Showing posts with label melayu boleh. Show all posts
Showing posts with label melayu boleh. Show all posts

Wednesday, November 30, 2011

Orang Melayu Taraf Antarabangsa oleh Ismail Pantek




PELAJAR MELAYU TERBAIK: Ramai pelajar kita seperti Natalia Nadila Muhamad Nasir (kanan) semakin menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran. Natalia adalah pelajar Melayu/Islam terbaik Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini. Kakaknya, Natasha Nabila (kiri) adalah pelajar terbaik PSLE dengan agregat tertinggi 294 pada 2007. - Foto TUKIMAN WARJI

Kumpulan baru orang Melayu yang tidak mudah mengaku kalah dalam mengejar cita-cita, baik di dalam mahupun di luar negara



27 Nov 2011

EKSTRA!

Orang Melayu Taraf Antarabangsa
KALAU masih ada orang yang meragui kemampuan anakanak Melayu/Islam kita mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, saya harap keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) yang diumumkan beberapa hari lalu dapat menjadi jawapan yang mengikis keraguan mereka.

Kita berbangga melihat kemunculan Yasmin Ziqin Mohamed Yuosof sebagai pelajar terbaik PSLE ini.

Begitu juga dengan Natalia Nadila Muhamad Nasir, Muzammil Arif Din s/o Abdul Jabbar dan Nur Batrisyia Abdul Wahil yang turut mencatat pencapaian cemerlang.

Bahkan, pelajar madrasah kita juga, Labiba Nur Hasna Idham, tidak kurang membanggakan dengan pencapaian cemerlangnya.

Memang benar, Yasmin Ziqin berketurunan India. Namun, hakikat bahawa dia dan keluarganya beragama Islam cukup membuat kita tumpang bangga.

Ini bukan kali pertama kita melihat anak-anak Melayu/Islam kita muncul cemerlang dalam pelajaran.

Kalau anda masih ingat, dalam 2007, Natasha Nabila, kakak kepada Natalia, muncul pelajar terbaik PSLE dengan markah agregat 294.

Bahkan, kita sudah menyaksikan ramai pelajar kita yang cemerlang dalam peperiksaaan lebih tinggi - dari Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' kepada GCE 'A', politeknik, universiti hinggalah ke peringkat pos ijazah.

Kalau kita kumpulkan mereka semua, seperti yang kita lihat dalam majlis Anugerah Mendaki yang diadakan setiap tahun, kita akan sedar bahawa orang Melayu sudah agak jauh melangkah.

Anak-anak Melayu kita telah menunjukkan kecemerlangan di pelbagai peringkat dan bidang pengajian.

Mereka tidak lagi takut untuk melangkah jauh, melanjutkan pelajaran di luar negara dan mendapat tempat di universiti-universiti unggul di Amerika, Eropah serta lain-lain bahagian dunia.

Bahkan, ada yang tekun mencipta nama di luar negara, bekerja dengan badan-badan antarabangsa dan memberi sumbangan di pentas yang lebih besar.

Kita kini sudah ada istilah yang saya fikir sesuai untuk mengungkap kemunculan satu golongan baru Melayu yang progresif.

Istilah yang saya maksudkan itu ialah Orang Melayu Taraf Antarabangsa (OMTA).

Saya temui istilah ini dalam satu e-mel oleh seorang bernama Tengku Indra, yang dihantar kepada sekumpulan orang Melayu/Islam termasuk karyawan dan pemimpin masyarakat bulan lalu

Dalam e-mel itu, Tengku Indra menggunakan OMTA untuk mengungkap seorang wanita Melayu, Cik Hidayah Mohd Amin.

Cik Hidayah merupakan penulis buku Gedung Kuning yang merakamkan kisah sejarah keluarganya yang pernah memiliki bangunan Gedung Kuning (kini menempatkan Restoran Tepak Sireh) di Kampung Gelam.

