Melayu kini boleh sehebat Melayu dahulu
'Berita Harian' mengetengahkan soalan-soalan berkaitan cabaran dan pencapaian orang Melayu sejak zaman dahulu sehingga sekarang, termasuk cabaran yang bakal dihadapi masyarakat itu, kepada Profesor Leonard Y. Andaya yang menjawab soalan-soalan dalam bahasa Melayu dalam satu wawancara khas.
Oleh Mohd Noor A. Rahman
SOALAN (S): Sebagai ahli sejarah mengenai rumpun Melayu di rantau Asia Tenggara atau Nusantara, apakah pendapat Profesor tentang masyarakat Melayu dahulu berbanding masyarakat Melayu sekarang?
Jawapan (J): Pada pendapat saya, orang Melayu hari ini berbanding orang Melayu dahulu sebenarnya agak sama, khususnya dari segi pemikiran mereka.
Orang Melayu dahulu agak hebat menjadi pedagang dan pelaut yang terkenal.
Mereka terbuka kepada pendapat dan idea dari luar yang dapat memberi manfaat kepada mereka.
Begitu juga dengan orang Melayu hari ini yang mempunyai pemikiran terbuka dan bersedia menerima pandangan/idea luar yang bernas.
Cuma ada pada satu waktu, iaitu semasa waktu kolonial, orang Melayu dijajah kuasa Barat dan ini memberi kesan besar pada orang Melayu.
Pada waktu itu, mereka hanya diberi tugas sebagai petani, atau penghasil makanan, nelayan dan sebagainya.
Umumnya, mereka tidak diberikan jawatan atau peranan penting semasa pemerintahan kolonial.
Selepas kolonial, orang Melayu aktif semula; mereka mula berdagang dan seperti orang Melayu dahulu, mereka juga aktif dalam bidang-bidang lain.
S: Apakah cabaran paling besar orang Melayu hari ini?
J: Pada pendapat saya, cabarannya termasuklah menggalak dan merangsang lebih ramai orang muda Melayu melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT), khususnya universiti.
Tampaknya, dorongan ini masih belum begitu ketara dalam kalangan orang Melayu. Inilah mungkin satu faktor yang menyebabkan mereka belum mencapai banyak kemajuan seperti waktu dulu.
Kemungkinan besar, minda kurang penekanan pada pendidikan timbul ekoran adanya sikap inferiority complex atau rendah diri sejak zaman waktu kolonial dan berterusan sehingga kini.
Seperti ada hambatan dalam diri mereka sendiri bahawa adalah sukar bagi mereka melanjutkan pelajaran ke IPT.
Mereka harus merangsang anak muda Melayu supaya mempunyai minda baru agar mempunyai minat dan tekad agar melanjutkan pelajaran ke universiti.
S: Apakah yang dapat dilakukan masyarakat Melayu dalam menangani cabaran besar ini?
J: Selain minda rendah diri ini, orang Melayu rata-rata mungkin masih belum cukup sumber untuk menyokong lebih ramai anak Melayu masuk ke universiti.
Satu jalan adalah memohon kepada pemerintah agar memberi orang Melayu sokongan dari segi sumber, termasuk kewangan.
Malah, boleh saya katakan bahawa orang Melayu mungkin memerlukan semacam langkah peningkatan (affirmative action) yang boleh membantu dan mendorong lebih ramai anak Melayu masuk ke universiti, khususnya mereka yang tidak mampu masuk ke universiti atas sebab kekurangan sumber dan kewangan.
S: Apakah pula cabaran terbesar yang bakal dihadapi masyarakat itu dalam masa dua, tiga dekad akan datang?
J: Saya kira cabaran terbesar mereka masih lagi dalam bidang pendidikan.
Dengan adanya pendidikan, corak dan cara pemikiran orang Melayu akan berubah kepada yang lebih baik.
Dengan pendidikan, mereka dapat berhubungan dengan orang dan masyarakat luar, belajar daripada mereka dan di universiti mereka, dan banyak ilmu dan idea baik daripada masyarakat luar yang akan diraih orang Melayu sendiri.
Jika ilmu mereka terhad, pemikiran mereka agak terbatas dan kurang mampu berfikiran luas, dan pemikiran luas ini penting bagi masyarakat Melayu maju.
Sebab itu juga, perlu ada sebilangan anak Melayu belajar di luar negara agar meraih ilmu, pengalaman dan amalan baru dan terbaik yang mungkin dapat memberi faedah dan kebaikan kepada orang Melayu di sini.
S: Apakah satu 'kelemahan' atau amalan orang Melayu yang menghambat kemajuan orang Melayu dan harus diubah agar masyarakat itu mencapai kemajuan lebih besar?
J: Saya sebenarnya tidak tahu apakah orang Melayu punya kelemahan seperti ini. Malah, jika saya fikir berkali-kali, sukar saya mencari kelemahan ini.
Jika kita mengikuti sejarah, sebenarnya orang Melayu berada di depan dari segi pengetahuan dan kemahiran serta merupakan sebuah masyarakat yang maju.
Mereka tahu apa yang perlu diganti dan diperbaiki untuk menguatkan masyarakat dan sebagainya.
Ini kerana pemikiran mereka selalu terbuka kepada pandangan dan amalan luar yang memberi manfaat kepada mereka.
S: Jika itu pendapat Profesor, kenapakah rata-rata orang Melayu masih belum semaju bangsa atau tamadun lain?
J: Perkara ini berasal dari zaman penjajah kerana pada masa itu orang Melayu dibiasakan dan membiasakan diri kepada pendapat bahawa mereka memang tidak semaju bangsa lain seperti orang Cina, India dan British.
Minda ini terbawa-bawa sehingga hari ini dan mereka menganggap diri mereka sebagai lebih rendah dan tidak begitu pintar seperti orang lain.
Inilah satu pemikiran yang perlu dihapuskan.
Walhal, orang Melayu sebelum kolonial agak maju dan banyak melakukan perubahan demi memajukan diri.
Semasa kolonial, kemajuan dan tahap pemikiran mereka merosot. Selepas tempoh kolonial, ada pemulihan pemikiran ini, namun belum pulih seperti waktu orang Melayu sebelum kolonial dahulu yang cepat menyesuaikan diri kepada perubahan demi memajukan diri dan masyarakat.
Saya lebih tahu mengenai Malaysia - orang Melayu di sana berpotensi menunjukkan kemajuan besar kerana mereka merupakan pentadbir negara dan mampu melakarkan rancangan-rancangan yang dapat membawa kemajuan besar kepada orang Melayu di situ.
S: Apakah yang perlu dilakukan orang Melayu agar mereka tidak hilang jati diri?
J: Kita ambil contoh orang Melayu di Malaysia. Tahap jati diri mereka boleh dikatakan tinggi.
Ini memandangkan mereka mampu mentadbir negara dan diri mereka dengan sendiri tanpa bantuan pihak luar.
Mereka juga boleh belajar semua bidang yang diperlukan agar menjadi sebuah masyarakat dan negara yang menunjukkan kemajuan besar.
Jika ada persoalan jati diri, mungkin persoalan ini lebih ketara di kalangan orang Melayu Singapura, sebagai kaum minoriti, yang mungkin memerlukan sokongan pemerintah untuk mengekalkan jati diri masyarakat itu.
Saya kira jika lebih ramai orang Melayu Singapura masuk ke universiti dan mendapat jawatan baik dan penting dalam pekerjaan mereka, dengan sosioekonomi mereka yang baik, rasa bangga diri menjadi orang Melayu juga akan bertambah baik dan ini akan membantu dalam pemeliharaan jati diri orang Melayu di sini.
Cuma saya tidak pasti apakah orang Melayu Singapura kini mempunyai tahap bangga diri yang tinggi untuk menampilkan diri sebagai orang Melayu.
S: Apakah rahsia dan kepentingan bidang pengajian Melayu?
J: Sejarah Melayu adalah satu sejarah yang penting dalam sejarah Asia Tenggara dan juga sejarah dunia.
Dari dahulu, orang Melayu memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pedagang, khususnya pedagang laut, yang penting dalam membawa barang dagangan antara China, rantau ini dan kawasan lain.
China hanya mula belayar di laut secara aktif pada abad ke-12 dan sebelumnya. Semua barangan yang dibawa melalui laut ke China dibawa orang Melayu. Jadi dari dahulu, mereka memainkan peranan amat penting.
Sejarah Melayu adalah satu sejarah yang dikaitkan dengan sejarah ekonomi dunia.
Peranan penting orang Melayu ini seharusnya dibanggakan, khususnya oleh orang Melayu.
Melalui dagangan ini juga, bahasa Melayu tersebar di banyak kawasan memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan perdagangan.
Jadi peranan pedagang Melayu dan penggunaan bahasa Melayu ini harus kita ketahui dan pelajari serta dibanggakan.
Justeru itu, orang Melayu perlu kaji, tahu dan bangga dengan sejarah mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment