PANTAS TEPAT: Penulis menguji kebolehan Adi (kanan) mendarab 280,987 (tarikh lahir penulis) dengan 999,999, dan Adi berjaya memberi jawapan tepat dalam beberapa saat sahaja tanpa menggunakan kalkulator sambil disaksikan ibunya, Cik Seri Hana Elias.
- Foto M.O. SALLEH
5 Apr 2013
Pintar matematik walau sekolah hanya setahun
Kepintaran Adi Putra secara semula jadi kerana ibu bapa bukan ahli matematik
BUDAK genius, atau pintar luar biasa, matematik Adi Putra Abdul Ghani, 14 tahun, dari Perak nyata tidak seperti remaja lain.
Pada usia sembilan tahun dia menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat barangan makanan kesihatan yang dipasarkan di bawah namanya sendiri.
Pada usia 10 tahun, Adi diundang memberi ceramah di universiti.
Pada usia 12 tahun, dia menerbitkan bukunya sendiri - Seni Matematik Islam - yang memaparkan hanya 12 daripada lebih 200 formula matematik ciptaannya.
Baru-baru ini Adi berada di Singapura atas undangan Jamiyah untuk mengendalikan satu bengkel matematik bagi pelajar dan ibu bapa bersama Ketua Jabatan Matematik, Sekolah Rendah Meridian, Cik Aisah Mohd Osman.
Bengkel Ahad lalu di auditorium Masjid Sultan itu disertai lebih 500 orang.
Dalam bengkel itu Adi mengajar pelbagai kaedah mudah menghuraikan soalan matematik menerusi formula berilhamkan alam semula jadi, seperti formula yang diberi nama 'bukit', 'pelangi' dan 'cakerawala'.
Bagi Adi, itulah seni 'matematik Islam' yang ingin diceburinya.
Bahkan sejak berusia empat tahun anak bongsu dalam tiga adik-beradik itu bercita-cita menjadi profesor matematik Islam.
"Bagi saya, seseorang itu bukan pakar sebenar sebelum beliau menjadi hafiz Al-Quran," ujar Adi, yang sudah selesai mengikuti kursus tahfiz, dalam satu temu ramah dengan Berita Harian.
Semasa ditemu ramah, penulis menguji kebolehannya mendarab 280,987 (tarikh lahir penulis) dengan 999,999.
Adi berjaya memberi jawapan tepat dalam masa beberapa saat sahaja tanpa menggunakan kalkulator.
Kebolehan Adi dalam matematik dikesan ibu bapanya apabila dia dapat menguasai sifir satu hingga 12 pada usia empat tahun.
Bapanya teknisyen pesara manakala ibunya seorang pengurus yang pernah menjadi guru.
Ibunya, Cik Seri Hana Elias, 38 tahun, berkata tiada pendidikan khas yang diberi kepada Adi untuk menjadikannya sangat pintar.
Bahkan, Adi tidak menjalani pendidikan formal kecuali selama setahun sewaktu berusia tujuh tahun kerana sistem pembelajaran di sekolah itu didapati tidak sepadan dengan kebolehan Adi, kata Cik Seri.
Memandangkan hingga kini beliau belum menemui sistem pendidikan paling sesuai bagi potensi Adi, anaknya itu sekarang tidak dimasukkan di mana-mana sekolah.
Buat masa ini, dia belajar di rumah secara sendirian dan memberi ceramah atau mengendali bengkel pada hujung minggu.
"Ada menyarankan kami bawanya ke luar negara, tetapi sebenarnya Adi belum bersedia," ujar Cik Seri, yang mengaku beliau dan suaminya bukan ahli matematik.
Namun, Adi sendiri bercita-cita melanjutkan pengajian.
"Saya ingin mendapatkan ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah agar orang lain dapat mengambil serius formula matematik yang saya cipta," ujar Adi.
Ditanya apa yang menghalangnya melanjutkan pengajiannya, Adi berkata keluarganya menghadapi cabaran dari segi kos kerana tiada sokongan atau tajaan daripada sebarang pihak.
Keluarganya tinggal di Gombak, Kuala Lumpur, sejak enam tahun lalu tetapi baru sahaja berpindah ke Tanjung Malim di Perak.
Abangnya, Amirul Izuan, 18 tahun, baru lulus Sijil Pelajaran Malaysia (sama seperti Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O'), dan akan melanjutkan pengajian dalam jurusan sains sukan di universiti.
Kakaknya, Seri Amelia, 16 tahun, di form empat (sama seperti menengah empat).
Cik Seri mengaku adik-beradik Adi agak cemburu dengan perhatian yang diberi kepadanya, tetapi mereka kini sudah biasa dan belajar daripada satu sama lain.
"Saya memastikan setiap anak saya berasa mereka istimewa. Jika Adi berkebolehan, dia masih perlu hormat abangnya yang paling tua dan kakaknya yang merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga kami," ujar beliau.
Cik Seri juga berkata beliau membesarkan Adi sama seperti ibu-ibu lain, tanpa sebarang cara khas.
Kepintaran Adi semula jadi kerana beliau dan suaminya tidak memberinya pendidikan khas dalam matematik untuk menjadikannya pintar dalam mata pelajaran itu, ujarnya.
Dan seperti ibu bapa lain, Cik Seri prihatin memandangkan Adi kini telah memasuki alam remaja.
Namun, beliau berkata: "Saya pasti Adi sudah kenal baik dan buruk."
Oleh itu, Cik Seri berkata beliau tidak menyekat kebebasan Adi.
Adi pula, seperti remaja lain, gemar main permainan XBox, makan ayam goreng KFC, minat pasukan bola sepak Liverpool dan aktif di Twitter meskipun tidak seaktif di Facebook.
"Walaupun orang pandang saya lain daripada lain, sebenarnya saya seperti kanak-kanak lain dan mahu hidup seperti biasa," ujarnya.
Namun, dia sedikit terkilan kerana 'terlepas' peluang menikmati zaman kanak-kanaknya.
"Kadangkala, saya rasa teringin dilahirkan seperti kanak-kanak biasa dan lakukan perkara biasa. Tetapi saya sedar, apa yang saya lakukan sekarang - bekerja membantu keluarga, belajar dan mengajar - inilah norma bagi saya.
"Saya tidak rasa kesal dilahirkan sebegini, sebaliknya saya rasa bersyukur saya dapat bantu orang dan bantu keluarga," ujarnya.
Kini, membantu kanak-kanak lain dalam matematik menjadi misi Adi.
Nasihatnya, sifir ialah asas dalam matematik dan perlu dimahir pada usia seawal mungkin.
"Selain itu, pelajar tidak harus berputus asa jika gagal menghuraikan soalan matematik kerana kegagalan itu sebahagian daripada kejayaan," ujar Adi.
KISAH KANAK-KANAK PINTAR LAIN
- Ainan Celeste Cawley orang paling muda lulus subjek Kimia dalam peperiksaan GCE peringkat 'O' pada usia tujuh tahun dan Fizik pada umur sembilan tahun. Ainan kini 13 tahun dan pelajar program Ijazah Peralihan di Universiti Taylor di Kuala Lumpur. Bapanya, Encik Valentine Cawley, warga Ireland, sementara ibunya, Cik Syahidah Osman, warga Singapura.
- Murid Sekolah Rendah Henry Park, Anthony Yip, lulus A* bagi dua kertas Matematik GCE 'O' tahun lalu pada usia sembilan tahun. Bapanya, Dr Kevin Yip, doktor bedah ortopedik, dan ibunya, Dr Joanna Lin, pakar onkologi (barah). Abang dan kakaknya, Bryan dan Michelle, berusia 14 dan 12 tahun semasa mereka menduduki peperiksaan GCE 'O' pada 2007, dan lulus dengan 15 kepujian.
- Sufiah Yusof diterima masuk Universiti Oxford dalam bidang matematik pada usia 13 tahun. Beliau mendapat perhatian apabila beliau lari dari rumah, dan kemudian dilaporkan menjadi pelacur. Adiknya, Iskander, tamat pengajian di Universiti Warwick pada usia 15 tahun. Seorang lagi, Zukeila, orang paling muda menduduki peperiksaan GCE 'A' pada usia tujuh tahun. Mereka dididik di rumah oleh ibu bapa mereka, Encik Farooq, seorang penyelidik asal Pakistan, dan ibunya, Cik Halimahton, seorang ahli sains kimia asal Malaysia.
No comments:
Post a Comment