Wednesday, January 6, 2010

menjalin cinta dengan gadis sekolah

6 Jan 2010

KATA ABANG...

Mungkinkah anda menjalin cinta dengan gadis sekolah?
'Saya pernah menjalin hubungan cinta dengan seorang remaja perempuan yang masih bersekolah. Jarak umur kami lebih kurang 10 tahun. Namun, hubungan ini bukan atas dasar ingin 'menaja' si gadis. Sebaliknya, ia cinta yang ikhlas dan jujur lagi merupakan cinta pandang pertama.

'Cinta ini buta, tanpa mengira jarak usia dan kondisi seseorang itu. Sebagai seorang yang lebih dewasa dan sudah bekerja, saya harus bijak menilai baik buruknya menjalinkan hubungan seumpama itu. Komitmen dan tanggungjawab dalam hubungan juga amatlah penting.
'Si gadis harus bijak membahagikan masa antara cinta dan pelajaran. Dan oleh kerana itu, kami tidak seharusnya mencampur-adukkan hubungan percintaan dengan pelajaran gadis tersebut yang saya rasa boleh terjejas dek masalah hubungan kami.

'Akhirnya, cinta yang terjalin tidak kesampaian. Kini, saya lebih selesa bercinta dengan gadis yang sudah bekerja. Saya mahupun gadis itu harus matang dan komited jika ingin hubungan yang dibina kekal bahagia hingga ke jenjang pelamin.'

ENCIK MOHAMMAD NASER AHMAD,33 TAHUN,
EKSEKUTIF KEWANGAN


6 Jan 2010

PENTAS HIDUP

Cinta dua generasi

Haryani Ismail meninjau trend ini - sejauh mana cinta dua generasi ini membungakan hasil yang menggembirakan kedua-dua pihak?

MATA Irah (bukan nama sebenar) sekejap-sekejap menatap jam di dinding bilik darjahnya. Hatinya berbunga- bunga cinta menanti kedatangan Abang Malik (juga bukan nama sebenar), jejaka 14 tahun lebih tua daripadanya, di depan pagar sekolah.
Loceng yang berbunyi sekitar 1.30 petang menyentak lamunannya yang menerawang memikirkan tentang Abang Malik dan motosikal Harley Davidsonnya yang 'membelah' jalanan dengan deruan enjinnya.
Abang yang penyayang jadi tempat bermanja
Sepanjang menjalinkan hubungan lebih dua tahun dengan Abang Malik, 31 tahun, seorang mekanik yang dikenali menerusi laman Facebook, Irah, 17 tahun, pelajar menengah lima, yang ditemui Ekstra, terasa bagaikan 'puteri' yang sentiasa dimanjakan dengan hadiah seperti teddy bear dan minyak wangi.
'Ada teman-teman saya yang mencebik-cebikkan bibir mereka setiap kali nampak saya dan Abang Malik yang saya panggil 'Baby'. Mereka kata 'tuanya boyfriend kau'! Tetapi, tak kurang juga yang iri hati. Maklumlah, saya balik naik motor dua kali seminggu. Kalau tengok wayang dan makan di luar, tak perlu keluar duit. Semuanya 'ditaja'!' cerita Irah, yang terpikat pada sifat penyayang dan penyabar Abang Malik.
Sehingga kini, Irah akui masih bercinta dengan Abang Malik yang pandai menambat hatinya dengan gurau-senda. Mereka jarang bertengkar sebab kebanyakan masanya, Abang Malik dikatakan yang lebih banyak mengalah.
'Kalau ada pun, biasanya, kerana Irah terlalu manja dan Abang Malik sibuk dengan kerjanya. Jadi, kita tak dapat jumpa dan Irah merajuk,' jelasnya dengan nada sayu, bagaikan meminta dikasihani.
Cuma masalah Irah ialah hubungan itu disorok daripada pengetahuan ibu bapanya yang dijangka akan meledak jika mereka tahu dia sudah pandai bermain cinta, lebih-lebih lagi dengan lelaki yang sudah sampai masanya menamatkan zaman bujang.
'Bagaimanapun, saya fikir ibu bapa saya mula mengesyaki saya ada teman lelaki. Sebabnya, saya pernah ternampak ayah saya memeriksa SMS saya sewaktu saya cuci piring di dapur. Cuma, mungkin, ayah tak tahu Abang Malik ni jauh lebih matang,' katanya, terus terang.
Kebanyakan masanya, pasangan dua generasi ini keluar menonton wayang atau duduk bersembang di kafeteria. Mereka sama seperti pasangan lain yang cuba serasikan diri dengan cita rasa berbeza.
Melihatkan Irah yang tampak masih mabuk dilamun cinta, tertanya-tanya juga, tidak pernahkah cita rasa yang berbeza atau matlamat hidup itu menjadi sebab mereka terasing? Masakan hubungan itu sepi dari masalah?
Lama juga Irah termenung panjang sambil menghirup jus lobak merahnya. Matanya seakan-akan enggan menatap tepat mata penulis, seakan cuba melindungi sesuatu.
'Er... sebenarnya, adalah juga beberapa masalah. Misalnya, saya kadangkala cemburu dengan teman-teman perempuan Abang Malik. Pernah sekali dua, dia ajak saya ikut dia ke parti. Saya tengok mereka pandang saya lain macam. Saya kira mereka tahu, saya masih budak lagi. Saya cuba pakai macam wanita 20-an tahun tetapi, tentunya wajah saya nampak jauh lebih muda.
'Abang Malik pernah tanya saya bila nak kahwin? Saya kata, tunggu dulu. Saya nak habiskan GCE 'O' saya dulu. Nasib baik, dia tak pressure saya lagi,' jelas Irah sambil menguis kertas tisu di atas meja.
Ditanya mengapa gadis-gadis sekolah masa kini terpikat pada jejaka-jejaka yang jauh lebih berusia, Irah berkata kebanyakan masanya, gadis-gadis sebayanya tidak perlu bimbangkan soal pengangkutan untuk ke sana ke mari kerana biasanya 'abang-abang' ini memiliki motosikal atau kereta sendiri. Mereka juga akan sering dibelanja dan dimanjakan dengan barangan berjenama atau dihujani SMS romantik.
'Budak-budak lelaki sebaya selalunya tak romantik, tak ada duit untuk belanja kita dan masih kebudak-budakan. Macam mana dia nak jaga dan lindungi kita? Kita pula yang perlu jaga dia!' kata Irah, tertawa.
Tidak semua 'abang-abang' boleh diharap
Irah mungkin antara gadis-gadis yang masih lagi dalam awang-awangan dunia cintanya dengan seorang jejaka yang jauh lebih berusia. Min, 18 tahun, seorang pelajar politeknik, bagaimanapun, nyaris- nyaris hanyut kerana hubungannya dengan seorang 'abang penipu'.
'Saya mengenalinya menerusi seorang teman di majlis barbeku pada usia saya 16 tahun. Raziz nampak tampan, seperti pelakon Bollywood. Saya sangka sayalah yang paling bertuah sebab dia ramai peminat. Usianya pada waktu itu sekitar 22 tahun dan baru tamat Perkhidmatan Negara (NS). Dia akan menanti saya di luar pagar sekolah dengan motosikalnya. Dia pandai bercerita. Banyak kisah kembaranya menarik perhatian saya.
'Cuma, saya dapati lama-kelamaan, duit saku saya termasuk duit simpanan saya sejak kecil mula kekontangan. Raziz menganggur dan tak dapat-dapat kerja. Kalau disuruh cari kerja sambilan, katanya kerja tu tak sesuai atau nanti-nanti saja. Saya yang bekerja sambilan di restoran makanan segera pula yang terpaksa menanggung makan-pakai dia!
'Saya juga terasa stres sebab dia selalu memujuk saya dan memaksa saya melakukan perkara-perkara yang saya tak suka seperti melakukan hubungan seks dengannya.
'Nasib baik, saya tak termakan dengan mulut manisnya. Saya mengambil keputusan memutuskan hubungan kami apabila Raziz tidak pernah berusaha mengubah dirinya, malahan, ingin heret saya jadi remaja hanyut yang lupakan harga diri saya,' jelas Min, dengan nada sayu.
Berdasarkan pengalamannya itu, Min menasihati remaja agar tidak mudah terpedaya dengan rasa cinta dan kagum terhadap 'Abang-Abang' ini.
'Selagi anda masih bersekolah, tumpuan anda harus dijuruskan pada pelajaran dan bukannya pada percintaan. Usah terjebak seperti saya. Mereka ni pandai memujuk tetapi niat mereka, Tuhan saja yang tahu. Dengan usia kita yang masih belasan tahun ini, bimbang kita akan mudah diperdaya,' tambahnya.

