Sunday, May 13, 2012

cerpen warkah oleh sumadi sarkawi

13 Mei 2012

EKSTRA!

Warkah


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang

Ke hadapan anakandaku tercinta.

Apabila anakanda membaca warkah ini, mungkin ayahanda sudah tidak ada lagi di dunia ini. Ayahanda tidak tahu bila anakanda dapat membaca warkah ini. Warkah ini ayahanda tulis pada malam yang hening ketika seisi rumah masih nyenyak dibuai mimpi. Entah mengapa ayahanda tidak dapat melelapkan mata. Mungkin banyak sangat yang ayahanda fikirkan dan tidak pula dapat bersemuka dengan anakanda atau adik-beradik anakanda untuk menyatakan suara hati ayahanda.

Warkah ini ayahanda akan simpan dalam laci di meja tulis dalam bilik ayahanda. Sengaja ayahanda simpan warkah ini dalam laci itu. Ayahanda tahu tentu sekali anakanda tidak berani membongkar laci peribadi ayahanda ini. Jadi ayahanda yakin anakanda hanya akan membaca warkah ini setelah ayahanda tiada lagi.

Warkah ini adalah sebagai peringatan kepada anakanda dan adik-beradik. Ayahanda menulisnya kerana kita sekeluarga jarang sekali dapat berkumpul dan berbual membincangkan keadaan keluarga dan kehidupan kita. Ayahanda tahu kamu semua mempunyai tugas dan kewajipan masing-masing sehingga kita payah sekali untuk bertemu muka. Payah untuk kita bertemu di ruang tamu rumah kita sendiri. Masing-masing sibuk dengan urusan keduniaan kita sendiri. Seringkali juga kita terlepas pandang akan perkara-perkara sebegini.

Anakanda,

Rakan dan taulan adalah penting dalam kehidupan kita. Tetapi hubungan keluarga lebih penting lagi. Ingatlah, air dicencang tak akan putus. Ingatlah anakanda, rakan dan taulan hanya masa kita berada. Janganlah kita berjauhan dari keluarga. Walau bagaimana jauh pun keluarga kita, yang kita anggap hanya bau-bau bacang, ia tetap keluarga kita juga. Jadi muafakatlah kita semua. Hendaklah diingat jua akan keluarga semenda kita. Mereka juga tergolong dalam keluarga kita.

Memang, kita semua ada pendapat sendiri.Tidak semua orang akan bersetuju dengan pendapat kita. Mungkin pendapat kita sendiri ini tidak sepadan dan tidak disetujui anggota keluarga yang lain. Tetapi janganlah kerana perselisihan pendapat ini kita bercerai-berai dan bermasam-masam muka, apatah lagi kalau kita terus berpatah arang. Ini kerana kepala sama berbulu, pendapat lain-lain. Hiduplah dengan berpegang kepada carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Pesan ayahanda, jangan sesekali anakanda mengambil sikap seperti enau dalam belukar.

Ingatlah anakanda, kita semua perlu menghormati pendapat anggota keluarga yang lain, walaupun pendapatnya itu tidak sejajar dengan pendapat kita sendiri. Biarlah kita berbeza pendapat tetapi tetap berpadu. Ini tidak akan merugikan kita sekeluarga. Hendaklah kita sekain sebaju, selauk senasi, sebantal sekalang ulu dan setikar seketiduran.

Tidak ada masalah yang tidak dapat dihuraikan. Cuma kita sahaja, anakandaku, yang kekadang tidak mahu mengambil sikap tolak ansur dalam membentangkan pendapat kita. Sering kita sangka bahawa pendapat kita seorang sahaja yang terbaik. Pendapat orang lain tidak pula kita timbang dan perhatikan kemungkinan ia menjulur kepada penyelesaian. Mungkin itu silap kita dalam banyak hal.

Anakanda,

Warkah ini ayahanda tulis dalam bahasa Melayu yang baku. Bukan. Bukan sebutan baku. Tetapi ia adalah bahasa baku. Jadi mungkin anakanda payah untuk memahami beberapa perkataan yang ayahanda tuliskan dalam warkah ini. Ayahanda faham. Sekarang anakanda semua berpendidikan Inggeris, kerana itulah hakikat di negara kita. Sekiranya anakanda tidak memahami perkataan-perkataan yang tertera dalam warkah ini, bertanyakanlah pada yang arif bahasa. Ataupun sekurang-kurangnya anakanda rujuklah pada kamus yang ada ayahanda simpan di rak-rak buku di rumah kita ini.

Ayahanda mengerti anakanda dan adik-beradik anakanda belajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Apa yang dimaksudkan dengan bahasa kedua pun ayahanda tidak mengetahui. Memang ayahanda tidak mengerti maksud itu. Sama ada yang dimaksudkan oleh orang yang mencipta istilah itu hanya mahukan bahasa Melayu sebagai bahasa kelas kedua. Ataupun orang yang berbahasa Melayu dianggap sebagai manusia kelas kedua. Ataupun yang dimaksudkan ialah bahawa bahasa Melayu yang anakanda pelajari tidak setinggi dengan bahasa Inggeris yang diajar di sekolah. Oleh itu ayahanda faham sekiranya anakanda tidak memahami beberapa perkataan yang ayahanda gunakan dalam warkah ini.