Tengku Indra mengutus e-mel tersebut sebagai mengulas e-mel yang dihantar oleh seorang mantan wartawan, Encik Ismail Kassim, yang juga memuji kebolehan Cik Hidayah.

E-mel Encik Ismail itu antara lain menyifatkan Cik Hidayah sebagai memiliki tiga 'P' iaitu passionate (ghairah), persistent (tekun atau tabah) dan plucky (berani).

'Dengan kesungguhan itu, beliau berjaya dalam banyak tempat - di Universiti Nasional Singapura (NUS), sebagai sarjana Fullbright di Univerisiti LeHigh, sebagai intern atau pelatih di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kini mengejar ijazah sarjana di Universiti Cambridge,' ujarnya.

Saya sendiri tidak kenal rapat dengan Cik Hidayah. Tetapi, selaku salah seorang anggota Lembaga Pengamanah LBKM, saya pernah turut dalam sesi temuduga ketika beliau memohon biasiswa LBKM untuk pengajian di universiti unggul.

Berdasarkan rekod pencapaian, azam dan keyakinan yang ditunjukkan, memang Cik Hidayah menepati ciri OMTA - Orang Melayu Taraf Antrabangsa - yang disebutkan Tengku Indra.

Bahkan, saya lihat ada ramai anak Melayu lain seperti Cik Hidayah - mereka yang kuat azam dan tidak mudah menyerah kepada takdir dalam usaha mereka mengejar kecemerlangan dalam pendidikan di institusi pengajian unggul di dunia.

Bagi saya, orang-orang seperti ini mencerminkan semangat baru dalam masyarakat kita.

Mereka ini fokus pada apa yang mereka inginkan dan berusaha gigih untuk mencapainya.

Mereka tidak mudah mengaku kalah dalam menghadapi tantangan atau cabaran-cabaran yang datang satu-persatu.

Kemunculan orang seperti ini memberi harapan bahawa masyarakat Melayu kita mahu maju dan sanggup berusaha untuk mencapai matlamat yang diinginkan.

Memanglah, dari masa ke masa, kita berhadapan dengan kenyataan-kenyataan yang seolah-olah mendedahkan kelemahan atau keburukan masyarakat kita.

Masih ada kepincangan dalam masyarakat kita. Kita masih dihambat dengan masalah-masalah perpecahan keluarga, jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Masih ada sebahagian besar masyarakat kita yang menempati golongan 20 peratus paling bawah di kalangan warga Singapura.

Kadangkala, kewibawaan dan harga diri kita bagaikan tercabar oleh perbuatan segelintir orang yang seolah-olah mempermainkan agama kita.

Namun, kesemua itu perlu dipandang secara rasional dan dari perspektif yang betul.

Dalam kita menangani kelemahan dalam masyarakat kita, jangan kita mudah patah semangat dan berputus asa lalu berkata Melayu kita memang sebuah masyarakat yang tidak mampu maju.

Sebaiknya, kita terus melangkah menghasilkan generasi Melayu baru yang berilmu, mempunyai nilai progresif dan sedia berbakti kepada bangsa, negara dan dunia antarabangsa.

Sunday, October 30, 2011

Melayu kini boleh sehebat Melayu dahulu

Melayu kini boleh sehebat Melayu dahulu

'Berita Harian' mengetengahkan soalan-soalan berkaitan cabaran dan pencapaian orang Melayu sejak zaman dahulu sehingga sekarang, termasuk cabaran yang bakal dihadapi masyarakat itu, kepada Profesor Leonard Y. Andaya yang menjawab soalan-soalan dalam bahasa Melayu dalam satu wawancara khas.

Oleh Mohd Noor A. Rahman

SOALAN (S): Sebagai ahli sejarah mengenai rumpun Melayu di rantau Asia Tenggara atau Nusantara, apakah pendapat Profesor tentang masyarakat Melayu dahulu berbanding masyarakat Melayu sekarang?