6 Jan 2010
EKSTRA!
CINTA DUA GENERASI

Pandangan yang empunya diri...
USAH babitkan diri anda dengan hubungan cinta bersama seorang jejaka yang lebih berusia jika anda masih terikat dengan pelajaran anda dan masih bersekolah.

Lebih berbahaya kalau jejaka itu sudah menyertai alam pekerjaan dan mula memikirkan tentang langkah selanjutnya iaitu menamatkan zaman bujangnya.

Pesanan kepada gadis-gadis yang masih bersekolah ini tidak datang daripada kaunselor, ibu bapa atau guru yang biasanya menjadi rujukan dalam menangani isu hubungan remaja lelaki dan perempuan.

Sebaliknya, ia diluahkan sendiri oleh beberapa belia yang telah melalui hubungan jangka panjang dengan teman lelaki mereka yang lebih tua dan kebanyakan masanya telah pun bekerja.
Kami juga mendapatkan pandangan beberapa lelaki yang sudah bekerja dan pernah melalui hubungan cinta dengan gadis remaja.
Apakah antara sebab-sebab yang memungkinkan hubungan ini melalui tekanan dan membawa pada pelbagai pergeseran?

#1: Banyak masa dan tenaga tercurah sehingga memenatkan

Alia, 22 tahun, seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) telah menjalin hubungan selama tujuh tahun dengan Daniel, 26 tahun, yang kini mengikuti latihan kejuruan kejuruteraan penerbangan di Lapangan Terbang Seletar.
'Walaupun kami bertahan selama tujuh tahun, hubungan kami memang tidak sepi dari onak dan duri.
'Saya mengenalinya di saat saya masih di menengah tiga dan dia pula di Institut Pendidikan Teknikal. Segalanya bermula menerusi sembang siber.
'Banyak perkara yang saya perlu tangani - dari soal menyorok hubungan kami dari pengetahuan ibu bapa saya sehingga saya rasa terlalu bersalah menyembunyikan perkara ini dari pengetahuan mereka.
'Kami jarang berjumpa. Ada pula tanda tanya daripada teman-teman, mengapa saya masih kekal setia bersama Danial, sedangkan orangnya tidak setampan mana... ada yang merasakan dia selalu mengawal pergerakan saya.
'Menangani hubungan itu dan tanda tanya orang-orang di sekeliling di samping membahagikan masa untuk pelajaran saya membuatkan situasinya begitu menekan untuk saya ada kalanya. Mujurlah, saya dan Daniel saling mengenali sikap masing-masing dan masalah ini ditangani beransur-ansur.
'Cuma, kerana ia memenatkan, saya menasihati remaja di sana, kalau boleh, elakkan dari bercinta terlalu awal dalam kehidupan mereka. Ada peluang belajar, jangan abaikan,' kata Alia lagi.

#2: Cita rasa jauh beza, matlamat hidup tidak sama

Encik Abdul Aziz Abdul Samad, 34 tahun, seorang pekerja pengiriman barang, pernah menjalinkan hubungan dengan seorang gadis sekolah berusia 15 tahun. Pada masa itu, usia beliau sekitar 26 tahun.
'Hubungan kami tidak panjang sebab cita rasa kami jauh berbeza. Gadis itu masih nak keluar enjoy bersama teman-temannya. Dia minta itu dan minta ini daripada saya. Sebab saya hanya kerja sebagai Mat Despatch, perit juga untuk memenuhi segala keperluannya,' kata bapa dua anak yang akhirnya menamatkan zaman bujangnya dengan seorang pekerja kilang yang hanya dua tahun lebih muda daripadanya.
Encik Abdul Aziz akur sifat manja-manja pada gadis yang beliau panggil Lin itu menarik perhatiannya. Tidak terlintas pula soal perkahwinan walaupun pernah secara mengusik beliau bertanyakan hal itu kepada Lin yang dikenali kerana tinggal di kejiranan yang sama dengannya di kawasan timur Singapura.
'Tapi, bila dia tarik muka panjang saja, saya tahu dia belum bersedia. Dari situlah, saya tahu, tak mungkin 'menjadi' hubungan dengan seorang budak sekolah. Kita dah matang dan bersedia untuk kahwin. Mereka masih mempunyai cita-cita panjang untuk sambung belajar. Tak adil kalau kita ajak dia kahwin dan cita-citanya terbengkalai, bukan?' katanya.
#3 Bila ada yang mengambil kesempatan
Encik Mohd Izzudin Ahmad, 27 tahun, seorang eksekutif perkapalan pula berkata hubungan sebegini ada kalanya 'plastik' sebab masing-masing ingin mengambil kesempatan.
Dalam halnya yang pernah bercinta dengan seorang gadis sekolah menengah berusia 16 tahun, dua tahun lalu, terasa seakan dirinya yang dipergunakan dan akhirnya dikecewakan.
'Orang selalu kata kita, si 'abang-abang' ini akan ambil kesempatan dan fikir bukan-bukan - nak bermesra dan meragut kesucian si gadis sebab nafsu-nafsi. Namun, dalam hal saya, saya yang terkena!
'Si gadis pula mempergunakan saya macam sugar daddy dia. Dia nak apa-apa dia minta saya duit. Beli itu, beli ini... semuanya barangan berjenama. Dia juga 'tayangkan' saya di depan teman-temannya sebab kita ni ada kereta. Jadi macam drebar dialah! Tetapi, dalam diam-diam, dia ada teman lelaki sebaya! Mana tak sakit hati?' ujarnya.
Lantaran itu, langkah yang paling selamat, jelas ketiga-tiga daripada mereka - Alia, Encik Abdul Aziz dan Encik Mohd Izzudin, ialah untuk tidak terlibat dengan hubungan cinta dua generasi ini ketika salah seorang masih lagi berusia belasan tahun dan bersekolah.
'Akan ada masa bercinta suatu hari nanti. Bukan kata elakkan dari bercinta dengan 'abang-abang', tetapi dengan teman sebaya tu OK. Keutamaan anda sebagai pelajar harus diketahui. Banyak perkara menyeronokkan yang boleh anda lakukan untuk mengisi masa anda,' kata Alia lagi.
Kepada gadis-gadis, hati-hatilah kalau berkenalan di laman siber dan rangkaian sosial seperti Facebook. Jangan mudah berikan nombor telefon anda kepada sesiapa yang baru dikenali. Jangan hanya kerana kepingin ada steady, tidak berfikir dua kali.

Pencemaran - Pemanasan bumi

6 Jan 2010

KOMENTAR

Kita boleh elak pencemaran yang cetuskan pemanasan bumi

ANTARA isu hangat yang dibicarakan di arena dunia ialah perubahan iklim yang dikaitkan dengan pemanasan sejagat. Ini ada kaitan dengan teknologi dan sikap manusia.

Penciptaan alat canggih seperti komputer, telefon bimbit dan sebagainya sudah tentu menggunakan lebih tenaga elektrik. Begitu juga teknologi kenderaan, pesawat atau jentera kerja seperti mesin basuh dan alat hawa dingin.

Hal itu dapat dikurangkan, jika tidak diatasi, dengan menggunakan bahan atau alat mesra alam dan kurang menggunakan tenaga elektrik.

