Wednesday, June 5, 2013

sokong masjid kita


SALING BEKERJASAMA: Pihak aktivis Masjid Al-Ansar sering menyambut tetamunya dan amalan ini perlu diteruskan selepas masjid itu mempunyai bangunan baru kelak.
- Foto fail

Sokonglah masjid kita

ISU masjid sering mendapat perhatian pembaca termasuk dalam Forum akhbar ini.
Ini menunjukkan bahawa masjid dekat dengan masyarakat Melayu.
Ini termasuk berkaitan pegawai dan aktivis masjid menyambut mesra jemaah solat Jumaat di serata masjid, termasuk di bangunan sementara Masjid Al-Ansar di Bedok North.
Langkah menyambut jemaah di masjid tersebut, saya rasa, harus diteruskan walaupun selepas bangunan barunya siap pada separuh kedua tahun depan.
Masjid nadi kehidupan dan kegiatan masyarakat Melayu/Islam, dan saya bersyukur kerana Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sentiasa berusaha memainkan peranan penting dalam membangunkan masjid serta membantu masyarakat agar terus maju.
Ini baik dalam mentadbir Dana Pembinaan Masjid (MBF), mahupun dalam usaha menjalankan pelbagai program serta latihan demi meningkatkan prasarana dan khidmat pegawai dan aktivis masjid.
Usaha baik Muis ini wajar dipuji dan harus diteruskan demi menjadikan masjid mesra jemaah, dengan masjid sentiasa dekat dengan jemaah dan memahami serta dapat memenuhi keperluan mereka.
Pada masa sama, masyarakat Islam setempat harus terus menyokong dan membantu dengan menderma kepada masjid setempat.
Masjid Al-Ansar, umpamanya, memerlukan dana bagi projek peningkatannya yang menelan belanja $12.3 juta. Bangunan masjid asal sudah usang dan tidak dapat memenuhi keperluan penduduk khususnya warga emas.
Malah bukan setakat masjid, badan-badan Melayu/Islam juga perlu disokong dan dibantu.
Baru-baru ini saya menonton siaran langsung di televisyen mengenai Projek Kasih yang dijalankan Ain Society bagi membantu pesakit barah.
Projek itu jua perlu dibantu kerana ia usaha murni.
Selain membantu dari segi wang, masyarakat Islam juga harus bekerjasama dengan pihak masjid.
Masjid Al-Ansar, misalnya, selalu menasihatkan jemaah supaya jangan meletak kenderaan di sembarangan tempat dan sebaiknya di tempat letak kereta. Ini demi keselamatan orang ramai.
Seperkara lagi, sebilangan jemaah dewasa sekarang membesar di masjid. Sejak kecil, mereka selalu dan biasa berada di masjid.
Ini seharusnya memberi kita pengajaran bahawa anak kecil yang berada di masjid tidak harus selalu ditegur atau dimarahi di masjid kerana dikhuatiri mereka akan serik pergi ke masjid dan akhirnya lepak di tempat lain.
Jika ini berlaku, siapa yang harus dipersalahkan?
Sepatutnya kanak-kanak terus digalak berjinak-jinak ke masjid. Bimbingilah dan nasihatkan mereka secara baik.
Bukan tujuan saya mengkritik jawatankuasa masjid, tetapi perkara ini wajar difikirkan kerana satu hari nanti kanak-kanak itu akan menjadi pelapis untuk kita semua.
Keterangan Ustaz Kamaruzaman Afandi daripada Muis dulu agak jelas, iaitu tiada dalil jelas bagi mengasingkan kanak-kanak daripada jemaah dewasa.
Biarlah mereka suka masjid kita dan gemar bersolat jemaah di masjid. Mudah-mudahan anak-anak muda kita akan lebih gemar ke masjid untuk bersolat jemaah ataupun mencari ilmu.
AHMAD JAN HAJI THAMBY

Monday, June 3, 2013

SEJARAH KELUARGA DIRAJA

TAMAN WARISAN MELAYU: Gedung Kuning, juga dipanggil Rumah Bendahara, ini dibina oleh keluarga diraja kerajaan Melayu Singapura dan kini sudah dibaik pulih dan dijadikan restoran makanan tradisional Melayu, Mamanda. - Foto fail
SUSUR-GALUR BANGSA: Kajian mengenai orang Melayu tidak lengkap tanpa mengambil kira teks historiografi Melayu yang penting seperti Sejarah Melayu ini yang sering diketepikan kerana dianggap tidak saintifik. - Foto fail
ABDULLAH ABDUL KADIR: Penulis autobiografi 'Hikayat Abdullah' ini juga dikenali sebagai Munsyi Abdullah. Buku hasil tangannya ini antara historiografi Melayu yang penting dalam membuat kajian mengenai orang Melayu. - Foto fail

