29 Jan 2012
EKSTRA!
Komputer bukan mainan
Ibu bapa perlu sedar bahawa komputer dan alam siber mengandungi bahan-bahan yang boleh merosakkan anak-anak kita
TERIAKAN terus-menerus kanak-kanak itu membuat para pelanggan lain di restoran itu bagai terpaku kehairanan.
Namun, tanpa menghiraukan mata-mata yang tajam menjeling ke arah mereka, ibu kepada pemilik suara kecil tetapi lantang itu, menghulurkan sekeping komputer leper bersalut kulit kelabu kepada anaknya.
Kanak-kanak berusia kira-kira tiga tahun itu tersenyum puas, wajahnya mirip seorang perwira yang baru berjaya menakluki lawannya.
Matanya kini terpaku pada skrin yang menunjukkan kartun animasi terkini di YouTube.
Dengan selamba, si ibu lantas menyambung semula perbualannya dengan rakannya yang duduk semeja.
Adegan itu mengingatkan saya akan perbahasan tentang penggunaan komputer dan Internet yang ditimbulkan di laman Facebook Berita Minggu (BMS) tidak berapa lama dahulu.
Seorang anggota BMS telah melahirkan keprihatinannya mengenai kandungan Internet dan bagaimana ibu bapa boleh memastikan anak-anak mereka tidak akan melungsuri kandungan Internet yang kurang sesuai seperti laman lucah dan sebagainya.
Kebimbangannya itu wajar.
Menurut beberapa sumber dalam talian, terdapat sekitar 12 peratus atau 25 juta laman web yang berunsur lucah.
Seperempat daripada semua pencarian di jentera pencari pula menjurus kepada kata-kata lucah.
Lebih membimbangkan, anggaran antarabangsa menetapkan usia purata kanak-kanak yang melihat kandungan lucah ialah 11 tahun.
Dalam konteks Singapura, ini bermakna anak anda mungkin mula mencari kandungan lucah apabila dia berada di darjah lima.
Malah, bahaya di Internet tidak terhad kepada kandungan lucah sahaja.
Terdapat pelbagai jenis jenayah siber yang melibatkan penipuan, pemalsuan dan pencurian identiti.
Ini belum termasuk masalah si penyumbaleweng (pervert) yang mengendap di bilik ngobrol atau chat room, memburu kanak-kanak yang mudah diperdaya bagi memuaskan nafsunya yang rakus.
Sebab itulah, saya turut berkongsi keprihatinan anggota BMS tadi.
Penyelesaian masalah ini rumit dan tiada penawar sejagat untuknya.
Kalau pun ada, ia merangkum penggunaan sofwe anti-virus, dinding kawalan (firewall) atau program pemantauan kegiatan kanak-kanak di alam maya. Masalahnya, keberkesanan kaedah-kaedah tersebut bergantung kepada sikap manusia.
Tanpa berniat menuding jari, pucuk pangkal masalah ini mungkin boleh dilihat menerusi senario yang saya gambarkan di atas, iaitu cara si ibu memujuk anaknya dengan menggunakan komputer lepernya.
Tidak berapa lama dahulu, seorang ibu hanya menggunakan mainan biasa untuk memujuk anak yang meragam.
Perubahan ini mencetus soalan tentang tanggapan kita terhadap komputer.
Adakah ia satu objek permainan, bahan memudahkan kerja di pejabat atau aksesori gaya hidup semata-mata?
Pada suatu masa dahulu, jawapan kepada soalan tersebut lebih jelas.
Sebagai contoh, peranan komputer peribadi pertama yang saya miliki lewat 1995 adalah jelas. Saya menggunakannya untuk menaip tugasan sekolah.
Pada ketika itu, penggunaan Internet belum berleluasa kerana faedahnya belum ketara dan prasarana sokongan pula kurang - bayangkan menunggu hampir sejam untuk berhubung dengan Internet menerusi telefon atau dial-up - sungguh menghampakan.
Sebaliknya, peranan komputer dalam hidup kita kini tidak begitu jelas, lebih-lebih dalam kehidupan anak-anak kita.
Suka atau tidak, kehidupan anak-anak kita kini terlalu bersangkut paut dengan dunia siber.
Malangnya, ramai ibu bapa yang masih menganggap komputer dan Internet sebagai alat untuk melaksanakan kerja sekolah semata-mata.
Malah, ada yang menganggapnya bak permainan, menurut penggiat keselamatan Internet Norton, Encik Effendy Ibrahim, apabila diminta mengulas tentang isu ini tidak berapa lama dahulu.
Mengikut Laporan Keluarga Dalam Talian Norton 2010, 36 peratus ibu bapa di Singapura sedar akan kegiatan anak-anak mereka di Internet.
Sementara itu, 63 peratus belia mengaku bahawa mereka tahu cara menyembunyikan kegiatan dalam talian daripada ibu bapa mereka.
'Penggunaan komputer dan Internet anak-anak di rumah tidak diberikan keutamaan, walaupun ia sebahagian besar daripada kehidupan anak-anak kita dewasa ini,' kata Encik Effendy, yang turut menyandang jawatan ketua perniagaan pengguna Symantec (Asia).
Beliau percaya, ibu bapa perlu bersikap lebih proaktif dalam mendidik dan mengasuh anak-anak mereka tentang adab dan bahaya Internet dan komputer.
Dan bak pepatah, melentur buluh biar dari rebung, langkah ini tentu sekali lebih berkesan jika dilakukan dari awal lagi, apabila si anak masih kecil lagi.
Berbalik kepada si ibu dan anak tadi.
Mungkin pada mulanya tidak salah bagi si comel untuk menganggap komputer dan Internet sebagai bahan permainan semata-mata.
Masalahnya timbul jika ibu bapa kekal berpendapat sedemikian apabila anaknya meningkat dewasa.
No comments:
Post a Comment