Showing posts with label Pengajian Melayu. Show all posts
Showing posts with label Pengajian Melayu. Show all posts

Monday, September 2, 2013

Jabatan Pengajian Melayu

BULAN BAHASA

BULAN BAHASA 1982: Mejar Fong Sip Chee, Menteri Negara (Kebudayaan), memalu gong sebagai menandakan pelancaran Bulan Bahasa pada 13 Ogos 1982 - sesudah selang 16 tahun (Bulan Bahasa Kebangsaan 1966) - dengan disaksikan Encik Yusnor Ef, setiausaha, dan Encik Suratman Markasan, timbalan pengerusi jawatankuasa penganjur.

Tekad tumbuh oleh Mohd Raman Daud

JIKA dulu, Singapura sebelum merdeka hanya mempunyai Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (ditubuhkan pada 1954 dengan Pendeta Za'ba selaku ketua jabatan yang pertama), kini terdapat tiga institusi bahasa secara rasmi.
Jabatan ini kini diketuai Profesor Madya Noor Aisha Abdul Rahman, wanita dan anak Melayu tempatan pertama yang diserahkan penghormatan ini.
Selanjutnya, di Institut Pendidikan Kebangsaan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), terdapat Unit Bahasa dan Kebudayaan Melayu pimpinan Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat. Unit ini boleh dikatakan yang kedua tertua selepas Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).
Seyogia, NTU dulunya Universiti Nanyang atau Nantah. Ia pernah mempunyai Jabatan Pengajian Melayu yang melahirkan tokoh bukan Melayu yang pakar dalam persuratan Melayu seperti Profesor Yang Quee Yee (pakar perkamusan), Dr Liaw Yock Fang (linguistik dan sejarah kesusasteraan Melayu), Dr Tan Ta Sen dan Dr Li Chuan Siu.
Universiti SIM baru beberapa tahun ini pula mempunyai program pengajian bahasa dan sastera Melayu.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan juga mempunyai Pusat Bahasa Melayu yang kini dipimpin Encik Mohd Noh Daipi.
Dari segi luaran, tampaknya kehadiran tiga institusi itu boleh membantu Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan segelintir badan persuratan seperti Asas '50 dalam merancang dan melaksanakan suasana kebahasaaan Melayu di sini.
Namun, sesetengah pengamat berasa amat sukar bagi Singapura kembali menjadi pusat intelek dan persuratan Melayu seperti dalam era 1850 hingga 1960.
Mentelah era itu tidak pula dirancang atau dijenterakan. Sebaliknya, ia tumbuh dengan sendirinya kerana dasar-dasar penjajah British yang mendorong Singapura menjadi kota tumpuan cerdik pandai, termasuk dalam Alam Melayu rantau ini yang masih terjajah.
Dalam era itu, Singapura menghasilkan begitu banyak bahan penulisan, filem dan muzik Melayu berbanding mana-mana kota utama di rantau ini, termasuk Jakarta.
Namun, suasananya berubah selepas Indonesia merdeka pada 1945 dan diikuti oleh Malaysia pada 1957. Peranan utama Singapura sebagai pusat utama Alam Melayu terhakis sejak itu.
Tetapi apakah dengan teknologi perhubungan, Singapura mampu menjadi gedung yang menghimpun karya-karya Melayu?
Hal ini mungkin tidak mustahil. Baru-baru ini, kerjasama antara Perpustakaan British dengan Lembaga Perpustakaan Negara Singapura membolehkan karya terbitan di Singapura pada zaman British diperolehi secara pendigitan.
Banyak karya lama di kepulauan Riau misalnya, masih belum dirakamkan secara pendigitan.
Ini merupakan bidang yang boleh dilaksanakan dengan kerjasama Singapura dengan Indonesia atau wilayah Riau yang pernah menampung tamadun Melayu silam.
Namun, yang teramat penting ialah membangun bakat. Ini merupakan tukikan utama untuk Singapura membangun pesat.

Wednesday, October 14, 2009

MENCARI HALA TUJU PENGAJIAN MELAYU

14 Okt 2009 Berita Harian

KOMENTAR

PANDANGAN
Mencari hala tuju Pengajian Melayu

Oleh
Muhammad Nadim Adam
SEDANG kian banyak anak Melayu/ Islam Singapura menempa nama dalam bidang keilmuan, kerjaya profesional, sains, kesenian sehingga sukan, terdapat keprihatinan yang perlu diberi tumpuan sewajarnya.

Pencapaian masyarakat Melayu Islam Singapura terkini akan dibentangkan pada Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) pada 31 Oktober depan. Namun, laporan CLF pada tahun 2008 menunjukkan suasana agak suram bagi masyarakat kita.

Secara ringkas, masalah keciciran dalam pendidikan formal, kelemahan dalam Matematik sejak di peringkat sekolah rendah sehingga menengah, isu kepincangan keluarga atau fenomena keluarga terpinggir kelas bawahan (the underclass) telah dilaporkan sebagai semakin membimbangkan.

Berdepan dengan realiti pedih masyarakat, kita pula disuakan dengan semacam polemik mengenai masa depan bidang Pengajian Melayu di varsiti setempat.

