Thursday, October 13, 2011

Melayu Boleh

2 Okt 2011

KOMENTAR

SIAPA KATA MELAYU TIDAK BOLEH?

Mesti yakin orang kita boleh berjaya, walau kita minoriti


DARI masa ke masa, saya mendengar keluhan dan rungutan daripada orang-orang kita: kenapa tiada Presiden Melayu di Singapura? Kenapa Menteri Melayu cuma seorang?

Sungutan ini biasanya semakin lantang semasa atau selepas pilihan raya, baik Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Presiden seperti yang kita saksikan baru-baru ini.

Bahkan, saya lihat ada nada putus asa di kalangan sesetengah orang kita.

Mereka berfikir, dengan sistem Presiden Dipilih sekarang, maknanya tiada harapan kita melihat seorang Presiden Melayu. Maklumlah kita minoriti.

Nampaknya, Allahyarham Yusof Ishak sahajalah satu-satunya orang Melayu yang jadi Presiden, fikir mereka.

Saya faham sungutan mereka, tetapi saya tidak begitu kecewa.

Bagi saya, tidak perlu kita fikirkan sangat tentang ada tidaknya presiden Melayu atau ada lebih dari seorang menteri... sekurang-kurangnya buat masa ini.

Apa guna ada presiden Melayu atau lebih menteri kalau nasib masyarakat kita tetap tidak berubah?

Antara seorang presiden Melayu dengan bertambahnya bilangan serta peratusan anak Melayu yang cemerlang dalam pelajaran atau bidang-bidang kehidupan yang lain, saya fikir yang kedua lebih bererti bagi kita.

Antara seorang menteri tambahan Melayu dengan 1,000 keluarga miskin yang berjaya keluar daripada lingkaran kemiskinan, saya pilih yang kedua.

Bagi saya, apa yang penting sekali ialah masyarakat Melayu kita secara kolektif membuat usaha untuk meningkatkan taraf dan mutu kehidupan mereka.

Memang kejayaan dalam hidup tidak semata-mata bererti kita mesti cemerlang dalam pelajaran. Tidak semua orang boleh dan mahu jadi doktor, misalnya.

Kita tidak perlukan semua anggota masyarakat kita jadi arkitek, saintis dan jurutera semata-mata.

Jika anda ingin jadi penyanyi dan yakin anda ada bakat jadi penyanyi , teruskan.

Anda boleh berjaya, tetapi jangan setakat menjadi penyanyi yang rakam satu album dan kemudian album tidak laku (atau jadi mangsa cetak rompak), atau jadi penyanyi bawah kolong sahaja.

Kalau ingin jadi penyanyi, kerja keras seperti M. Nasir, atau lebih berjaya dari itu.

Begitu juga jika ada anak kita yang ingin menjadi pelakon. Apakah cukup setakat jadi pelakon drama dalam televisyen setempat yang bayarannya tak seberapa?

Anda boleh berjaya jika anda kerja keras dan ikut jejak langkah Aaron Aziz dan Adi Putra misalnya, yang berjaya menempah nama di Malaysia.

Lebih baik lagi, kalau anda berusaha melangkah lebih jauh ke Hollywood misalnya.

Kalau anda ada bakat jadi tukang masak, anda boleh berjaya, dengan syarat anda ikuti kursus memasak profesional dan jadi cef antarabangsa yang berjaya.

Siapa kata tukang masak tidak boleh hidup senang?

Lihat Cef Wan dari Malaysia atau beberapa cef Melayu kita yang sampai berjaya membuka restoran sendiri berdasarkan kemahiran masing-masing.

Kalau anda ingin berniaga, anda boleh sahaja mulakan secara kecil-kecilan, tetapi jangan berhenti di situ.

Penjual nasi lemak dan epok-epok pun boleh berjaya, seperti yang anda lihat bagaimana syarikat Old Chang Kee berjaya meneroka pasaran antarabangsa dan setempat hanya bermula dengan epok-epok. Kalau orang lain boleh buat, kenapa tidak kita?

Syaratnya, kita kena bijak berniaga, bekerja keras dan cari peluang.

Pokoknya, jangan jadikan kekurangan sebagai halangan kita untuk maju.

Memang kita inginkan anak-anak kita cemerlang dalam pelajaran, tetapi tidak semua akan berpeluang masuk universiti.

Jika tidak dapat tempat di universiti setempat, kenapa tidak hantar anak ke universiti luar negara, seperti yang dilakukan kian ramai anak Melayu kita sekarang ini?

Kebetulan, saya duduk dalam lembaga pengamanah biasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Tugas jawatankuasa ini ialah memberikan biasiswa kepada anak Melayu yang layak, berdasarkan ukur tara yang ditetapkan.

Jawatankuasa ini juga diberi tugas mewawancara calon yang memohon biasiswa berprestij di 10 universiti terunggul dunia.

Peluang ini menjadi pembuka mata kepada saya: bahawa kian ramai anak Melayu kita yang bukan sahaja cemerlang, bahkan diterima belajar dalam universiti-universiti terkemuka seperti Oxford, Harvard, Cambridge, University College of London dan sebagainya.

Mereka sanggup berkorban, gunakan wang simpanan ibu bapa atau bantuan lain. Biasiswa LBKM setakat mencukupkan keperluan mereka.

Ada yang sanggup jual rumah untuk mengejar cita-cita mereka.

Bagi saya, inilah semangat yang diperlukan oleh anak-anak Melayu kita untuk berjaya.

Usah terlalu bimbang tidak dapat kerja bila pulang ke tanah air kelak. Jika tidak dapat di sini, cari peluang di luar negara. Kian ramai anak Melayu yang kini bertapak di luar negara dan berjaya dalam kerjaya mereka.

Saya teringat seorang rakan sedarjah ketika sama-sama belajar di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) dahulu dan kemudian sama-sama ke universiti.

Kini beliau sedang menghabiskan pengajian untuk ijazah PhD di Australia sambil menjadi pensyarah di sebuah universiti di situ.

Kami bertemu setiap kali beliau pulang ke tanah air. Saya ingat beliau pernah berkata pada saya: 'Mail, aku dulu cuma sekolah Melayu sahaja sebelum ke universiti.

'Tapi kini aku jadi pensyarah dan beri kursus kepada pelajar-pelajar yang kebanyakannya pelajar kulit putih.

'Mereka terima aku dan mana-mana aku bertemu mereka, mereka hormat sambil kata good morning Sir!'

Beliau bukan mendabik dada, tetapi setakat ingin membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menghalang anak Melayu kita untuk berjaya, walau di mana jua pun.

Yang penting, kita ada keyakinan diri, sanggup bekerja keras dan tidak takut menempuh cabaran.

Kita mesti yakin bahawa orang Melayu kita boleh berjaya, walau kita setakat minoriti.

Pengalaman teman saya itu mengingatkan saya bahawa bumi Tuhan ini amat luas untuk kita terokai.

Merantaulah jika perlu, tebarkan sayap seluas-luasnya di bumi Allah ini demi mencipta kehidupan lebih baik.

Ibarat kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Siapa kata Melayu tidak boleh?

No comments:

Post a Comment