17 Jan 2012
EKSTRA!
WARISAN KITA
Asal Usul Bangsa Melayu
Dari sudut mana pun ditakrifkan, mereka mempunyai sejarah yang panjang
SIAPAKAH antara kita yang layak dipanggil sebagai orang atau bangsa Melayu?
Sering kali, sebahagian kita memandang ringan atas takrif orang Melayu ini.
Bagi kita, asal seseorang itu berbahasa Melayu, mengamalkan adat Melayu dan beragama Islam, maka beliau layak dikenali sebagai orang Melayu.
Namun, di kalangan bijak pandai dan pakar kaji masyarakat, terdapat perbahasan yang meluas tentang siapa yang layak dipanggil sebagai bangsa Melayu. Mereka mempersoalkan pendekatan mana yang harus diikuti bagi mentakrifkan diri sebagai seorang Melayu?
Apakah kita harus mengikut pentakrifan undang-undang atau memandangnya dari sudut antropologi, etnologi atau budaya?
Allahyarham Abdul Rahim Kajai, seorang tokoh wartawan Melayu dahulu, mentakrifkan bangsa Melayu sebagai penduduk asal gugusan kepulauan Melayu atau alam Melayu seperti di pulau Jawa, Bugis, Madura, Bawean, Minangkabau dan juga Banjar. Orang Asli seperti suku kaum Semang, Jakun dan Pangan termasuk dalam definisi Melayu kerana mereka juga adalah penduduk asli di Semenanjung.
Menurut beliau lagi, 'Jika seseorang itu bangsa Melayu, dia akan tetap dan kekal sebagai bangsa Melayu, walaupun dia dilahirkan di Kutub Utara, bertukar kerakyatan, hatta bertukar agama sekalipun'.
Sasterawan Allahyarham Usman Awang pula memberi takrif menarik tentang orang Melayu dalam sajaknya berjudul Melayu.
Salah satu rangkap sajak itu berbunyi:
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu (Setelah disunat anunya itu)
Di Malaysia, penduduk peribumi daripada keturunan Minang, Jawa, Aceh, Bugis dan Mandailing antaranya, yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengikuti adat istiadat Melayu, semuanya dianggap sebagai orang Melayu.
Bahkan orang bukan peribumi yang berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam juga diterima sebagai orang Melayu. Mereka dikatakan telah 'masuk Melayu'.
Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan negara itu: 'Seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu yang lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura'.
Dari segi penakrifan antropologi pula, mengikut Syed Husin Ali, seorang pakar antropologi Malaysia, orang Melayu itu dari segi lahiriah, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa.
Menurut Syed Hussein Al-Attas menerusi bukunya Mitos Peribumi Malas, para pengkaji Barat mempercayai orang Melayu tergolong dalam gagasan puak Malayo-Polinesia. Gagasan ini termasuk mereka yang menghuni kawasan geografi yang dikenali kini sebagai Myanmar, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Kepulauan Polinesia sehingga ke kepulauan Hawaii.
Hakikatnya, walau dari sudut mana pun kita mentakrifkan orang Melayu, ternyata mereka mempunyai sejarah yang panjang.
Bahkan, ada yang mengatakan bahawa orang Melayu yang pertama menghuni kawasan nusantara Melayu ini dipercayai pada kira-kira 50,000 Sebelum Masihi.
Secara amnya terdapat dua teori mengenai asal usul bangsa Melayu iaitu:
Teori Yunan yang mengatakan bahawa orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto dan juga Melayu Deutro.
Teori ini antara lain bersandarkan pada penemuan Kapak Tua di Kepulauan Melayu yang menunjukkan adanya penghijrahan penduduk dari Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan bahawa bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja.
Penduduk di Kemboja pula dikatakan mungkin berasal daripada dataran Yunan dengan menyusuri Sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekali gus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunan.
Satu lagi teori tentang asal usul orang Melayu ini dikenali Teori Nusantara.
Teori ini antara lain bersandarkan hujah bahawa Bangsa Melayu dan Bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad ke-19. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama.
Ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.
No comments:
Post a Comment