Sunday, May 13, 2012

penolakan konsep rumpun melayu

2 Mei 2012

KOMENTAR

PANDANGAN
Penolakan konsep rumpun Melayu di Indonesia

Oleh
Zin Mahmud

TIDAK lama dahulu, akhbar Kompas, Indonesia, menyiarkan laporan ini:

'Anggapan yang salah jika dikatakan Indonesia merupakan bangsa serumpun dengan Malaysia. Indonesia lebih hebat dan lebih beragam dibandingkan Malaysia.

'Kalau disebut bangsa serumpun, identik dengan Melayu saja, sedangkan suku bangsa, bahasa, dan budaya suku lain dinihilkan (ditiadakan).

'Serumpun apanya? Dalam bidang suku dan budaya, Malaysia tidak ada kaitannya sama sekali dengan budaya Papua, Flores, maupun budaya lainnya yang ada di Indonesia. Indonesia lebih luas, hebat, dan beragam!' kata sejarawan Dr Anhar Gonggong dalam Seminar Cross Cultural Fertilization: Sebuah Strategi Kebudayaan yang berlangsung di Universiti Paramadina Jakarta.

Saya tertarik dengan laporan itu kerana ia menunjukkan bahawa gagasan rumpun Melayu antara Malaysia dengan Indonesia rupanya ditolak oleh pihak-pihak tertentu di Indonesia.

Sedangkan di Malaysia, sekurang-kurangnya konsep rumpun Melayu yang meliputi Malaysia dan Indonesia itu adalah sesuatu yang diterima sebagai fakta sejak negara ini belum merdeka lagi.

Ia seolah-olah hanya pihak Malaysia, atau lebih tepat lagi orang Melayu di negara ini, yang terhegeh mahu menjadi saudara serumpun kepada Indonesia, sedangkan di sebelah seberang sana, ada antara mereka tidak dapat menerimanya.

Tetapi, saya berasakan penolakan mereka terhadap gagasan rumpun Melayu itu adalah kerana konsep bangsa Melayu yang ditafsirkan secara berbeza oleh kedua-dua pihak.

Bagi orang Malaysia, apabila disebut rumpun Melayu, ia meliputi keseluruhan peribumi yang mendiami seluruh gugusan kepulauan Melayu, dari segi sempadan politiknya kini meliputi Malaysia dan Indonesia.

Melayu itu hanyalah nama suatu bangsa keluarga besar bagi keseluruhan bumiputera kepulauan Melayu. Ia merujuk bukan saja Melayu di Semenanjung Malaysia dan Sumatera, malah semua suku kaum, besar dan kecil, termasuk Jawa, Aceh, Batak, Iban, Kadazan, Bugis, Banjar hinggalah ke Maluku, Flores malah Papua. Maknanya keseluruhan peribumi di kepulauan Malaysia dan Indonesia.

Justeru apabila ada pihak menyebut bahawa Malaysia tidak ada kaitan dengan Flores dan Papua, maka negara ini dan Indonesia tidak boleh dianggap serumpun, adalah tidak tepat.

Dalam Malaysia pun, kalau dikira daripada suku kaum, Melayu tidak ada kaitan dengan Iban dan Kadazan di Sarawak dan Sabah. Tetapi kalau dikira sebagai serumpun, maka sudah tentu Melayu, Iban, Kadazan dan lain-lain Bumiputera adalah serumpun. Dari segi suku kaum, sudah tentu Iban di Sarawak dan Kalimantan adalah berkaitan walaupun mereka berada di negara berbeza.

Dalam Indonesia, kalau dikirakan suku kaum, tentulah Melayu di Sumatera berbeza daripada peribumi Flores. Begitu juga dengan Jawa.

Bagaimanapun, kini kesemuanya dianggap sebagai satu bukan kerana masing-masing berada dalam negara yang sama iaitu Indonesia, tetapi dari segi leluhur adalah menduduki suatu kawasan besar yang berkaitan dan berhubungan.

Maka Melayu yang disebut sebagai rumpun hanyalah satu istilah. Nama lain boleh digunakan, umpamanya rumpun Nusantara bagi merujuk pada keseluruhan bangsa peribumi Malaysia dan Indonesia.

Tetapi perkataan Melayu dipilih kerana kededua negara Malaysia dan Indonesia menggunakan bahasa Melayu. Maka adalah wajar rumpun bangsa di Malaysia dan Indonesia ini disebut sebagai Melayu walaupun dari segi darah keturunan atau budaya adalah berbeza.

Hakikatnya, pemisahan antara Malaysia dengan Indonesia adalah hasil daripada proses sejarah dengan kehadiran penjajah di rantau ini. Indonesia mewarisi tanah jajahan Belanda, dan Malaysia tanah jajahan Britain. Tetapi dari segi rumpun, kedua-dua negara memiliki hubungan yang wajar dicari persamaan, dan bukannya perbezaan.

Persamaan utama adalah kededuanya menggunakan bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia. Tetapi ia tetap dikenali sebagai bahasa Melayu di Brunei, Singapura dan Thailand Selatan.

Orang Malaysia mengakui kehebatan keluasan dan kepelbagaian Indonesia, jauh lebih daripada Malaysia.

Tetapi itu tidak bermakna apabila orang Malaysia mendukung gagasan rumpun Melayu, ia bertujuan mahu memperkecilkan kedudukan bangsa Indonesia, atau 'menihilkan' peribumi bukan Melayu.

Ini kerana dalam laporan Kompas itu, Dr Anhar menyatakan bahawa bangsa Indonesia jangan mahu direndahkan oleh bangsa mana pun dengan imingiming (pujukan) sahabat dekat, bangsa serumpun, dan sebagainya, tetapi di belakang merendahkan bangsa Indonesia dengan sebutan Indon dan sebagainya.

'Ingat, Indonesia dalam sejarahnya ketika masih dalam kekuasaan Kerajaan Sriwijaya dan Majapahit, wilayahnya sangat luas serta mencakup beberapa negara tetangga sehingga disebut Nusantara,' kata Dr Anhar.

Sebutan Indonesia, kata Dr Anhar, merupakan buah fikiran genius para pendiri bangsa yang bervisi jauh ke depan untuk menyatukan suku-suku bangsa, bahasa, dan kebudayaan yang sangat beragam.

Cendekiawan Harry Tjan Silalahi menyatakan jika Indonesia dan Malaysia dianggap serumpun, maka keberadaan suku dan budaya lain di luar Melayu dianggap tak ada. 'Pandangan ini sesat dan berbahaya,' ujarnya.

Sungguh keras mereka menolak gagasan rumpun Melayu itu.

Tetapi hakikat sejarahnya, Sri Wijaya, Majapahit dan Melaka adalah serumpun jua. Mereka berbahasa Melayu. Justeru mereka memiliki memori kolektif serupa berasaskan sastera serumpun. Air dicincang tidak akan putus.

Nota: Penulis ialah penulis pojok 'Untung Sabut Timbul', di Mingguan Malaysia. Makalah ini disiarkan kelmarin.

No comments:

Post a Comment