Tuesday, August 7, 2012

anda

20 Jun 2012
PERIHAL BAHASA MELAYU

Silap gunakan 'anda' boleh timbulkan kecil hati

TEMA Bulan Bahasa 2012, 'Kukuhnya Nilai, Eloklah Budi', wajar kita sokong. Bahasa Melayu amat istimewa. Kandungannya merangkumi nilai budi dan jati diri bangsa Melayu.
Sehubungan dengan itu, eloklah kita memperkukuh makna tersirat di sebalik maksudnya melalui satu aspek bahasa, iaitu penggunaan kata ganti 'anda'.
Dalam beberapa wawancara di media massa sering digunakan kata ganti 'anda', termasuk apabila mewawancara orang kenamaan atau mereka yang lebih tua.
Apakah penggunaan kata 'anda', contohnya apabila mewawancara Datuk Sharifah Aini, salah?
Saya terdorong mengatakan bahawa ini satu 'kekeliruan' yang mula berlaku dan wajar berlaku kerana bahasa yang hidup sentiasa berubah memandangkan ia sering digunakan wartawan dan pengacara radio dan televisyen.
Namun, cuba fikirkan apakah kita berasa canggung apabila mengucapkan ujaran di bawah ini:
Ali: Emak, boleh anda belikan Ali basikal?
Ali: Cikgu, engapa anda marah kepada kami semalam?
Pengacara: Tuan mufti, boleh anda terangkan makna 'sanad'?
Pengacara: Dr Faishal, bukankah anda wakil rakyat Yishun?
Cuba bandingkannya dengan ujaran ini:
Ali: Emak, boleh emak belikan Ali basikal?
Ali: Cikgu, mengapakah cikgu marah kepada kami, semalam?
Pengacara: Tuan mufti, boleh tuan mufti terangkan makna 'sanad'?
Pengacara: Dr Faishal, bukankah doktor wakil rakyat Yishun?
Beberapa contoh ujaran di atas menunjukkan bahawa bahasa Melayu dalam aspek kata ganti ada nilai budi bahasa.
Menurut 'ijmak' cendekiawan bahasa Melayu, kata ganti orang kedua - awak, kamu, engkau, anda - seharusnya digunakan dengan berhati-hati.
Mengapa? Sebabnya 'kekeliruan' menggunakan kata ganti orang kedua akan menimbulkan keresahan dan rasa kecil hati kepada orang lain, terutama orang lebih tua, berpangkat, yang dimuliakan dan yang sebagainya.
Sebab itulah sejak dahulu hingga sekarang, apabila orang Melayu berbual dengan seseorang, mereka kerap menggunakan kata panggilan seperti ayah, ibu, kakak, adik, encik, tuan, puan ataupun kata gelaran, seperti doktor, profesor, tuan mufti, tuan haji dan cikgu, untuk menggantikan kata kamu, engkau, awak dan anda.
Inilah nilai tataadab yang mesti dilestarikan.
Yang demikian itu, jelaslah bahawa menggunakan kata ganti 'anda' untuk semua orang dalam semua keadaan merupakan suatu kekeliruan yang boleh diatasi.
Kita harus berpegang pada kenyataan bahawa sifat bahasa Melayu berbeza daripada sifat bahasa Inggeris.
Orang Inggeris menggunakan kekata 'you' untuk semua orang dalam semua keadaan.
Perlukah kita mencontoh mereka? Hal ini terserah kepada kita; tepuk dada tanya selera!
Akhir kata, fikirkanlah teguran Profesor Asmah Haji Omar dalam bukunya Nahu Kemas Kini:
"'Anda' digunakan pada amnya dalam bahasa tak peribadian (impersonal), seperti dalam iklan dan pengumuman.
"Dalam bahasa Melayu, kita tidak dianggap begitu bersopan santun jika kita menggunakan kata ganti ini dalam perbualan dengan orang lain, sama ada bersahaja ataupun tidak.".
Adam Fadila

No comments:

Post a Comment