Wednesday, November 30, 2011

Hasilkan pantun bermutu

28 Nov 2011

EKSTRA!

MARI BERPANTUN
Hasilkan pantun bermutu

Oleh
Mohamad Ashik
SAUDARA pembaca yang dihormati, dalam Kamus Dewan banyak terdapat perkataan Melayu, yang jarang sekali digunakan dalam bahasa persuratan, di institusi-institusi pengajian tinggi, di sekolah-sekolah, dalam akhbar dan majalah-majalah.

Perkataan-perkataan yang terdapat dalam Kamus Dewan, ada yang tidak diketahui oleh generasi sekarang.

Pernah saya bertanya kepada seseorang tentang makna perkataan rembang, tetapi mereka hanya menggelengkan kepala, tanda tidak tahu.

Menurut Kamus Dewan, 'rembang' bermaksud waktu tengah hari, ketika matahari benar-benar berada di atas kepala.

Dalam keluaran kali ini, sekali lagi saya ingin mengajak anda menilai pantun pusaka lama yang bermutu dan biasa didengar oleh orang-orang lama agar dapat kita menghasilkan pantun yang baik lagi bermutu.

Bagi orang yang telah lama bermandi di kolam pantun, apabila disebut dua perkataan awal, Pucuk Pauh, tentu akan dapat meneruskan pantun yang selengkapnya.

Cuba perhatikan pantun pusaka ini:

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Sungguh jauh beribu batu;
Hilang di mata di hati jangan.

Pauh ialah sejenis pokok atau buah dan delima juga sejenis tumbuhan. Tetapi apa kena mengenanya dengan anak sembilang di tapak tangan! Sembilang adalah sejenis ikan yang bisa sengatnya.

Apabila difikirkan itu hanyalah sandaran kata untuk dijadikan pembayang maksud pantun dan pengucapnya mungkin tinggal di kawasan perdesaan. Pantun tersebut terucap ketika dua pasangan yang berkasihan ditakdirkan akan berpisah, maka dipantunkan orang:

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Sungguh jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.

Pantun sedemikian biasanya disusuli dengan pantun luahan rasa hati, apabila perpisahan bernatijahkan kesepian dan kerinduan yang tidak terhingga terhadap orang yang telah berpergian jauh di negeri orang.

Dalam kesepian dan kerinduan, maka terlafaz pantun begini:

Hendak gugur, gugurlah nangka,
Jangan menimpa si batang pauh;
Hendak tidur, tidurlah mata,
Jangan mengenang si orang jauh.

Sungguh cantik dan bermutu pantun pusaka tadi. Semoga dengan mengikutinya sambil menilaikan, anda pembaca dapat menghasilkan pantun-pantun yang bermutu, hasil karangan anda sendiri.

Badan bahasa Melayu di kampus

27 Nov 2011

EKSTRA!

Badan bahasa Melayu di kampus tidak dinamis?

oleh Haryani Ismail

SEKELUMIT kesedihan bercampur kehairanan memenuhi benak Cik Nur Atassha Mohd Nasir setiap kali cuba memancing sesetengah rakannya menyertai kegiatan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS).

Respons yang teman-temannya berikan biasanya berbunyi begini: 'Alah... Kau nak suruh aku masuk Persatuan Bahasa Melayu? Biar betul... nanti streslah, nak kena berbual bahasa Melayu! Bahasa Melayu aku dahlah teruk! Menarikkah aktiviti-aktivitinya?'

Selaku Presiden PBMUKS yang baru dilantik menerajui persatuan itu Ogos lalu, Cik Nur Atassha, 21 tahun, mahasiswa tahun ketiga jurusan Sastera dan Sains Kemasyarakatan, akur stigma yang melekat pada persatuan-persatuan bahasa Melayu di kampus masih wujud dan wajar dilenyapkan.

Perkara serupa turut dikongsi Presiden Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu (Perbayu) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Mohamed Hazwan Mohamed, 24 tahun.

Bercakap daripada pengalamannya sebagai mahasiswa tahun ketiga kursus Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris), pemuda yang menyertai aktiviti bahasa dan budaya Melayu kerana minat sejak di bangku sekolah menengah itu berkata:

'Tentu ada yang mengenakan stereotaip bahawa sesebuah persatuan bahasa Melayu hanya condong ke arah aktiviti bahasa, tarian atau budaya sahaja

'Ada pula yang anggap persatuan bahasa Melayu terlalu kemelayuan, banyak politik dan gosip, persis tanggapan mereka terhadap situasi dalam badanbadan Melayu lain.

'Itulah antara cabaran yang dihadapi jawatankuasa saya, bagaimana menjelaskan kepada teman-teman bahawa mereka tidak semestinya fasih berbahasa Melayu untuk terlibat dalam aktiviti kami.

'Bagi saya, tak kenal maka tak cinta. Saya sendiri membuat pilihan menyertai Perbayu untuk mendalami minat saya dan sama-sama melestarikan bahasa dan budaya Melayu, sedangkan pengkhususan saya adalah bahasa Inggeris.'

Isu penerimaan anak-anak Melayu sendiri terhadap persatuan yang memperjuangkan bahasa, budaya Melayu bukan sesuatu yang baru.

STEREOTAIP

Sejak saya di universiti sekitar dua dekad lalu, telah wujud stereotaip dan stigma tentang badan-badan bahasa Melayu di kampus setempat.

Potensi mereka sebagai jentera pemberi semangat dan jati diri kepada anak-anak Melayu kadangkala disangsikan. Aktiviti mereka dianggap hambar dan tidak memenuhi cita rasa belia yang dinamis.

