Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Tuesday, May 28, 2013

Hiperbola Metafora

Hiperbola, personifikasi dan metafora dalam penulisan 


oleh T. Ahmad Mohamed
TERDAPAT pelbagai kaedah bahasa yang digunakan penulis untuk melahirkan keindahan dalam penulisan. Antaranya ialah teknik penggunaan:
a. Hiperbola: Kaedah bahasa yang dilambangi kekata yang membawa pernyataan yang berlebih-lebihan untuk menimbulkan kesan penegasan pandangan, perasaan dan pemikiran.
b. Personifikasi (pengorangan): Kaedah bahasa yang memberi sifat manusia kepada sesuatu yang bukan manusia (objek, haiwan, konsep dan sebagainya).
c. Metafora: Kaedah bahasa yang menghubungkan sesuatu objek dengan objek lain atau konsep
Membaca cerpen Semut Hitam Israk Mikraj yang diterbitkan di Berita Minggu pada 12 Mei 2013, saya terpanggil untuk menyentuh tentang kebijaksanaan dan kecerakinan para penulis dalam memanfaatkan unsur-unsur ini dalam karya penulisan mereka.
Tentunya apa pun kaedah bahasa jika dimanfaatkan sebijaknya, pasti meninggalkan kesan keindahan bahasa dalam penulisan.
Lihat sahaja bagaimana Usman Awang memanfaatkan unsur-unsur personifikasi (pengorangan) dan hiperbola dalam puisinya, Kekasih, yang malar segar sehingga ke hari ini.
Kekasih
Akan kupintal buih-buih
menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan ranjang tidurmu
Akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang menudungi rambutmu
Akan kujahit bayu gunung
menjadi baju pakaian malammu
Akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang menyinari dadamu
Akan kujuluk bulan gerhana
menjadi lampu menyuluhi rindu
Akan kurebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu
Kekasih,
hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.
Namun demikian, penulisan apa pun genrenya, bukan sahaja tentang kaedah bahasa. Ia juga adalah suatu kecerakinan (eksperimen dan analisis) yang melibatkan kesesuaian antara pemilihan idea dan isi, juga antara bentuk dan bahasa.
Penulis sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengguna pakai kaedah bahasa yang secara tidak langsung tanpa disedarinya boleh menyentuh sensiviti agama. Sekadar contoh, ditukil secara rambang baris-baris daripada beberapa buah puisi:
1. Aku mendengar suara-Mu Tuhan
2. Berjalan beriringan dengan-Mu
3. Kupakai sarung-Mu dalam sujudku
4. Kau hadir dalam doaku
Baris-baris di atas adalah antara inisiatif ketukangan seseorang penyair lewat menghasilkan sesebuah karya puisinya.
Namun ketidaktelitiannya dalam pemilihan helah bahasa, secara tidak langsung telah mempersonifikasikan Tuhan (Ilahi) daripada segi zat-Nya dan sifat-Nya, meskipun saya pasti tidak dimaksudkan begitu.
Keindahan bahasa serta baris-baris puisi yang ditukangi itu akan lebih lembut, berlapis dan berhikmah andainya diteliti dan dicerakin semula seperti contoh di bawah demi mencari reda Ilahi.
1. Aku mendengar kalam-Mu Tuhan.
2. Berjalan beriringan rahmat-Mu.
3. Di hamparan sejadah kusujud mencari reda-mu
4. Moga doaku Kau makbulkan.
Begitu juga dalam cerpen Semut Hitam Israk Mikraj saya tukil:
"Mak nak ceritakan pada Ayu, semut ni ikut mak naik bas dan kereta api ke hospital dan dapat balik dengan selamat. Tentu semut ini akan beritahu kawan-kawannya, dia Israk Mikraj.''
Mungkin penulis sekadar bertujuan menyisipkan kisah Israk Mikraj dengan memetaforakannya dengan kisah perjalanan sang semut yang 'terangkut' dari rumah ke hospital.
Namun, bukankah Israk Mikraj itu sesuatu yang eksklusif kepada junjungan kita Rasulullah sehingga tidak dianugerahkan kepada nabi-nabi lain apatah lagi insan atau makhluk lain.
Akhir kalam, berkarya dengan bijaksana disulami dengan kecerakinan dalam proses pengkaryaan adalah sifat kesederhanaan yang dianjurkan oleh Rasulullah dalam hadisnya: "Sebaik-baik perkara ialah yang paling sederhana.''