Sejarah keluarga diraja

ISU Rumah Bendahara, atau Gedung Kuning, yang timbul baru-baru ini menarik perhatian umum. Antara lain, selaku masyarakat Melayu, kita bak didorong supaya memikirkan dan merenung kembali sejarah keluarga diraja yang membina bangunan itu dan kerajaan-kerajaan Melayu di Singapura dan rantau ini yang melatari dan mempengaruhinya. Terdapat banyak kajian mengenai sejarah kerajaan Melayu Singapura, atau Kerajaan Johor-Riau, oleh pengkaji tempatan seperti Kwa Chong Guan, Manogaran Suppiah, Timothy P. Barnard, Syed Muhd Khairuddin Aljunied dan Imran Tajudeen serta pengkaji luar seperti R.O. Winstedt, Leonard Andaya John Bastin, Haji Buyong Adil, A. Samad Ahmad, Khoo Kay Kim dan John Miksic.
Semua tulisan pengkaji itu memberi tafsiran yang pelbagai tentang warna-warni sejarah kerajaan Melayu Singapura ini. Namun, apa jua kajian mengenai orang Melayu tidak lengkap tanpa mengambil kira teks historiografi Melayu yang penting seperti Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Johor, Hikayat Pahang, Salasilah Melayu Bugis, Hukum Kanun Melaka dan beberapa syair yang dihasilkan pada abad ke-19. Sayangnya, teks historiografi Melayu sering diketepikan kerana dianggap tidak saintifik. Padahal, maklumat sejarah yang terdapat di dalamnya amat banyak dan penting dirujuk, apatah lagi jika maklumat ini juga disokong oleh tulisan sejarawan.
Penilaian sejarah perlu seimbang berdasarkan sumber dalaman bagi melihat perspektif masyarakat yang dikaji dan merujuk sumber luar masyarakat tersebut yang biasanya memberikan penilaian yang agak berbeza kerana perbezaan ideologi atau budaya. Malangnya, pendekatan pelbagai sumber ini masih kurang dilakukan semasa mengkaji sejarah rumpun Melayu kerana tidak ramai yang berminat dan mempunyai keahlian membaca dan mentafsir teks historiografi yang menggunakan bahasa klasik dan gaya penulisan yang tidak mudah difahami.
SEBELUM STAMFORD RAFFLES
Sebelum kedatangan Stamford Raffles pada 1819, negeri Singapura berada di bawah pemerintahan Kerajaan Johor-Pahang-Riau dan Lingga. Kerajaan ini terbentuk selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511 sehingga menyebabkan raja Melaka, Sultan Mahmud, melarikan diri ke Johor dan meneruskan pemerintahannya di Johor Lama (15111528). Keturunan Sultan Melaka yang terakhir memerintah ialah Sultan Mahmud Syah II - yang lebih dikenali sebagai Marhum Mangkat Dijulang - telah dibunuh pada 1699 dan dimakamkan di Kota Tinggi, Johor.
Sultan Mahmud Syah II tiada zuriat. Maka itu, kerajaannya diambil alih oleh Bendahara Pahang, Tun Abdul Jalil, yang bergelar Sultan Abdul Jalil IV dari 1699 hingga 1718. Wilayah takluk Kerajaan Johor ini amat luas merangkumi Pahang, Johor, Singapura, kepulauan Riau dan Lingga. Sultan Abdul Jalil bersemayam di tepi Sungai Johor di tempat bernama Panchur. Hanya dalam pemerintahan Sultan Mahmud Shah III (1761-1812), Raja Johor-Pahang-Riau-Lingga bersemayam di Pulau Lingga (Daik). Sultan dibantu oleh Yamtuan Muda, iaitu Daing Kemboja, yang bersemayam di Pulau Riau bersama-sama Raja Haji sebagai penolongnya.
WARISAN MELAKA
Kerajaan Melaka mempunyai struktur politik yang tersendiri yang dijelaskan oleh kitab Undang-Undang Melaka atau Hukum Kanun Melaka (HKM) seperti berikut: Raja merupakan "tunggak pemerintahan sesebuah negara yang menjadi ketua dari segi pentabiran tetapi 'memegang nyawa' setiap rakyat di bawahnya", menurut Abu Hassan Sham dan Mariyam Salim dalam buku Sastera Undang-Undang (DBP, 1995). Raja melantik para pembesar di bawahnya. Empat pembesar utama ialah Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari dan Syahbandar. HKM juga menetapkan:
"Adapun pada segala raja-raja itu, pertama-tama menjadikan bendahara, kedua menjadikan temenggung, ketiga menjadikan penghulu bendahari, keempat menjadikan syahbandar, maka terpeliharalah segala raja-raja itu dengan segala rakyatnya." 
Bendahara: Bendahara ialah tokoh kedua penting selepas raja. HKM menyatakan bahawa peranan Bendahara adalah: "Adapun hukum yang diserahkan kepada bendahara itu seperti hukum orang berjabatan dan segala tuan-tuan dan segala sida-sida dan segala anak orang besar-besar."
Sejarah Melayu menjelaskan lagi peranan Bendahara melalui tokoh Bendahara Paduka Raja dan Bendahara Seri Maharaja. Mereka bukan sahaja menjadi penasihat raja, mengetuai pentadbiran dan memangku jawatan raja jika raja tiada dalam negeri, malah kedua-dua Bendahara ini juga mengetuai tentera Melaka menyerang negeri-negeri luar atau mempertahankan Melaka daripada serangan musuh. Dalam daerah petempatan dan perintahnya, Bendahara berkuasa penuh. Ia boleh menjatuhkan hukuman bunuh tanpa memberitahu raja. Bendahara boleh juga dianggap raja jika raja masih kecil atau jika raja tiada dalam negeri.
Temenggung: Selepas Bendahara, Temenggung orang ketiga penting dan berkuasa. Temenggung boleh dianggap sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas keselamatan dalam negeri, termasuk menyiasat dan menangkap orang jahat. Semasa bertugas Temenggung diberi kuasa membunuh seseorang tanpa menunggu titah raja.
Penghulu Bendahari: Penghulu Bendahari menjaga hal kewangan dan harta benda negara di samping mengurus persiapan logistik majlis atau kegiatan di istana.

