Sunday, November 29, 2009

Cerpen - Bintang Di Langit - Erna Salamun

22 Nov 2009

Bintang di langit

OlehErna Salamun

MALAM ini butiran berlian di angkasa seperti memberikan cahaya menambah gemerlapnya bulan yang mengambang. Setiap kali kilauan berlian ini menyapa indra penglihatanku, hati kecilku bergerak pantas mencari-cari jawapan yang tidak pasti. 'Di manakah dia? Di manakah penghuni angkasa yang telah mengukir janji dan melakar mimpi-mimpiku?' Namun, jauh di lubuk hatiku, aku menyedari bahawa setiap jawapan itu tidak mungkin terpampang di ruang mataku dan tidak akan mengalir deras, sederas air terjun Niagara Falls. Tanda tanya yang sering menoreh garisan luka lama itu timbul lagi malam ini tanpa dipaksa, tanpa dicari dan ia seperti sengaja bercanda ria dengan kekosongan mindaku.
Deru ombak bergandingan dengan kedinginan angin pantai, disulami pula kegelapan malam yang terpalit sedikit dengan cahaya rembulan. Aku tidak keseorangan. Suamiku dan Mira, cahaya mata hasil ikatan suci kami, sering berada di sisi setiap kali teringin merehatkan tulang empat kerat sambil menghirup udara pantai. Malam ini sama seperti hujung minggu yang lainnya; kami mengambil angin di tepi pantai Changi dengan sekali- sekala ditemani dengungan enjin kapal terbang yang bakal mendarat dan yang baru berlepas di landasan Lapangan Terbang Changi. Itulah acara mingguan kegemaran kami sekeluarga; duduk, bersantai sambil menghirup angin segar dan mengagumi kilauan bintang di langit.
MENGUSIK KENANGAN
Seperti malam minggu yang lainnya, sang rembulan yang mengeluarkan cahaya menerangi bumi menjadi sahabat karib butiran berlian yang menyapa sanubariku. Setiap kali kilauan berlian terpancar, saat itu jugalah aku akan mengingatinya. Mengingati kata-kata manis yang pernah bermain di telingaku. Bukan aku menodai cinta suamiku, aku mencintai suamiku sepenuh hati, namun perasaan dan persoalan yang sering berlegar di kotak fikiranku sering mencungkil kegelisahanku. Aku perlu jawapan pada setiap tanda tanya yang menusuk dahan-dahan hatiku. Cinta dan doaku sentiasa tertambat pada suami yang aku cintai. Tidak pernah terlintas di fikiranku untuk melukakan jiwa insan yang bergelar suami ini. Terlalu banyak pengorbanan suamiku terhadap diri ini. Tetapi aku tetap inginkan jawapan yang pasti, kerana aku tetap insan biasa yang dahagakan kebenaran yang dihiris itu. 'Mungkinkah soalan pada setiap pertanyaan itu terdampar jauh di cakerawala?'
Sudah hampir lima tahun aku bergelar isteri. Cahaya mata kami, Nur Mira Qistina, lahir selepas dua tahun kami diijabkabul. Dialah permata, dialah penawar hidup kami. Aku menerima pinangan pihak suamiku lebih kurang enam tahun yang lalu. Insan yang asing bagiku itu, berjaya menawan hatiku dengan sifatnya yang penyabar dan amat romantis. Kami bernikah lebih kurang lapan bulan selepas bertunang. Suamiku berjaya mengubati perasaanku yang terumbang-ambing dibawa bersama ganasnya lautan dunia ketika itu. Seperti kisah perkahwinan zaman 1940-an, kami bercinta setelah sah menjadi suami isteri. Tanpa mengenali hati budi masing-masing, kami memulakan perjalanan hidup ibarat mulanya pembinaan jambatan yang akan menerobos ke seluruh pelusuk dunia. Jatuh bangun kehidupan berumah tangga kami harungi bersama. Sejak itu kunci hatiku berada di genggamannya. Namun, suamiku menyedarinya. Dia sedar aku memerlukan dorongan kuat agar menamatkan mimpi duka akibat percintaan yang lalu. Sehingga kini suamiku tidak pernah mendesak agar aku berhenti bermimpi. Setiap perjalanan hidupku sebelum aku mengenali suamiku merupakan sejarah hidupku katanya. Itu adalah hak milik diriku yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa. Apa yang nyata, suamiku mengerti bahawa aku tetap insan biasa yang tidak dapat lari daripada cebisan-cebisan kenangan silam. Malahan, suamiku tetap setia menemaniku setiap kali aku ingin melihat bintang.
IRC
Perbualan di bilik IRC merubah laluan hidupku. Di situlah aku mula mengenal ramai kawan yang sama-sama menjadikan ruang siber gelanggang mencari kenalan. Aku sedar, mengenali manusia siber mendatangkan risiko yang tinggi. Tidak semua yang diutarakan benar belaka. Tipu helah menjadi permainan. Bilik IRC Warong juga tidak terkecuali, tetapi seperti tarikan lebah pada bunga, tempat ini menjadi teman karibku setiap malam. Aku mula mengenali rakan-rakan di sana. Selepas enam bulan berkenalan menerusi ruang siber, kami mula mengaturkan acara pertemuan beramai-ramai. Melalui pertemuan-pertemuan inilah kami semakin rapat. Paling kurang seminggu sekali kami akan lepak di Starbucks. Kami mula mengenali setiap anggota kumpalan IRC Warong dengan lebih dekat. Sehinggakan ada beberapa kenalan yang bertemu, bercinta dan mendirikan rumah tangga.
Di situlah aku mula mengenali Aidil. Pemuda berwajah kemerahan ala hero filem Korea yang sering menjadi igauan, bak tarikan besi semberani. Sikapnya yang suka berjenaka dan peramah menjadi perbualan gadis-gadis yang memang mencari pasangan bercinta. Bagi diriku pula, Aidil sangat kuhormati tidak lebih daripada seorang abang. Persabahatan yang bermula di bilik IRC kemudian berpindah ke talian SMS. Siang malam kami saling menghantar SMS. Talian persahabatan yang semakin erat ini membolehkan aku dan Aidil meluahkan masalah hidup dan bersama-sama mencari jalan penyelesaiannya. Aku dengan masalahku di pejabat, Aidil dengan masalah cintanya yang tidak kesampaian. Aku menjadi tempat dia meluahkah keluh-kesahnya. Aku tahu Aidil memendam perasaan terhadap seorang gadis manis dalam kumpulan kami. Malangnya, setiap luahan cintanya ditolak oleh gadis tersebut. Aku sering memberi sokongan kepadanya agar tidak berputus asa. Namun tanpaku sedari, aku terlibat sama. Hatiku disulam kasih. Perasaan cinta mula menjelma. Setiap kali Aidil bersenda dan menghantar SMS berbaur rindu kepadaku, aku gembira bukan kepalang. Tetapi aku malu jika Aidil menyedari tentang perasaanku. Aidil tentu mempersendakanku.
Dalam diam aku mula menyepi, aku sedar Aidil mencintai orang lain, walaupun sekadar cinta yang bertepuk sebelah tangan. Aku tidak mahu persahabatan ini tercemar. Aku mula dingin terhadap gerak lakunya. Aku jarang menghadiri pertemuan mingguan kami. Akhirnya, perubahan sikapku tetap dikesan. Aidil pernah bertanya mengapa tiba-tiba aku berubah. Setiap kali ditanya aku memberikan alasan dibebani masalah pekerjaan. Mujurlah pada masa yang sama aku dihantar oleh majikanku untuk menjalani latihan di Osaka, Jepun, selama enam bulan. Aku tidak mahu Aidil mendapat tahu tentang perasaan yang aku sendiri baru menyedarinya. Selama enam bulan itulah aku cuba melupakannya. Aku tidak menghubunginya melalui SMS atau perbualan di bilik IRC. Aku tidak menghiraukan setiap e-mel yang dihantar. Aku sekadar meluahkan isi hatiku di dalam diari yang menjadi teman setiaku selama aku berada di sana. Aku sering berdoa agar aku dapat melupakannya.