Tetapi yang anehnya, bahasa Inggeris yang anakanda gunakan kekadang ayahanda dengar semacam tunggang langgang nahunya. Mungkin ayahanda tersalah dengar. Mungkin juga ayahanda sedang diserang tunarungu menyebabkan pendengaran tutur bahasa Inggeris anakanda tidak lancar ayahanda dengar. Oleh itu, ayahanda sehingga sekarang ini pun, masih ragu sama ada bahasa Inggeris yang anakanda tuturkan itu bahasa yang apa yang dikatakan oleh orang sebagai Queen's English ataupun.... Entahlah, ayahanda pun kekadang bingung. Sudahlah bahasa Melayu anakanda tidak mencapai tahap yang tinggi, bahasa Inggeris anakanda pun hampir sama tarafnya dengan bahasa Melayu anakanda. Janganlah hendaknya bahasa-bahasa yang anakanda gunakan, kata orang seperti berselimut kain sehasta. Itu pendapat ayahanda.

Mengapakah anakanda berhenti mempelajari bahasa Melayu selepas bersekolah? Tidakkah anakanda berasa perlu mendalami lagi bahasa kita itu. Adakah anakanda berpendapat bahawa bahasa Melayu ini tidak punya nilai dalam kehidupan moden kita sekarang dan pada masa depan? Dengan pengetahuan bahasa kita yang mendalam, kita dapat melungsuri sejarah dan kesusasteraan Melayu dengan lebih baik lagi, tanpa perlu menunggu terjemahan atau buku yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana kita hidup di rantau Nusantara, banyak buku sastera Melayu yang dihasilkan dalam bahasa Melayu itu sendiri. Sekiranya kita tidak mahu membaca sejarah sastera Melayu sendiri, siapakah yang akan melakukannya? Ayahanda berharap anakanda memahami keadaan ini.

Anakanda,

Dalam mengejar nikmat dunia ini, janganlah anakanda lupa akan tanggungjawab sebagai orang yang beragama Islam. Kita boleh dan harus bersikap moden mengikut peredaran hidup sekarang yang lebih memerlu dan mementingkan kebendaan. Janganlah kita sesekali lupa akan kehidupan kita sebagai penganut agama Islam.

Sekarang ini pun, ayahanda sering perhatikan yang anakanda dan adik-beradik sering terlepas melakukan solat-solat asas yang diwajibkan walaupun acapkali ayahanda menegurnya. Seringkali anakanda memberikan alasan sedang sibuk menyiapkan kerja-kerja pejabat yang harus diselesaikan sebelum anakanda ke pejabat esok harinya. Ataupun sibuk dengan kerja-kerja sekolah yang semakin menimbun setiap hari. Oleh kerana kesibukan yang anakanda katakan itu, anakanda terlepas waktu untuk menghadapi Yang Esa. Tetapi anehnya, anakanda punyai masa untuk menunaikan solat Jumaat, walau bagaimana sibuk pun dengan kerja pejabat atau sekolah. Tetapi, ayahanda tidak mengetahui sama ada anakanda memberikan masa juga untuk melakukan solat-solat waktu yang lain.

Ingatlah anakanda, sekiranya anakanda hanya melakukan solat Jumaat seminggu sekali, tanpa melakukan solat-solat yang lain, kelakuan anakanda tidak ubah seperti yang dilakukan oleh penganut-penganut agama lain yang hanya ke tempat ibadah mereka seminggu sekali.

Anakandaku, sebagai seorang penganut agama Islam, solat-solat asas itu adalah sebahagian daripada kehidupan kita di dunia. Ia adalah kewajipan kita. Kenapa kita mudah abaikan tuntutan agama kita? Sekiranya kita pandai mengatur waktu, pasti tuntutan-tuntutan ini dapat kita lakukan dengan mudah. Ini telah dijanjikan oleh Allah bahawa Dia tidak memberatkan umatnya dengan beban yang tidak terpikul oleh kita. Ingatlah!

Ketahuilah anakanda, kesibukan itu hanyakan perlakuan diri kita sendiri. Kita yang tidak bijak membahagikan masa dan menyebabkan kita dikongkong oleh waktu. Bukan sebaliknya, kita yang mengaturkan waktu itu. Waktu untuk kita hidup. Waktu untuk bekerja. Waktu untuk berkeluarga. Waktu untuk tuntutan agama dan sebagainya. Kita sering terlupa bahawa kitalah yang mengawal waktu, bukan sebaliknya.

Anakanda,

Ayahanda mengakhiri warkah ini di sini sahaja. Ayahanda berharap dan berdoa agar anakanda ingat akan pesanan ayahanda seperti yang tercatat dalam surat seperti yang di atas. Sekiranya anakanda tidak memahami maksud warkah yang ayahanda tuliskan ini, anakanda carilah mereka yang arif untuk mempelajari apa yang ayahanda ingin sampaikan itu. Juga anakanda perlu bermuafakat dengan adik-beradik dan keluarga semenda untuk manfaat keluarga kita. Hiduplah sebagai aur dengan tebing.

Sekian wassalam warahmatullahi wabarakatuh.

Ayahanda kamu.

No comments:

Post a Comment