Pembuangan sampah atau najis secara sembarangan pula mencemari ruang udara dan alam sekitaran. Pembakaran hutan belantara hendaklah dihentikan dan pelakunya dihukum.
Pembaziran kertas dapat dielakkan dengan menggunakan kededua halaman kecuali dokumen yang perlu dicetak menggunakan sehalaman sahaja. Surat khabar lama boleh digunakan semula untuk mengelap tingkap.
Oleh kerana kertas berasal daripada kayu, pembazirannya secara langsung menghapuskan pokok-pokok di hutan sehingga menimbulkan pemanasan suhu bumi.

Kain baju lama yang tidak ingin lagi digunakan serta tidak lagi sesuai untuk diberi kepada orang lain sebagai pakaian atau sedekah, boleh dijadikan kain buruk sebagai mengelap lantai, perabot, kereta dan tingkap sebelum ia dibuang.
Ia juga boleh dijahit dan dibuat kain perca yang boleh digunakan sebagai alas meja, selimut dan sebagainya.

Sebagai Muslim, kita hendaklah menjimatkan air di saat berwuduk dan mandi. Terdapat sebahagian Muslim yang mengambil masa yang lama sewaktu berwuduk.
Sementara itu, projek pembinaan rumah pangsa atau kondominium hendaklah peka dengan faktor alam. Janganlah kerana tamakkan keuntungan menyebabkan penebangan tanaman dan penggondolan semak samun sehingga mengurangkan oksigen dan udara segar yang dihasilkan tumbuh-tumbuhan itu.

Al-Quran menyatakan bahawa kerosakan di darat dan di laut adalah hasil tangan manusia yang memperkosa alam (Surah ArRum: 41).
Selagi kita tidak melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan ini, akibatnya akan ditanggung oleh semua penduduk dunia.