MENCARI KEPASTIAN
Sebaik sahaja aku menghirup udara segar tanah airku, aku dihujani berita bahawa Aidil sering bertanyakan khabarku kepada teman-teman IRC. Aku sedar perasaanku terhadapnya mungkin diuji jika aku menghubunginya. Aku bertekad mendiamkan diri. Tetapi entah mengapa, aku kecundang juga, aku menghubunginya selepas seminggu berada di tanah air. Bermacam alasan terpaksa aku sajikan setelah pertanyaan daripadanya menyerangku bertubi- tubi. Alasan-alasan yang aku sendiri tidak mudah mempercayainya. Aidil mengeluh dalam pengakuannya bahawa dia seperti kehilangan tempat bergantung selama ketiadaanku. Menurutnya, kerlipan bintang di langit juga ibarat tidak mahu menyinari malam-malamnya. Aku pula mematikan diri, memendam perasaan. Dia menjadi Tuk Selampit yang dahaga bercerita. Cerita-cerita yang tidak perlu aku duga. Tetapi ada perkembangan dalam jalan ceritanya. Cerita tentang kejayaannya bertemu dengan gadis yang dicintainya ibarat lagu rock yang menikam gendang telingaku. Entah mengapa perasaan marah menyelubungi tubuhku, tetapi seperti biasa aku tetap menjadi pendengar setia. Aku kecewa, semasa pemergianku, dia bercanda dengan gadis itu rupanya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu isi hatiku. Namun, di sebalik duka, aku gembira sekurang-kurangnya gadis itu sudah mula mendekatkan dirinya pada Aidil. Aku pasrah dalam ria. Aku tidak boleh ikutkan perasaan. Aku harus melakukan sesuatu. Ternyata enam bulan tidak cukup untukku melupakannya. Rupanya tali-temali cintaku kian kukuh. Jiwaku seperti terumbang-ambing di lautan cinta yang bergelora. Aku tidak mahu menodai persahabatan kami, aku tidak berani meluahkan perasaanku. Aku berusaha mencari jalan keluar, dan seperti orang mengantuk disorongkan bantal, aku menemukannya.
Kekalutan perasaan ini membuat aku menerima pinangan Mak Cik Salbiah bagi pihak anaknya. Aku tahu, aku tidak jujur dengan diriku. Sementara ibu pula memang sudah lama berhajat untuk menjodohkan aku dengan anak teman karibnya yang baru pulang dari Mesir itu. Segala persiapan majlis pertunangan itu aku serahkan kepada ibu. Melihatkan kegembiraan ibu ingin menerima calon menantu, aku tidak sampai hati untuk membakar harapannya. Tetapi entah mengapa aku tidak mampu untuk turut sama merasakan kegembiraan ini. Aku pula tidak pernah bersua muka dengan bakal tunanganku, Ridzuan. Aku sekadar mengenalinya melalui cerita-cerita ibu tentang anak Mak Cik Salbiah. Berita ini aku sampaikan kepada Aidil kerana ingin menjemputnya bersama-sama meraikan hari pertunanganku nanti. Dia tampak bahagia menerima berita itu. Tiada sebarang riak perubahan dalam air mukanya. Dalam diam aku kecewa. Oleh kerana pertunanganku akan berlangsung dalam masa tiga minggu, aku sudah jarang meluangkan masa berbual di IRC atau bertemu rakan-rakan IRC yang lain, termasuk Aidil. Kali terakhir kami bertemu adalah sewaktu aku mengkhabarkan berita tentang majlis pertunanganku. Itupun dalam perbualan singkat sewaktu dia menjemputku pulang dari tempat kerjaku.
JODOH
Sabtu, 6 Februari 2000. Penantian yang menggembirakan keluargaku tiba akhirnya. Selepas waktu zuhur, aku akan ditunangkan dengan Ridzuan. Ibuku adalah antara orang yang paling bahagia pada hari itu. Aku pula sekadar menunggu penuh debaran, tidak pasti apakah perasaanku ketika itu. Rakan-rakan karibku di IRC tiba, termasuk Aidil. Entah mengapa, aku seperti tidak inginkan kehadirannya. Kalau boleh, aku ingin sahaja lesap ke ruang udara. Aku sedar aku terlalu mencintainya. Jiwaku tidak kuat untuk menghadapi saat itu. Aku tidak mampu mengecewakan ibu dan keluargaku. Aku tidak mahu menghancurkan harapan Ridzuan, walaupun aku tidak pernah mencintainya. Namun, aku tidak harus melukakan perasaannya. Aku sedar aku harus memberi peluang kepada diriku untuk menerimanya. Mungkin Ridzuan juga mengalami debaran yang serupa. Tetapi yang nyata, Ridzuan tidak pernah menunjukkan sebarang reaksi bahawa dia tidak mahu menerimaku. Mungkin inilah peluang bagi diriku untuk meneruskan kehidupanku. Walau bagaimana berat rasanya kaki ini untuk dibawa berjalan sekalipun, aku harus meneruskan perjalanan ini, sekalipun dalam keadaan pincang.
Sebaik sahaja wakil daripada kedua-dua belah pihak menetapkan jumlah hantaran dan tarikh pernikahan kami, aku semakin tidak keruan. Ibu saudara Ridzuan, menyarungkan cincin pertunangan bertatah berlian ke jari manisku. Ucapan tahniah dan ciuman mesra daripada kaum keluargaku seperti menyedarkan aku bahawa aku kini tunangan orang. Aku sekadar tersenyum di dalam tangisan yang terpendam. Rakan-rakanku pula mula merakam gambar bersamaku untuk dijadikan kenang-kenangan. Di sebalik keriuhan itu, aku ternampak kelibatnya berdiri di pintu. Aidil menghampiriku dan menghulurkan tangannya sebagai tanda ucapan tahniah. Tanpa sedar aku menyambut tangannya buat kali yang pertama. Tangan kami bersentuhan, dan untuk beberapa saat aku merenung wajahnya. Renungan matanya yang dalam seperti ingin berkata-kata kepadaku. Aku terasa seperti ada kejutan elektrik yang menembusi rongga-rongga sendiku. Aku seperti ingin menjerit dan menangis dalam dakapannya. Aku seperti tidak mahu menghiraukan setiap mata yang memandangku. Aidil mematikan lamunanku dengan ucapan tahniah dan sebuah bungkusan hadiah yang dihulurkan kepadaku, lalu meminta izin pulang kerana ada hal, katanya. Dia berlalu dengan senyuman dan renungan yang membawa seribu tanda tanya. Majlis pertunanganku berakhir dengan perasaanku yang tidak menentu.
Sebaik sahaja semua tamu meninggalkan rumahku, aku membuka bungkusan-bungkusan hadiah satu persatu. Bungkusan yang disaluti kertas pembalut keemasan, hadiah pemberian Aidil, adalah yang terakhir aku buka. Ada sebuah warkah dengan tulisan tangan yang meliuk indah di dalamnya berserta sehelai tudung sutera.
Adindaku, Rita.
Sebelum abang memulakan bicara. Seribu kemaafan abang pohonkan. Bukan niat abang untuk menggores hatimu jauh sekali menagih simpatimu. Abang mengaku kalah, abang kecundang dalam pelayaran yang tidak berkemudi, peti perasaan ini tidak dapat menanggung rahsia yang sudah sekian lama tersembunyi. Abang sedar ketika ketiadaanmu enam bulan yang lalu, abang kehilangan arah. Namun dalam pada itu, Abang seperti disuluh sinaran baru yang mengeluarkan cahaya seterang kilauan matamu. Abang mula sedar kehadiran insan bernama Rita yang mungkin dianugerahkan untuk insan kerdil seperti abang. Kenyataan pahit bahawa Abang tidak pernah menghargaimu ibarat memakan diri sendiri. Abang mula sedar bahawa abang tidak mampu menghadapi kehilanganmu. Abang mula merindui saat-saat bersamamu. Abang tahu, Abang sering menceritakan perasaan cinta Abang terhadap gadis lain, tetapi realitinya cukup berbeza. Abang sering mengidamkan sentuhan lembut wajahmu. Abang merindui reaksi marahmu setiap kali Abang menceritakan tentang gadis itu. Abang mimpikan secebis reaksi yang melakarkan aku cinta padamu yang mungkin berbaur harapan dalam hubungan kita. Apa yang nyata, Abang sebenarnya memendam perasaan cinta terhadapmu, yang hanya disedari ketika Rita meninggalkan Abang enam bulan yang lalu. Ya, Rita. Abang dahagakan ubat pembangkit cintamu. Maafkan abang. Abang sedar, sudah tiada gunanya untuk meluahkan perasaan ini. Abang ingin Rita bahagia di samping tunangmu. Tetapi, Abang cuma ingin Rita menyedari ada insan yang mengingatimu dalam setiap doanya. Bintang di langit yang Abang janjkan suatu ketika dahulu Abang titipkan agar sentiasa menyinari hidup Rita. Biarlah Abang sekadar menjadi bintang, menyinari hidupmu dari jauh. Berbahagialah Rita. Abang akan sentiasa berdoa akan kesejahteraan hidupmu. Rita, Abang terpaksa berangkat ke Australia malam ini. Abang akan meneruskan pelajaran di Australia selama dua tahun. Doakanlah keselamatan dan kesejahteraan diri Abang. Semoga Allah pertemukan kita suatu hari nanti. Lihatlah bintang jika Rita merindui Abang. Izinkan Abang menyimpan diari Rita yang tertinggal di dalam kereta Abang kelmarin. Abang tidak berniat untuk menodai kepercayaanmu. Izinkanlah Abang menjadikan diari Rita kenangan cinta yang terpendam. Maafkan Abang.