Jawapan (J): Pada pendapat saya, orang Melayu hari ini berbanding orang Melayu dahulu sebenarnya agak sama, khususnya dari segi pemikiran mereka.
Orang Melayu dahulu agak hebat menjadi pedagang dan pelaut yang terkenal.
Mereka terbuka kepada pendapat dan idea dari luar yang dapat memberi manfaat kepada mereka.
Begitu juga dengan orang Melayu hari ini yang mempunyai pemikiran terbuka dan bersedia menerima pandangan/idea luar yang bernas.
Cuma ada pada satu waktu, iaitu semasa waktu kolonial, orang Melayu dijajah kuasa Barat dan ini memberi kesan besar pada orang Melayu.
Pada waktu itu, mereka hanya diberi tugas sebagai petani, atau penghasil makanan, nelayan dan sebagainya.
Umumnya, mereka tidak diberikan jawatan atau peranan penting semasa pemerintahan kolonial.
Selepas kolonial, orang Melayu aktif semula; mereka mula berdagang dan seperti orang Melayu dahulu, mereka juga aktif dalam bidang-bidang lain.

S: Apakah cabaran paling besar orang Melayu hari ini?
J: Pada pendapat saya, cabarannya termasuklah menggalak dan merangsang lebih ramai orang muda Melayu melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT), khususnya universiti.
Tampaknya, dorongan ini masih belum begitu ketara dalam kalangan orang Melayu. Inilah mungkin satu faktor yang menyebabkan mereka belum mencapai banyak kemajuan seperti waktu dulu.
Kemungkinan besar, minda kurang penekanan pada pendidikan timbul ekoran adanya sikap inferiority complex atau rendah diri sejak zaman waktu kolonial dan berterusan sehingga kini.
Seperti ada hambatan dalam diri mereka sendiri bahawa adalah sukar bagi mereka melanjutkan pelajaran ke IPT.
Mereka harus merangsang anak muda Melayu supaya mempunyai minda baru agar mempunyai minat dan tekad agar melanjutkan pelajaran ke universiti.

S: Apakah yang dapat dilakukan masyarakat Melayu dalam menangani cabaran besar ini?
J: Selain minda rendah diri ini, orang Melayu rata-rata mungkin masih belum cukup sumber untuk menyokong lebih ramai anak Melayu masuk ke universiti.
Satu jalan adalah memohon kepada pemerintah agar memberi orang Melayu sokongan dari segi sumber, termasuk kewangan.
Malah, boleh saya katakan bahawa orang Melayu mungkin memerlukan semacam langkah peningkatan (affirmative action) yang boleh membantu dan mendorong lebih ramai anak Melayu masuk ke universiti, khususnya mereka yang tidak mampu masuk ke universiti atas sebab kekurangan sumber dan kewangan.

S: Apakah pula cabaran terbesar yang bakal dihadapi masyarakat itu dalam masa dua, tiga dekad akan datang?
J: Saya kira cabaran terbesar mereka masih lagi dalam bidang pendidikan.
Dengan adanya pendidikan, corak dan cara pemikiran orang Melayu akan berubah kepada yang lebih baik.
Dengan pendidikan, mereka dapat berhubungan dengan orang dan masyarakat luar, belajar daripada mereka dan di universiti mereka, dan banyak ilmu dan idea baik daripada masyarakat luar yang akan diraih orang Melayu sendiri.
Jika ilmu mereka terhad, pemikiran mereka agak terbatas dan kurang mampu berfikiran luas, dan pemikiran luas ini penting bagi masyarakat Melayu maju.
Sebab itu juga, perlu ada sebilangan anak Melayu belajar di luar negara agar meraih ilmu, pengalaman dan amalan baru dan terbaik yang mungkin dapat memberi faedah dan kebaikan kepada orang Melayu di sini.