Syahbandar:
 Syahbandar bertugas menjaga segala hasil-mahsul dan cukai yang masuk melalui pelabuhan. Syahbandar juga menjaga segala pedagang yang ada di pelabuhan negeri. Beliau juga diberi kuasa untuk menghukum atau membunuh seseorang yang tidak menurut perintahnya terutama pedagang yang sedang membawa perahu atau kapal. Singapura masih dalam daerah takluk Kerajaan Melaka dalam abad ke-15 ini dan pembesar kerajaan yang ditugaskan memegang perintah di Singapura, menurut Sejarah Melayu, ialah Seri Bija Diraja, atau namanya Tun Kerutup, hujah sejarawan Buyong Adil.
Pembesar lain: Selain empat pembesar ini, terdapat juga jawatan lain seperti Laksamana. Kerajaan-kerajaan Melayu yang timbul kemudian seperti Perak, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan meneruskan struktur asas politik yang diamalkan dalam Kerajaan Melaka ini. Namun, kerajaan-kerajaan tersebut turut memperkenalkan berbagai-bagai jawatan baru sesuai dengan konteks atau keperluan politik setempat (local variations). Kerajaan Melayu Johor-PahangRiau-Lingga masih bersandarkan sistem politik yang dilaksanakan di Melaka, tetapi membuat perubahan dari segi struktur dengan memperkenalkan status/jawatan dan gelaran baru untuk pemimpin politik dalam daerah takluk kerajaannya.
Sistem empat pembesar yang memegang kuasa di empat daerah takluk masing-masing telah diperkenalkan:
1. Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan Besar atau Raja yang bersemayam di Lingga.
2. Yang Dipertuan Muda atau Yamtuan Muda atau Raja Muda yang bersemayam di Riau.
3. Bendahara yang memegang Pahang.
4. Temenggung yang memegang Singapura dan Johor.
PENGARUH BUGIS
Status Yamtuan Muda atau Raja Muda diadakan khas untuk raja-raja Bugis lima saudara (Upu Daeng Perani, Upu Daeng Menambun, Upu Daeng Merewah, Upu Daeng Celak dan Upu Daeng Kemasi) dan keturunannya yang membantu Sultan mengalahkan Raja Siak yang telah merampas takhta kerajaan. Jawatan ini adalah sebagai suatu penghargaan dan tanda "sumpah setia" Raja Melayu terhadap jasa bakti pemimpin Bugis ini yang telah membantu Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah dan keluarganya.
Upu Daing Merewah atau bergelar Kelana Jaya Putera adalah Raja Muda Bugis atau Yamtuan Muda Riau yang pertama. Ini bererti telah berlaku perkongsian kuasa antara raja Melayu dengan raja Bugis dalam Kerajaan Johor-Riau. Hubungan politik ini dikukuhkan lagi dengan jalinan hubungan kekeluargaan apabila berlaku beberapa ikatan perkahwinan antara golongan diraja Melayu dengan raja-raja Bugis itu.
Kedudukan mulia raja dan tiga pembesar Melayu-Bugis ini dijelaskan dalam kitab Tawarikh al-Wusta yang disalin dan disusun oleh Raja Khalid ibni Raja Hassan al-Haji, cucu Raja Ali Haji, menurut sejarawan A. Samad Ahmad. Kerajaan Melayu Johor-Riau ini mula tergugat pada awal abad ke-19 akibat perpecahan dalaman serta tewas dalam genggaman British dan Belanda - dua kuasa Eropah yang bersaing untuk mencapai matlamat ekonomi dan muslihat politik penjajahan masing-masing di Alam Melayu.
Nota: Penulis Profesor Madya dan Timbalan Ketua, Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Kebangsaan, Universiti Teknologi Nanyang.

Tuesday, May 28, 2013

Hiperbola Metafora

Hiperbola, personifikasi dan metafora dalam penulisan 


oleh T. Ahmad Mohamed
TERDAPAT pelbagai kaedah bahasa yang digunakan penulis untuk melahirkan keindahan dalam penulisan. Antaranya ialah teknik penggunaan:
a. Hiperbola: Kaedah bahasa yang dilambangi kekata yang membawa pernyataan yang berlebih-lebihan untuk menimbulkan kesan penegasan pandangan, perasaan dan pemikiran.
b. Personifikasi (pengorangan): Kaedah bahasa yang memberi sifat manusia kepada sesuatu yang bukan manusia (objek, haiwan, konsep dan sebagainya).
c. Metafora: Kaedah bahasa yang menghubungkan sesuatu objek dengan objek lain atau konsep
Membaca cerpen Semut Hitam Israk Mikraj yang diterbitkan di Berita Minggu pada 12 Mei 2013, saya terpanggil untuk menyentuh tentang kebijaksanaan dan kecerakinan para penulis dalam memanfaatkan unsur-unsur ini dalam karya penulisan mereka.
Tentunya apa pun kaedah bahasa jika dimanfaatkan sebijaknya, pasti meninggalkan kesan keindahan bahasa dalam penulisan.
Lihat sahaja bagaimana Usman Awang memanfaatkan unsur-unsur personifikasi (pengorangan) dan hiperbola dalam puisinya, Kekasih, yang malar segar sehingga ke hari ini.
Kekasih
Akan kupintal buih-buih
menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan ranjang tidurmu
Akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang menudungi rambutmu
Akan kujahit bayu gunung
menjadi baju pakaian malammu
Akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang menyinari dadamu
Akan kujuluk bulan gerhana
menjadi lampu menyuluhi rindu
Akan kurebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu
Kekasih,
hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.
Namun demikian, penulisan apa pun genrenya, bukan sahaja tentang kaedah bahasa. Ia juga adalah suatu kecerakinan (eksperimen dan analisis) yang melibatkan kesesuaian antara pemilihan idea dan isi, juga antara bentuk dan bahasa.
Penulis sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengguna pakai kaedah bahasa yang secara tidak langsung tanpa disedarinya boleh menyentuh sensiviti agama. Sekadar contoh, ditukil secara rambang baris-baris daripada beberapa buah puisi:
1. Aku mendengar suara-Mu Tuhan
2. Berjalan beriringan dengan-Mu
3. Kupakai sarung-Mu dalam sujudku
4. Kau hadir dalam doaku
Baris-baris di atas adalah antara inisiatif ketukangan seseorang penyair lewat menghasilkan sesebuah karya puisinya.
Namun ketidaktelitiannya dalam pemilihan helah bahasa, secara tidak langsung telah mempersonifikasikan Tuhan (Ilahi) daripada segi zat-Nya dan sifat-Nya, meskipun saya pasti tidak dimaksudkan begitu.
Keindahan bahasa serta baris-baris puisi yang ditukangi itu akan lebih lembut, berlapis dan berhikmah andainya diteliti dan dicerakin semula seperti contoh di bawah demi mencari reda Ilahi.
1. Aku mendengar kalam-Mu Tuhan.
2. Berjalan beriringan rahmat-Mu.
3. Di hamparan sejadah kusujud mencari reda-mu
4. Moga doaku Kau makbulkan.
Begitu juga dalam cerpen Semut Hitam Israk Mikraj saya tukil:
"Mak nak ceritakan pada Ayu, semut ni ikut mak naik bas dan kereta api ke hospital dan dapat balik dengan selamat. Tentu semut ini akan beritahu kawan-kawannya, dia Israk Mikraj.''
Mungkin penulis sekadar bertujuan menyisipkan kisah Israk Mikraj dengan memetaforakannya dengan kisah perjalanan sang semut yang 'terangkut' dari rumah ke hospital.
Namun, bukankah Israk Mikraj itu sesuatu yang eksklusif kepada junjungan kita Rasulullah sehingga tidak dianugerahkan kepada nabi-nabi lain apatah lagi insan atau makhluk lain.
Akhir kalam, berkarya dengan bijaksana disulami dengan kecerakinan dalam proses pengkaryaan adalah sifat kesederhanaan yang dianjurkan oleh Rasulullah dalam hadisnya: "Sebaik-baik perkara ialah yang paling sederhana.''