Tuesday, February 28, 2012

seloka

14 Feb 2012

EKSTRA!

WARISAN KITA
Sampaikan mesej menerusi seloka


SELOKA ialah puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas. Ia tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, berirama ataupun tidak.

Antara ciri seloka adalah mengejek, menyindir secara serius atau jenaka dan mengkritik tingkah laku serta sifat negatif seseorang ataupun sekelompok masyarakat.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran seperti sindiran atau jenaka.

Kata seloka berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu 'Sloka'.

Menurut Pendeta Za'ba, seloka adalah sejenis karangan yang lebih kurang sama seperti gurindam; sebab itu kebanyakan sifat-sifat gurindam ada padanya.

Menurut beliau lagi, seloka mempunyai unsur kelakar, geli hati, gurau senda, giat, ejek, dan terkadang perasaan nyanyi, asyik berahi, hiba rawan, khayal dan mimpi.

Dalam bahasa Jawa, seloka disamakan dengan peribahasa.

Seloka biasanya ditulis dua atau empat baris dan terkadang ditulis lebih daripada empat baris.

Masyarakat Melayu mencipta seloka untuk mencerminkan rasa tidak puas hati mereka terhadap seseorang yang digambarkan melalui seloka.

Antara contoh seloka dalam kesusteraan Melayu lama ialah Seloka Emak Si Rendang, Seloka Pak Kaduk dan Seloka Pak Pandir.

Seloka Pak Kaduk misalnya mengandungi cerita yang memberi iktibar kepada segenap lapisan masyarakat dahulu dan sekarang bahawa Pak Kaduk bernasib malang akibat kejahilannya sendiri.

Antara bunyi seloka itu ialah:

Aduhai malang Pak Kaduk,

Ayamnya menang kampung

tergadai,

Ada nasi dicurahkan,

Awak pulang kebuluran,

Mudik menongkah surut,

Hilir menongkah pasang,

Ada isteri dibunuh,

Nyaris mati oleh tak makan,

Masa belayar kematian angin,

Sauh dilabuh bayu berpuput,

Ada rumah bertandang duduk.

Tidak kurang lucunya ialah Seloka Pak Pandir mengenai kebodohan watak Pak Pandir.

Antara selokanya ialah:

Pandai! Pak Pandir!

Anak dipijak dagang dijunjung,

Kucing dibunuh tikus dibela,

Harta habis badan tergadai,

Mendengar gelagak dagang,

Tak sedar bertelanjang,

Mendengar guruh di langit,

Air tempayan dicurahkan,

Mulut disuap pisang,

Buntut dicangkuk onak,

Gunting makan di hujung,

Pak Pandir juga menanggung!

Apa didengar gelagak dagang,

Gelagak rambutan jantan,

Orang berbunga dia berbunga,

Orang berbuah dia haram!

Kilat memancar hujan tak jadi,

Awak juga yang menanggung!

Satu lagi sifat Pak Pandir dibayangkan seperti berikut:

Inilah sifat Pak Pandir

Asalkan bergaya

itulah kaya

Asalkan berkilat itulah intan

Asalkan buntat

pasti bertuah

Asalkan berbungkal

itulah emas

Selain watak-watak lucu dan bodoh ini, ada juga seloka yang mengungkap kehilangan adat Melayu.

Berikut ialah contohnya:

Aduhai resam, wahai adat!

