Thursday, January 19, 2012

gUrU

12 Jan 2012

KOMENTAR

PADA HEMAT SAYA
Contoh dan cemar pada guru

Oleh
Mohd Raman Daud
RENTETAN kes cabul melibatkan segelintir guru (termasuk guru tuisyen) dan muridnya sejak beberapa tahun ini memang memprihatinkan.

Kisah seperti ini tidak pernah terbayang sejauh ini. Namun, sejak ada media sosial, batas profesionalisme hubungan guru dan murid seolah- olah kian kabur.

Di Parlimen kelmarin, isu ini dijelaskan oleh Menteri Negara (Pendidikan), Encik Lawrence Wong. Katanya, semua guru yang baru memulakan kerjaya perlu melalui proses yang menekankan peri pentingnya nilai luhur keguruan.

Namun, perilaku guru yang tidak senonoh sudah diperikan orang dulu-dulu. Sewaktu belajar di Sekolah Rendah Tanglin Besar hampir lima dekad lalu, antara peribahasa yang kami cuba fahami ialah 'jika guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari'.

Kami tertawa terbahak-bahak mendengar peribahasa itu. Namun, guru bahasa ketika itu memang serius. Menurutnya, peribahasa itu membawa erti yang amat penting. Pertama-tama, peranan guru menjadi orang budiman, mendidik masyarakat termasuk murid sekolah rendah.

Setiap tingkah laku guru diperhatikan oleh masyarakat (orang kampung). Guru menjadi semacam matahari kampung.

Ketika pernah menjadi guru pelatih dan berdampingan dengan para guru, barulah saya dapat membezakan erti 'cikgu' dan 'guru'.

Menurut Pendeta Dr Hj Muhd Ariff Ahmad, 'cikgu' iaitu singkatan 'encik atau cik guru' lebih mencerminkan guru yang hidup makan gaji sehingga detik bersaranya.

Namun, 'guru' daripada bahasa Sanskerta yang bermakna seorang arif yang setia menunjuk ajar (orang Melayu dulu juga memanggilnya 'ajar-ajar' atau 'pengajar') serta mempunyai budi pekerti yang tinggi sehingga akhir hayatnya.

Profesi guru memang dipandang mulia dalam hampir semua tamadun. Socrates, Plato dan Aristotle merupakan ahli falsafah Yunani dan para guru yang menjadi asas tamadun Barat.

Bahkan, para rasul dan nabi merupakan guru yang agung yang menjadi asas kepada pelbagai agama. Confucius dianggap guru terbilang bagi tamadun Cina.

Dalam menyusur sejarah kebangkitan semangat nasionalisme Melayu, guru merupakan antara faktor penting.

Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak, dianggap wadah tampil guru yang luar biasa seperti Haron Mohd Amin (Pak Har yang merupakan novelis paling prolifik dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden), Mahmud Ahmad, Dr Muhd Ariff dan Masuri SN.

Selain wartawan yang menjadi peniup semangat lewat akhbar, guru amat berpengaruh dalam mencanangkan rasa harga diri orang Melayu agar tidak terus dijajah.

Pun sejarah sedemikian berlaku kerana tiada banyak bidang profesi lain bagi orang Melayu yang terjajah. Amat sedikit yang menjadi doktor, peguam dan seumpamanya tetapi mereka ada terlibat dalam membangun azam antipenjajahan.

Saya pernah terbaca tulisan sasterawan besar Indonesia, Putu Wijaya, asal Bali pada 2009 mengenai pujiannya kepada guru:

'Pada masa lalu, guru adalah orang yang lebih tahu yang mengajarkan seseorang tentang sesuatu yang ingin dikuasainya.

'Di dalam mengajarkan itu, berbagai-bagai cara ditempuh oleh guru sesuai dengan keupayaan masing- masing. Ada yang sangat mempertimbangkan mutu, keupayaan serta keterbatasan muridnya.

'Ia menjadi guru yang lebih merupakan orang tua yang mengarahkan dan menumbuhkan muridnya untuk menguasai ilmu dengan kasih sayang.'

Putu Wijaya (pernah menyertai Minggu Penulis Singapura tahun lalu) juga menyatakan:

'Ada guru yang sama sekali tidak peduli (cara lain untuk peduli), sehingga murid-muridnya akan berusaha dengan seluruh kemampuannya untuk pintar.

'Ketika para pelukis anggota Sanggar Bambu Yogya meminta Afandi meluangkan waktu untuk mengajar, agar kemampuan mereka meningkat, Afandi menolak. Dia bilang dia sedang berpacu untuk mengejar berbagai-bagai pencapaian di dunia internasional.

'Kalau Sanggar Bambu mahu belajar, jangan minta saya berhenti atau menoleh ke belakang, tapi silakan mengejarku, agar pengejaranku tidak terganggu,' kata pelukis terkenal Indonesia itu.')