Monday, April 15, 2013

MELESTARI BUDAYA MELAYU


Cabaran melestari budaya Melayu

KEBUDAYAAN Melayu memang indah kerana adanya unsur Islam yang dapat menjadi jambatan antara budaya sebelumnya dan budaya masa kini.
Namun, kebudayaan Melayu dan Islam juga berdepan dengan pelbagai bentuk tentangan dan halangan silih berganti sejak dari zaman awal Islam lagi.
Antara cabaran yang dihadapi ialah gerakan liberalisme serta pluralisme agama dan gelombang globalisasi.
Kededua unsur ini berupaya memberi kesan negatif terhadap kehidupan beragama dan kebudayaan bangsa pada jangka masa panjang.
Liberalisme adalah fahaman bahawa semua agama itu baik dan menuju kepada Tuhan. Ertinya, Islam tiada bezanya dengan agama lain. Fahaman begini berasal dari Barat dan popular dalam kalangan sarjana, terutama di Indonesia.
Al-Quran sering dikritik seperti buku sastera dan sunah atau hadis pula dipertikai kesahihan atau ketulenannya.
Cabaran kedua adalah globalisasi atau penyejagatan. Ia satu proses dan fenomena berbilang dimensi merangkumi ekonomi, politik, kemasyarakatan, budaya dan ideologi.
Fahaman songsang 'jihad' oleh Al-Qaeda adalah akibat globalisasi dan disebar secara berkesan menerusi Internet.
Dunia kian tanpa sempadan, hujah wartawan terkemuka, Thomas L Freidman dalam The Lexus and the Olive Tree (2000), yang menyifatkan globalisasi sebagai sistem antarabangsa yang membentuk politik tempatan dan hubungan antarabangsa setiap negara.
Globalisasi tidak mengenali pusaka bangsa tersebut. Gelombang itu juga tidak peduli adat sopan, tradisi bangsa, agama dan lain-lain.
Salah satu definisi Melayu itu sendiri ialah bangsa beragama Islam, berbahasa Melayu dan berbudaya Melayu.
Di Singapura, jika kita ingin memelihara budaya kita agar indah, maka langkah berikut perlu dilakukan:
  • Mencari ilmu dan mengamalkan budaya Melayu
Selain pendidikan di sekolah dan madrasah (termasuk hujung minggu di masjid), orang Melayu perlu sering mengikuti bahan baca berbahasa Melayu, seperti akhbar Berita Harian.
  • Melestari dan mengembangkan kebudayaan Melayu.
Dengan adanya perancangan pemerintah dan penggalakannya, budaya Melayu boleh terus mekar. Mentelah terdapat usaha badan besar seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura sehingga kegiatan teater seperti Ekamatra.
Tugas kita di sini adalah menyuburkan azam atau semangat, kesedaran dan kerjasama yang utuh diperlukan untuk terus berkembang sambil mempertahankan semua unsur jati diri bangsa Melayu ini;
  • Pupuk generasi muda
Mengapa orang Melayu yang bermastautin di Australia Barat atau di Cape Town, Afrika Selatan, didapati kian menipis pengenalan bangsa dan diri mereka sendiri?
Jelas ini berlaku kerana kebudayaan Melayu diabaikan dari segi penuturan, penulisan sehingga kegiatan harian.
Bahkan di Singapura, kajian menunjukkan anak yang kurang berbahasa Melayu di rumah sering mendapati sukar menguasai bahasa Melayu untuk peperiksaan.
Tak kenal, maka tak cinta.