Lembaga di mana telah berpudat?

Wah! Hilang adat

lenyaplah bahasa,

Ghaib sepi tiada bersisa...

Laksana dipagut

tedung yang bisa!

Kesimpulannya, seloka ialah antara kira-kira 20 jenis puisi tradisional warisan Melayu kita.

Dapat dikatakan bahawa penghasilan seloka berkait rapat dengan bahasa dan mempunyai mesej berunsur sindiran.

Bahasa merupakan wadah bagi menyampaikan mesej dalam seloka tersebut.

Penggunaan bahasa yang indah mampu menarik minat pembaca untuk mengetahui mesej yang ingin disampaikan.

Monday, December 19, 2011

Puisi

19 Dis 2011

EKSTRA!

Apa yang dimaksud dengan puisi

Oleh
Mohamad Ashik
PEMBACA yang bistari lagi jauhari, satu lagi yang tidak difahami oleh sesetengah orang kita hari ini ialah mengenai perkataan puisi.

Apabila ditanya anda sedang menulis apa? Beliau menjawab, saya sedang mengarang puisi, tetapi apa yang dimaksudkan ialah 'sajak'.

Semasa saya di bangku sekolah dulu, saya difahamkan bahawa apa yang dikatakan puisi itu sebenarnya ialah puisi lama yang di dalamnya mengandungi pantun, syair, sajak, gurindam, mantera, bahasa berirama, yang pokoknya merupakan ragam sastera, yang bahasanya terikat oleh irama.

Sedang prosa pula ialah karangan bertulis dengan bahasa yang biasa, tidak berbentuk pantun, sajak, syair dan sebagainya, tegasnya ia merupakan karangan biasa.

Begitu juga halnya dengan pantun, masih ada lagi yang belum faham tentang syarat berpantun.

Baru-baru ini saya mendengar siaran radio dari daerah nusantara. Si pendengar radio berkenaan, berpantun seperti ini:

Naik rakit mudek ke hulu,
Sampai di kampung jumpa penghulu;
Kalau sudah tidak bermalu,
Buat sajalah dengan melulu.

Bunyi hujung pantun tadi, semuanya 'lu', 'lu', 'lu', 'lu'. Jika begitu keadaanya, bukan dikatakan pantun kerana tidak ubahnya seperti bahasa berirama, seperti syair dan rangkap tadi seakan pantun yang mempunyai pembayang dan maksud.

Cuma bunyi hujungnya semua sama. Kalau pantun dua kerat, boleh dikarang dengan sama bunyi hujungnya. Contohnya:

Pecah kaca pecah gelas,
Lepas baca harap dibalas.

Bunyi hujungnya 'gelas' dengan 'dibalas'.

Pantun empat kerat tadi boleh diperbetulkan seperti ini:

Naik rakit mudek ke hulu,
Jumpa penghulu di Kampung Ara;
Kalau sudah tidak bermalu,
Buatlah saja tanpa berkira.

Semoga apa yang telah saya katakan tadi memberikan semacam panduan kepada para peminat pantun menghasilkan pantun bermutu pada masa depan dan benar-benar faham apa yang dimaksudkan pantun.

Sehingga bertemu lagi di lain waktu, terimalah salam perpisahan berpantun daripada saya:

Duduk bersantun wajah berseri,
Pinang berbagi seorang satu;
Pantun warisan mengundur diri,
Sepekan lagi kita bertemu.

Sunday, November 13, 2011

puisi

Puisi itu hutan rimba...


'Puisi datang pertama kali kepada kita lewat (melalui) nadanya...'

DEMIKIANLAH sasterawan dan wartawan Indonesia, Goenawan Mohammad, menulis sebuah esei tentang sajak-sajak Subagio Sastrowardoyo, salah seorang penyair mapan negaranya.

Puisi seperti menemukan ertinya sendiri tanpa perlu dipimpin sekalipun.

