melayu tradisional.
Versi penuh ungkapan tentang rumah atau bangunan Melayu itu terkandung dalam buku Ungkapan tradisional Melayu Riau tulisan budayawan Melayu Riau, Tenas Effendi.
Lama sebelum kedatangan pengaruh moden, sebelum masyarakat Melayu di Singapura ini berpindah ke rumah flat dan bangunan tinggi, masyarakat Melayu di rantau ini sudah mempunyai seni rumah mereka yang unik.
Bahkan, rumah tradisional Melayu itu boleh dikatakan cukup canggih, cantik dan serasi dengan gaya hidup dan alam sekitar.
Setiap ruang di dalam rumah tersebut mempunyai fungsi tersendiri dan mencerminkan nilai-nilai yang disanjung tinggi masyarakat Melayu turun-temurun.
Mungkin bangunan rumah Melayu tradisional sudah tidak lagi wujud di Singapura.
Paling dekat dapat kita saksikan ialah bangunan Kampung Melayu Geylang Serai yang kini sudah pun ditutup dan menanti masa dirobohkan untuk dibangunkan semula.
Namun, jika anda pergi ke kawasan luar bandar di Malaysia dan juga di Riau dan Sumatera, anda masih dapat saksikan pelbagai contoh rumah Melayu yang masih mampu berdiri teguh sebagai lambang ketinggian nilai budaya masyarakat Melayu.
Rumah tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang Melayu itu sendiri.
Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia/nipah atau kayu.
Tingkap-tingkap rumah Melayu bukan sahaja menjadi penghias rumah, bahkan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah.
Pada peringkat awal, rumah Melayu tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat. Bentuk ini kemudiannya berubah mengikut arus perubahan zaman.
Rumah tradisional Melayu ini mempunyai beberapa ciri yang unik. Antaranya ialah:
1. Bumbung
Bumbung rumah tradisional Melayu umumnya sentiasa condong untuk kesesuaian cuaca panas tropika. Di sepanjang tepian hujung bumbung, dipasang cucur atap atau papan cantik berukir melambangkan kehalusan seni masyarakat Melayu.
2. Anjung
Anjung merupakan tempat berehat dan berbincang bagi kaum lelaki. Wanita kebiasaannya di dalam dan lelaki di luar sesuai dengan sifat lelaki sebagai pelindung rumah.
Ini menunjukkan masyarakat Melayu amat mementingkan adat dan tatatertib masyarakat, sehinggakan mereka dipandang tinggi kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti.
3. Ruang Utama/Rumah Ibu
Ruang utama ini dipanggil rumah ibu sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga. Sesuai dengan nama ini, fungsinya adalah sebagai tempat berkumpul ahli keluarga untuk beristirahat dan bersantai bersama-sama.
4. Bilik
Bilik merupakan ruang rahsia tuan rumah dan ahli keluarga. Kebiasaannya anak lelaki dan perempuan akan diasingkan. Ini melambangkan masyarakat Melayu mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka.
5. Dapur
Dapur sebagai tempat memasak dan tempat khas untuk tetamu perempuan, menandakan peranan perempuan di belakang lelaki.
6. Ukiran
Seni ukir banyak didapati di tangga, dinding beranda dan papan cucur atap. Ini membuktikan masyarakat Melayu kaya dengan seni tersendiri.
Ukiran yang dibuat bukan sahaja sebagai seni perhiasaan, malah menggalakkan pengaliran udara dan cahaya masuk untuk menceriakan rumah.
Faktor cuaca memainkan peranan dalam reka bentuk asas bangunan. Kekerapan hujan mengakibatkan reka bentuk atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelakkan banjir.
Kepanasan cuaca juga menyumbang kepada reka bentuk yang lebih terbuka seperti kehadiran tingkap yang banyak, berandah dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah rumah.
Tidak cukup dengan itu, lubang angin di bahagian atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk keselesaan secara maksimum.
No comments:
Post a Comment