Zulkiflee Ali

Sunday, November 29, 2009

Cerpen - Bintang Di Langit - Erna Salamun

22 Nov 2009

Bintang di langit

OlehErna Salamun

MALAM ini butiran berlian di angkasa seperti memberikan cahaya menambah gemerlapnya bulan yang mengambang. Setiap kali kilauan berlian ini menyapa indra penglihatanku, hati kecilku bergerak pantas mencari-cari jawapan yang tidak pasti. 'Di manakah dia? Di manakah penghuni angkasa yang telah mengukir janji dan melakar mimpi-mimpiku?' Namun, jauh di lubuk hatiku, aku menyedari bahawa setiap jawapan itu tidak mungkin terpampang di ruang mataku dan tidak akan mengalir deras, sederas air terjun Niagara Falls. Tanda tanya yang sering menoreh garisan luka lama itu timbul lagi malam ini tanpa dipaksa, tanpa dicari dan ia seperti sengaja bercanda ria dengan kekosongan mindaku.
Deru ombak bergandingan dengan kedinginan angin pantai, disulami pula kegelapan malam yang terpalit sedikit dengan cahaya rembulan. Aku tidak keseorangan. Suamiku dan Mira, cahaya mata hasil ikatan suci kami, sering berada di sisi setiap kali teringin merehatkan tulang empat kerat sambil menghirup udara pantai. Malam ini sama seperti hujung minggu yang lainnya; kami mengambil angin di tepi pantai Changi dengan sekali- sekala ditemani dengungan enjin kapal terbang yang bakal mendarat dan yang baru berlepas di landasan Lapangan Terbang Changi. Itulah acara mingguan kegemaran kami sekeluarga; duduk, bersantai sambil menghirup angin segar dan mengagumi kilauan bintang di langit.
MENGUSIK KENANGAN
Seperti malam minggu yang lainnya, sang rembulan yang mengeluarkan cahaya menerangi bumi menjadi sahabat karib butiran berlian yang menyapa sanubariku. Setiap kali kilauan berlian terpancar, saat itu jugalah aku akan mengingatinya. Mengingati kata-kata manis yang pernah bermain di telingaku. Bukan aku menodai cinta suamiku, aku mencintai suamiku sepenuh hati, namun perasaan dan persoalan yang sering berlegar di kotak fikiranku sering mencungkil kegelisahanku. Aku perlu jawapan pada setiap tanda tanya yang menusuk dahan-dahan hatiku. Cinta dan doaku sentiasa tertambat pada suami yang aku cintai. Tidak pernah terlintas di fikiranku untuk melukakan jiwa insan yang bergelar suami ini. Terlalu banyak pengorbanan suamiku terhadap diri ini. Tetapi aku tetap inginkan jawapan yang pasti, kerana aku tetap insan biasa yang dahagakan kebenaran yang dihiris itu. 'Mungkinkah soalan pada setiap pertanyaan itu terdampar jauh di cakerawala?'
Sudah hampir lima tahun aku bergelar isteri. Cahaya mata kami, Nur Mira Qistina, lahir selepas dua tahun kami diijabkabul. Dialah permata, dialah penawar hidup kami. Aku menerima pinangan pihak suamiku lebih kurang enam tahun yang lalu. Insan yang asing bagiku itu, berjaya menawan hatiku dengan sifatnya yang penyabar dan amat romantis. Kami bernikah lebih kurang lapan bulan selepas bertunang. Suamiku berjaya mengubati perasaanku yang terumbang-ambing dibawa bersama ganasnya lautan dunia ketika itu. Seperti kisah perkahwinan zaman 1940-an, kami bercinta setelah sah menjadi suami isteri. Tanpa mengenali hati budi masing-masing, kami memulakan perjalanan hidup ibarat mulanya pembinaan jambatan yang akan menerobos ke seluruh pelusuk dunia. Jatuh bangun kehidupan berumah tangga kami harungi bersama. Sejak itu kunci hatiku berada di genggamannya. Namun, suamiku menyedarinya. Dia sedar aku memerlukan dorongan kuat agar menamatkan mimpi duka akibat percintaan yang lalu. Sehingga kini suamiku tidak pernah mendesak agar aku berhenti bermimpi. Setiap perjalanan hidupku sebelum aku mengenali suamiku merupakan sejarah hidupku katanya. Itu adalah hak milik diriku yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa. Apa yang nyata, suamiku mengerti bahawa aku tetap insan biasa yang tidak dapat lari daripada cebisan-cebisan kenangan silam. Malahan, suamiku tetap setia menemaniku setiap kali aku ingin melihat bintang.
IRC
Perbualan di bilik IRC merubah laluan hidupku. Di situlah aku mula mengenal ramai kawan yang sama-sama menjadikan ruang siber gelanggang mencari kenalan. Aku sedar, mengenali manusia siber mendatangkan risiko yang tinggi. Tidak semua yang diutarakan benar belaka. Tipu helah menjadi permainan. Bilik IRC Warong juga tidak terkecuali, tetapi seperti tarikan lebah pada bunga, tempat ini menjadi teman karibku setiap malam. Aku mula mengenali rakan-rakan di sana. Selepas enam bulan berkenalan menerusi ruang siber, kami mula mengaturkan acara pertemuan beramai-ramai. Melalui pertemuan-pertemuan inilah kami semakin rapat. Paling kurang seminggu sekali kami akan lepak di Starbucks. Kami mula mengenali setiap anggota kumpalan IRC Warong dengan lebih dekat. Sehinggakan ada beberapa kenalan yang bertemu, bercinta dan mendirikan rumah tangga.
Di situlah aku mula mengenali Aidil. Pemuda berwajah kemerahan ala hero filem Korea yang sering menjadi igauan, bak tarikan besi semberani. Sikapnya yang suka berjenaka dan peramah menjadi perbualan gadis-gadis yang memang mencari pasangan bercinta. Bagi diriku pula, Aidil sangat kuhormati tidak lebih daripada seorang abang. Persabahatan yang bermula di bilik IRC kemudian berpindah ke talian SMS. Siang malam kami saling menghantar SMS. Talian persahabatan yang semakin erat ini membolehkan aku dan Aidil meluahkan masalah hidup dan bersama-sama mencari jalan penyelesaiannya. Aku dengan masalahku di pejabat, Aidil dengan masalah cintanya yang tidak kesampaian. Aku menjadi tempat dia meluahkah keluh-kesahnya. Aku tahu Aidil memendam perasaan terhadap seorang gadis manis dalam kumpulan kami. Malangnya, setiap luahan cintanya ditolak oleh gadis tersebut. Aku sering memberi sokongan kepadanya agar tidak berputus asa. Namun tanpaku sedari, aku terlibat sama. Hatiku disulam kasih. Perasaan cinta mula menjelma. Setiap kali Aidil bersenda dan menghantar SMS berbaur rindu kepadaku, aku gembira bukan kepalang. Tetapi aku malu jika Aidil menyedari tentang perasaanku. Aidil tentu mempersendakanku.
Dalam diam aku mula menyepi, aku sedar Aidil mencintai orang lain, walaupun sekadar cinta yang bertepuk sebelah tangan. Aku tidak mahu persahabatan ini tercemar. Aku mula dingin terhadap gerak lakunya. Aku jarang menghadiri pertemuan mingguan kami. Akhirnya, perubahan sikapku tetap dikesan. Aidil pernah bertanya mengapa tiba-tiba aku berubah. Setiap kali ditanya aku memberikan alasan dibebani masalah pekerjaan. Mujurlah pada masa yang sama aku dihantar oleh majikanku untuk menjalani latihan di Osaka, Jepun, selama enam bulan. Aku tidak mahu Aidil mendapat tahu tentang perasaan yang aku sendiri baru menyedarinya. Selama enam bulan itulah aku cuba melupakannya. Aku tidak menghubunginya melalui SMS atau perbualan di bilik IRC. Aku tidak menghiraukan setiap e-mel yang dihantar. Aku sekadar meluahkan isi hatiku di dalam diari yang menjadi teman setiaku selama aku berada di sana. Aku sering berdoa agar aku dapat melupakannya.
MENCARI KEPASTIAN
Sebaik sahaja aku menghirup udara segar tanah airku, aku dihujani berita bahawa Aidil sering bertanyakan khabarku kepada teman-teman IRC. Aku sedar perasaanku terhadapnya mungkin diuji jika aku menghubunginya. Aku bertekad mendiamkan diri. Tetapi entah mengapa, aku kecundang juga, aku menghubunginya selepas seminggu berada di tanah air. Bermacam alasan terpaksa aku sajikan setelah pertanyaan daripadanya menyerangku bertubi- tubi. Alasan-alasan yang aku sendiri tidak mudah mempercayainya. Aidil mengeluh dalam pengakuannya bahawa dia seperti kehilangan tempat bergantung selama ketiadaanku. Menurutnya, kerlipan bintang di langit juga ibarat tidak mahu menyinari malam-malamnya. Aku pula mematikan diri, memendam perasaan. Dia menjadi Tuk Selampit yang dahaga bercerita. Cerita-cerita yang tidak perlu aku duga. Tetapi ada perkembangan dalam jalan ceritanya. Cerita tentang kejayaannya bertemu dengan gadis yang dicintainya ibarat lagu rock yang menikam gendang telingaku. Entah mengapa perasaan marah menyelubungi tubuhku, tetapi seperti biasa aku tetap menjadi pendengar setia. Aku kecewa, semasa pemergianku, dia bercanda dengan gadis itu rupanya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu isi hatiku. Namun, di sebalik duka, aku gembira sekurang-kurangnya gadis itu sudah mula mendekatkan dirinya pada Aidil. Aku pasrah dalam ria. Aku tidak boleh ikutkan perasaan. Aku harus melakukan sesuatu. Ternyata enam bulan tidak cukup untukku melupakannya. Rupanya tali-temali cintaku kian kukuh. Jiwaku seperti terumbang-ambing di lautan cinta yang bergelora. Aku tidak mahu menodai persahabatan kami, aku tidak berani meluahkan perasaanku. Aku berusaha mencari jalan keluar, dan seperti orang mengantuk disorongkan bantal, aku menemukannya.
Kekalutan perasaan ini membuat aku menerima pinangan Mak Cik Salbiah bagi pihak anaknya. Aku tahu, aku tidak jujur dengan diriku. Sementara ibu pula memang sudah lama berhajat untuk menjodohkan aku dengan anak teman karibnya yang baru pulang dari Mesir itu. Segala persiapan majlis pertunangan itu aku serahkan kepada ibu. Melihatkan kegembiraan ibu ingin menerima calon menantu, aku tidak sampai hati untuk membakar harapannya. Tetapi entah mengapa aku tidak mampu untuk turut sama merasakan kegembiraan ini. Aku pula tidak pernah bersua muka dengan bakal tunanganku, Ridzuan. Aku sekadar mengenalinya melalui cerita-cerita ibu tentang anak Mak Cik Salbiah. Berita ini aku sampaikan kepada Aidil kerana ingin menjemputnya bersama-sama meraikan hari pertunanganku nanti. Dia tampak bahagia menerima berita itu. Tiada sebarang riak perubahan dalam air mukanya. Dalam diam aku kecewa. Oleh kerana pertunanganku akan berlangsung dalam masa tiga minggu, aku sudah jarang meluangkan masa berbual di IRC atau bertemu rakan-rakan IRC yang lain, termasuk Aidil. Kali terakhir kami bertemu adalah sewaktu aku mengkhabarkan berita tentang majlis pertunanganku. Itupun dalam perbualan singkat sewaktu dia menjemputku pulang dari tempat kerjaku.
JODOH
Sabtu, 6 Februari 2000. Penantian yang menggembirakan keluargaku tiba akhirnya. Selepas waktu zuhur, aku akan ditunangkan dengan Ridzuan. Ibuku adalah antara orang yang paling bahagia pada hari itu. Aku pula sekadar menunggu penuh debaran, tidak pasti apakah perasaanku ketika itu. Rakan-rakan karibku di IRC tiba, termasuk Aidil. Entah mengapa, aku seperti tidak inginkan kehadirannya. Kalau boleh, aku ingin sahaja lesap ke ruang udara. Aku sedar aku terlalu mencintainya. Jiwaku tidak kuat untuk menghadapi saat itu. Aku tidak mampu mengecewakan ibu dan keluargaku. Aku tidak mahu menghancurkan harapan Ridzuan, walaupun aku tidak pernah mencintainya. Namun, aku tidak harus melukakan perasaannya. Aku sedar aku harus memberi peluang kepada diriku untuk menerimanya. Mungkin Ridzuan juga mengalami debaran yang serupa. Tetapi yang nyata, Ridzuan tidak pernah menunjukkan sebarang reaksi bahawa dia tidak mahu menerimaku. Mungkin inilah peluang bagi diriku untuk meneruskan kehidupanku. Walau bagaimana berat rasanya kaki ini untuk dibawa berjalan sekalipun, aku harus meneruskan perjalanan ini, sekalipun dalam keadaan pincang.
Sebaik sahaja wakil daripada kedua-dua belah pihak menetapkan jumlah hantaran dan tarikh pernikahan kami, aku semakin tidak keruan. Ibu saudara Ridzuan, menyarungkan cincin pertunangan bertatah berlian ke jari manisku. Ucapan tahniah dan ciuman mesra daripada kaum keluargaku seperti menyedarkan aku bahawa aku kini tunangan orang. Aku sekadar tersenyum di dalam tangisan yang terpendam. Rakan-rakanku pula mula merakam gambar bersamaku untuk dijadikan kenang-kenangan. Di sebalik keriuhan itu, aku ternampak kelibatnya berdiri di pintu. Aidil menghampiriku dan menghulurkan tangannya sebagai tanda ucapan tahniah. Tanpa sedar aku menyambut tangannya buat kali yang pertama. Tangan kami bersentuhan, dan untuk beberapa saat aku merenung wajahnya. Renungan matanya yang dalam seperti ingin berkata-kata kepadaku. Aku terasa seperti ada kejutan elektrik yang menembusi rongga-rongga sendiku. Aku seperti ingin menjerit dan menangis dalam dakapannya. Aku seperti tidak mahu menghiraukan setiap mata yang memandangku. Aidil mematikan lamunanku dengan ucapan tahniah dan sebuah bungkusan hadiah yang dihulurkan kepadaku, lalu meminta izin pulang kerana ada hal, katanya. Dia berlalu dengan senyuman dan renungan yang membawa seribu tanda tanya. Majlis pertunanganku berakhir dengan perasaanku yang tidak menentu.
Sebaik sahaja semua tamu meninggalkan rumahku, aku membuka bungkusan-bungkusan hadiah satu persatu. Bungkusan yang disaluti kertas pembalut keemasan, hadiah pemberian Aidil, adalah yang terakhir aku buka. Ada sebuah warkah dengan tulisan tangan yang meliuk indah di dalamnya berserta sehelai tudung sutera.
Adindaku, Rita.
Sebelum abang memulakan bicara. Seribu kemaafan abang pohonkan. Bukan niat abang untuk menggores hatimu jauh sekali menagih simpatimu. Abang mengaku kalah, abang kecundang dalam pelayaran yang tidak berkemudi, peti perasaan ini tidak dapat menanggung rahsia yang sudah sekian lama tersembunyi. Abang sedar ketika ketiadaanmu enam bulan yang lalu, abang kehilangan arah. Namun dalam pada itu, Abang seperti disuluh sinaran baru yang mengeluarkan cahaya seterang kilauan matamu. Abang mula sedar kehadiran insan bernama Rita yang mungkin dianugerahkan untuk insan kerdil seperti abang. Kenyataan pahit bahawa Abang tidak pernah menghargaimu ibarat memakan diri sendiri. Abang mula sedar bahawa abang tidak mampu menghadapi kehilanganmu. Abang mula merindui saat-saat bersamamu. Abang tahu, Abang sering menceritakan perasaan cinta Abang terhadap gadis lain, tetapi realitinya cukup berbeza. Abang sering mengidamkan sentuhan lembut wajahmu. Abang merindui reaksi marahmu setiap kali Abang menceritakan tentang gadis itu. Abang mimpikan secebis reaksi yang melakarkan aku cinta padamu yang mungkin berbaur harapan dalam hubungan kita. Apa yang nyata, Abang sebenarnya memendam perasaan cinta terhadapmu, yang hanya disedari ketika Rita meninggalkan Abang enam bulan yang lalu. Ya, Rita. Abang dahagakan ubat pembangkit cintamu. Maafkan abang. Abang sedar, sudah tiada gunanya untuk meluahkan perasaan ini. Abang ingin Rita bahagia di samping tunangmu. Tetapi, Abang cuma ingin Rita menyedari ada insan yang mengingatimu dalam setiap doanya. Bintang di langit yang Abang janjkan suatu ketika dahulu Abang titipkan agar sentiasa menyinari hidup Rita. Biarlah Abang sekadar menjadi bintang, menyinari hidupmu dari jauh. Berbahagialah Rita. Abang akan sentiasa berdoa akan kesejahteraan hidupmu. Rita, Abang terpaksa berangkat ke Australia malam ini. Abang akan meneruskan pelajaran di Australia selama dua tahun. Doakanlah keselamatan dan kesejahteraan diri Abang. Semoga Allah pertemukan kita suatu hari nanti. Lihatlah bintang jika Rita merindui Abang. Izinkan Abang menyimpan diari Rita yang tertinggal di dalam kereta Abang kelmarin. Abang tidak berniat untuk menodai kepercayaanmu. Izinkanlah Abang menjadikan diari Rita kenangan cinta yang terpendam. Maafkan Abang.
Salam Sayang Dariku,
Aidil Hakim.
Seluruh tubuhku membeku dan kedinginan merayap ke tulang-belulangku, nafasku seperti tersekat- sekat mencari udara. Setiap kata-kata dan renungan tajamnya berselang-seli di mindaku. Aku mencapai telefon bimbit dan cuba menghubunginya. Ternyata tiada deringan menyambut penantianku. Aku cuba mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan yang lain, namun tidak seorang pun tahu tentang pemergiannya.
Sejak hari itu, sudah berpuluh-puluh e-mel aku hantar sebagai pengganti diri tetapi tetap tidak dibalasnya. Aku cuba menghubunginya menerusi telefon bimbit tetapi sia-sia juga. Soalan demi soalan tentang kejujuran kata-katanya menjadi tanda tanya dalam hidupku. Benarkah dia mencintaiku seperti perasaanku terhadapnya? Atau dia sekadar mempersendakan perasaanku selepas terbaca diari itu? Tetapi mengapa dia menghilang? Mengapa dia tidak menghubungiku atau membalas e-mel aku? Selama beberapa bulan selepas peristiwa itu, aku ibarat patung bernyawa. Tiada sebarang jawapan kutemui. Aidil pula mendiamkan diri entah ke mana. Ketika itu aku tidak pasti jalan mana yang harus aku lalui. Mujurlah tunangku Ridzuan sangat memahami keadaanku dengan pengertian yang penuh keikhlasan. Dalam diam Ridzuan cuba memikat hatiku dengan memberikan aku ruang untuk melayari perasaanku. Kesabarannya terhadap diriku ternyata memperlihatkan keikhlasannya untuk menjadikan aku permaisuri hidupnya. Akhirnya aku mula menyedari statusku sebagai tunangannya. Aku mula berjinak-jinak dengan perasaan cinta terhadapnya. Aku mula sedar, aku sudah mula menanamkan bibit-bibit asmara terhadap Ridzuan yang kini suamiku, walaupun dia bukan jejaka pertama dalam hidupku. Apa yang nyata, Ridzuanlah lelaki yang memiliki berjuta-juta bintang yang menyinari bahtera hidupku.
'Mama! Tengoklah bintang tu dah hilang!' teriak Mira.
Lamunanku terhenti dengan suara riang Mira. Aku menoleh ke arah suamiku yang sedang tersenyum melihat gelagat kami.Mungkin inilah hadiah pemberian Aidil yang sangat berharga. Mungkin juga apa yang berlaku selama ini membawa rahmat ke atas kebahagiaanku.

NOTA: Penulis, guru Bahasa Melayu dan Sastera di Sekolah Menengah Hong Kah, dilahirkan di Singapura pada 31 Mei 1975. Beliau meminati bidang penulisan sejak di bangku sekolah dan semakin meminati bidang ini ketika di Universiti Malaya di bawah asuhan Encik Samsudin Othman. Hasil cerpen ini disediakan sewaktu menuntut di Universiti Malaya beberapa tahun lalu dan baru kini berani menghantarnya ke Berita Minggu atas sokongan dan rangsangan rakan-rakan sealiran. Penulis berasa kagum dengan semangat penulis-penulis tempatan seperti Mohamed Latif Mohd, Isa Kamari dan Rohani Din yang menulis bukan sahaja dengan bakat yang ada tetapi dengan minda dan hati yang ikhlas dan jujur. Beliau sangat berharap dapat sama-sama membangkitkan bidang penulisan dan menjadi contoh kepada anak-anak didik beliau agar dapat memajukan genre penulisan sastera Melayu.

Wednesday, October 21, 2009

Bahasa Menunjukkan Bangsa Di Bawah Penjajah

21 Okt 2009
KOMENTAR
E-MEL DARI HAWAII

Bahasa menunjukkan bangsa di bawah penjajah

Oleh M. Effendy A. Hamid

BARU-BARU ini saya terbaca tentang Arkib Negara di Kew, Britain, yang menyajikan sebuah pandangan sejarah yang 'anti-British'.
Empayar Britain dipaparkan sebagai 'amat menindas' ke atas anak peribumi jajahannya. Para ilmuwan berpendapat pameran itu 'tidak seimbang' dan berunsurkan sebuah pandangan yang 'memesongkan'.
Paling menimbulkan tengkarah ialah sudut 'Power and the People' ('Kuasa dan Rakyat') yang menyorot 'perjuangan warga negara untuk hak mereka'.
Namun, yang membuat rakyat British marah ialah perihal layar yang mencatatkan 'Empayar dan Penjajahan'. Antara lain ia menyatakan:
'Kesan ekonomi dan sosial penjajahan pada penduduk peribumi ini sangat menindas dan tidak saksama yang mencetuskan gerakan nasionalis untuk menuntut kemerdekaan.'
Banyak lagi aspek pameran itu, tetapi saya sangat tertarik dengan ulasan kalangan rakyat Britain.
Antara kritikan ialah pameran itu mengabaikan kebaikan Empayar British kepada negeri jajahannya.
Contohnya, British mendirikan sistem kereta api yang terbesar di dunia di India. British juga meluaskan sistem kehakimannya.
Ada rakyat British berpendapat Britain harus berhenti meminta maaf mengenai tindakannya yang silam.
Pada kemuncak penguasaannya, Britain menakluki sepertiga bahagian dunia - dari Canada sehingga Sabah. Hal ini dipaparkan pada keanggotaan Komanwel (53 negara). Selain kesan negatif, memang ada sumbangan penting British.
Namun, aspek yang membuat saya merenung sejenak ialah hujah seorang ilmuwan bahawa rakyat yang dijajah (subjects of the Crown) untung dari segi kebendaan dari segi darjat, pemilikan hartanah dan juga kemudahan sosial dan politik.
Tambahnya, tidak semua masyarakat dan orang yang dijajah 'sangat tertindas' dan tidak semua masyarakat dijajah menyambut atau peduli akan semangat nasionalisme atau kemerdekaan.
Bagi saya, ilmuwan British itu hidup di planet lain agaknya. Beliau cuba menegakkan benang basah dengan tidak peduli erti hak asasi rakyat terjajah yang dicapai menerusi gerakan nasionalis dan kemerdekaan.
Kita boleh menangkis tanggapan ilmuwan itu dengan mudah bahawa:
pertama, semangat antipenjajahan bermula dengan kekalahan penjajah Barat dalam Perang Dunia Kedua; dan
kedua, pemikiran benci penjajah tidak terbatas tetapi dikongsi oleh seluruh elit di Asia Tenggara, misalnya.
Yang menjadi persoalan ialah perspektif daripada rakyat jelata. Apakah yang boleh kita katakan mengenai rakyat biasa?
Cara British berkomunikasi dengan orang Melayu, misalnya, dapat mengungkapkan corak antara tuan dengan hamba. Ini terpapar pada buku berjudul The Traveller's Malay Pronouncing Handbook (cetakan pertama 1886).
Ia amat popular sehingga diulang cetak berkali-kali. Versi yang saya baca ialah cetakan yang ke-11 terbitan tahun 1917 di Singapura.
Buku ini bertujuan menyiapkan pendatang Eropah yang bermastautin di Singapura atau pengembara Eropah yang memasuki Dunia Melayu.
Buku ini ada dua bahagian. Bahagian pertama memberi maklumat tentang kosa kata seperti nombor, nama hari, makanan dan pakaian.
Namun, yang membuat saya terpegun ialah bahagian kedua buku itu - berisi kata dan frasa dalam dialog harian dalam zaman penjajahan - antara tuan dan mem dengan pekerja setempat.
Dialog tadi menonjolkan kedudukan tinggi orang Eropah untuk 'menyuruh' atau memberi arahan kepada 'babu' (pembantu rumah) mengenai bilik tidur, bilik air, dapur, pejabat dan kebun seperti dalam halaman 224:
Suroh tukang ayer mari kasi kring lantei ini Bawa satu krosi Bawa satu krosi panjang Bawa dua tiga krosi sini Bawa tropong Kasi surat khabar Kasi book itu yang di atas meja sana Kasi book yang sahya bacha pagi ini Kasi pisau kertas Bawa cherut sama korek api Bawa cherut Bawa korek api Bawa kipas Bawa minuman Bawa whisky sama soda dalam glass panjang Bawa lagi ayer batu Ada satu kreta datang; pergi ambil Mem (or Tuan) punya card Kata sahya ada sakit dan ta' bulih jumpa dengan Tuan (or Mem) Kata sahya t'ada Mem (or Tuan) buleh naik
Kita boleh bayangkan bagaimana perintah dalam dialog tadi disampaikan - penuh kuasa untuk membuat babu (tukang masak, tukang kebun, supir dan sebagainya) berasa taat dan takut.
Tetapi apakah di dalam hati atau reaksi pihak babu iaitu bangsa terjajah?
Tentulah mereka terpaksa menerima perintah walaupun hati mencuka.
Jadi, benarkah kata ilmuwan British tadi bahawa peribumi dijajah beruntung ditadbir British?
Walaupun penjajahan Eropah telah membangunkan prasarana dan sebagainya, ini semua hanya bertujuan untuk kebaikan si penjajah. Manfaat yang dirasai yang dijajah adalah secara kebetulan atau sipi saja.
Fakta sejarah inilah yang perlu diinsafi.
James C. Scott dalam bukunya, Weapons of the Weak: Everyday Forms of Peasant Resistance, menyatakan bahawa kumpulan peribumi yang lemah bukan menerima perintah belaka.
Ada kala mereka melawan dengan melambat-lambatkan kerja - menyeret kaki, pembakaran dan perbuatan khianat yang lain.
Warga British perlu bertanya dengan ikhlas pada diri sendiri:
'Relakah saya dijajah?'

Wednesday, October 14, 2009

MENCARI HALA TUJU PENGAJIAN MELAYU

14 Okt 2009 Berita Harian

KOMENTAR

PANDANGAN
Mencari hala tuju Pengajian Melayu

Oleh
Muhammad Nadim Adam
SEDANG kian banyak anak Melayu/ Islam Singapura menempa nama dalam bidang keilmuan, kerjaya profesional, sains, kesenian sehingga sukan, terdapat keprihatinan yang perlu diberi tumpuan sewajarnya.

Pencapaian masyarakat Melayu Islam Singapura terkini akan dibentangkan pada Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) pada 31 Oktober depan. Namun, laporan CLF pada tahun 2008 menunjukkan suasana agak suram bagi masyarakat kita.

Secara ringkas, masalah keciciran dalam pendidikan formal, kelemahan dalam Matematik sejak di peringkat sekolah rendah sehingga menengah, isu kepincangan keluarga atau fenomena keluarga terpinggir kelas bawahan (the underclass) telah dilaporkan sebagai semakin membimbangkan.

Berdepan dengan realiti pedih masyarakat, kita pula disuakan dengan semacam polemik mengenai masa depan bidang Pengajian Melayu di varsiti setempat.

Ada perspektif yang mendakwa bahawa bidang Pengajian Melayu mutakhir ini menghadapi zaman gerhana berikutan dana kajian 'Dunia Melayu' yang semakin berkurangan dan penerbitan karyanya pula dikatakan 'lesu dan hambar'.

Pendekatan sains sosial di dalam pembelajaran Pengajian Melayu seakan-akan dipandang dengan nada sangsi dan sinis oleh golongan ini. Sebaliknya pendekatan hujah (contestations) tentang identiti Melayu di dalam konteks pascakolonial menjadi tunjang utama buat golongan berkenaan.

Sementara pada pihak yang lain, Pengajian Melayu bukanlah suatu bidang yang membincangkan tentang masalah bahasa dan sastera saja atau sekadar melihat Dunia Melayu melalui kaca mata pihak neoorientalis iaitu berpaksikan pada pendekatan jumud yang gemar melabelkan masyarakat Melayu dengan sifat atau ciri yang tertentu sahaja.

Dr Azhar Ibrahim Alwee berkata dalam tulisannya bertajuk Pengajian Melayu masih terus relevan (BH, 10 Oktober):

'Tradisi Pengajian Melayu memanfaatkan ilmu atau sains sosial demi membantu menjelaskan dinamika masyarakat yang dicorakkan oleh ideologi, sistem nilai, struktur ekonomi dan sebagainya seperti disiplin ilmu mapan yang lain.'

Pada hemat saya, golongan massa di luar menara gading tidaklah meraba-raba akan identiti mereka sebagai orang Melayu sehingga mencetuskan krisis yang melumpuhkan sebuah bangsa.