Ada perspektif yang mendakwa bahawa bidang Pengajian Melayu mutakhir ini menghadapi zaman gerhana berikutan dana kajian 'Dunia Melayu' yang semakin berkurangan dan penerbitan karyanya pula dikatakan 'lesu dan hambar'.

Pendekatan sains sosial di dalam pembelajaran Pengajian Melayu seakan-akan dipandang dengan nada sangsi dan sinis oleh golongan ini. Sebaliknya pendekatan hujah (contestations) tentang identiti Melayu di dalam konteks pascakolonial menjadi tunjang utama buat golongan berkenaan.

Sementara pada pihak yang lain, Pengajian Melayu bukanlah suatu bidang yang membincangkan tentang masalah bahasa dan sastera saja atau sekadar melihat Dunia Melayu melalui kaca mata pihak neoorientalis iaitu berpaksikan pada pendekatan jumud yang gemar melabelkan masyarakat Melayu dengan sifat atau ciri yang tertentu sahaja.

Dr Azhar Ibrahim Alwee berkata dalam tulisannya bertajuk Pengajian Melayu masih terus relevan (BH, 10 Oktober):

'Tradisi Pengajian Melayu memanfaatkan ilmu atau sains sosial demi membantu menjelaskan dinamika masyarakat yang dicorakkan oleh ideologi, sistem nilai, struktur ekonomi dan sebagainya seperti disiplin ilmu mapan yang lain.'

Pada hemat saya, golongan massa di luar menara gading tidaklah meraba-raba akan identiti mereka sebagai orang Melayu sehingga mencetuskan krisis yang melumpuhkan sebuah bangsa.

Hakikatnya, banyak orang Melayu tidak mendapat manfaat sepenuhnya melalui dialog kalangan ilmuwan tempatan dan luar negara yang secara berterus-terusan berpolemik mengenai takrif dan konsep 'identiti Melayu' atau geografi 'Dunia Melayu'.

Bidang Pengajian Melayu, melalui penghayatan falsafah daripada para saintis sosial klasik seperti Karl Mannheim, Emile Durkheim dan Erich Fromm, misalnya, seharusnya diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

Perspektif para cendekiawan dari Timur pula, tidak kira daripada tradisi intelektual setempat mahupun para pemikir Islam daripada era moden ataupun silam umpamanya, malah buah fikiran daripada ahli pemikir Dunia Ketiga dan cendekiawan kulit hitam dari Amerika Syarikat dan Perancis contohnya (iaitu Black Pride Movement), adalah merupakan cabang-cabang ilmu yang dapat memberi pandangan dunia (weltanschuung) yang lebih menyeluruh dan menambah nilai (value added) kepada nilai falsafah dan sikap masyarakat Melayu.

Namun di dalam kerancakan kita membahaskan kaedah (metodologi) dalam pengajaran Pengajian Melayu hari ini, cabaran yang tidak kurang pentingnya ialah menimbangkan sama ada ilmu yang ditimba melalui bidang Pengajian Melayu dapat digunakan oleh masyarakat umum untuk menangani cabaran semasa dan perdana?

Pendekatan sains sosial sebenarnya mengingatkan betapa masyarakat memang tidak bersifat homogen (sama saja).

Kehidupan harian kita dipengaruhi oleh sistem sosial yang bertindak secara dualisme - iaitu keadaan kita yang terdedah untuk dipengaruhi oleh sistem sekitaran sekeliling (ecological environmental system) dan juga kemampuan kita untuk mempengaruhi ruang sekeliling kita (social empowerment).

Demi memperkukuh Pengajian Melayu, kita tidak mampu mengambil pendekatan sekadar merindui zaman keagungan kerajaan Melayu yang silam, hanyut dalam keindahan dan kehalusan seni halus warisan Melayu itu sendiri atau sewenang-wenangnya menuding jari kepada kezaliman sejarah (sense of historical victimization).

Para pendukung Pengajian Melayu harus bijak menggunakan ilmu yang diperolehi sebagai wadah memperkasakan bangsa Melayu (self-empowerment) dan memupuk jiwa merdeka - bebas daripada belenggu penindasan, ketidakadilan dan jiwa kehambaan di kalangan sesama manusia (self-emancipation).

Cabaran utama Pengajian Melayu di dalam konteks masyarakat Melayu Islam Singapura hari ini adalah untuk merealisasikan segala idealisme akademik yang telah dikaji dan diterbitkan dalam bentuk lisan, cetak dan digital agar sampai kepada rakyat.

Tiada ertinya ilmu tadi hanya di bibir dan pena cendekiawan menara gading atau jurnal akademik kerana sukar difahami rakyat.

Sebaliknya, para pendukung bidang Pengajian Melayu harus memastikan bahawa segala idea mereka dapat dimanfaatkan dalam kehidupan harian.

Jika tidak, ditakuti polemik di menara gading hanya tinggal bahasan idea yang tidak berpijak di bumi nyata.

Nota: Penulis antara mahasiswa terbaik Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), dan kini pegawai penyelidik di sebuah badan Islam.