Salam Sayang Dariku,
Aidil Hakim.
Seluruh tubuhku membeku dan kedinginan merayap ke tulang-belulangku, nafasku seperti tersekat- sekat mencari udara. Setiap kata-kata dan renungan tajamnya berselang-seli di mindaku. Aku mencapai telefon bimbit dan cuba menghubunginya. Ternyata tiada deringan menyambut penantianku. Aku cuba mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan yang lain, namun tidak seorang pun tahu tentang pemergiannya.
Sejak hari itu, sudah berpuluh-puluh e-mel aku hantar sebagai pengganti diri tetapi tetap tidak dibalasnya. Aku cuba menghubunginya menerusi telefon bimbit tetapi sia-sia juga. Soalan demi soalan tentang kejujuran kata-katanya menjadi tanda tanya dalam hidupku. Benarkah dia mencintaiku seperti perasaanku terhadapnya? Atau dia sekadar mempersendakan perasaanku selepas terbaca diari itu? Tetapi mengapa dia menghilang? Mengapa dia tidak menghubungiku atau membalas e-mel aku? Selama beberapa bulan selepas peristiwa itu, aku ibarat patung bernyawa. Tiada sebarang jawapan kutemui. Aidil pula mendiamkan diri entah ke mana. Ketika itu aku tidak pasti jalan mana yang harus aku lalui. Mujurlah tunangku Ridzuan sangat memahami keadaanku dengan pengertian yang penuh keikhlasan. Dalam diam Ridzuan cuba memikat hatiku dengan memberikan aku ruang untuk melayari perasaanku. Kesabarannya terhadap diriku ternyata memperlihatkan keikhlasannya untuk menjadikan aku permaisuri hidupnya. Akhirnya aku mula menyedari statusku sebagai tunangannya. Aku mula berjinak-jinak dengan perasaan cinta terhadapnya. Aku mula sedar, aku sudah mula menanamkan bibit-bibit asmara terhadap Ridzuan yang kini suamiku, walaupun dia bukan jejaka pertama dalam hidupku. Apa yang nyata, Ridzuanlah lelaki yang memiliki berjuta-juta bintang yang menyinari bahtera hidupku.
'Mama! Tengoklah bintang tu dah hilang!' teriak Mira.
Lamunanku terhenti dengan suara riang Mira. Aku menoleh ke arah suamiku yang sedang tersenyum melihat gelagat kami.Mungkin inilah hadiah pemberian Aidil yang sangat berharga. Mungkin juga apa yang berlaku selama ini membawa rahmat ke atas kebahagiaanku.

NOTA: Penulis, guru Bahasa Melayu dan Sastera di Sekolah Menengah Hong Kah, dilahirkan di Singapura pada 31 Mei 1975. Beliau meminati bidang penulisan sejak di bangku sekolah dan semakin meminati bidang ini ketika di Universiti Malaya di bawah asuhan Encik Samsudin Othman. Hasil cerpen ini disediakan sewaktu menuntut di Universiti Malaya beberapa tahun lalu dan baru kini berani menghantarnya ke Berita Minggu atas sokongan dan rangsangan rakan-rakan sealiran. Penulis berasa kagum dengan semangat penulis-penulis tempatan seperti Mohamed Latif Mohd, Isa Kamari dan Rohani Din yang menulis bukan sahaja dengan bakat yang ada tetapi dengan minda dan hati yang ikhlas dan jujur. Beliau sangat berharap dapat sama-sama membangkitkan bidang penulisan dan menjadi contoh kepada anak-anak didik beliau agar dapat memajukan genre penulisan sastera Melayu.

No comments:

Post a Comment