Bagaimanapun, melihatkan kesungguhan Cik Nur Atassha dan Encik Mohamed Hazwan yang menampakkan minat mendalam terhadap bahasa dan budaya Melayu, saya ikut terdorong dengan semangat mereka.

PBMUKS dan Perbayu NTU - itulah wadah bagi mereka menyelami identiti sebagai anak Melayu, meskipun ada di kalangan rakan-rakan mereka memandang sepi pendirian murni itu.

Wadah ini turut dimanfaatkan beberapa siswazah yang pernah menyandang jawatan penting dalam kededua persatuan itu dan kini memanfaatkan pengalaman tersebut di dalam tugas masing-masing.

Eksekutif Kajian dan Dasar Mendaki, Cik Siti Nur Ida Mohd Ali, 24 tahun, yang pernah mengetuai Sekretariat Penerbitan PBMUKS, menyifatkan penglibatannya dalam persatuan itu sebagai titik tolak mendekati masyarakat Melayu.

'Saya bukan setakat membina rangkaian kenalan di kalangan mahasiswa sahaja. Dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti atau diundang ke pertemuan bahasa membabitkan badan-badan Melayu, saya diberi pendedahan berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat,' katanya.

Namun, yang turut menjadi persoalan bagi Cik Siti Nur Ida adalah perihal imej dan jenis program tukikan PBMUKS dan Perbayu NTU.

Timbul tanda tanya, perlukah ia diubah bagi mendekati lebih ramai mahasiswa dengan cita rasa berbeza?

PERLU PEMBAHARUAN

'Saya kira setiap insan perlukan pembaharuan. Kalau kita ingin menarik minat ramai orang, kita perlu menyemak jenis aktiviti yang dianjurkan.

'Selain Peraduan Bercakap Petah, Pesta Pantun dan Perkampungan Bahasa, persatuan-persatuan bahasa dan budaya kampus ini juga harus dekati ibu bapa dan guru,' ujarnya.

Kerencaman aktiviti dan penekanan peranan mahasiswa dalam menyumbang semula kepada masyarakat turut dititikberatkan Cik Nur Atassha.

Menyedari bahawa mahasiswa dilihat sebagai golongan belia yang boleh diteladani, beliau kini ingin PBMUKS lebih fokus pada kerja-kerja kebajikan di dalam dan luar negara.

'Selain memberi sesi motivasi untuk adik-adik yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), tahun ini kami ingin usahakan Projek Ekspedisi Belia di Indonesia pula. Sekurang-kurangnya aktiviti kami lebih daripada setakat memupuk kecintaan terhadap bahasa dan budaya Melayu,' katanya.

Bekas Naib Presiden PBMUKS, Encik Muhammad Hafiz Salleh, 23 tahun, pula berharap kewujudan dan peranan persatuan bahasa Melayu di peringkat kampus ini tidak diperlekehkan.

'Hanya kerana kami masih dianggap badan pelajar, tidak semestinya idea-idea kami atau kehadiran kami diperkecilkan,' katanya.

Semangat belia Melayu kita dalam memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu serta menghidupkan budaya bergotong-royong ini tidak harus dimatikan. Stereotaip dan stigma memang akan sentiasa ada.

Namun, jika ada usaha menyepadukan aktiviti persatuan bahasa dan budaya Melayu di kesemua universiti dan politeknik setempat, tentu sesuatu yang bermakna mampu digerakkan untuk mendekatkan belia kita dengan pelbagai keprihatinan masyarakat.

Orang Melayu Taraf Antarabangsa oleh Ismail Pantek




PELAJAR MELAYU TERBAIK: Ramai pelajar kita seperti Natalia Nadila Muhamad Nasir (kanan) semakin menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran. Natalia adalah pelajar Melayu/Islam terbaik Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini. Kakaknya, Natasha Nabila (kiri) adalah pelajar terbaik PSLE dengan agregat tertinggi 294 pada 2007. - Foto TUKIMAN WARJI

Kumpulan baru orang Melayu yang tidak mudah mengaku kalah dalam mengejar cita-cita, baik di dalam mahupun di luar negara



27 Nov 2011

EKSTRA!

Orang Melayu Taraf Antarabangsa
KALAU masih ada orang yang meragui kemampuan anakanak Melayu/Islam kita mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, saya harap keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang diumumkan beberapa hari lalu dapat menjadi jawapan yang mengikis keraguan mereka.

Kita berbangga melihat kemunculan Yasmin Ziqin Mohamed Yuosof sebagai pelajar terbaik PSLE ini.

Begitu juga dengan Natalia Nadila Muhamad Nasir, Muzammil Arif Din s/o Abdul Jabbar dan Nur Batrisyia Abdul Wahil yang turut mencatat pencapaian cemerlang.

Bahkan, pelajar madrasah kita juga, Labiba Nur Hasna Idham, tidak kurang membanggakan dengan pencapaian cemerlangnya.

Memang benar, Yasmin Ziqin berketurunan India. Namun, hakikat bahawa dia dan keluarganya beragama Islam cukup membuat kita tumpang bangga.

Ini bukan kali pertama kita melihat anak-anak Melayu/Islam kita muncul cemerlang dalam pelajaran.

Kalau anda masih ingat, dalam 2007, Natasha Nabila, kakak kepada Natalia, muncul pelajar terbaik PSLE dengan markah agregat 294.

Bahkan, kita sudah menyaksikan ramai pelajar kita yang cemerlang dalam peperiksaaan lebih tinggi - dari Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' kepada GCE 'A', politeknik, universiti hinggalah ke peringkat pos ijazah.

Kalau kita kumpulkan mereka semua, seperti yang kita lihat dalam majlis Anugerah Mendaki yang diadakan setiap tahun, kita akan sedar bahawa orang Melayu sudah agak jauh melangkah.

Anak-anak Melayu kita telah menunjukkan kecemerlangan di pelbagai peringkat dan bidang pengajian.

Mereka tidak lagi takut untuk melangkah jauh, melanjutkan pelajaran di luar negara dan mendapat tempat di universiti-universiti unggul di Amerika, Eropah serta lain-lain bahagian dunia.

Bahkan, ada yang tekun mencipta nama di luar negara, bekerja dengan badan-badan antarabangsa dan memberi sumbangan di pentas yang lebih besar.

Kita kini sudah ada istilah yang saya fikir sesuai untuk mengungkap kemunculan satu golongan baru Melayu yang progresif.

Istilah yang saya maksudkan itu ialah Orang Melayu Taraf Antarabangsa (OMTA).

Saya temui istilah ini dalam satu e-mel oleh seorang bernama Tengku Indra, yang dihantar kepada sekumpulan orang Melayu/Islam termasuk karyawan dan pemimpin masyarakat bulan lalu

Dalam e-mel itu, Tengku Indra menggunakan OMTA untuk mengungkap seorang wanita Melayu, Cik Hidayah Mohd Amin.

Cik Hidayah merupakan penulis buku Gedung Kuning yang merakamkan kisah sejarah keluarganya yang pernah memiliki bangunan Gedung Kuning (kini menempatkan Restoran Tepak Sireh) di Kampung Gelam.

Tengku Indra mengutus e-mel tersebut sebagai mengulas e-mel yang dihantar oleh seorang mantan wartawan, Encik Ismail Kassim, yang juga memuji kebolehan Cik Hidayah.

E-mel Encik Ismail itu antara lain menyifatkan Cik Hidayah sebagai memiliki tiga 'P' iaitu passionate (ghairah), persistent (tekun atau tabah) dan plucky (berani).

'Dengan kesungguhan itu, beliau berjaya dalam banyak tempat - di Universiti Nasional Singapura (NUS), sebagai sarjana Fullbright di Univerisiti LeHigh, sebagai intern atau pelatih di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kini mengejar ijazah sarjana di Universiti Cambridge,' ujarnya.

Saya sendiri tidak kenal rapat dengan Cik Hidayah. Tetapi, selaku salah seorang anggota Lembaga Pengamanah LBKM, saya pernah turut dalam sesi temuduga ketika beliau memohon biasiswa LBKM untuk pengajian di universiti unggul.

Berdasarkan rekod pencapaian, azam dan keyakinan yang ditunjukkan, memang Cik Hidayah menepati ciri OMTA - Orang Melayu Taraf Antrabangsa - yang disebutkan Tengku Indra.

Bahkan, saya lihat ada ramai anak Melayu lain seperti Cik Hidayah - mereka yang kuat azam dan tidak mudah menyerah kepada takdir dalam usaha mereka mengejar kecemerlangan dalam pendidikan di institusi pengajian unggul di dunia.

Bagi saya, orang-orang seperti ini mencerminkan semangat baru dalam masyarakat kita.

Mereka ini fokus pada apa yang mereka inginkan dan berusaha gigih untuk mencapainya.

Mereka tidak mudah mengaku kalah dalam menghadapi tantangan atau cabaran-cabaran yang datang satu-persatu.

Kemunculan orang seperti ini memberi harapan bahawa masyarakat Melayu kita mahu maju dan sanggup berusaha untuk mencapai matlamat yang diinginkan.

Memanglah, dari masa ke masa, kita berhadapan dengan kenyataan-kenyataan yang seolah-olah mendedahkan kelemahan atau keburukan masyarakat kita.

Masih ada kepincangan dalam masyarakat kita. Kita masih dihambat dengan masalah-masalah perpecahan keluarga, jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Masih ada sebahagian besar masyarakat kita yang menempati golongan 20 peratus paling bawah di kalangan warga Singapura.

Kadangkala, kewibawaan dan harga diri kita bagaikan tercabar oleh perbuatan segelintir orang yang seolah-olah mempermainkan agama kita.

Namun, kesemua itu perlu dipandang secara rasional dan dari perspektif yang betul.

Dalam kita menangani kelemahan dalam masyarakat kita, jangan kita mudah patah semangat dan berputus asa lalu berkata Melayu kita memang sebuah masyarakat yang tidak mampu maju.

Sebaiknya, kita terus melangkah menghasilkan generasi Melayu baru yang berilmu, mempunyai nilai progresif dan sedia berbakti kepada bangsa, negara dan dunia antarabangsa.

Sunday, November 13, 2011

membaca

12 Nov 2011

EKSTRA!

10 kebaikan membaca


DALAM zaman teknologi maklumat ini, semakin kurang orang membaca kerana mereka lebih bergantung kepada Internet, e-mel dan pelbagai lagi bahan teknologi untuk mendapatkan informasi.

Membaca dalam konteks ini dimaksudkan membaca secara berterusan penulisan lengkap seperti buku cereka dan bukan cereka.

Jadi, mengapakah kita harus terus membaca?

Dirangkai di sini 10 kebaikan membaca.

1. Membaca ialah satu proses mental yang aktif.

Tidak seperti menonton televisyen, membaca membuat kita menggunakan otak kita. Semasa membaca, kita akan terdorong mempersoalkan apa yang ditulis. Dalam proses ini, sel-sel kelabu dalam otak kita akan terangsang, membuat kita lebih pintar.

