31 Okt 2011
EKSTRA!
TENGOK WAYANG
Ra.One ubati rawan
Oleh
Haryani Ismail
GELI hati saya dan teman-teman dibuatnya ketika menonton filem superhero dan sains cereka Hindustan yang pertama, Krrish, beberapa tahun lalu.
Seorang teman di pawagam sebelah pula sempat mengirimkan pesanan SMS yang berbunyi begini: 'Bodohnya...superhero apa ni? Hari ni sakit pipi saya! Asyik ketawa sahaja kerana kebodohan watak Hrithik Roshan!'
Namun, kesannya berbeza ketika sepasang mata ini dipelawa menjamah filem terkini Shah Rukh Khan dan Kareena Kapoor, Ra.One.
Tentulah, nama Shah Rukh sahaja mampu mengheret kaki anda ke pawagam. Bukan calang-calang. Inilah Raja Bollywood yang disegani.
Ada suatu kelainan yang dapat dirasakan, sesuatu kesan nostalgia yang menggamit memori saya, ketika menyaksikan filem ini.
Saya langsung teringatkan beberapa siri televisyen sains cereka yang pernah saya tonton sewaktu kecil, Misfits of Science dan Whiz Kids. Daya tarikan Ra.One tentunya tidak dapat saya nafikan.
Walhal, jalan cerita filem ini mudah sekali. Ia mengisahkan tentang penjahat (lakonan Arjun Rampal) dalam satu permainan video yang marah selepas tewas di tangan seorang kanak-kanak (dilakonkan Armaan Verma).
Untuk membalas dendam, watak bernama Ra.One itu mampu bangkit daripada alam maya dan bertekad membunuh si kanak-kanak yang merupakan anak Shekhar (Shah Rukh), pencipta permainan video itu.
Ra.One pandai menyamar dan berubah-ubah wajah untuk mendekati si cilik.
Inilah pertama kalinya saya menyaksikan filem Hindustan dengan penjahatnya setampan Arjun, yang biasanya menjadi hero.
Lakonan Shah Rukh dalam dua peranan berbeza memang menyerlah. Sekelip mata, beliau adalah Shekhar, si selenge yang hanya tahu duduk di depan komputer. Shekhar melucukan tetapi kadangkala terasa janggal berada di sisi orang ramai.
Sekelip mata pula, beliau adalah wira, G.One yang meyakinkan dan tampil berani, menyelamatkan si kecil dan ibunya, Sonia (Kareena).
Permainan emosi Shah Rukh memberikan semacam warna-warni pada filem ini.
Kareena pula seperti biasa (dalam filem-filem lain), adalah wanita yang lantang meluahkan kata-katanya termasuk kepada lelaki yang tidak menghormatinya.
Keistimewaan filem ini bukan saja terletak pada jalan ceritanya yang membuat anda seisi keluarga terpaku. Kesan visualnya juga membuatkan anda membayangkan potensi industri Bollywood dalam menghasilkan filem sains cereka lebih bermutu.
Ada unsur keluarga diterapkan. Ada kisah humor dan ada sekilas perihal cinta. Kesemuanya diadun dengan baik - bak rencah kari menyelerakan.
NILAI TONTON: 5/5
No comments:
Post a Comment