S: Apakah satu 'kelemahan' atau amalan orang Melayu yang menghambat kemajuan orang Melayu dan harus diubah agar masyarakat itu mencapai kemajuan lebih besar?
J: Saya sebenarnya tidak tahu apakah orang Melayu punya kelemahan seperti ini. Malah, jika saya fikir berkali-kali, sukar saya mencari kelemahan ini.
Jika kita mengikuti sejarah, sebenarnya orang Melayu berada di depan dari segi pengetahuan dan kemahiran serta merupakan sebuah masyarakat yang maju.
Mereka tahu apa yang perlu diganti dan diperbaiki untuk menguatkan masyarakat dan sebagainya.
Ini kerana pemikiran mereka selalu terbuka kepada pandangan dan amalan luar yang memberi manfaat kepada mereka.

S: Jika itu pendapat Profesor, kenapakah rata-rata orang Melayu masih belum semaju bangsa atau tamadun lain?
J: Perkara ini berasal dari zaman penjajah kerana pada masa itu orang Melayu dibiasakan dan membiasakan diri kepada pendapat bahawa mereka memang tidak semaju bangsa lain seperti orang Cina, India dan British.
Minda ini terbawa-bawa sehingga hari ini dan mereka menganggap diri mereka sebagai lebih rendah dan tidak begitu pintar seperti orang lain.
Inilah satu pemikiran yang perlu dihapuskan.
Walhal, orang Melayu sebelum kolonial agak maju dan banyak melakukan perubahan demi memajukan diri.
Semasa kolonial, kemajuan dan tahap pemikiran mereka merosot. Selepas tempoh kolonial, ada pemulihan pemikiran ini, namun belum pulih seperti waktu orang Melayu sebelum kolonial dahulu yang cepat menyesuaikan diri kepada perubahan demi memajukan diri dan masyarakat.
Saya lebih tahu mengenai Malaysia - orang Melayu di sana berpotensi menunjukkan kemajuan besar kerana mereka merupakan pentadbir negara dan mampu melakarkan rancangan-rancangan yang dapat membawa kemajuan besar kepada orang Melayu di situ.

S: Apakah yang perlu dilakukan orang Melayu agar mereka tidak hilang jati diri?
J: Kita ambil contoh orang Melayu di Malaysia. Tahap jati diri mereka boleh dikatakan tinggi.
Ini memandangkan mereka mampu mentadbir negara dan diri mereka dengan sendiri tanpa bantuan pihak luar.
Mereka juga boleh belajar semua bidang yang diperlukan agar menjadi sebuah masyarakat dan negara yang menunjukkan kemajuan besar.
Jika ada persoalan jati diri, mungkin persoalan ini lebih ketara di kalangan orang Melayu Singapura, sebagai kaum minoriti, yang mungkin memerlukan sokongan pemerintah untuk mengekalkan jati diri masyarakat itu.
Saya kira jika lebih ramai orang Melayu Singapura masuk ke universiti dan mendapat jawatan baik dan penting dalam pekerjaan mereka, dengan sosioekonomi mereka yang baik, rasa bangga diri menjadi orang Melayu juga akan bertambah baik dan ini akan membantu dalam pemeliharaan jati diri orang Melayu di sini.
Cuma saya tidak pasti apakah orang Melayu Singapura kini mempunyai tahap bangga diri yang tinggi untuk menampilkan diri sebagai orang Melayu.

