29 Nov 2012
PADA HEMAT SAYA
Nilai besar 'kehalusan' Melayu
ADAB Melayu turut mencorakkan Asia Tenggara. Kenyataan ini bukan baru. Namun, apabila diujarkan Duta Kelana, Profesor Tommy Koh, 75 tahun, pada Forum Jangkauan Global anjuran akhbar The Straits Times pada Jumaat lalu, ia seolah-olah menggemakan pengamatan jauhari sejak zaman silam.
Para penjajah Barat, terutama yang kemudian menjadi semacam sarjana - daripada Thomas Stamford Raffles (pendiri loji British di Singapura) sehingga perisik dan sarjana Belanda, Snouck Hurgronje, telah lama mengungkapkan hal ini.
"Tidak dapat tidak, saya berasa bahawa bangsa Melayu sebagai satu kaum, bertutur satu bahasa dan bertebaran dalam kawasan luas, memelihara watak dan resam, di hampir semua negeri pesisir antara Laut Sulu dan Samudera Selatan."
Demikian terjemahan tukilan makalah Sir Thomas Stamford Raffles, On the Malay Nation (Asiatic Researchers, Jilid 12 (1816), muka 103).
Menurut Prof Koh, seorang sarjana perundangan yang tersohor dan sudah dianugerahi gelar doktor kehormat daripada banyak universiti ternama, sentuhan Melayu merubah kehadiran kaum-kaum lain.
Katanya, dalam konteks Singapura yang majoriti merupakan kaum Cina dan campur kehadiran India, budaya Melayulah yang "melicinkan" tepian yang bergerigis (rough edges).
Maka kaum-kaum ini menjadi kurang angkuh dan menolak sikap menantang (confrontational).
Katanya lagi, budaya Melayu "lebih lunak, halus" dan inilah yang membuat orang Singapura kurang garang atau bermegah-megah.
Pandangan beliau disampaikan sebagai respons kepada soalan seorang peserta: bagaimana penggabungan (integrasi) Asean terlaksana sedangkan negara-negara Asia Tenggara didapati berbeza budayanya.
Hujah Prof Koh, budaya-budaya negara Asean tidak bertentangan.
"Ada semacam budaya musyawarah di Asean," tegasnya.
Sebagai diplomat terbilang, memang Prof Koh menyedari konsep ini kerana sudah lama terlibat dalam urusan Asean.
Konsep 'musyawarah' digunakan begitu luas sehingga terbentuk Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) di Indonesia. Taraf MPR secara perundangan dianggap tertinggi - mengatasi presiden.
Musyawarah berasal daripada kekata Arab. Dalam bahasa Melayu, ia disebut pakat atau sepakatan, bak dinyatakan dalam peribahasa (bersifat tunjuk ajar, menurut Budayawan Besar Riau, Dr Tenas Effendy):
Bulat air kerana pembetung,
Bulat kata kerana muafakat.
"Untuk saling membantu, mencari muafakat. Ada budaya toleransi mengenai perbezaan antara yang lain, ada budaya ihsan (memaafkan) yang tiada pada bangsa Cina, Jepun dan Korea."
Beliau mengungkapkan anekdot yang diceritakan mantan setiausaha tetap Thai bagi ehwal luar mengenai hukuman ke atas sekumpulan askar muda yang terlibat dalam rampasan kuasa pada 2008.
Sesudah lama bertaubat, ada acara sambutan agar menerima mereka kembali dalam tentera Thai.
Ketika menyaksikannya, duta Korea Selatan bertanya kepada setiausaha tetap tadi mengapa ia boleh berlaku.
"Di Korea, orang begini akan dihukum oleh mahkamah tentera dan ditembak," kata duta itu.
Ujar Prof Koh:
"Kawan Thai saya memandangnya dan berkata, 'Wahai kawanku, itulah bezanya antara Asia Tenggara dengan Asia Timur Laut.'"
Tambah Prof Koh:
"Namun, saya tak pasti jika di Singapura. Di sini orang sedemikian mungkin dibicarakan di mahkamah tentera dan ditembak."
Prof Koh memang seorang optimis. Bermata harapan memang pembawaannya sewaktu saya baru mengenalinya di Lembaga Pengarah Majlis Seni Kebangsaan dalam 1996.
Menurutnya, Asia Tenggara mempunyai peradabannya yang berbeza daripada China dan India.
"Ia tercermin pada sastera, lukisan dan seni kita. Usah perkecil diri anda," katanya.
Jadi, berbalik pada adab Melayu: bagaimanakah ia boleh disuburkan sehingga seorang budiman Melayu dipandang mulia di pentas antarabangsa?
Ketika bersembang ringkas dengan Ustaz Ahmad Haris Suhaimi, pengarang sejumlah buku motivasi berdasarkan warisan Islam, jalan permulaan adab ialah didikan.
"Nabi kita diutus agar menyempurnakan adab. Itulah sebabnya akhlak baginda cukup luar biasa.
"Para Muslim awal memang indah adabnya. Selepas itu, barulah mereka diajarkan Nabi saw dengan ilmu agama seperti solat, puasa dan sebagainya sehingga kepada hukum-hakam.
"Jadi, wajar kita mulakan tadika Islam dengan pengajaran adab," katanya sambil menambah hal ini akan menjadi teras usahanya untuk buku selanjutnya.
Apabila adab indah, soal rasuah, silap tadbir, kezaliman dan apa jua yang negatif tentu dapat dibendung.
Kejayaan Wali Songo (para pendakwah terbilang di Jawa) dan sebaran Islam di rantau ini bukan menerusi pedang, tetapi adab para penyebarnya.
Itulah sebabnya Islam teguh di rantau ini berbanding mana-mana rantau lain.
Terorisme atau pengganasan bukan saja bertentangan dengan Islam, malah jauh daripada adab Melayu.
Menurut mahaguru terbilang dalam bidang adab Islam, Profesor Muhammad Naquib Al-Attas, Islam mengindahkan karakter Melayu yang lunak dan sopan.
Menjelang terbitnya zaman emas Pasifik dalam abad ke-21 ini, peradaban Melayu tentulah dinantikan.
No comments:
Post a Comment