Ia mirip susunan nada muzik yang merdu. Ia bagai orang buta yang mendengar susunan bunyinya sendiri - bunyi yang menawan kalbu, lantas mendorong rasa ingin tahu untuk menemukan makna mendalam dari susunan kata-kata.

Puisi yang disusun indah seringkali berdengung di kepala, meninggalkan semacam jejak - untuk memberi pentafsiran selanjutnya.

Ia menyisakan jejaknya sendiri yang kerap terangkai antara satu kata dengan lainnya.

Maka kita mendapati puisi-puisi yang indah memiliki nada tersendiri. Ia merupakan alunan lagu, yang sebentar berdenting lalu menjemput sebaris hening.

Puisi yang baik adalah rangkaian diksi yang berbunyi dengan sendiri. Ia mengoyak segala yang dianggap kecil dan remeh.

Membaca dan mendengarinya bagai membukakan ruang yang baru. Bahkan tidak jarang kita dibawa melompat dari satu kekosongan ke kekosongan lain.

Puisi memang mengandungi tema-tema kehidupan yang nyata - berkisah tentang pengalaman penyair atau sekadar pemantauannya terhadap sekeliling.

Tidak tertutup kemungkinan pula apabila sebuah puisi disusun secara sistematik dari guguran bunyi yang telah tersusun dengan harmonis.

Maka menikmati puisi sesungguhnya bagai menikmati kata-kata itu sendiri.

Puisi pada mulanya adalah bunyi. Ia merupakan untaian kata yang mengandungi pengertian cukup mendalam.

Puisi yang baik bagaikan tidak boleh dikoyak dan tidak akan boleh diubah. Ia tidak boleh dipaksa untuk menciptakan pengertian-pengertian yang lain.

Ia merupakan pengertian itu sendiri: sebuah kata. Yang ada hanyalah tinggal kita menikmatinya, sekali gus meresapi apa yang dikandungnya, seperti menikmati sebuah muzik.

Dalam pembacaan sajak yang panjang, kita seperti menikmati hamburan bunyi itu. Seakan-akan membentuk alunan nadanya sendiri yang terasa merdu, menguliti seisi kepala.

Ia seperti menggoncang setiap kesedaran dan bertahan di dalam kepala. Meskipun puisi tersebut dibaca dengan perlahan, ia tetap saja menyisakan nadanya sendiri - seumpama sebuah hentakan yang terus saja membangunkan kesadaran dari dalam diri.

Mungkin ada benarnya juga, jika kerja sastera adalah sebuah proses yang berkesinambungan.

Ia suatu upaya yang tidak kenal lelah, katakanlah untuk membangun jiwa dalam manusia itu sendiri. Ia memberi semacam pintu untuk dimasuki.

ANDA MAHU JADI

ANAK RIMBA?

Dan sayapun terkenang pada beberapa sajak yang membicarakan tentang sajak itu sendiri.

Contohnya puisi yang ditulis oleh seorang lagi penyair mapan Indonesia, Joko Pinurbo, berjudul 'Pelajaran Puisi'. Ia menyebut begini:

'Puisi itu hutan rimba. Kalian mau jadi anak rimba?'

Dengan 'memasuki puisi' yang bagi Pinurbo adalah hutan rimba, kita juga dihadapkan dengan beragam peristiwa yang mesti diresapi, didengar seperti sebuah lagu.

Ia semacam usaha untuk membuka rangkaian nada-nada yang ada, menemukan jenis muzik yang diingini.

Setiap jalinan kata yang sarat makna itu akan terus bergema, mengendap dan menyusup ke jiwa saat ia dibaca.

Dengan untaian kata-kata satu sama lain yang terikat, mencipta puisi seperti mencipta sebuah simfoni.

Mungkin pembaca juga akan turut mengembara, mengikuti perjalanan kata-kata itu sendiri.