S: Apakah rahsia dan kepentingan bidang pengajian Melayu?
J: Sejarah Melayu adalah satu sejarah yang penting dalam sejarah Asia Tenggara dan juga sejarah dunia.
Dari dahulu, orang Melayu memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pedagang, khususnya pedagang laut, yang penting dalam membawa barang dagangan antara China, rantau ini dan kawasan lain.
China hanya mula belayar di laut secara aktif pada abad ke-12 dan sebelumnya. Semua barangan yang dibawa melalui laut ke China dibawa orang Melayu. Jadi dari dahulu, mereka memainkan peranan amat penting.
Sejarah Melayu adalah satu sejarah yang dikaitkan dengan sejarah ekonomi dunia.
Peranan penting orang Melayu ini seharusnya dibanggakan, khususnya oleh orang Melayu.
Melalui dagangan ini juga, bahasa Melayu tersebar di banyak kawasan memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan perdagangan.
Jadi peranan pedagang Melayu dan penggunaan bahasa Melayu ini harus kita ketahui dan pelajari serta dibanggakan.
Justeru itu, orang Melayu perlu kaji, tahu dan bangga dengan sejarah mereka sendiri.

Thursday, October 13, 2011

Melayu Boleh

2 Okt 2011

KOMENTAR

SIAPA KATA MELAYU TIDAK BOLEH?

Mesti yakin orang kita boleh berjaya, walau kita minoriti


DARI masa ke masa, saya mendengar keluhan dan rungutan daripada orang-orang kita: kenapa tiada Presiden Melayu di Singapura? Kenapa Menteri Melayu cuma seorang?

Sungutan ini biasanya semakin lantang semasa atau selepas pilihan raya, baik Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Presiden seperti yang kita saksikan baru-baru ini.

Bahkan, saya lihat ada nada putus asa di kalangan sesetengah orang kita.

Mereka berfikir, dengan sistem Presiden Dipilih sekarang, maknanya tiada harapan kita melihat seorang Presiden Melayu. Maklumlah kita minoriti.

Nampaknya, Allahyarham Yusof Ishak sahajalah satu-satunya orang Melayu yang jadi Presiden, fikir mereka.

Saya faham sungutan mereka, tetapi saya tidak begitu kecewa.

Bagi saya, tidak perlu kita fikirkan sangat tentang ada tidaknya presiden Melayu atau ada lebih dari seorang menteri... sekurang-kurangnya buat masa ini.

Apa guna ada presiden Melayu atau lebih menteri kalau nasib masyarakat kita tetap tidak berubah?

Antara seorang presiden Melayu dengan bertambahnya bilangan serta peratusan anak Melayu yang cemerlang dalam pelajaran atau bidang-bidang kehidupan yang lain, saya fikir yang kedua lebih bererti bagi kita.

Antara seorang menteri tambahan Melayu dengan 1,000 keluarga miskin yang berjaya keluar daripada lingkaran kemiskinan, saya pilih yang kedua.

Bagi saya, apa yang penting sekali ialah masyarakat Melayu kita secara kolektif membuat usaha untuk meningkatkan taraf dan mutu kehidupan mereka.

Memang kejayaan dalam hidup tidak semata-mata bererti kita mesti cemerlang dalam pelajaran. Tidak semua orang boleh dan mahu jadi doktor, misalnya.

Kita tidak perlukan semua anggota masyarakat kita jadi arkitek, saintis dan jurutera semata-mata.

Jika anda ingin jadi penyanyi dan yakin anda ada bakat jadi penyanyi , teruskan.

Anda boleh berjaya, tetapi jangan setakat menjadi penyanyi yang rakam satu album dan kemudian album tidak laku (atau jadi mangsa cetak rompak), atau jadi penyanyi bawah kolong sahaja.

Kalau ingin jadi penyanyi, kerja keras seperti M. Nasir, atau lebih berjaya dari itu.

Begitu juga jika ada anak kita yang ingin menjadi pelakon. Apakah cukup setakat jadi pelakon drama dalam televisyen setempat yang bayarannya tak seberapa?

Anda boleh berjaya jika anda kerja keras dan ikut jejak langkah Aaron Aziz dan Adi Putra misalnya, yang berjaya menempah nama di Malaysia.

Lebih baik lagi, kalau anda berusaha melangkah lebih jauh ke Hollywood misalnya.

Kalau anda ada bakat jadi tukang masak, anda boleh berjaya, dengan syarat anda ikuti kursus memasak profesional dan jadi cef antarabangsa yang berjaya.

