17 Apr 2011
KOMENTAR
MAHU JADI PENAKUT?
Filem seram boleh pengaruhi pemikiran kita hingga dicemari kepercayaan karut
TERUS terang, saya tidak gemar menonton filem-filem hantu atau seram, apa lagi filem-filem Melayu dan Indonesia.
Bagi saya, sesebuah filem itu harus menghiburkan atau membantu mengurangkan tekanan atau lebih baik lagi, dapat membantu kita berfikir secara rasional dan lebih kritikal dalam kehidupan harian kita.
Tetapi cerita-cerita hantu yang menyeramkan?
Bagi saya, itu cuma buang duit... atau seperti kata anak muda, buang karan saja.
Namun, bukan itu yang mendorong saya menulis rencana kali ini.
Apa yang jadi keprihatinan saya ialah kesan menonton filem-filem seram itu ke atas jiwa kita dan anak-anak kita.
Jika sekali atau dua kali kita tonton filem-filem seram itu, mungkin tidak begitu mengesankan.
Tetapi, seperti yang kita perhatikan, sejak kebelakangan ini, semakin banyak filem hantu/seram yang dimainkan di kaca televisyen ataupun di panggung-panggung wayang - baik filem Barat, Korea, Jepun atau filem Melayu dari Malaysia sendiri.
Filem Melayu sahaja yang diterbitkan di negara jiran kita semakin menjadi-jadi dan ia mendapat sambutan ramai pula, termasuk daripada orang kita di Singapura ini.
Saya ingat filem Jangan Pandang Belakang yang mencatat kutipan tinggi di Malaysia dulu
Baru-baru ini, filem Khurafat pula mencatat box office. Begitu juga dengan filem-filem lain seperti Sini Ada Hantu, Hantu Kak Limah Balik Kampung, filem seram Mantera dan banyak lagi.
Perlu diingat, filem-filem ini bukan dimainkan di panggung wayang sahaja.
Bahkan, ia kemudian diterbitkan dalam bentuk DVD dan ramai orang kita yang membelinya di seberang Tambak.
Filem-filem ini kemudian ditonton di rumah bersama keluarga dan, tidak jarang, melibatkan anak-anak kecil juga.
Semakin cerita itu menyeramkan, semakin ia mendapat sambutan.
Kadangkala, saya lihat, ada kanakkanak berasa takut tetapi tetap suka menontonnya.
Kita boleh cakap, filem-filem seram atau hantu itu hanya sekadar hiburan.
Tetapi, tanpa kita sedari, ada kemungkinan ia boleh menimbulkan kesan negatif dalam pembangunan jiwa kita dan anak-anak.
Jika anda perhatikan, filem-filem itu, terutama filem Melayu dan Indonesia, menggambarkan kewujudan hantu dengan pelbagai paras rupa dan menyeramkan - walhal pada hakikatnya, kita sendiri mungkin tidak pernah melihat hantu atau bagaimanakah rupa paras jin sebenar, biarpun al-Quran sendiri mewajibkan manusia itu mempercayai perkara-perkara ghaib.
Tidak cukup dengan itu, filem tersebut seringkali juga memaparkan amalan-amalan kufur dan khurafat - tentang pemujaan roh dan syaitan, tentang penggunaan bomoh, pemakaian susuk, tentang perbuatan khianat dengan 'cara halus' serta macam-macam lagi.
Yang membimbangkan ialah jika kita terlalu terdedah kepada filem-filem seumpama itu, ia boleh membantutkan perkembangan minda kita pula.
Misalnya, jika ada masalah hubungan dalam keluarga atau mengalami penyakit yang kita anggap ganjil seperti gangguan perasaan, mungkin terdetik di fikiran kita kemungkinan kita 'dibuat orang' yang dengki dengan kita.
Lalu kita mencari dukun atau bomoh - ada yang sampai ke seberang Tambak - untuk mengubati penyakit kita itu, sedangkan apa yang sebenarnya kita perlukan ialah rawatan doktor atau pakar sakit jiwa.
Akibatnya, penyakit sebenar kita tidak terawat, masalah baru pula yang timbul seperti keretakan hubungan dalam keluarga atau dengan rakan-rakan angkara syak wasangka yang terbit daripada pemikiran karut kita.
Ini bukan perkara yang mustahil berlaku, jika kita membiarkan diri kita terbawa-bawa dengan apa yang kita tonton dalam filem atau televisyen.
Kita boleh saja berkata, Hollywood juga menghasilkan filem-filem seram dan hantu untuk hiburan.
Kalau masyarakat yang maju di Barat menyukai cerita-cerita hantu, apa salahnya kita di sini juga mempunyai minat yang sama?
Namun, jangan lupa. Ada perbezaan antara kita dengan masyarakat Barat.
Mereka umumnya tidak percaya kewujudan mistik di dalam kehidupan masing-masing.
Lantas lebih mudah untuk mereka menerima filem-filem genre seram itu sebagai setakat hiburan semata-mata.
Tetapi bagi masyarakat kita?
Walaupun kita sudah anggap diri maju dan berpelajaran, masih wujud kepercayaan mengenai hantu dan mistik dalam masyarakat kita.
Walaupun kita menganggap diri kita sudah moden, ada orang kita yang masih percaya pada bomoh atau dukun untuk menyembuhkan penyakit seseorang atau menghalau roh-roh jahat.
Menonton filem-filem seram itu boleh menebalkan pemikiran dan anggapan seperti ini.
Lebih membimbangkan ialah apabila sesebuah filem seram itu ditonton oleh kanak-kanak.
Hakikatnya, kanak-kanak tidak boleh berfikir seperti orang dewasa.
Jika sering menonton filem-filem tersebut, sedikit sebanyak mereka boleh terpengaruh.
Walaupun mereka tidak pernah nampak hantu tetapi mereka akan sangka di sana sini ada jelmaan jin atau hantu yang boleh menyerupai apa saja.
Ini boleh merosakkan pemikiran mereka.
Mahukah anda membiarkan anak-anak anda dimomok-momokkan oleh apa yang digambarkan dalam filem-filem itu?
Mahukah anda melihat anak-anak anda jadi orang penakut... sampai hendak ke tandas dalam rumah pun mereka takut?
Saya harap kita dapat sama-sama memikirkan buruk baiknya kesan cerita-cerita seram ini.
Kita boleh sarankan supaya pihak lembaga penapisan filem lebih tegas lagi dalam dasar penapisannya bagi filem-filem ini.
Namun, pucuk pangkalnya kita sendiri. Kalau kita yang suka sangat dengan filem-filem itu, ke seberang Tambak pun sanggup kita pergi untuk membelinya.
Keprihatinan saya ialah, masyarakat kita sekarang sudah menghadapi banyak cabaran dalam usaha mencapai kemajuan hidup.
Kita tidak mampu membiarkan pemikiran kita dikotori dengan kepercayaan-kepercayaan karut.
Usah nanti pembuat filem mengaup keuntungan, kita pula jadi masyarakat yang mudah diperbodoh-bodohkan.
Mungkin anda tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Mungkin anda anggap saya ini terlalu alarmist, membesar-besarkan sesuatu yang bukan isu.
Mungkin anda anggap apa yang saya katakan ini salah dan tidak berasas.
Saya harap anda benar dan saya salah...
No comments:
Post a Comment