27 Nov 2011
EKSTRA!
Badan bahasa Melayu di kampus tidak dinamis?
oleh Haryani Ismail
SEKELUMIT kesedihan bercampur kehairanan memenuhi benak Cik Nur Atassha Mohd Nasir setiap kali cuba memancing sesetengah rakannya menyertai kegiatan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS).
Respons yang teman-temannya berikan biasanya berbunyi begini: 'Alah... Kau nak suruh aku masuk Persatuan Bahasa Melayu? Biar betul... nanti streslah, nak kena berbual bahasa Melayu! Bahasa Melayu aku dahlah teruk! Menarikkah aktiviti-aktivitinya?'
Selaku Presiden PBMUKS yang baru dilantik menerajui persatuan itu Ogos lalu, Cik Nur Atassha, 21 tahun, mahasiswa tahun ketiga jurusan Sastera dan Sains Kemasyarakatan, akur stigma yang melekat pada persatuan-persatuan bahasa Melayu di kampus masih wujud dan wajar dilenyapkan.
Perkara serupa turut dikongsi Presiden Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu (Perbayu) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Mohamed Hazwan Mohamed, 24 tahun.
Bercakap daripada pengalamannya sebagai mahasiswa tahun ketiga kursus Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris), pemuda yang menyertai aktiviti bahasa dan budaya Melayu kerana minat sejak di bangku sekolah menengah itu berkata:
'Tentu ada yang mengenakan stereotaip bahawa sesebuah persatuan bahasa Melayu hanya condong ke arah aktiviti bahasa, tarian atau budaya sahaja
'Ada pula yang anggap persatuan bahasa Melayu terlalu kemelayuan, banyak politik dan gosip, persis tanggapan mereka terhadap situasi dalam badanbadan Melayu lain.
'Itulah antara cabaran yang dihadapi jawatankuasa saya, bagaimana menjelaskan kepada teman-teman bahawa mereka tidak semestinya fasih berbahasa Melayu untuk terlibat dalam aktiviti kami.
'Bagi saya, tak kenal maka tak cinta. Saya sendiri membuat pilihan menyertai Perbayu untuk mendalami minat saya dan sama-sama melestarikan bahasa dan budaya Melayu, sedangkan pengkhususan saya adalah bahasa Inggeris.'
Isu penerimaan anak-anak Melayu sendiri terhadap persatuan yang memperjuangkan bahasa, budaya Melayu bukan sesuatu yang baru.
STEREOTAIP
Sejak saya di universiti sekitar dua dekad lalu, telah wujud stereotaip dan stigma tentang badan-badan bahasa Melayu di kampus setempat.
Potensi mereka sebagai jentera pemberi semangat dan jati diri kepada anak-anak Melayu kadangkala disangsikan. Aktiviti mereka dianggap hambar dan tidak memenuhi cita rasa belia yang dinamis.
Bagaimanapun, melihatkan kesungguhan Cik Nur Atassha dan Encik Mohamed Hazwan yang menampakkan minat mendalam terhadap bahasa dan budaya Melayu, saya ikut terdorong dengan semangat mereka.
PBMUKS dan Perbayu NTU - itulah wadah bagi mereka menyelami identiti sebagai anak Melayu, meskipun ada di kalangan rakan-rakan mereka memandang sepi pendirian murni itu.
Wadah ini turut dimanfaatkan beberapa siswazah yang pernah menyandang jawatan penting dalam kededua persatuan itu dan kini memanfaatkan pengalaman tersebut di dalam tugas masing-masing.
Eksekutif Kajian dan Dasar Mendaki, Cik Siti Nur Ida Mohd Ali, 24 tahun, yang pernah mengetuai Sekretariat Penerbitan PBMUKS, menyifatkan penglibatannya dalam persatuan itu sebagai titik tolak mendekati masyarakat Melayu.
'Saya bukan setakat membina rangkaian kenalan di kalangan mahasiswa sahaja. Dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti atau diundang ke pertemuan bahasa membabitkan badan-badan Melayu, saya diberi pendedahan berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat,' katanya.
Namun, yang turut menjadi persoalan bagi Cik Siti Nur Ida adalah perihal imej dan jenis program tukikan PBMUKS dan Perbayu NTU.
Timbul tanda tanya, perlukah ia diubah bagi mendekati lebih ramai mahasiswa dengan cita rasa berbeza?
PERLU PEMBAHARUAN
'Saya kira setiap insan perlukan pembaharuan. Kalau kita ingin menarik minat ramai orang, kita perlu menyemak jenis aktiviti yang dianjurkan.
'Selain Peraduan Bercakap Petah, Pesta Pantun dan Perkampungan Bahasa, persatuan-persatuan bahasa dan budaya kampus ini juga harus dekati ibu bapa dan guru,' ujarnya.
Kerencaman aktiviti dan penekanan peranan mahasiswa dalam menyumbang semula kepada masyarakat turut dititikberatkan Cik Nur Atassha.
Menyedari bahawa mahasiswa dilihat sebagai golongan belia yang boleh diteladani, beliau kini ingin PBMUKS lebih fokus pada kerja-kerja kebajikan di dalam dan luar negara.
'Selain memberi sesi motivasi untuk adik-adik yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), tahun ini kami ingin usahakan Projek Ekspedisi Belia di Indonesia pula. Sekurang-kurangnya aktiviti kami lebih daripada setakat memupuk kecintaan terhadap bahasa dan budaya Melayu,' katanya.
Bekas Naib Presiden PBMUKS, Encik Muhammad Hafiz Salleh, 23 tahun, pula berharap kewujudan dan peranan persatuan bahasa Melayu di peringkat kampus ini tidak diperlekehkan.
'Hanya kerana kami masih dianggap badan pelajar, tidak semestinya idea-idea kami atau kehadiran kami diperkecilkan,' katanya.
Semangat belia Melayu kita dalam memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu serta menghidupkan budaya bergotong-royong ini tidak harus dimatikan. Stereotaip dan stigma memang akan sentiasa ada.
Namun, jika ada usaha menyepadukan aktiviti persatuan bahasa dan budaya Melayu di kesemua universiti dan politeknik setempat, tentu sesuatu yang bermakna mampu digerakkan untuk mendekatkan belia kita dengan pelbagai keprihatinan masyarakat.
No comments:
Post a Comment