Siapa kata tukang masak tidak boleh hidup senang?

Lihat Cef Wan dari Malaysia atau beberapa cef Melayu kita yang sampai berjaya membuka restoran sendiri berdasarkan kemahiran masing-masing.

Kalau anda ingin berniaga, anda boleh sahaja mulakan secara kecil-kecilan, tetapi jangan berhenti di situ.

Penjual nasi lemak dan epok-epok pun boleh berjaya, seperti yang anda lihat bagaimana syarikat Old Chang Kee berjaya meneroka pasaran antarabangsa dan setempat hanya bermula dengan epok-epok. Kalau orang lain boleh buat, kenapa tidak kita?

Syaratnya, kita kena bijak berniaga, bekerja keras dan cari peluang.

Pokoknya, jangan jadikan kekurangan sebagai halangan kita untuk maju.

Memang kita inginkan anak-anak kita cemerlang dalam pelajaran, tetapi tidak semua akan berpeluang masuk universiti.

Jika tidak dapat tempat di universiti setempat, kenapa tidak hantar anak ke universiti luar negara, seperti yang dilakukan kian ramai anak Melayu kita sekarang ini?

Kebetulan, saya duduk dalam lembaga pengamanah biasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Tugas jawatankuasa ini ialah memberikan biasiswa kepada anak Melayu yang layak, berdasarkan ukur tara yang ditetapkan.

Jawatankuasa ini juga diberi tugas mewawancara calon yang memohon biasiswa berprestij di 10 universiti terunggul dunia.

Peluang ini menjadi pembuka mata kepada saya: bahawa kian ramai anak Melayu kita yang bukan sahaja cemerlang, bahkan diterima belajar dalam universiti-universiti terkemuka seperti Oxford, Harvard, Cambridge, University College of London dan sebagainya.

Mereka sanggup berkorban, gunakan wang simpanan ibu bapa atau bantuan lain. Biasiswa LBKM setakat mencukupkan keperluan mereka.

Ada yang sanggup jual rumah untuk mengejar cita-cita mereka.

Bagi saya, inilah semangat yang diperlukan oleh anak-anak Melayu kita untuk berjaya.

Usah terlalu bimbang tidak dapat kerja bila pulang ke tanah air kelak. Jika tidak dapat di sini, cari peluang di luar negara. Kian ramai anak Melayu yang kini bertapak di luar negara dan berjaya dalam kerjaya mereka.

Saya teringat seorang rakan sedarjah ketika sama-sama belajar di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) dahulu dan kemudian sama-sama ke universiti.

Kini beliau sedang menghabiskan pengajian untuk ijazah PhD di Australia sambil menjadi pensyarah di sebuah universiti di situ.

Kami bertemu setiap kali beliau pulang ke tanah air. Saya ingat beliau pernah berkata pada saya: 'Mail, aku dulu cuma sekolah Melayu sahaja sebelum ke universiti.

'Tapi kini aku jadi pensyarah dan beri kursus kepada pelajar-pelajar yang kebanyakannya pelajar kulit putih.

'Mereka terima aku dan mana-mana aku bertemu mereka, mereka hormat sambil kata good morning Sir!'

Beliau bukan mendabik dada, tetapi setakat ingin membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menghalang anak Melayu kita untuk berjaya, walau di mana jua pun.

Yang penting, kita ada keyakinan diri, sanggup bekerja keras dan tidak takut menempuh cabaran.

Kita mesti yakin bahawa orang Melayu kita boleh berjaya, walau kita setakat minoriti.

Pengalaman teman saya itu mengingatkan saya bahawa bumi Tuhan ini amat luas untuk kita terokai.

Merantaulah jika perlu, tebarkan sayap seluas-luasnya di bumi Allah ini demi mencipta kehidupan lebih baik.

Ibarat kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Siapa kata Melayu tidak boleh?