2. Membaca membaiki perbendaharaan kata. Kita akan terdedah kepada banyak perkataan, frasa atau ungkapan baru. Apa yang penting ialah mendapatkan buku yang bermutu.

3. Ia membuka minda kita kepada budaya dan tempat-tempat lain di dunia yang kita mungkin tidak tahu.

4. Membaca meningkatkan tumpuan dan daya fokus kita kerana kita mengambil masa yang lama untuk menghabiskan sesebuah buku yang dibaca.

Internet atau e-mel hanya memberi sedikit maklumat, tetapi buku menghidangkan kita dengan setimbun informasi.

5. Ia meningkatkan harga diri kita. Lebih banyak kita membaca, lebih luas pengetahuan dan keyakinan diri kita.

6. Ia membaiki daya ingatan. Banyak kajian menunjukkan bahawa jika kita kurang merangsang otak, daya ingatan boleh terjejas. Membaca adalah salah satu cara merangsang otak.

7. Membaca juga membaiki disiplin. Jika kita mendapatkan buku yang baik dan menarik, kita pasti akan luangkan masa untuk membacanya. Bahkan adalah baik mengetepikan satu masa khas hanya untuk membaca setiap hari.

8. Ia juga meningkatkan kreativiti. Bagaimana? Membaca mendedahkan kita kepada pelbagai idea dan informasi baru. Ini boleh merangsang minda untuk berinovasi jika kita memikirkan sesuatu.

9. Membaca membantu kita dalam perbualan. Kita akan mempunyai modal yang menarik untuk diperkatakan dengan teman-teman dan tidak akan hanya berbual kosong atau ketandusan idea.

10. Membaca mengurangkan rasa bosan.

Buku juga adalah sahabat karib dalam perjalanan jauh, misalnya di dalam pesawat atau kereta api, jika sedang menunggu teman yang lambat tiba atau terpaksa terperuk di rumah kerana hujan lebat di luar.

puisi

Puisi itu hutan rimba...


'Puisi datang pertama kali kepada kita lewat (melalui) nadanya...'

DEMIKIANLAH sasterawan dan wartawan Indonesia, Goenawan Mohammad, menulis sebuah esei tentang sajak-sajak Subagio Sastrowardoyo, salah seorang penyair mapan negaranya.

Puisi seperti menemukan ertinya sendiri tanpa perlu dipimpin sekalipun.

Ia mirip susunan nada muzik yang merdu. Ia bagai orang buta yang mendengar susunan bunyinya sendiri - bunyi yang menawan kalbu, lantas mendorong rasa ingin tahu untuk menemukan makna mendalam dari susunan kata-kata.

Puisi yang disusun indah seringkali berdengung di kepala, meninggalkan semacam jejak - untuk memberi pentafsiran selanjutnya.

Ia menyisakan jejaknya sendiri yang kerap terangkai antara satu kata dengan lainnya.

Maka kita mendapati puisi-puisi yang indah memiliki nada tersendiri. Ia merupakan alunan lagu, yang sebentar berdenting lalu menjemput sebaris hening.

Puisi yang baik adalah rangkaian diksi yang berbunyi dengan sendiri. Ia mengoyak segala yang dianggap kecil dan remeh.

Membaca dan mendengarinya bagai membukakan ruang yang baru. Bahkan tidak jarang kita dibawa melompat dari satu kekosongan ke kekosongan lain.

Puisi memang mengandungi tema-tema kehidupan yang nyata - berkisah tentang pengalaman penyair atau sekadar pemantauannya terhadap sekeliling.

Tidak tertutup kemungkinan pula apabila sebuah puisi disusun secara sistematik dari guguran bunyi yang telah tersusun dengan harmonis.

Maka menikmati puisi sesungguhnya bagai menikmati kata-kata itu sendiri.

Puisi pada mulanya adalah bunyi. Ia merupakan untaian kata yang mengandungi pengertian cukup mendalam.

Puisi yang baik bagaikan tidak boleh dikoyak dan tidak akan boleh diubah. Ia tidak boleh dipaksa untuk menciptakan pengertian-pengertian yang lain.

Ia merupakan pengertian itu sendiri: sebuah kata. Yang ada hanyalah tinggal kita menikmatinya, sekali gus meresapi apa yang dikandungnya, seperti menikmati sebuah muzik.

Dalam pembacaan sajak yang panjang, kita seperti menikmati hamburan bunyi itu. Seakan-akan membentuk alunan nadanya sendiri yang terasa merdu, menguliti seisi kepala.

Ia seperti menggoncang setiap kesedaran dan bertahan di dalam kepala. Meskipun puisi tersebut dibaca dengan perlahan, ia tetap saja menyisakan nadanya sendiri - seumpama sebuah hentakan yang terus saja membangunkan kesadaran dari dalam diri.

Mungkin ada benarnya juga, jika kerja sastera adalah sebuah proses yang berkesinambungan.

Ia suatu upaya yang tidak kenal lelah, katakanlah untuk membangun jiwa dalam manusia itu sendiri. Ia memberi semacam pintu untuk dimasuki.

ANDA MAHU JADI

ANAK RIMBA?

Dan sayapun terkenang pada beberapa sajak yang membicarakan tentang sajak itu sendiri.

Contohnya puisi yang ditulis oleh seorang lagi penyair mapan Indonesia, Joko Pinurbo, berjudul 'Pelajaran Puisi'. Ia menyebut begini:

'Puisi itu hutan rimba. Kalian mau jadi anak rimba?'

Dengan 'memasuki puisi' yang bagi Pinurbo adalah hutan rimba, kita juga dihadapkan dengan beragam peristiwa yang mesti diresapi, didengar seperti sebuah lagu.

Ia semacam usaha untuk membuka rangkaian nada-nada yang ada, menemukan jenis muzik yang diingini.

Setiap jalinan kata yang sarat makna itu akan terus bergema, mengendap dan menyusup ke jiwa saat ia dibaca.

Dengan untaian kata-kata satu sama lain yang terikat, mencipta puisi seperti mencipta sebuah simfoni.

Mungkin pembaca juga akan turut mengembara, mengikuti perjalanan kata-kata itu sendiri.

Dan puisi seperti menghentak unsur keterjagaan, menyingkap semua gelombang sunyi yang terpancar dari helai-helai diksi.

Seorang penyair agaknya memiliki cara sendiri untuk menuliskan sajaknya.

Barangkali apa yang diniatkan merupakan sebuah alur pemikiran yang diolah dari batin bawah sedarnya.

Maka sajak-sajak yang lahir merupakan potret tersendiri dari perjalanan hidupnya, atau katakanlah sebagai catatan peribadi.

Jika memang ia bertemu dengan luka kehidupan, sajak-sajak yang ditulisnya akan berkisah banyak.

Luka yang mengendap seperti memberi bisikan tersendiri, luka juga yang membuat seorang Chairil Anwar mencipta 'Aku'-nya. Gaung luka yang akan terus menggema, sampai jauh.

Maka bunyi itupun seperti menjerit, menyingkap gaung sunyi yang lama tertahan di sana. Ia melingkupi setiap diksi yang ada, membuka auranya tersendiri.

Untuk itu, tidak hairan pula jika banyak puisi yang digubah jadi lagu. Sebab pemetaan bunyi dalam puisi begitu tertib, ia seperti melengkapi setiap celah yang tersembunyi. Dan berdenting menjemput segala hening.

Puisi memang sebuah lagu. Lagu tentang gembira mahupun sedih. Lagu yang berhubungan dengan karsa atau alam bawah sedar.

Bagi pembaca atau penciptanya (penyair), ia semacam denting yang terus berdengung, hingga sebuah puisi habis dibaca, membuka auran bunyi yang lainnya.

Ia seperti menghidupkan segenap peristiwa yang mungkin ditulis dengan perasaan yang amat sangat, dengan penuh gairah, atau jiwa yang sedang gelisah.

Dengan demikian, puisi berupaya merangkul semua aliran bunyi yang ada. Ia boleh merentas ke segala situasi - semacam ingin memberi khabar pada dunia.

Mudah-mudahan pula ia akan menjelma dalam keabadian yang akan berteriak, bahkan hingga seribu tahun lagi (meminjam ungkapan Chairil Anwar dalam 'Aku').

BIODATA PENULIS: Alex R. Nainggolan dilahirkan di Jakarta pada 16 Januari 1982. Beliau menyumbangkan esei ini khusus untuk para pembaca Berita Minggu yang meminati sastera.

Sejarah


MAKAM SULTAN ISKANDAR SHAH DI FORT CANNING: Sejarah bukan tentang orang yang sudah mati semata-mata. Pengetahuan tentang sejarah sendiri adalah penting untuk membantu mengukuhkan jati diri individu dan masyarakat umumnya.

13 Nov 2011

KOMENTAR

Usah butakan mata pada sejarah kita

(Kalau kita jahil akan sejarah sendiri, kita mudah diolok-olokkan oleh orang lain hingga menjejas jati diri dan keyakinan terhadap masyarakat kita)

oleh Ismail Pantek

APABILA ada orang kata bahawa orang Melayu pun merupakan kaum pendatang di Singapura ini, sama seperti kaum- kaum lain, bagaimanakah anda menjawabnya?

Memang secara kasar, datuk nenek kita dulu pun datang dari Jawa, Bawean, Sulawesi, Sumatra lalu menetap di sini, mencari rezeki dan melahirkan zuriat.

Jadi, apalah yang membezakan mereka daripada kaum-kaum lain yang juga datang dari luar seperti negeri China, India, Arab dan Barat?

Jika kita jahil tentang sejarah orang Melayu di rantau ini, mudah sahaja kita menerima pendapat sedemikian.

Kalau pun kita tidak bersetuju, sukar untuk kita menjelaskannya secara ilmiah kerana kita tidak tahu buktinya.

Begitu juga, jika ada yang kata masyarakat Melayu memang dari dahulu merupakan kaum yang malas, tidak mempunyai budaya kerja cemerlang, tiada tradisi berniaga dan sebagainya, bagaimanakah kita dapat menjawabnya?

Gara-gara buta sejarah, sukar sekali untuk kita menjawab andaian sedemikian.

Akibatnya, harga diri kita terjejas dan perasaan terhadap masyarakat kita sendiri mudah goyah.

Inikah yang kita mahukan dalam masyarakat kita sekarang?

Saya fikir, orang Melayu perlu kaji, tahu dan bangga dengan sejarah kita sendiri, sebagaimana kaum-kaum lain amat menitik beratkan soal sejarah datuk nenek mereka.

Sebabnya adalah jelas. Bangsa yang tahu dan dapat menguasai sejarah mereka akan mempunyai identiti serta jati diri yang lebih kukuh, tanpa mudah menerima pengaruh dari luar.

Tetapi, bagaimana dengan orang Melayu kita sekarang?

Hari ini, jika kita tanya ibu bapa dan anak muda sendiri tentang aspirasi mereka, tentu ramai yang berkata mereka mahu jadi karyawan seperti doktor, jurutera, peguam, guru dan sebagainya.

Mungkin tidak kurang yang mahu jadi ahli perniagaan yang berjaya.

Aspirasi sedemikian memang wajar. Ia mencerminkan pemikiran progresif kita yang ingin berjaya dalam hidup.

Tetapi, berapa ramai yang berminat kepada sejarah?

Saya yakin, hanya segelintir. Jika pun ada, mereka mungkin lebih terdedah kepada pengajian sejarah tamadun-tamadun besar dunia yang lain seperti Greece, India dan China dan Amerika.

Wal hal, kita perlu ada ahli sejarah, iaitu mereka yang berpendidikan dan berkemahiran serta mempunyai komitmen untuk mengkaji sejarah bangsa kita sendiri, bukan setakat mengagumi sejarah bangsa atau ketamadunan lain sahaja.

Selain itu, seluruh masyarakat kita juga perlu sekurang-kurangnya celik sejarah dan tidak membutakan mata terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat sendiri.

Sebelum anda salah faham, biar saya jelaskan.

Sejarah bukan tentang orang yang sudah mati semata-mata. Sejarah bukan impian kisah silam yang tidak jelas salah benarnya.

Bagi saya, pengetahuan tentang sejarah adalah penting untuk membantu mengukuhkan jati diri seseorang individu atau masyarakat umumnya.

Kalau kita buta sejarah, kita akan mudah diolok-olokkan oleh orang lain atau ahli sejarah yang menguasai pengetahuan tentang sejarah kita sendiri, yang belum tentu tepat 100 peratus.

Sejarah adalah satu bidang yang boleh dimanipulasi oleh sejarawan tertentu menurut pandangan dan kepentingan mereka.

Lihat sahaja bagaimana sejarah Melayu kita dimanipulasi oleh penjajah dahulu yang banyak membesar-besarkan kelemahan hingga menjejas jati diri kita dan tanggapan orang terhadap kita.

Sejarah orang Melayu dari sudut kaca mata penjajah Inggeris dahulu menggambarkan masyarakat yang malas, bodoh dan tidak tahu berusaha.

Walhal, dari dahulu, orang Melayu memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pedagang dalam membawa barang dagangan antara China, rantau ini dan kawasan lain.

Banyak barang dagangan yang dibawa melalui laut ke China dibawa orang Melayu.

Melalui dagangan ini juga, bahasa Melayu tersebar di banyak kawasan memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan perdagangan.

Jadi peranan pedagang Melayu dan penggunaan bahasa Melayu ini harus kita ketahui dan pelajari serta dibanggakan.

Cuba bayangkan, apakah kesannya terhadap pembangunan jiwa anak-anak kita jika mereka terus menerus didedahkan kepada tafsiran sejarah yang negatif itu.

Jika kita tidak mempunyai kepakaran dalam merakam sejarah sendiri, kita dan generasi anak cucu kita akan mudah hanyut dengan anggapan orang Melayu tidak ada sumbangan bermakna di negara kita ini.

Satu lagi contoh, kita lihat kepada Yayasan Mendaki kita yang ada sekarang.

Tahukah kita apa yang mendorong kepada penubuhan badan tersebut?

Berapa daripada anak-anak kita yang tahu bagaimana para pemimpin masyarakat, badan-badan dan pemimpin politik kita menggembleng pemikiran dan keringat untuk menubuhkan sebuah badan yang dapat dipertanggungjawabkan untuk meningkat taraf pendidikan masyarakat kita?

Lebih kita memahami sejarah dan pengorbanan yang dibuat oleh para pemimpin lalu, lebih mudah kita menginsafi bahawa Mendaki adalah milik masyarakat kita.

Jaya atau gagalnya Mendaki, mencerminkan jaya atau gagalnya perjuangan masyarakat kita sendiri. Ia tidak boleh dipandang ringan.

Banyak lagi contoh sejarah perjuangan dan kemajuan orang Melayu di bumi Singapura ini - tentang kampung-kampung yang pernah kita diami, perpindahan kita ke flat, penggemblengan tenaga setiap anggota masyarakat untuk maju dalam arus perdana - yang perlu dikaji dan didokumentasikan secara tepat sebagai bekalan untuk generasi akan datang.

Sebab itulah, kita perlu ada sebilangan anak Melayu kita yang dapat dipertanggungjawabkan sebagai ahli sejarah.

Kita juga perlu memastikan minat di kalangan masyarakat ramai untuk menghargai sejarah - bukan menganggapnya sebagai satu perkara sia- sia. Hakikatnya, jika pengetahuan tentang sejarah kita sendiri terhad, pemikiran kita juga terbatas.

Kita kurang mampu berfikiran luas dan tegas, sedangkan ini antara syarat penting untuk masyarakat Melayu kita terus maju.

Wednesday, November 9, 2011

Sajak - Penyajak Yang Baik

6 Nov 2011

EKSTRA!

Ciri-ciri penyajak yang baik oleh Peter Augustine Goh


PENYAJAK yang baik banyak merancang.

Dia mengambil waktu yang lama untuk mengarang sajaknya dari peringkat awal yang belum punya rupa penuh atau suara lengkap hingga ke tahap dalam bahasa yang lebih sesuai, tepat dan segar.

Dengan kata lain, dia tidak terburu-buru memberi ruang sajaknya itu untuk bersatu supaya menjadi naratif yang lebih lengkap, rinci dan dikarang oleh sebuah plot atau jalan cerita yang berwawasan dan makna yang baharu.

Sekali gus sajak yang baik boleh membawa pembaca bersama beberapa kalimat yang bukan sahaja indah tetapi juga penuh bererti.

Sebagai contoh, cuba hayati sajak oleh A. Samad Said yang berjudul 'Jika':

Jika bukit menjadi gunung

Gunung menyuburi rimba

Jika sakit mendorong menung

Menung merangsang dewasa

Lorong hidup banyak cabarnya

Jika rakit menjadi kapal

Kapal meningkat bahtera

Jika bangkit melawan gagal

Gagal membimbit hemah

Landas hidup banyak tuahnya.

Usman Awang tidak banyak menggunakan bahasa berbunga. Dia hanya menggunakan kata-kata biasa tetapi padat, berkesan dan disampaikan dengan begitu bersahaja untuk mencapai maksud yang diperkatakan di atas.

Sajak oleh Usman Awang ini juga satu contoh jelas bahawa sajak bukan sekadar luahan emosi, tetapi merupakan lontaran idea, pemikiran dan falsafah kehidupan untuk direnungkan dan difikirkan.

Seseorang penyajak harus ingat untuk memberikan semacam 'sengatan' dalam sajak-sajak yang dihasilkannya.

Terdapat banyak sajak yang baik yang dihasilkan oleh penulis kita, tetapi kurang bermutu atau tidak begitu berkesan dan mengelus jiwa kerana tidak menyengat.

Selain daripada itu, penyajak yang baik tidak harus melupakan bahasa yang baik juga. Bahasa yang baik sahajalah yang dapat membawa makna sesarat mungkin dan mengesankan.

Penyajak harus memperbaharui bahasanya dengan kembali kepada ketepatan kata-kata lama untuk mengelak klise.

Sesungguhnya klise adalah perosak sajak yang baik dan bermutu. Pembaca tidak teragak-agak untuk menolak karya yang sedemikian rupa.

Tugas penyajak ialah untuk selalu mendahului bahasa zamannya.

Penulis yang baik dan penuh tanggungjawab serta amanah yang dikurniakan Ilahi sering mengumpulkan makna karyanya dalam hanya beberapa patah perkataan sahaja - singkat tetapi padat di sebalik yang tersurat dan yang tersirat.

Dunia puisi moden (sajak) sering padat dengan pengalaman manusia. Di sinilah penyajak yang baik harus menghasilkan sajak-sajak yang sarat dengan nilai positif dan pengajaran yang sesuai dengan bentuk pemikiran dan tahap perkembangan minda pembaca, pencinta sastera dan masyarakat keseluruhannya.

Penyajak yang baik tidak menghasilkan sajak dengan cerita cinta anak muda semata-mata.

Cuba lihat sajak 'Aku' ciptaan penyair Indonesia, Chairil Anwar. Walaupun karya ini dilihat untuk 'diri sendiri', sebenarnya merujuk kepada 'aku-aku' yang bersifat sejagat dan penuh semangat untuk terus hidup demi satu matlamat dan perjuangan yang belum selesai:

Kalau sampai waktuku

'Ku mau tak seorang 'kan merayu

Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang

Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku

Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari

Berlari

Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli

Aku mau hidup seribu tahun lagi

Sajak yang dihasilkan dengan penuh tanggungjawab boleh membuka dunia kehidupan.

Ia dapat menajamkan kesedaran kita dan mengembangkan kepekaan kita sebagai manusia di alam maya ini.

cerpen NUR JANNAH oleh Mohd Ikhlash Abdullah

6 Nov 2011

EKSTRA!

NUR JANNAH


SUASANA begitu tenang di dalam ruang seluas bilik darjah yang terhimpun hampir 20 orang hadirin pagi itu. Masing-masing hadirin itu berpakaian seragam berwarna biru muda dan sudah duduk menunggu bermulanya sesi ceramah oleh Dr Harun. Beliau dikatakan mempunyai ijazah sarjana kepujian dalam bidang bahasa dan perkembangan adat budaya Melayu di rantau ini.

Para hadirin pula terdiri daripada golongan elit, karyawan, sarjana, pakar dan pengamat sosial.

Ketika menantikan bermulanya sesi tersebut, rata-rata para hadirin sibuk memperkatakan tentang kemahiran dan kebolehan serta sumbangan yang telah disumbangkan pada negara, bangsa dan agama selama ini.

'Bahasa Melayu sudah terpisah dari jasadnya!'

Dr Harun memulakan ucapannya tanpa sebarang mukadimah mahupun tersedia kertas kerja di depan meja kecilnya.

Para hadirin yang tadinya sibuk bersembang tiba-tiba senyap lalu memberi perhatian sepenuhnya pada ceramah Dr Harun.

'Bahasa Melayu sudah terpisah!' ulangnya lagi dengan raut wajahnya yang jelas kelihatan sudah menjangkau awal 70-an tahun.

Tiba-tiba berdiri seorang hadirin dari tempat duduk barisan depan.

'Saya Ridwan, seorang pengamat sosial. Apakah maksud Dr Harun?' tanyanya penuh sopan. Beliau duduk kembali.

Hadirin yang lainnya mula memerhatikan Dr Harun.

'Bahasa Melayu sudah terpisah dengan jasadnya. Jasad itu ialah bangsanya!' jawab Dr Harun.

Para hadirin yang lain terpinga-pinga. Masing-masing cuba mencari apa yang dimaksudkan Dr Harun.

