Tuesday, May 17, 2011
JIRAN
AMAT PRIHATIN DAN SEDIA MEMBANTU: Penerima Anugerah Jiran Baik 2009, Encik Md Saleh Abu, dengan anugerahnya. Beliau juga menerima baucar pasar raya yang dikongsi dengan jiran-jiran dan anak-anaknya. - Foto JOHARI RAHMAT
Mudah cetak
E-mel
15 Mei 2011
SINGAPURA
Baikkah jiran anda?
Saran namanya untuk dicalonkan terima Anugerah Jiran Baik
SEPANJANG 10 tahun menetap di Corporation Drive di kawasan Jurong, Encik Md Saleh Abu tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan jiran-jirannya.
Begitu juga dengan jiran-jirannya yang amat mesra dengannya.
Bukan sahaja mereka bertegur sapa, malah Encik Md Saleh juga kerap menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh jiran-jirannya itu, tidak kira agama dan bangsa mereka.
Selain membantu memerhatikan keadaan jiran-jirannya yang uzur, bapa lima anak itu juga kerap membelikan barangan pasar yang dipesan jiran-jirannya, jika mereka tidak berdaya atau tidak ada masa untuk pergi sendiri.
Encik Md Saleh, 69 tahun, seorang noja di Masjid Assyakirin, turut menemani sesetengah jirannya berjalan-jalan mengambil angin atau sekadar duduk-duduk di kolong blok dan bersembang.
Bukan itu sahaja yang dilakukan Encik Md Saleh. Semasa memenangi Anugerah Jiran Baik atau Good Neighbour Award (GNA) pada 2009, Encik Saleh mengongsi sebahagian hadiah baucar yang dimenangi dengan jiran-jirannya.
'Saya berikan sejumlah $300 baucar pasar raya NTUC daripada $500 yang saya menangi kepada jiran-jiran, selain kepada anak-anak saya.
'Ini saya lakukan kerana sedar, saya tidak akan menang anugerah ini tanpa mereka.
'Mereka juga sangat baik. Jadi, mereka juga harus berkongsi hadiah yang saya menangi,' kata Encik Md Saleh, datuk 18 cucu yang tinggal bersama isterinya, Cik Salmah Ali, di flat satu bilik.
Menurut Encik Md Saleh lagi, walaupun beliau dan jiran-jirannya datang daripada latar belakang yang berbeza, mereka semua memastikan masing-masing dapat hidup dalam suasana harmoni dan berbaik sangka.
Pada tahun ini, Anugerah Jiran Baik akan diberikan lagi.
Dilancarkan dua tahun lalu, anugerah tersebut bertujuan mengenal pasti para penduduk - menerusi penglibatan mereka - yang menyumbang kepada keadaan sekitar yang lebih baik dalam kejiranan mereka.
Antara kriteria anugerah itu ialah kualiti dan sikap jiran yang baik, kelakuan baik yang patut dicontohi seperti membantu atau menerima penduduk baru dengan tangan terbuka serta semangat sukarelawan seperti menyertai kegiatan penduduk dan membantu golongan lebih tua.
Anugerah Jiran Baik dianjurkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Persatuan Rakyat (PA). Ia disokong oleh Gerakan Baik Budi Singapura (SKM) dan Singapore Press Holdings (SPH).
Sekiranya, anda mempunyai jiran-jiran yang baik, anda boleh mendaftarkan nama mereka untuk anugerah tersebut.
Butiran lanjut mengenai anugerah itu dan cara-cara mendaftarkan jiran baik anda bakal diumumkan tidak lama lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment