Wednesday, November 9, 2011

cerpen NUR JANNAH oleh Mohd Ikhlash Abdullah

6 Nov 2011

EKSTRA!

NUR JANNAH


SUASANA begitu tenang di dalam ruang seluas bilik darjah yang terhimpun hampir 20 orang hadirin pagi itu. Masing-masing hadirin itu berpakaian seragam berwarna biru muda dan sudah duduk menunggu bermulanya sesi ceramah oleh Dr Harun. Beliau dikatakan mempunyai ijazah sarjana kepujian dalam bidang bahasa dan perkembangan adat budaya Melayu di rantau ini.

Para hadirin pula terdiri daripada golongan elit, karyawan, sarjana, pakar dan pengamat sosial.

Ketika menantikan bermulanya sesi tersebut, rata-rata para hadirin sibuk memperkatakan tentang kemahiran dan kebolehan serta sumbangan yang telah disumbangkan pada negara, bangsa dan agama selama ini.

'Bahasa Melayu sudah terpisah dari jasadnya!'

Dr Harun memulakan ucapannya tanpa sebarang mukadimah mahupun tersedia kertas kerja di depan meja kecilnya.

Para hadirin yang tadinya sibuk bersembang tiba-tiba senyap lalu memberi perhatian sepenuhnya pada ceramah Dr Harun.

'Bahasa Melayu sudah terpisah!' ulangnya lagi dengan raut wajahnya yang jelas kelihatan sudah menjangkau awal 70-an tahun.

Tiba-tiba berdiri seorang hadirin dari tempat duduk barisan depan.

'Saya Ridwan, seorang pengamat sosial. Apakah maksud Dr Harun?' tanyanya penuh sopan. Beliau duduk kembali.

Hadirin yang lainnya mula memerhatikan Dr Harun.

'Bahasa Melayu sudah terpisah dengan jasadnya. Jasad itu ialah bangsanya!' jawab Dr Harun.

Para hadirin yang lain terpinga-pinga. Masing-masing cuba mencari apa yang dimaksudkan Dr Harun.

'Saya kurang faham!' luah sarjana yang bermisai yang duduk di barisan belakang sekali.

Dr Harun tersenyum.

'Bahasa itu macam isteri kita di rumah.' Balas Dr Harun ringkas.

Suasana di bilik yang mempunyai hanya dua kipas dinding yang berputar laju itu seolah-olah tidak dapat meredakan kehangatan yang mula dirasai dalam ceramah pagi itu.

'Bahasa Melayu macam isteri kita kat rumah?' bisik salah seorang hadirin pada rakan di sebelah kirinya.

Namun, bisikan itu dapat didengar juga oleh Dr Harun. Sambil membetulkan kerusinya, Dr Harun menyambung ceramahnya.

'Kita kalau nak lepaskan nafsu batin, baru cari isteri. Lepas selesai semuanya, kita buat hal lain.

'Kita lupa isteri, kita lupa jasanya, kita lupa pengorbanannya. Kalau keluar rumah dan jumpa pulak dengan perempuan cantik, kita terus terpaut dan terus lupa isteri kat rumah. Begitulah nasib bahasa Melayu. Kita jumpa bahasa Inggeris, bahasa kita sendiri terus tunggang langgang. Tidakkah begitu?' tanya Dr Harun lantang.

Rata-rata hadirin mengangguk setuju.

'Tetapi, bagaimana bahasa Melayu boleh terpisah dengan bangsa Melayu? Bahasa itu jiwa bangsa, 'kan?' bangun dan bertanya seorang anak muda dalam lingkungan 30-an tahun. Dikatakan beliau adalah sarjana dalam pembangunan Teknologi Maklumat.

Dr Harun cuba mencari contoh yang mudah.

'Kita tak bawa bahasa kita bila ke pejabat, ketika bersosial, ketika bermesyuarat. Kita cuma ajak 'bahasa' kita bila ada perjumpaan Hari Raya atau pelancaran majlis buku-buku Melayu sahaja. Kita lebih rela tinggalkan bahasa Melayu di rumah daripada membawanya bersama kita. Apakah salahnya bahasa Melayu, mana cacat celanya?' tanya Dr Harun bertubi-tubi ke atas pemuda yang sudah duduk semula itu.

Tiada siapa yang berani menjawab pertanyaan Dr Harun itu.

Tenang seketika di dalam bilik tertutup itu.

'Mahukah kalian saya beri tip untuk memastikan bahasa Melayu terus dilestarikan?'

Tawaran Dr Harun disambut hadirin dengan tepukan gemuruh sambil menyahut kata 'Mahu! Mahu!' dari segenap penjuru.

Dapat dirasakan setiap individu di dalam bilik itu tidak ingin bahasa Melayu tertimbus begitu saja oleh tangan-tangan bangsa sendiri. Mereka kelihatan begitu sayang dengan bahasa Melayu. Mereka ingin bahasa Melayu terus dijiwai dan terus mekar di dalam naluri diri bangsa Melayu.

'Jadikan soalan kubur sebagai panduan untuk kita berdoa setiap kali bangun pagi!' Semua hadirin tersentak seketika dengan ungkapan Dr Harun itu.

Sekali lagi para hadirin terpinga-pinga.

'Soalan kubur?' Bisik hati seorang pemuda yang dikatakan baru lulus dengan ijazah kepujian dalam bidang ekonomi.

'Berdoalah setiap pagi dengan format soalan kubur,' suara Dr Harun mula sayu.

Sambil mengesat air matanya, dia meneruskan penerangannya.

'Tidak ramai yang lakukannya, tapi marilah kita cuba mulai hari ini. Caranya...

'Ya Allah, jadikan bahasaku sebagai perantaraan dengan-Mu, fahamkanlah ilmu Islam melalui bahasaku.

'Kenalkanlah Rasul-Mu melalui bahasaku, jadikan Al-Quran tafsiran bahasaku, dan satukan saudara-saudara melalui bahasaku.' Dr Harun mengakhiri kata-kata dengan penuh sebak sekali.

Pintu bilik tiba-tiba dibuka.

Kelihatan seorang gadis bertudung dengan wajah ayu, berlesung pipit, memasuki ruang di bilik itu.

'Masa bersembang dah tamat, sila beratur dan pulang ke bilik masing-masing.' Lembut tutur kata gadis itu.

Semua hadirin termasuk Dr Harun beratur berdua-duaan lalu berjalan keluar dari bilik tersebut menuju ke bilik masing-masing.

'Puan Nur Jannah, besok kita boleh sembang lagi?' tanya salah seorang penghuni di rumah tumpangan Sakit Jiwa itu.

'Insya-Allah,' ringkas jawab gadis itu.

'Walaupun para penghuni di sini sakit jiwa, tetapi semangat untuk mengubati penyakit bangsa yang meremehkan bahasa sendiri cukup mengagumkan,' bisik hati Nur Jannah.

BIODATA RINGKAS: Penulis dilahirkan di Singapura, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Westlake, sebelum ke Sekolah Menengah East Payoh dan meraih Diploma Lanjutan di Politeknik Singapura dalam jurusan komputer.

Setelah tamat pengajiannya, beliau bertugas sepenuh masa sebagai jurutera teknologi maklumat sebuah syarikat setempat.

Antara cerpen-cerpen karangan Mohd Ikhlash yang pernah disiarkan Berita Minggu sejauh ini termasuk Nur Medina, Nur Lakshimi, Nur Organza, Nur Umairah Rezqi, Nur Maisarah, Nur Irfan, Nur Azizah, Nur Samudera, Nur Melor dan Nur Nilam.

No comments:

Post a Comment