FALSAFAH INDAH DALAM BUDAYA MELAYU


Falsafah 'indah' dalam budaya Melayu

Makalah ini membincangkan falsafah 'indah' dalam kebudayaan Melayu. Keindahan itu berasaskan falsafah Islam dari segi akidah, rasional Islam, toleransi Islam dan kesejagatan. Ia dibentangkan dalam Seminar Belia Raffles Institution di institut itu baru-baru ini.
UMUMNYA apabila dikatakan sesebuah kebudayaan itu 'indah' tentulah ada kayu ukur untuk menilainya.
Kebudayaan adalah suatu istilah yang dicipta pada akhir 1950-an oleh pengkaji Mahmud Ahmad (1907- 1976) dalam siri ceramahnya, Kebudayaan Melayu Sepintas Lalu, di Radio Malaya dan kemudian dibukukan.
Sebelum ini, istilah yang digunakan adalah kultur (Latin: cultural atau penanaman) dan adat (bahasa Arab).
'Budaya' dibentuk oleh Cikgu Mahmud daripada gabungan dua kekata: budi dan daya.
Budi merujuk kepada nilai terpuji seperti bijaksana, jujur, gigih, teliti, indah dan sebagainya.
Daya pula usaha mencapai budi. Di sini dimaksudkan budi sebagai 'hasrat' atau 'nilai', tetapi hanya apabila dijaya atau diusahakan, maka barulah terhasil kesannya.
Memandangkan 'budi' merupakan nilai baik, maka kebudayaan hendaklah mencerminkan yang terbaik dan berguna kepada manusia atau insan Melayu, hujah budayawan besar Singapura, Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (Dr MAS), lewat bukunya, Nilam (2007).
Kebudayaan bagi orang Melayu mencerminkan matlamat dan usaha luhur yang perlu menjadi cerminan peribadi atau jati dirinya.
Hari ini, kebanyakan rumpun Melayu atau orang Melayu beragama Islam. Maka sarjana seperti Syed Muhammad Naquib Alatas, John Bousfield, Vladimir Braginsky, Ismail Hussein, A.H. John, Mohd Taib Othman, Siddiq Fadzil, Mohd Uthman El-Muhammady, Abdul Aziz Deraman, Hamdan Hassan dan Ismail Hamid membahas peradaban atau kebudayaan Melayu ini.
Bahkan mereka mengiktiraf bahawa Islam adalah unsur penting yang membentuk pola budaya masyarakat Melayu.
Berdasarkan sejarah rantau ini, agama Hindu dan Buddha mendahului Islam dari segi pertapakan di daerah ini. Hampir 800 tahun Hindu-Buddha mempengaruhi minda dan amalan orang Melayu.
Hari ini masih ada puak Melayu yang menganut agama Hindu, seperti di Bali, yang baru-baru ini mengadakan sidang antarabangsa mengenai agama ini. Masih ada orang Melayu menganut Buddha dan Kristian sehinggalah amalan nenek moyang, seperti di Jawa.
Apabila Islam datang mulai akhir abad ketujuh Masihi kerana rantau ini sering disinggahi pedagang Arab, terutama dari Hadramaut (Yaman), berlakulah transformasi besar-besaran yang melibatkan perubahan falsafah hidup, pemikiran dan jiwa orang Melayu di Alam Melayu.
Kebudayaan adalah cara hidup. Namun Islam juga cara hidup. Dalam hal ini, kebudayaan Melayu diletak di bawah Islam, sebagaimana dalam perbilangan Adat Perpatih (dari Minangkabau, Sumatera Utara):
Adat bersendikan syarak
Syarak bersendikan Kitabullah.
Yang menjadi pokok budaya itu adalah akidah atau menjunjung Keesaan Tuhan dan membenarkan kerasulan Muhammad saw.
Ajaran pokok ini menjadi teras budaya dan seni Islam. Ketiadaan teras ini, hujah Dr MAS, menjadikan aspek lain tidak bermakna.
Walaupun keindahan dan kecantikan diterima sebagai suatu kesukaan semula jadi manusia, 'kebenaran' adalah dasar. Kebudayaan Islam merangkumi juga nilai indah (al-Jamaal) dengan kebenaran (al- Haqq).
Para seniman, termasuk artis (dalam pengertian yang luas), adalah orang yang semestinya mendukung falsafah di atas. Seni yang diperjuangkan pula kerana Allah untuk manusia bukan seni untuk seni.
'Indah' merupakan antara zat Allah. Jadi, budaya yang indah bukan saja dari segi cara atau teknik, malah indah dalam kebenaran hakiki.
Pada Islam, orang Melayu mendapati tiada banyak percanggahan, seperti dalam pantun nan indah ini:
Yang kurik kundi,
yang merah saga;
yang molek budi,
yang indah bahasa.
Kebudayaan Melayu mengandungi falsafah dan usaha. Falsafahnya, antara lain, terpapar pada peribahasa yang cukup besar perbendaharaannya.
Menurut Dr MAS, peribahasa ibarat 'hadis' yang menjadi pegangan rumpun Melayu. Ada peribahasa yang mudah, seperti kiasan (kaki ayam) sehingga perbilangan adat. Usaha pula dilembagakan menjadi bidang khas seperti:
  • persuratan (kesusasteraan);
  • binaan (seni bina);
  • perusahaan (pembinaan perahu, membuat kain seperti songket dan batik, persenjataan seperti keris dan sebagainya);
  • perhubungan (adat perkahwinan dan berkeluarga, bermasyarakat);
  • Keilmuan seperti ilmu pemaliman (navigation) sehingga falak.
''Budaya' dibentuk oleh Cikgu Mahmud daripada gabungan dua kekata: budi dan daya.
Budi merujuk kepada nilai terpuji seperti bijaksana, jujur, gigih, teliti, indah dan sebagainya.
Daya pula usaha mencapai budi. Di sini dimaksudkan budi sebagai 'hasrat' atau 'nilai', tetapi hanya apabila dijaya atau diusahakan, maka barulah terhasil kesannya.
Memandangkan 'budi' merupakan nilai baik, maka kebudayaan hendaklah mencerminkan yang terbaik dan berguna kepada manusia atau insan Melayu, hujah budayawan besar Singapura, Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (Dr MAS), lewat bukunya, Nilam (2007).
Kebudayaan bagi orang Melayu mencerminkan matlamat dan usaha luhur yang perlu menjadi cerminan peribadi atau jati dirinya.

FALSAFAH ISLAM DALAM KEBUDAYAAN MELAYU


Falsafah Islam dalam kebudayaan Melayu

PROFESOR Syed Muhammad Naquib sering menekankan tentang jasa besar Islam menggerakkan daya rasional dan intelek manusia Melayu.
Hal ini ditegaskan beliau pada seminar sempena Pameran Aksara anjuran Lembaga Perpustakaan Negara pada 2007. Menurut beliau, bahawa Islam telah menyerlahkan 'zaman baru' di rantau ini - bermakna Islam telah memberikan wajah dan inspirasi baru pada kehidupan dan kebudayaan Melayu.
Abad ke-16 dan ke-17 Masihi, menurut beliau, adalah tempoh subur dalam penulisan sastera dan falsafah, metafizik dan teologi, lahir tokoh-tokoh ternama menulis atau menyalin bahan dari Timur Tengah dalam bidang-bidang di atas.
Malah, kitab suci Al-Qur'an telah diterjemahkan dan disyarah berdasarkan pendekatan Imam al-Baydawi. Alam Melayu dilanda pengaruh persuratan yang meluas.
Dari segi penulisan, Alam Melayu telah menyaksikan lahirnya karya-karya besar. Di Champa (pesisir Kemboja sehingga Vietnam), misalnya, didapati sebanyak 1,350 buku mengenai pemikiran dan penulisan falsafah agama yang dihasilkan sejak abad kelima, termasuk yang ditulis oleh Jaya Inderawarman VI.
Di Seriwijaya ada tokoh pemikir dan guru Dharmapala dan Syakyakirti. Di Jawa, terdapat penulis terkenal seperti Empu Kanwa, Empu Dharmaja, Empu Tantalur dan Empu Parapanca yang telah menghasilkan buku Nagarakartagama.
Di Sunda, ditemui Hikayat Perahyangan. Di Sulawesi terdapat hikayat I La Galigo yang merupakan karya besar rumpun Melayu - lebih panjang berbanding gabungan cerita Ramayana dan Mahabaratha asal India.
Di Tanah Melayu pula, Bendahara Johor Tun Sri Lanang menghasilkan Sulalatus Salatin, yang lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu.
Hikayat Hang Tuah yang tidak diketahui penulisnya menetapkan erti 'wira' dalam konteks peradaban Melayu beraja.
Daya cipta rumpun Melayu tinggi maka terhasil hikayat-hikayat saduran dan yang membawa mesej Islam melalui penceritaan tokoh atau peristiwa, seperti Hikayat- Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Mi'raj, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Iskandar Dzulkarnain, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Hanafiah, Hikayat Nabi Sulaiman dan Hikayat Amir Ibn Umayah - semua memang berasal dari Islam dan Timur Tengah tetapi diadunkan dalam konteks Melayu.
Terdapat juga karya bersifat Nusantara, seperti Hikayat Raja Pasai, Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Melayu, Hikayat Panji Kuda Semirang, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Shah Kobat, Hikayat Hang Tuah dan lain- lain lagi.
Kedatangan Islam telah ditandai oleh kehadiran kerajaan Islam, seperti Pasai (1250-1524), Melaka (1400-1511), Johor (1511-1779), Aceh (1500-1900), Palembang (1650-1824), Riau (1779-1911) dan lain-lain.
Bakti ulama dan penulis agama dalam perbincangan tentang tamadun Melayu ini terpapar pada warisan persuratan Syed Hussain Jamaluddin al-Qubra, Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumaterani, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Sinkel, Syeikh Yusuf al-Makasari, Syeikh Daud al-Fatani, Haji Wan Ahmad bin Muhamad Zain bin Mustafa al-Patani, Abdul Samad al-Palembani, Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi, Syeikh Muhamad Arsyad al-Banjari, Syed Abdul Kadir Kedah, Syeikh Abdul Malik Tuk Pulau Manis, Terengganu, Haji Abdul Samad bin Muhamad Salleh al- Kelantani (Tuan Tabal), Muhamad Yusuf bin Ahmad al-Kenali (Tuk Kenali), Syeikh Muhamad Idris Abdul Rauf al-Marbawi dan lain-lain lagi.
Di Jawa, Wali Songo, iaitu dewan ulama-pemimpin tasauf, menghasilkan suasana toleransi beragama sehingga Islam tidak mencetuskan perang berlanjutan dengan kerajaan Hindu-Buddha.
Seorang anggota Wali Songo, Sunan Kalijaga, misalnya merubah wayang kulit menjadi alat berdakwah dengan menampilkan para tokoh dalam sejarah Islam.
Seorang lagi anggota Wali Songo, ialah Sunan Bonang, menggubah lagu Tombo Ati (Penawar Ati), sebuah nyanyian syahdu walaupun tidak sepanjang dibaie yang kini dipopularkan semula oleh penyanyi Opick:
Tombo Ati iku limo perkorone
Kaping pisan moco Quran lan maknane
Kaping pindo sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe
Salah sawijine sopo iso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani
Oleh kerana falsafah Islam serasi dengan kehidupan dan jiwa orang Melayu, nilai- nilai Islam terus diserap dalam kehidupan orang Melayu, seperti dalam cara berpakaian dan meraikan tetamu. Misalnya baju kurung, yang bererti dikurung dari segi syarak: tutup aurat, labuh, tidak tipis.
Penerimaan dan penyerapan itu juga amat jelas dalam bidang senibina, seni khat, seni ukir, dan seni teater yang mempunyai falsafah Islam:
  • Seni bina
Masjid, surau dan rumah orang Melayu tradisional, iaitu di kampung, cukup jelas mempamerkan senibina Islam yang dipadankan dengan Alam Melayu. Reka bentuk bumbung biasanya direka dalam bentuk limas, atau limasan, iaitu cerminnya bertingkap tiga atau lima, lebar di bahagian bawah dan menirus ke atas.
Masjid Agong Demak di Jawa dan juga Masjid Kampung Laut Kelantan antara contoh terbaik seni bina ini.
Bumbung limas itu melambangkan tahap atau tingkat perjalanan kaum sufi, iaitu tariqat, haqiqat dan makrifat. Bahagian bawah yang lebar menggambarkan lautan manusia, manakala bahagian atas yang tirus pula mempamerkan tentang matlamat akhir yang dituju dan dituntut oleh umat Islam, iaitu keredaan Tuhan Yang Maha Esa.
Bahan binaan adalah daripada kayu waktu itu, seperti kayu berlian atau besi, jati sehinggalah cengal, tetapi kini diganti dengan simen dan batu-bata. Namun, unsur-unsur kesenian Islam masih ketara.
Bentuk kubah masjid pula umumnya ditafsir sebagai lambang langit yang melengkungi kehidupan kita, sementara lampu- lampu yang dipasang adalah bintang- bintang di langit dan lantai pula bumi ini sendiri.
  • Seni khat (kaligrafi)
Orang Melayu antara pewaris seni khat yang indah setelah berlaku penerimaan tulisan Arab atau Al-Quran. Tulisan jawi (dengan tambahan lima aksara) berpunca di sini.
Melalui pengembangan agama dan persuratan, seni khat turut sama berkembang sejajar dengan seni bina, seni ukir, sulaman dan tenunan.
  • Seni ukir
Seni ukir Islam bertebaran pada rumah orang Melayu di seluruh Nusantara. Kalimah seperti Allah, Muhammad dan Bismillah sering menjadi bahan ukiran pada kayu yang diletakkan di pelbagai tempat dalam rumah, masjid dan lain-lain institusi yang ada hubungan dengan agama dan adat budaya setempat.
Konsep ukiran teratai, umpamanya, banyak ditemui dalam ukiran-ukiran pada mimbar masjid. Ukiran ini membuktikan penghayatan Islam orang-orang Melayu sudah dibudayakan dalam seni ukir.
Kelopak teratai berkembang memancarkan rukun Islam atau rukun iman yang tercantum harmoni dalam satu ikatan tauhid.
Orang Melayu turut merealisasikan citra keislamannya dalam ukiran-ukiran
  • Seni teater
Wayang kulit mempunyai peranan penting dalam penyebaran Islam, seperti yang dirintis Wali Songo di Jawa. Sebelum Islam, seni ini dikuasai pengaruh Hindu yang sebelum itu menyerap pengaruh animisme.
Wayang kulit memancarkan isi penting daripada ajaran Islam bagi orang-orang yang dapat memahaminya. Misalnya, Lakon Jimat Kalimasada - kekata 'jimat' adalah bahasa Jawa yang bermakna 'azimat'. Adapun kalimasada pula bermaksud kalimah syahadah.
Seni ini mengisahkan kekeramatan kalimah syahadat, azimat yang dimiliki keluarga baik-baik, seperti Pandawa.
Pandawa Lima ditafsirkan sebagai rukun Islam yang lima. Ada juga ditafsirkan sebagai sembahyang lima waktu.

Sunday, April 7, 2013

ADI PUTRA, PINTAR MATEMATIK




PANTAS TEPAT: Penulis menguji kebolehan Adi (kanan) mendarab 280,987 (tarikh lahir penulis) dengan 999,999, dan Adi berjaya memberi jawapan tepat dalam beberapa saat sahaja tanpa menggunakan kalkulator sambil disaksikan ibunya, Cik Seri Hana Elias.
- Foto M.O. SALLEH

Pintar matematik walau sekolah hanya setahun

Kepintaran Adi Putra secara semula jadi kerana ibu bapa bukan ahli matematik
BUDAK genius, atau pintar luar biasa, matematik Adi Putra Abdul Ghani, 14 tahun, dari Perak nyata tidak seperti remaja lain.
Pada usia sembilan tahun dia menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat barangan makanan kesihatan yang dipasarkan di bawah namanya sendiri.
Pada usia 10 tahun, Adi diundang memberi ceramah di universiti.
Pada usia 12 tahun, dia menerbitkan bukunya sendiri - Seni Matematik Islam - yang memaparkan hanya 12 daripada lebih 200 formula matematik ciptaannya.
Baru-baru ini Adi berada di Singapura atas undangan Jamiyah untuk mengendalikan satu bengkel matematik bagi pelajar dan ibu bapa bersama Ketua Jabatan Matematik, Sekolah Rendah Meridian, Cik Aisah Mohd Osman.
Bengkel Ahad lalu di auditorium Masjid Sultan itu disertai lebih 500 orang.
Dalam bengkel itu Adi mengajar pelbagai kaedah mudah menghuraikan soalan matematik menerusi formula berilhamkan alam semula jadi, seperti formula yang diberi nama 'bukit', 'pelangi' dan 'cakerawala'.
Bagi Adi, itulah seni 'matematik Islam' yang ingin diceburinya.
Bahkan sejak berusia empat tahun anak bongsu dalam tiga adik-beradik itu bercita-cita menjadi profesor matematik Islam.
"Bagi saya, seseorang itu bukan pakar sebenar sebelum beliau menjadi hafiz Al-Quran," ujar Adi, yang sudah selesai mengikuti kursus tahfiz, dalam satu temu ramah dengan Berita Harian.
Semasa ditemu ramah, penulis menguji kebolehannya mendarab 280,987 (tarikh lahir penulis) dengan 999,999.
Adi berjaya memberi jawapan tepat dalam masa beberapa saat sahaja tanpa menggunakan kalkulator.
Kebolehan Adi dalam matematik dikesan ibu bapanya apabila dia dapat menguasai sifir satu hingga 12 pada usia empat tahun.
Bapanya teknisyen pesara manakala ibunya seorang pengurus yang pernah menjadi guru.
Ibunya, Cik Seri Hana Elias, 38 tahun, berkata tiada pendidikan khas yang diberi kepada Adi untuk menjadikannya sangat pintar.
Bahkan, Adi tidak menjalani pendidikan formal kecuali selama setahun sewaktu berusia tujuh tahun kerana sistem pembelajaran di sekolah itu didapati tidak sepadan dengan kebolehan Adi, kata Cik Seri.
Memandangkan hingga kini beliau belum menemui sistem pendidikan paling sesuai bagi potensi Adi, anaknya itu sekarang tidak dimasukkan di mana-mana sekolah.
Buat masa ini, dia belajar di rumah secara sendirian dan memberi ceramah atau mengendali bengkel pada hujung minggu.
"Ada menyarankan kami bawanya ke luar negara, tetapi sebenarnya Adi belum bersedia," ujar Cik Seri, yang mengaku beliau dan suaminya bukan ahli matematik.
Namun, Adi sendiri bercita-cita melanjutkan pengajian.
"Saya ingin mendapatkan ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah agar orang lain dapat mengambil serius formula matematik yang saya cipta," ujar Adi.
Ditanya apa yang menghalangnya melanjutkan pengajiannya, Adi berkata keluarganya menghadapi cabaran dari segi kos kerana tiada sokongan atau tajaan daripada sebarang pihak.
Keluarganya tinggal di Gombak, Kuala Lumpur, sejak enam tahun lalu tetapi baru sahaja berpindah ke Tanjung Malim di Perak.
Abangnya, Amirul Izuan, 18 tahun, baru lulus Sijil Pelajaran Malaysia (sama seperti Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O'), dan akan melanjutkan pengajian dalam jurusan sains sukan di universiti.
Kakaknya, Seri Amelia, 16 tahun, di form empat (sama seperti menengah empat).
Cik Seri mengaku adik-beradik Adi agak cemburu dengan perhatian yang diberi kepadanya, tetapi mereka kini sudah biasa dan belajar daripada satu sama lain.
"Saya memastikan setiap anak saya berasa mereka istimewa. Jika Adi berkebolehan, dia masih perlu hormat abangnya yang paling tua dan kakaknya yang merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga kami," ujar beliau.
Cik Seri juga berkata beliau membesarkan Adi sama seperti ibu-ibu lain, tanpa sebarang cara khas.
Kepintaran Adi semula jadi kerana beliau dan suaminya tidak memberinya pendidikan khas dalam matematik untuk menjadikannya pintar dalam mata pelajaran itu, ujarnya.
Dan seperti ibu bapa lain, Cik Seri prihatin memandangkan Adi kini telah memasuki alam remaja.
Namun, beliau berkata: "Saya pasti Adi sudah kenal baik dan buruk."
Oleh itu, Cik Seri berkata beliau tidak menyekat kebebasan Adi.
Adi pula, seperti remaja lain, gemar main permainan XBox, makan ayam goreng KFC, minat pasukan bola sepak Liverpool dan aktif di Twitter meskipun tidak seaktif di Facebook.
"Walaupun orang pandang saya lain daripada lain, sebenarnya saya seperti kanak-kanak lain dan mahu hidup seperti biasa," ujarnya.
Namun, dia sedikit terkilan kerana 'terlepas' peluang menikmati zaman kanak-kanaknya.
"Kadangkala, saya rasa teringin dilahirkan seperti kanak-kanak biasa dan lakukan perkara biasa. Tetapi saya sedar, apa yang saya lakukan sekarang - bekerja membantu keluarga, belajar dan mengajar - inilah norma bagi saya.
"Saya tidak rasa kesal dilahirkan sebegini, sebaliknya saya rasa bersyukur saya dapat bantu orang dan bantu keluarga," ujarnya.
Kini, membantu kanak-kanak lain dalam matematik menjadi misi Adi.
Nasihatnya, sifir ialah asas dalam matematik dan perlu dimahir pada usia seawal mungkin.
"Selain itu, pelajar tidak harus berputus asa jika gagal menghuraikan soalan matematik kerana kegagalan itu sebahagian daripada kejayaan," ujar Adi.

KISAH KANAK-KANAK PINTAR LAIN
  • Ainan Celeste Cawley orang paling muda lulus subjek Kimia dalam peperiksaan GCE peringkat 'O' pada usia tujuh tahun dan Fizik pada umur sembilan tahun. Ainan kini 13 tahun dan pelajar program Ijazah Peralihan di Universiti Taylor di Kuala Lumpur. Bapanya, Encik Valentine Cawley, warga Ireland, sementara ibunya, Cik Syahidah Osman, warga Singapura.
  • Murid Sekolah Rendah Henry Park, Anthony Yip, lulus A* bagi dua kertas Matematik GCE 'O' tahun lalu pada usia sembilan tahun. Bapanya, Dr Kevin Yip, doktor bedah ortopedik, dan ibunya, Dr Joanna Lin, pakar onkologi (barah). Abang dan kakaknya, Bryan dan Michelle, berusia 14 dan 12 tahun semasa mereka menduduki peperiksaan GCE 'O' pada 2007, dan lulus dengan 15 kepujian.
  • Sufiah Yusof diterima masuk Universiti Oxford dalam bidang matematik pada usia 13 tahun. Beliau mendapat perhatian apabila beliau lari dari rumah, dan kemudian dilaporkan menjadi pelacur. Adiknya, Iskander, tamat pengajian di Universiti Warwick pada usia 15 tahun. Seorang lagi, Zukeila, orang paling muda menduduki peperiksaan GCE 'A' pada usia tujuh tahun. Mereka dididik di rumah oleh ibu bapa mereka, Encik Farooq, seorang penyelidik asal Pakistan, dan ibunya, Cik Halimahton, seorang ahli sains kimia asal Malaysia.