Tambah Pak Putu, 68 tahun:

'Murid pun ada bermacam-macam. Ada yang patuh, belajar dengan sabar. Ia akan mengikuti seluruh ucapan, fikiran dan perintah daripada guru dengan hormat dan bahkan takut. Mati pun ia bersedia demi guru. Murid macam itu tumbuh menjadi duplikat guru kalau tidak bisa dikatakan pengikutnya yang setia.'

Barangkali dari sana lahir pepatah: 'Guru kencing berdiri, murid kencing berlari'.

Jadi, konteks peribahasa 'guru kencing berdiri' dinilai Pak Putu sebagai 'positif' menurut pandangan murid yang taksub akan gurunya.

Di sinilah berlaku tengkarah bahawa guru sedemikian hanya membawa kerosakan kepada murid atau pengikutnya.

Imam Abu Hamid Al-Ghazali menyifatkan ulama sebagai guru yang membawa dua kesan - baik atau rosak (ulama su').

Bahkan, beliau mengingatkan bahawa jumlah ulama merosak akan bertambah menjelang akhir zaman. Oleh itu, berhati-hatilah mencari guru atau berguru.

Dalam Islam, antara amalan berguru ialah mencari guru yang benar-benar dapat membimbing ilmu zahir dan batin.

Lazimnya, rantai pertalian guru dicari sehingga akhirnya sampai kepada para sahabat dan akhirnya Nabi Muhammad saw selaku guru agung Islam. Itulah sebabnya ulama silam sering membanggakan deretan gurunya yang sebenarnya berkaitan antara satu sama lain.

Zaman saya bersekolah rendah sehingga menengah masih diwarnai oleh guru yang bengis. Ada yang membawa rotan. Segelintir saja guru yang lucu dan bertindak macam teman.

Namun, dalam begitu banyak guru, saya teringat seorang guru yang mengajar Ilmu Hisab (Matematik) dan menjadi guru Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) di Sekolah Menengah Swiss Cottage.

Di sebalik wajah serius, hatinya mulia sehingga sanggup mengajak kami belajar kelas tambahan Matematik di rumah dalam bahasa Inggeris. Disediakan juadah untuk kami yang selalu lapar dan haus. Padahal kami murid aliran Melayu. Usahanya berhasil. Namun, guru itu kemudian berhijrah ke Malaysia. Semoga barakah laluan hidupnya.

Guru kini memang tidak sehebat dulu - jika masuk dalam kelas, tiba-tiba disebut 'malaikat lalu'. Seorang ustaz menceritakan pengetua Madrasah Aljunied yang apabila masuk pekarangan, murid yang gamat tiba-tiba sepi.

Ya, guru kini tidak lagi ditakuti bukan kerana hilang kehebatannya. Namun, guru sudah berubah menjadi teman yang menggantikan peranan ibu bapa yang terlalu sibuk atau tidak tahu mengasuh anaknya.

Guru kini tidak dilihat sebagai gedung ilmu sejak adanya Internet. Namun, guru lebih dinilai sebagai pemudah cara (fasilitator) yang tugasnya menyampaikan ilmu dan caranya kepada murid.

Bahkan murid disuruh belajar cara kumpulan untuk menemukan (discover) ilmu dan sebagainya. Kononnya, cara ini lebih inovatif. Saya sendiri kurang pasti.

Saya pernah menjadi guru kelas malam di Lembaga Gerakan Pelajaran Dewasa di Sekolah Menengah Monk's Hill lebih tiga dekad lalu. Pun saya mengajar sebagai guru pelatih cuma tiga bulan di sebuah sekolah kelas Pra-U. Namun, gaji guru ketika itu amat kecil, jadi terpaksa saya cari kerja lain.

Kini kian ibu bapa kekurangan masa, gurulah menjadi harapan. Sudahlah begitu, imej mereka juga terjejas oleh sikap segelintir yang memasuki profesi ini kerana dianggap 'mudah mendapatkan kerja' atau bergaji boleh tahan. Jadi, timbullah segelintir guru yang merosak kerana tiada dedikasi, apatah lagi berlaku cabul dan mendera.

Sedang Singapura kian berkembang menjadi hab ilmu dan pendidikan, profesi guru akan terus diperlukan. Kalangan mereka itu ada yang begitu tertekan. Bahkan saya diberitahu, ada guru termasuk pengetua yang perlu mendapatkan rawatan jiwa kerana tekanan kerja.

Pokoknya, guru akhirnya boleh jadi teman dalam mengenal kehidupan yang rumit.

Baru-baru ini saya menemui seorang guru pencen yang sedang pulih di hospital sesudah mengalami pendarahan usus.

'Man, berapa umur kau?' tanyanya.

'54, cikgu.'

'Eh kau dah tua rupanya, apatah lagi aku.'

Kami tertawa seolah-olah masa silam itulah guru. Dan kini tinggal sejarah saja.

No comments:

Post a Comment