'Saya kurang faham!' luah sarjana yang bermisai yang duduk di barisan belakang sekali.

Dr Harun tersenyum.

'Bahasa itu macam isteri kita di rumah.' Balas Dr Harun ringkas.

Suasana di bilik yang mempunyai hanya dua kipas dinding yang berputar laju itu seolah-olah tidak dapat meredakan kehangatan yang mula dirasai dalam ceramah pagi itu.

'Bahasa Melayu macam isteri kita kat rumah?' bisik salah seorang hadirin pada rakan di sebelah kirinya.

Namun, bisikan itu dapat didengar juga oleh Dr Harun. Sambil membetulkan kerusinya, Dr Harun menyambung ceramahnya.

'Kita kalau nak lepaskan nafsu batin, baru cari isteri. Lepas selesai semuanya, kita buat hal lain.

'Kita lupa isteri, kita lupa jasanya, kita lupa pengorbanannya. Kalau keluar rumah dan jumpa pulak dengan perempuan cantik, kita terus terpaut dan terus lupa isteri kat rumah. Begitulah nasib bahasa Melayu. Kita jumpa bahasa Inggeris, bahasa kita sendiri terus tunggang langgang. Tidakkah begitu?' tanya Dr Harun lantang.

Rata-rata hadirin mengangguk setuju.

'Tetapi, bagaimana bahasa Melayu boleh terpisah dengan bangsa Melayu? Bahasa itu jiwa bangsa, 'kan?' bangun dan bertanya seorang anak muda dalam lingkungan 30-an tahun. Dikatakan beliau adalah sarjana dalam pembangunan Teknologi Maklumat.

Dr Harun cuba mencari contoh yang mudah.

'Kita tak bawa bahasa kita bila ke pejabat, ketika bersosial, ketika bermesyuarat. Kita cuma ajak 'bahasa' kita bila ada perjumpaan Hari Raya atau pelancaran majlis buku-buku Melayu sahaja. Kita lebih rela tinggalkan bahasa Melayu di rumah daripada membawanya bersama kita. Apakah salahnya bahasa Melayu, mana cacat celanya?' tanya Dr Harun bertubi-tubi ke atas pemuda yang sudah duduk semula itu.

Tiada siapa yang berani menjawab pertanyaan Dr Harun itu.

Tenang seketika di dalam bilik tertutup itu.

'Mahukah kalian saya beri tip untuk memastikan bahasa Melayu terus dilestarikan?'

Tawaran Dr Harun disambut hadirin dengan tepukan gemuruh sambil menyahut kata 'Mahu! Mahu!' dari segenap penjuru.

Dapat dirasakan setiap individu di dalam bilik itu tidak ingin bahasa Melayu tertimbus begitu saja oleh tangan-tangan bangsa sendiri. Mereka kelihatan begitu sayang dengan bahasa Melayu. Mereka ingin bahasa Melayu terus dijiwai dan terus mekar di dalam naluri diri bangsa Melayu.

'Jadikan soalan kubur sebagai panduan untuk kita berdoa setiap kali bangun pagi!' Semua hadirin tersentak seketika dengan ungkapan Dr Harun itu.

Sekali lagi para hadirin terpinga-pinga.

'Soalan kubur?' Bisik hati seorang pemuda yang dikatakan baru lulus dengan ijazah kepujian dalam bidang ekonomi.

'Berdoalah setiap pagi dengan format soalan kubur,' suara Dr Harun mula sayu.

Sambil mengesat air matanya, dia meneruskan penerangannya.

'Tidak ramai yang lakukannya, tapi marilah kita cuba mulai hari ini. Caranya...

'Ya Allah, jadikan bahasaku sebagai perantaraan dengan-Mu, fahamkanlah ilmu Islam melalui bahasaku.

'Kenalkanlah Rasul-Mu melalui bahasaku, jadikan Al-Quran tafsiran bahasaku, dan satukan saudara-saudara melalui bahasaku.' Dr Harun mengakhiri kata-kata dengan penuh sebak sekali.

Pintu bilik tiba-tiba dibuka.

Kelihatan seorang gadis bertudung dengan wajah ayu, berlesung pipit, memasuki ruang di bilik itu.

'Masa bersembang dah tamat, sila beratur dan pulang ke bilik masing-masing.' Lembut tutur kata gadis itu.

Semua hadirin termasuk Dr Harun beratur berdua-duaan lalu berjalan keluar dari bilik tersebut menuju ke bilik masing-masing.

'Puan Nur Jannah, besok kita boleh sembang lagi?' tanya salah seorang penghuni di rumah tumpangan Sakit Jiwa itu.

'Insya-Allah,' ringkas jawab gadis itu.

'Walaupun para penghuni di sini sakit jiwa, tetapi semangat untuk mengubati penyakit bangsa yang meremehkan bahasa sendiri cukup mengagumkan,' bisik hati Nur Jannah.

BIODATA RINGKAS: Penulis dilahirkan di Singapura, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Westlake, sebelum ke Sekolah Menengah East Payoh dan meraih Diploma Lanjutan di Politeknik Singapura dalam jurusan komputer.

Setelah tamat pengajiannya, beliau bertugas sepenuh masa sebagai jurutera teknologi maklumat sebuah syarikat setempat.

Antara cerpen-cerpen karangan Mohd Ikhlash yang pernah disiarkan Berita Minggu sejauh ini termasuk Nur Medina, Nur Lakshimi, Nur Organza, Nur Umairah Rezqi, Nur Maisarah, Nur Irfan, Nur Azizah, Nur Samudera, Nur Melor dan Nur Nilam.

cerpen