Dan puisi seperti menghentak unsur keterjagaan, menyingkap semua gelombang sunyi yang terpancar dari helai-helai diksi.

Seorang penyair agaknya memiliki cara sendiri untuk menuliskan sajaknya.

Barangkali apa yang diniatkan merupakan sebuah alur pemikiran yang diolah dari batin bawah sedarnya.

Maka sajak-sajak yang lahir merupakan potret tersendiri dari perjalanan hidupnya, atau katakanlah sebagai catatan peribadi.

Jika memang ia bertemu dengan luka kehidupan, sajak-sajak yang ditulisnya akan berkisah banyak.

Luka yang mengendap seperti memberi bisikan tersendiri, luka juga yang membuat seorang Chairil Anwar mencipta 'Aku'-nya. Gaung luka yang akan terus menggema, sampai jauh.

Maka bunyi itupun seperti menjerit, menyingkap gaung sunyi yang lama tertahan di sana. Ia melingkupi setiap diksi yang ada, membuka auranya tersendiri.

Untuk itu, tidak hairan pula jika banyak puisi yang digubah jadi lagu. Sebab pemetaan bunyi dalam puisi begitu tertib, ia seperti melengkapi setiap celah yang tersembunyi. Dan berdenting menjemput segala hening.

Puisi memang sebuah lagu. Lagu tentang gembira mahupun sedih. Lagu yang berhubungan dengan karsa atau alam bawah sedar.

Bagi pembaca atau penciptanya (penyair), ia semacam denting yang terus berdengung, hingga sebuah puisi habis dibaca, membuka auran bunyi yang lainnya.

Ia seperti menghidupkan segenap peristiwa yang mungkin ditulis dengan perasaan yang amat sangat, dengan penuh gairah, atau jiwa yang sedang gelisah.

Dengan demikian, puisi berupaya merangkul semua aliran bunyi yang ada. Ia boleh merentas ke segala situasi - semacam ingin memberi khabar pada dunia.

Mudah-mudahan pula ia akan menjelma dalam keabadian yang akan berteriak, bahkan hingga seribu tahun lagi (meminjam ungkapan Chairil Anwar dalam 'Aku').

BIODATA PENULIS: Alex R. Nainggolan dilahirkan di Jakarta pada 16 Januari 1982. Beliau menyumbangkan esei ini khusus untuk para pembaca Berita Minggu yang meminati sastera.

Wednesday, January 5, 2011

Akal budi Melayu dalam karya puisi

5 Jan 2011

EKSTRA!

Akal budi Melayu dalam karya puisi

Akal budi Melayu-Islam adalah tunggak penting ke arah kemajuan demi mencipta negara maju berpendapatan tinggi

Oleh
Dr Aminudin Mansor
MENELITI dan mengkaji sajak-sajak Usman Awang sarat dengan keindahan estetik dan akal budi Melayu. Ia bagaikan meredah belantara yang penuh dengan nilai-nilai keindahan dan keasyikan.

Pelbagai persoalan, fikiran, idea, keindahan penciptaan dan mutu seni yang tercipta indah.

Usman Awang bukanlah nama asing dalam persajakan Melayu.

Puisi menjadi wadah karya sastera yang dapat menyampaikan fikiran dan lontaran kritikan ditandai dengan kelembutan, kejernihan dan keindahan bahasa.

Secara tersurat dan tersirat, penyair Usman Awang mahir menggunakan bahasa.

Keindahan bahasa di tangan Usman Awang terukir dalam pelbagai genre cerpen, drama dan juga puisi.

Akal budi Melayu sangat ketara dalam puisi-puisi Usman Awang yang dilahirkan dalam kalangan masyarakat nelayan di Kuala Sedili, Johor, kemudian menjadi anggota polis dan seterusnya menjadi wartawan dan sasterawan.

Pengalamannya yang rencam dapat melihat dengan mendalam akal budi Melayu.

Dalam tempoh sedekad Usman Awang telah menghasilkan lebih 200 buah puisi. Antara puisinya, Pak Utih, Pak Utih (2), Melayu Johor, Harga Diri, Ayah Belum Pulang, dan Anak-Anak Tercinta Jangan Menangis.

Keseluruhan puisi ini menyentuh tentang akal budi Melayu-Islam yang mementingkan kebaikan dalam kehidupan harian dalam keluarga dan masyarakat.

Akal budi Melayu mencakupi hasil karya sastera yang menyentuh tentang sejarah, adat istiadat, salasilah, agama, adab, budaya dan bahasa Melayu.

Pujangga-pujangga Melayu lama seperti Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari, Raja Ali Haji, Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dan Zaaba dan beratus pujangga lain tidak terlepas menyentuh tentang akal budi Melayu.

Hal ini diteruskan oleh Usman Awang melalui karyanya khususnya puisi-puisinya. Sebagai contoh puisi Uda dan Dara yang mengisahkan kasih sayang agung antara teruna dan dara Melayu.

Uda dan Dara
Bersumpah keramat cinta
Kering lautan runtuh langit
Terlebih gunung gugur matahari
Berdua bersama sehidup-mati.
(Petikan puisi Uda dan Dara)

Begitu agung dan setianya cinta sejak daripada awal berkasih, bercinta, berumah tangga hinggalah hidup bersama, sehidup semati.

Inilah budaya Melayu-Islam yang diterapkan dalam percintaan sehingga perkahwinan kekal ke akhir hayat.

Penyair telah melihat ke hadapan keruntuhan dan perceraian boleh menghancurkan tamadun Melayu.

Begitu juga dengan puisi Ke Makam Bonda yang mempamerkan kasihnya kepada ibu kesayangan sehinggalah ibunya meninggal dunia. Kasihnya tidak pernah putus dan sentiasa mengunjungi dan berdoa di pusara ibunya.

Akal budi Melayu-Islam juga terpancar melalui sajak ini.

Perhatikan dua rangkap terakhir sajak ini:

Nisan batu kami tegakkan,
Tiada lagi lalang memanjang,
Ada doa kami pohonkan,
Air mawar kami siramkan.
Senyum kemboja menghantar kami,
Meninggalkan makam sepi sendiri,
Damailah bonda dalam pengabdian,
Insan kerdil menghadap Tuhan.
(Petikan puisi Ke Makam Bonda 1956).

Berkaitan dengan ketuanan dan kedaulatan Melayu, Usman Awang melalui puisi Melayu,menjelaskan dengan panjang lebar tentang definisi dan akal budi Melayu.

Puisi ini seharusnya dibaca dan difahami oleh generasi sekarang untuk mengenal dan mengetahui salasilah Melayu.

Sikap dan pemikiran penyair Usman Awang sangat jelas tentang Melayu.

Begitu juga bagi para pemimpin politik Melayu seharusnya memahami bait terakhir puisi Melayu yang berbunyi,

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu,
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memikir ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.
(Petikan puisi Melayu 1996).

Ironinya, penyair dan penulis juga memainkan peranan penting dalam menegakkan budaya, bahasa, politik dan ekonomi bangsanya. Akal budi Melayu-Islam adalah tunggak penting ke arah kemajuan demi mencipta negara maju berpendapatan tinggi.

Bangsa yang sanggup bersaing dan berusaha akan dapat mencipta tamadun dan peradaban ke arah kecemerlangan masa depan. Bangsa yang berilmu tidak mudah ditipu daya dan digula-gulakan dalam politik.

Melalui akal budi Melayu seseorang itu dapat menilai kebenaran dan kebatilan.

Selain itu dapat membentuk tingkah laku; jiwa sensitif, rasional dan intelek.

Melalui pemikiran yang waras dan tajam akan dapat meningkatkan kefahaman dan keyakinan terhadap isu agama, politik dan sosial.

Sumber: Rencana ini dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia