Monday, October 17, 2011

Pantun

17 Okt 2011

EKSTRA!

MARI BERPANTUN
Majlis dimula dengan bahasa berpantun

Oleh
Mohamad Ashik
PARA pembaca yang jauhari, apabila sesebuah negara di nusantara mengadakan persidangan - terutama yang berhubung kait dengan soal budaya dan bahasa - kadangkala ketua perwakilan memulakan ucapan dengan bahasa berpantun.

Untuk mengarang pantun pembuka ucapan, tentunya diserahkan tugas itu kepada yang mahir dalam soal berpantun.

Mukaddimah ucapan biasanya lebih elok dimulakan dengan menyebut nama Tuhan yaani Allah, kemudian disusuli pula oleh selawat ke atas Nabi Muhammad saw dan ikuti dengan ucapan salam.

Jika dimulakan saperti ini:

Kata bismillah pemula bicara,
Selawat dan salam Rasul junjungan;
Harap berkat selamat sejahtera,
Semoga sepakat dalam persidangan.

Ayat pada dua baris tadi bukan merupakan pembayang maksud pantun. Ia hanya berbentuk bahasa berirama.

Jika mengikut peraturan pantun, susunannya harus begini:

Belayar pukat menuju utara,
Hendak menuju Indera Kayangan;
Harap berkat selamat sejahtera,
Semoga bersatu dalam persidangan.

Demikianlah yang dikatakan pantun; ada pembayang, ada maksud.

Setelah selesai persidangan, ketua perwakilan dalam sesuatu mesyuarat akan mengakhiri ucapannya dengan berpantun juga:

Begini pantunnya yang biasa dilafazkan:

Hari ini menanam jagung,
Esok kita menaman serai;
Hari ini kita berkampung,
Esok pula kita bersurai.

Penutup ucapannya:

Lancang dagang belayar megah,
Mega mendung hilang pandangan;
Berbincang bersidang selesai sudah,
Semoga mendukung matlamat persidangan.

Begitulah persiapan yang harus ada pada bakal wakil ke sesuatu persidangan ke luar negara supaya negara penganjur menghormati penampilan kita yang menjunjung tinggi, warisan budaya dan persuratan ibunda.

No comments:

Post a Comment