Monday, February 13, 2012

Tapai

31 Jan 2012

EKSTRA!

WARISAN KITA
Asal Usul Tapai

Makanan pencuci mulut ini popular di Indonesia, bahkan di Malaysia, malah di beberapa negara dalam rumpun Melayu


ORANG Melayu bukan sahaja terkenal dengan adab sopan dan budi bahasa yang tinggi.

Bahkan, keunikan budaya dan tradisi Melayu juga banyak tercermin dalam pakaian, seni bina, kraf tangan dan juga makanan yang diwarisi turun temurun.

Antara makanan tradisional Melayu yang masih wujud hingga ke hari ini, walaupun tidak lagi begitu popular di kalangan generasi muda, ialah tapai.

Tapai ialah sejenis makanan yang biasanya diperbuat sama ada daripada pulut atau ubi yang dimasak dicampur ragi dan kemudian dibungkus dengan daun pisang untuk dihidangkan untuk menjamu selera.

Tapai dianggap istimewa kerana rasanya yang unik dan ia biasanya dijadikan makanan pencuci mulut.

Dari manakah asalnya tapai?

Ada pendapat yang mengatakan bahawa tapai berasal dari makanan kaum Jawa.

Di Jawa, tapai dikenali sebagai tapai singkong atau tape telo. Tetapi tapai bukan hanya popular di Indonesia, bahkan juga di Malaysia, malah di beberapa negara dalam rumpun Melayu.

Tapai dikenali sebagai basi binubran di Filipina, Chao di Kemboja dan chao-mak di Thailand.

Apa pun, tapai diiktiraf sebagai salah satu makanan unik kaum Melayu.

Hari ini di Singapura, kita mungkin jarang dapat merasakan makanan tapai. Kalau ada pun, ia cuma dijual di beberapa kedai atau gerai makanan Melayu, di samping beberapa restoran makanan Indonesia.

Namun, tapai tidaklah susah untuk dimasak di rumah. Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit atau susah didapati.

Untuk memasak tapai pulut misalnya, apa yang diperlukan ialah bahan seperti pulut, ragi dan sedikit gula. Ketiga-tiga bahan ini dicampurkan sehingga sebati. Kemudian ia dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun yang disebut sebagai daun tapai.

Memandangkan daun tapai semakin sukar didapati, kita boleh gunakan daun pisang untuk membungkus tapai.

Tapai yang telah siap dibungkus itu kemudian dimasukkan ke dalam pasu tempayan yang besar dan ditutup dengan kain.

Setelah diperam dan disimpan selama tiga hari, tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan.

Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.

Pantang larang

Orang tua zaman dahulu mempunyai pantang larang apabila hendak membuat tapai.

Misalnya, apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah.

Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap.

Ada juga orang tua-tua yang percaya bahawa wanita yang sedang haid tidak boleh buat tapai kerana ia boleh menyebabkan tapai rosak dan berwarna merah.

Namun, dalam zaman siber sekarang ini, kepercayaan seperti itu sudah mula terhakis.

Tentu sukar untuk anak muda sekarang menerima adanya kaitan antara tapai dengan wanita haid.

Bagi mereka ini tidak logik.

Mungkin ini yang dikatakan, lain hulu lain parang; Lain dulu lain sekarang.

No comments:

Post a Comment