Hakikatnya, banyak orang Melayu tidak mendapat manfaat sepenuhnya melalui dialog kalangan ilmuwan tempatan dan luar negara yang secara berterus-terusan berpolemik mengenai takrif dan konsep 'identiti Melayu' atau geografi 'Dunia Melayu'.

Bidang Pengajian Melayu, melalui penghayatan falsafah daripada para saintis sosial klasik seperti Karl Mannheim, Emile Durkheim dan Erich Fromm, misalnya, seharusnya diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

Perspektif para cendekiawan dari Timur pula, tidak kira daripada tradisi intelektual setempat mahupun para pemikir Islam daripada era moden ataupun silam umpamanya, malah buah fikiran daripada ahli pemikir Dunia Ketiga dan cendekiawan kulit hitam dari Amerika Syarikat dan Perancis contohnya (iaitu Black Pride Movement), adalah merupakan cabang-cabang ilmu yang dapat memberi pandangan dunia (weltanschuung) yang lebih menyeluruh dan menambah nilai (value added) kepada nilai falsafah dan sikap masyarakat Melayu.

Namun di dalam kerancakan kita membahaskan kaedah (metodologi) dalam pengajaran Pengajian Melayu hari ini, cabaran yang tidak kurang pentingnya ialah menimbangkan sama ada ilmu yang ditimba melalui bidang Pengajian Melayu dapat digunakan oleh masyarakat umum untuk menangani cabaran semasa dan perdana?

Pendekatan sains sosial sebenarnya mengingatkan betapa masyarakat memang tidak bersifat homogen (sama saja).

Kehidupan harian kita dipengaruhi oleh sistem sosial yang bertindak secara dualisme - iaitu keadaan kita yang terdedah untuk dipengaruhi oleh sistem sekitaran sekeliling (ecological environmental system) dan juga kemampuan kita untuk mempengaruhi ruang sekeliling kita (social empowerment).

Demi memperkukuh Pengajian Melayu, kita tidak mampu mengambil pendekatan sekadar merindui zaman keagungan kerajaan Melayu yang silam, hanyut dalam keindahan dan kehalusan seni halus warisan Melayu itu sendiri atau sewenang-wenangnya menuding jari kepada kezaliman sejarah (sense of historical victimization).

Para pendukung Pengajian Melayu harus bijak menggunakan ilmu yang diperolehi sebagai wadah memperkasakan bangsa Melayu (self-empowerment) dan memupuk jiwa merdeka - bebas daripada belenggu penindasan, ketidakadilan dan jiwa kehambaan di kalangan sesama manusia (self-emancipation).

Cabaran utama Pengajian Melayu di dalam konteks masyarakat Melayu Islam Singapura hari ini adalah untuk merealisasikan segala idealisme akademik yang telah dikaji dan diterbitkan dalam bentuk lisan, cetak dan digital agar sampai kepada rakyat.

Tiada ertinya ilmu tadi hanya di bibir dan pena cendekiawan menara gading atau jurnal akademik kerana sukar difahami rakyat.

Sebaliknya, para pendukung bidang Pengajian Melayu harus memastikan bahawa segala idea mereka dapat dimanfaatkan dalam kehidupan harian.

Jika tidak, ditakuti polemik di menara gading hanya tinggal bahasan idea yang tidak berpijak di bumi nyata.

Nota: Penulis antara mahasiswa terbaik Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), dan kini pegawai penyelidik di sebuah badan Islam.

PENJAJAHAN MENERUSI BAHASA & ILMU

14 Okt 2009 Berita Harian

KOMENTAR

E-MEL DARI HAWAII
Penjajahan menerusi bahasa dan ilmu

Oleh
M. Effendy A. Hamid

MINAT pada perkamusan Melayu kini terpapar di Amerika Syarikat. Baru-baru ini, Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat telah memperuntukkan dana AS$534,000 ($747,000) untuk membangunkan sebuah kamus Melayu dalam talian (multimedia online learner's dictionary modern Malay).

Projek tiga tahun itu pimpinan Profesor Dr James T. Collins, sarjana Pengajian Melayu yang terkenal dan mengetuai Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Illinois Utara (NIU).

Hujah Dr Collins, projek itu genting untuk menghasilkan sebuah kamus berbilang media yang mudah dimanfaatkan oleh pelajar bahasa Melayu.

Memang terdapat kamus Melayu di Internet seperti karyanet dan Kamus Besar Indonesia. Namun beliau berpendapat, kebanyakannya sangat terhad dan kekadang istilahnya (termasuk terjemahan Inggeris) tidak tepat.

Perkembangan itu mencerminkan perkembangan yang menggalakkan mengenai Pengajian Melayu atau Asia Tenggara di Amerika Syarikat.

Kini kamus cetak macam sudah lapuk. Ini disebabkan pelajar lebih suka menggunakan Internet, apatah lagi di negara maju seperti Amerika.

Dilaporkan, pasukan projek kamus NIU akan menggunakan kepakaran sarjana Amerika, mahasiswa dan siswazah NIU serta penutur asli bahasa Melayu.

Kamus dalam talian itu luar biasa kerana penyumberan luas dan mengandungi butiran ala ensiklopedia dalam bentuk elektronik iaitu audio, foto dan video.

Zaman berubah. Dulu, minat Barat pada kawasan Timur termasuk Dunia Melayu didorong oleh keinginan untuk berkuasa atau menjajah.

Tetapi adakah minat tadi pada Amerika, adikuasa tunggal dunia?

Bernard Cohn dalam bukunya, Colonialism and Its Forms of Knowledge: The British in India, telah mengupas kegiatan dan kesan penjajah British di India.

Tegasnya, penjajahan bukan saja bermakna menguasai tanah dan masyarakat setempat secara zahir bahkan juga merangkumi keilmuan di India.

Di India, British memasuki 'dunia baru' dan cuba belajar bahasa-bahasa utamanya demi meraih maklumat dan ilmu. Dengan kegigihan penterjemahan, 'fakta pelik dan kurang difahami' tentang masyarakat yang dijajah itu dapat difahami (knowable) kepada British.

Jadi, penjajahan ilmu bermula dengan mempelajari bahasa setempat. Menurut Cohn, penguasaan bahasa Parsi, Arab dan Sanskrit dan juga bahasa setempat yang lain oleh pentadbir Inggeris telah membolehkan British berada lama di India.

Matlamat utama institusi pelajaran yang ditubuhkan British di India adalah melatih para pegawai pentadbirnya tentang bahasa dan kebudayaan India. Dengan cara ini, mereka dapat dipersiap untuk mentadbir dan mengawal masyarakat setempat berdasarkan perundangan yang ada.

Saya amat tertarik pada proses pengumpulan 'fakta' - mempelajari bahasa klasik dan setempat India antara tahun 1770 dengan 1785.

Menurut Cohn, usaha tadi membentuk radas yang membolehkan lagi proses transformasi ilmu India kepada 'bentuk Eropah' - agar mudah difahami pembaca Eropah dalam bentuk dan struktur tatabahasa, kamus dan sebagainya.

Dengan cara ini, para pentadbir British lebih halus dan bijak mengenai sistem budaya, masyarakat dan politik India.

Hal serupa dilakukan British di Tanah Melayu dalam awal abad ke-19 Masihi. Transformasi bahasa Melayu kepada bentuk Eropah ini boleh dilihat pada karya William Marsden, A Grammar of the Malayan Language (nahu Melayu), yang dicetak pada 1812 Masihi.

Marsden menetapkan struktur pada bahasa Melayu dengan menggunakan struktur bahasa Inggeris iaitu konsonan, vokal, tanda ortografik, penjenisan perkataan, bahagian pidato, kata benda, adjektif (rupa nama), sistem angka, ganti nama pertama, kedua, ketiga, kata perbuatan, rentak dan sebagainya.

Bak hujah Cohn, bahasa masyarakat yang dijajah mesti dijadikan sebuah objek penyelidikan bahasa yang saintifik (linguistik) sehingga bentuk dan isinya difahami sarjana Eropah.

Jadi, bahasa juga macam serangga, haiwan dan flora yang ditangkap dan diletak dalam makmal untuk dibedah dan dikategorikan untuk pengetahuan si penjajah.

