21 Okt 2009
KOMENTAR
E-MEL DARI HAWAII
Bahasa menunjukkan bangsa di bawah penjajah
Oleh M. Effendy A. Hamid
BARU-BARU ini saya terbaca tentang Arkib Negara di Kew, Britain, yang menyajikan sebuah pandangan sejarah yang 'anti-British'.
Empayar Britain dipaparkan sebagai 'amat menindas' ke atas anak peribumi jajahannya. Para ilmuwan berpendapat pameran itu 'tidak seimbang' dan berunsurkan sebuah pandangan yang 'memesongkan'.
Paling menimbulkan tengkarah ialah sudut 'Power and the People' ('Kuasa dan Rakyat') yang menyorot 'perjuangan warga negara untuk hak mereka'.
Namun, yang membuat rakyat British marah ialah perihal layar yang mencatatkan 'Empayar dan Penjajahan'. Antara lain ia menyatakan:
'Kesan ekonomi dan sosial penjajahan pada penduduk peribumi ini sangat menindas dan tidak saksama yang mencetuskan gerakan nasionalis untuk menuntut kemerdekaan.'
Banyak lagi aspek pameran itu, tetapi saya sangat tertarik dengan ulasan kalangan rakyat Britain.
Antara kritikan ialah pameran itu mengabaikan kebaikan Empayar British kepada negeri jajahannya.
Contohnya, British mendirikan sistem kereta api yang terbesar di dunia di India. British juga meluaskan sistem kehakimannya.
Ada rakyat British berpendapat Britain harus berhenti meminta maaf mengenai tindakannya yang silam.
Pada kemuncak penguasaannya, Britain menakluki sepertiga bahagian dunia - dari Canada sehingga Sabah. Hal ini dipaparkan pada keanggotaan Komanwel (53 negara). Selain kesan negatif, memang ada sumbangan penting British.
Namun, aspek yang membuat saya merenung sejenak ialah hujah seorang ilmuwan bahawa rakyat yang dijajah (subjects of the Crown) untung dari segi kebendaan dari segi darjat, pemilikan hartanah dan juga kemudahan sosial dan politik.
Tambahnya, tidak semua masyarakat dan orang yang dijajah 'sangat tertindas' dan tidak semua masyarakat dijajah menyambut atau peduli akan semangat nasionalisme atau kemerdekaan.
Bagi saya, ilmuwan British itu hidup di planet lain agaknya. Beliau cuba menegakkan benang basah dengan tidak peduli erti hak asasi rakyat terjajah yang dicapai menerusi gerakan nasionalis dan kemerdekaan.
Kita boleh menangkis tanggapan ilmuwan itu dengan mudah bahawa:
pertama, semangat antipenjajahan bermula dengan kekalahan penjajah Barat dalam Perang Dunia Kedua; dan
kedua, pemikiran benci penjajah tidak terbatas tetapi dikongsi oleh seluruh elit di Asia Tenggara, misalnya.
Yang menjadi persoalan ialah perspektif daripada rakyat jelata. Apakah yang boleh kita katakan mengenai rakyat biasa?
Cara British berkomunikasi dengan orang Melayu, misalnya, dapat mengungkapkan corak antara tuan dengan hamba. Ini terpapar pada buku berjudul The Traveller's Malay Pronouncing Handbook (cetakan pertama 1886).
Ia amat popular sehingga diulang cetak berkali-kali. Versi yang saya baca ialah cetakan yang ke-11 terbitan tahun 1917 di Singapura.
Buku ini bertujuan menyiapkan pendatang Eropah yang bermastautin di Singapura atau pengembara Eropah yang memasuki Dunia Melayu.
Buku ini ada dua bahagian. Bahagian pertama memberi maklumat tentang kosa kata seperti nombor, nama hari, makanan dan pakaian.
Namun, yang membuat saya terpegun ialah bahagian kedua buku itu - berisi kata dan frasa dalam dialog harian dalam zaman penjajahan - antara tuan dan mem dengan pekerja setempat.
Dialog tadi menonjolkan kedudukan tinggi orang Eropah untuk 'menyuruh' atau memberi arahan kepada 'babu' (pembantu rumah) mengenai bilik tidur, bilik air, dapur, pejabat dan kebun seperti dalam halaman 224:
Suroh tukang ayer mari kasi kring lantei ini Bawa satu krosi Bawa satu krosi panjang Bawa dua tiga krosi sini Bawa tropong Kasi surat khabar Kasi book itu yang di atas meja sana Kasi book yang sahya bacha pagi ini Kasi pisau kertas Bawa cherut sama korek api Bawa cherut Bawa korek api Bawa kipas Bawa minuman Bawa whisky sama soda dalam glass panjang Bawa lagi ayer batu Ada satu kreta datang; pergi ambil Mem (or Tuan) punya card Kata sahya ada sakit dan ta' bulih jumpa dengan Tuan (or Mem) Kata sahya t'ada Mem (or Tuan) buleh naik
Kita boleh bayangkan bagaimana perintah dalam dialog tadi disampaikan - penuh kuasa untuk membuat babu (tukang masak, tukang kebun, supir dan sebagainya) berasa taat dan takut.
Tetapi apakah di dalam hati atau reaksi pihak babu iaitu bangsa terjajah?
Tentulah mereka terpaksa menerima perintah walaupun hati mencuka.
Jadi, benarkah kata ilmuwan British tadi bahawa peribumi dijajah beruntung ditadbir British?
Walaupun penjajahan Eropah telah membangunkan prasarana dan sebagainya, ini semua hanya bertujuan untuk kebaikan si penjajah. Manfaat yang dirasai yang dijajah adalah secara kebetulan atau sipi saja.
Fakta sejarah inilah yang perlu diinsafi.
James C. Scott dalam bukunya, Weapons of the Weak: Everyday Forms of Peasant Resistance, menyatakan bahawa kumpulan peribumi yang lemah bukan menerima perintah belaka.
Ada kala mereka melawan dengan melambat-lambatkan kerja - menyeret kaki, pembakaran dan perbuatan khianat yang lain.
Warga British perlu bertanya dengan ikhlas pada diri sendiri:
'Relakah saya dijajah?'
No comments:
Post a Comment