Thursday, October 13, 2011

Batu Singapura

10 Okt 2011

EKSTRA!

WARISAN
Batu Singapura


SINGAPURA pada sekitar abad ke-13 dahulu pernah menjadi sebahagian daripada pusat pemerintahan Melayu sebelum tibanya Sir Stamford Raffles dalam 1819.

Ketika itu Singapura dikenali sebagai Temasek dan merupakan sebahagian daripada kerajaan Sriwijaya.

Ini berdasarkan tulisan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang menyatakan bahawa ketika Singapura dibersihkan, bukit yang terdapat di situ telah dikenali sebagai bukit larangan, dan terdapat banyak pohon buah yang ditanam di situ.

Ini menunjukkan terdapatnya pusat pentadbiran di situ.

Selain daripada itu, Abdullah Munsyi turut merakamkan penemuan sebuah batu bersurat yang mempunyai ukiran tulisan yang tidak dikenali dan telah kabur.

Malangnya batu bersurat itu telah dimusnahkan tidak lama selepas tibanya Inggeris oleh seorang jurutera.

Artifak yang dikenali sebagai batu Singapura ini merupakan antara tiga serpihan yang dipercayai daripada sebuah batu bersurat.

Batu bersurat itu, yang asal dipercayai setinggi tiga meter dengan lebar tiga meter, ditemui di muara Sungai Singapura.

Ia mengisahkan kerajaan silam Singapura dalam abad ke-13 Masihi. Batu ini pecah dan rosak kerana diledakkan ketika membangunkan pelabuhan Singapura.

Batu Singapura ini mempunyai tulisan Jawa kuno.

Ia mempunyai 50 baris tulisan yang sehingga kini belum dapat ditafsirkan.

Ia dipercayai merupakan kunci kepada sejarah silam Singapura.

IKTIBAR

Tulisan Jawa kuno pada batu bersurat menandakan bahawa Singapura sudah mempunyai sebuah kerajaan.

Hal ini merupakan tradisi bagi kerajaan di rantau ini.

Batu Singapura ini telah disenaraikan sebagai antara khazanah terpelihara oleh Jawatankuasa Kebudayaan dan Penerangan Asean (Coci).

1 comment:

  1. Saya pasti ia adalah tulisan Melayu Sumatera atau salah satu suku di Sumatera yang serumpun dengan suku Melayu. Di Sumatera telah ada tulisan asli suku2 terutamanya suku Melayu di sana (tulisan "rencong"/"rejang"/"kerinci", manakala suku Batak dengan tulisan Batak (surat Batak).

    Terdapat bukti penggunaan tulisan Rencong dalam Bahasa Melayu Kuno pada manuskrip yg berusia 700 tahun atau lebih yg ditemui di Kerinci, Sumatera yang tiada langsung pengaruh Islam/Arab/Parsi. Tulisan ini membuktikan budaya penulisan & kesarjanaan oleh suku Melayu sendiri sebelum datangnya pengaruh Islam yg telah memperkenalkan kita kpd tulisan Jawi.

    Menurut Drs. Boechari, seorang pakar epigrafik dari "Pusat Kajian Nasional Indonesia untuk Arkeologi" dan pensyarah di Universitas Indonesia, tulisan pada prasasti (batu bersurat Singapura) itu lebih mendekati tulisan orang2 Sumatera berbanding dengan gaya tulisan orang Jawa.

    Beliau menambah bahawa bahasa pada prasasti itu mungkin bukan bahasa Jawa tapi Sanskrit kerana penggunaan Sanskrit telah jadi satu kebiasaan di Sumatera pada zaman itu.

    John Miksic pula pernah berkata, "Ia adalah lebih mudah untuk menerima kesimpulan bahawa orang yang mengarahkan pembuatan prasasti/inskripsi itu secara budayanya ialah orang Sumatera berbanding dengan orang Jawa kerana menjelang abad ke-10 pengaruh bahasa/linguistik Jawa telah mencapai wilayah Lampung di selatan Sumatera, tapi tiada pengaruh seumpama itu ditemui sejauh Singapura dan tiada bukti penjajahan orang Jawa di Sumatera atau di pulau-pulau sekitarnya pada masa itu."

    Walaupun Drs. Boechari berpendapat ia mungkin Bahasa Sanskrit dengan tulisan orang Sumatera, saya lebih yakin bahawa ia sebenarnya dalam Bahasa Melayu Kuno atau loghat/dialek Melayu Kuno yang lain. Beliau mungkin juga TERLUPA bahawa wujudnya penggunaan Bahasa Melayu Kuno pada prasasti2 (batu2 bersurat) sejak abad ke-7 lagi dan Kerajaan Srivijaya, Malayu, & Sailendra telah menggunakan Bahasa Melayu Kuno dalam pentadbiran selain Sanskrit.

    Kawasan empayar mereka telah meliputi Sumatera, Singapura, Jawa, & Semenanjung, selatan Thailand (yg kini), termasuk Champa (selatan Vietnam), & Filipina.

    Jadi, dengan kebarangkalian tinggi, saya yakin bahawa ia adalah tulisan Melayu Sumatera atau suku2 serumpun Melayu yg telah ditulis/diukir dlm tulisan asli Melayu (Rencong? atau tulisan dr suku2 serumpun lain atau tulisan Melayu Kuno dgn dialek berbeza?). Ada juga sejarawan lain percaya bahawa ia merupakan tinggalan/catatan kerajaan Srivijaya (mungkin dr keturunan Parameswara) atau kerajaan Malayu yang mengunakan bahasa Melayu Kuno.

    Dengan itu, saya saran sejarawan2 di Indonesia & Malaysia yang telah mendalami/belajar tulisan2 asli Sumatera untuk tampil membuat kajian terhadap inskripsi/prasasti Singapura ini yg telah disalin oleh William Bland.

    Untuk tulisan salinan penuh oleh William Bland sila lawat laman web Wikipedia di:

    http://en.wikipedia.org/wiki/File:1837-SingaporeStone-WBlanddrawing.jpg

    Terima kasih,
    Oleh Tuah.

    ReplyDelete