Jadi, adakah hal serupa pada NIU dalam membina sebuah kamus Melayu siber?

Adakah ini merupakan lanjutan zaman penjajahan tetapi dalam bentuk canggih?

Mengapa tidak dana besar itu disalurkan kepada universiti di Asia Tenggara termasuk Dunia Melayu untuk membuat perkara sama? Bahkan di rantau ini, terdapat banyak bahasawan ternama dan arif memahami cita rasa bahasa dan budaya masyarakat dan pemikiran Melayu.

Namun dana setengah juta dolar Amerika itu macam setitis di lautan dalam rangka hubungan luar Amerika.

Kos membiayai perang di Afghanistan dan Iraq pada tahun 2009 sekitar AS$170 billion.

Jika jumlah ini digunakan untuk membangunkan pendidikan di negara miskin, alangkah baiknya?

Saturday, October 3, 2009

Tiada Salah Rai Aidilfitri Cara Melayu

1 Okt 2009

KOMENTAR

PANDANGAN
Tiada salah rai Aidilfitri cara Melayu
Oleh
Pasuni Maulan
MEMPERSOAL cara orang Melayu menyambut Aidilfitri secara kurang cermat tanpa melihat semangat ia dirayakan hanya akan menambahkan kekeliruan masyarakat seperti tulisan Zulkifli Mohd Saad bertajuk Hari Raya orang Melayu keliru? (Berita Minggu, 27 September 2009).

Masyarakat Islam di sini masih mengekalkan syariat dengan menghidupkan sunah yang digalakkan, seperti mengumandangkan takbir dan berbondong-bondong ke masjid untuk menunaikan solat Raya.

Ketika merayakannya pula, kita harus bersedia menerima kepelbagaian yang ada jika tidak bertentangan dengan ajaran Islam; itulah keunikan Islam kerana terdapat warna-warni yang indah.

Kepelbagaian atau perbezaan juga terdapat dalam hukum fikah berbentuk cabang atau furuk dalam mazhab ahli sunah waljamaah.

Benar atau salah cara merayakan Aidilfitri bukanlah diukur daripada apa yang dilakukan dalam sesebuah keluarga atau dilakukan masyarakat. Umpamanya, kosa kata Aidilfitri yang yang terus diguna pakai. Seharusnya kita menyebut 'Eidul Fitri' sesuai dengan maksud perayaan itu sendiri.

PERUBAHAN

Masyarakat kita telah menjalani evolusi dan cuba menyesuaikan cara menyambut Hari Raya seiring dengan ajaran Islam.

Mislanya, pada masa lalu apabila diadakan perjumpaan Hari Raya akan diadakan peraduan memilih ratu Hari Raya atau anak-anak tertumpu ke tempat hiburan, tetapi ia telah dikurangkan atau telah hilang.

Masyarakat kita juga telah berjinak-jinak mengucapkan tahniah menggunakan perkataan 'minalaidinwalfaizinwalmaqbulin' yang sebelum ini jarang disebutkan.

Kita tidak seharusnya kaku dengan membataskan ruang yang sempit dengan mengikut model tertentu ketika merayakan Aidilfitri. Mereka yang tinggal di Bosnia atau di Bangladesh merayakannya mengikut budaya mereka dan masyarakat Islam di Singapura atau di Malaysia dan Brunei pula dengan cara kita.

BERMAAF-MAAFAN

Puasa sepanjang Ramadan bertujuan meningkatkan ketakwaan. Antara sifat takwa ialah membina hubungan yang baik dengan Maha Pencipta melalui usaha dan kerja keras mengawal perasaan, hati dan keinginan.

Setelah berjaya membina hubungan yang baik dengan Maha Pencipta, maka langkah selanjutnya ialah membina hubungan yang baik sesama manusia. Kerana itulah kunjungan Hari Raya disertai dengan saling memohon maaf, dengan harapan apa jua kesalahan yang dilakukan dapat dimaafkan

Sebagai manusia lemah, kita sentiasa terdedah melakukan kesilapan dan kadangkala melakukan kesalahan secara tidak sengaja atau sengaja kerana menurut perasaan dan hati. Kedatangan Syawal memberi peluang meminta maaf. Memohon kemaafan harus dilakukan setelah seseorang sedar akan keterlanjurannya.

Membiarkannya tertangguh lama memungkinkan hati yang tersentuh menyimpan perasaan marah dan dendam. Memohon maaf tidak bererti memelayukan Aidilfitri tetapi ia adalah penghayatan hidup beragama dan diamalkan dalam masyarakat seraya Syawal.

MENANGIS

Di Masjidilharam, takbir Aidilfitri dialunkan dengan irama tertentu dan tidaklah kasar dan agak pendek. Demikian juga laungan azan - di sana berbeza daripada irama azan yang dilaungkan pada zaman Bilal Abu Rabah (seperti yang digambarkan dalam filem Bilal).

Irama takbir Aidulfitri adalah irama yang telah sebati dalam masyarakat Islam Nusantara. Kita tidak tahu asal usul orang yang memadankannya dengan takbir Raya. Ia dibaca dengan penuh syahdu di samping mengekalkan ciri kearabannya.

Apakah salahnya jika seseorang bergenang air mata apabila mendengar takbir dialunkan? Dalam khutbah Raya Aidilfitri yang disiapkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) tersurat:

'Adakah Ramadan telah menitiskan air mata kita, tanda keinsafan dan keikhlasan mengejar dan mencari pengampunan dan rahmat Allah swt?'

Adakah menangis itu budaya Melayu atau tanda keinsafan - mungkin kerana ditinggalkan bulan penuh berkat atau kerana merayakan hari kemenangan atau sebab-sebab lain? Ia tidak bererti tangisan itu kerana irama dalam takbir.

PAKAIAN HARI RAYA

Ajaran Islam tidak menentukan jenis pakaian yang hendak dipakai semasa Aidilfitri. Rasulullah saw menggalakkan pakaian terbaik.

Bagi masyarakat Melayu amat sesuai memakai pakaian tradisi yang dikenali dengan baju kurung, pakaian yang hanya dipakai sempena masa tertentu dan bukan pakaian harian yang diandaikan penulis agar memakainya semasa ke pejabat.

Masyarakat Islam di Nigeria dan Pakistan juga ada pakaian kebangsaan yang mereka peragakan semasa beraya. Pakaian itu tidak mengubah nilai hari raya mereka untuk dinigeriakan, dipakistankan.

ZIARAH

Saling berziarah adalah satu cara mengeratkan silaturahim. Masyarakat kita sedia membuka pintu rumah mereka semasa beraya sehingga menjadi kebiasaan mengadakan rumah terbuka, memberi peluang mengeratkan lagi tali persahabatan.

Rumah yang diziarah juga dibataskan kepada mereka yang rapat dan mesra. Tidak semestinya menukar pakaian setiap kali mengadakan kunjungan. Mungkin ada yang berbuat demikian, tetapi ia bukan satu kebiasaan yang menyeluruh.

Masyarakat kita memang telah menjangkakan ketibaan tetamu, kerana itu mereka menyiapkan kuih- muih mengikut kemampuan mereka. Ia sesuai dengan ajaran Rasulullah saw yang menyuruh kita menghormati tetamu.

Apa yang perlu ialah adab berziarah dan kesediaan tuan rumah untuk menerima tetamu. Tidak wajar jika kehilangan adab dikaitkan dengan budaya Melayu.

MEMPERBAIKI

Saya setuju dengan penulis agar usah menyambut Raya di perkuburan. Kita harus bijak memilih keutamaan; mengeratkan hubungan dengan yang hidup lebih utama.

Sepanjang tahun ada 355 hari mengikut kiraan bulan Hijrah. Pilihlah salah satu daripadanya untuk tujuan itu. Gunakan peluang keemasan sambutan Aidilfitri sebaik mungkin.

Kita memang mengharapkan ubat untuk memperbaiki masyarakat, tetapi tidak semua yang pahit itu ubat. Buah kecubung juga pahit dan kalau ditelan bijinya akan memabukkan.