Wednesday, April 6, 2011

Anda Tahu Nama Nenek Moyang? oleh Ismail Pantek

3 Apr 2011

KOMENTAR

ANDA TAHU NAMA NENEK MOYANG?

Pengetahuan cetek akan warisan bangsa sendiri menyebabkan anak-anak muda kita lemah semangat


KALAU ada orang tanya, siapakah nama datuk nenek moyang atau salasilah keluarga anda, dapatkah anda menjawabnya?

Berkemungkinan besar, tidak. Ramai yang tidak akan tahu menjawabnya, apa lagi anak-anak muda.

Terus terang, saya sendiri cuma tahu nama saya Ismail bin Pantek bin Kemeh.

Pantek bapa saya, Kemeh nama datuk saya. Saya tidak tahu nama moyang-moyang saya, apa lagi asal usul dan kisah-kisah mereka.

Bagi kita, perkara-perkara seperti ini tidak penting. Ia perkara remeh. Asal kita tahu nama ibu bapa dan datuk nenek kita sudah cukup.

Tetapi, jika anda tanya kaum-kaum lain, termasuklah orang Cina dan orang Arab sendiri, ramai yang begitu mengambil berat salasilah keluarga mereka.

Ada yang dapat mengesan nama nenek moyang mereka sampai beberapa keturunan lamanya.

Mereka berbuat demikian kerana bangga dengan warisan mereka dan menyimpannya sampai ke anak cucu.

Ini yang perlu kita fikirkan bersama, walaupun dalam zaman moden ini.

Biar saya jelaskan sedikit.

Pakar-pakar mengatakan, pembentukan sesuatu bangsa itu bermula daripada keluarga.

Menurut mereka, kalau kita tidak mengambil berat tentang susur-galur keluarga, ia bermakna kita tidak menghargai keluarga sendiri.

Kalau kita tidak menghargai keluarga sendiri, macam mana kita hendak menghargai bangsa kita?

Jika kita tidak tahu akan asal usul keluarga kita sendiri, bagaimana kita hendak mengetahui sejarah atau ketamadunan bangsa kita?

Saya timbulkan perkara ini kerana tertarik dengan satu ucapan yang diberikan oleh Menteri Negara (Pendidikan dan Ehwal Dalam Negeri) kita, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam sesi dialog bersama anggota sayap belia Parti Tindakan Rakyat (PAP) minggu lalu.

Menurut beliau, kita sebagai orang Melayu harus bangga, justeru giat memperkenalkan warisan tamadun kita yang tidak kurang gahnya.

Beliau kata, orang Melayu sejak dahulu sudah mempunyai ketamadunan yang tinggi - dengan sistem pemerintahan, strategi peperangan, sistem cukai, seni, bahasa dan sastera yang tersendiri.

Bahkan, kita mempunyai pakar strategi perang sehebat Sun Tzu, iaitu Tun Perak, yang berjaya menghindar Melaka daripada jatuh ke tangan kerajaan Siam menerusi strategi menyerang pada waktu malam.

Tetapi sayang, kata Encik Masagos, ramai orang kita yang tidak tahu akan ketamadunan Melayu itu.

Masih kurang usaha badan-badan Melayu/Islam kita untuk mendefinisikan ketamadunan Melayu dalam lingkungan yang lebih luas daripada setakat lagu, tarian, teater dan sastera sahaja.

Kenyataan beliau itulah yang patut diberikan perhatian, bukan sahaja oleh para pemimpin badan, bahkan para pendidik, bijak pandai dan tentunya kita sendiri.

Kita seringkali tidak tahu dan tidak berasa perlu untuk memikirkan dari mana orang Melayu bermula.

Sampai sekarang, apabila bercakap tentang asal usul orang Melayu, ramai antara kita masih kabur dan keliru.

Kita mudah patah semangat apabila orang lain kata Melayu malas atau mundur atau tidak mempunyai budaya progresif.

Kita sangka tiada yang dapat kita jadikan sandaran daripada tamadun kita kerana kita hanya tahu budaya Melayu daripada sudut seni, lagu dan cerita-cerita dongeng.

Kita hanya tahu budaya kita dahulu membesar-besarkan taat setia membuta tuli atau raja yang tidak berperi kemanusiaan.

Kita sangka sejarah Melayu kita tidak lebih daripada kisah-kisah dongeng karut yang mengagung-agungkan raja.

Kita hanya tahu kisah kebodohan Pak Pandir dan Pak Kadok atau kisah kebodohan pembesar Melayu yang menasihatkan raja menggunakan betis rakyat sebagai pelindung daripada serangan ikan dalam peristiwa Singapura dilanggar todak.

Pengetahuan cetek akan warisan bangsa sendiri menyebabkan anak-anak muda kita lemah semangat, lantas lebih cenderung meniru budaya lain yang kononnya lebih moden dan progresif.

Bahkan ada yang sanggup menukar nama, seolah-olah malu dikenali sebagai orang Melayu.

Melihat amalan rasuah dan politik kotor di negara-negara lain dalam rumpun dunia Melayu hari ini, kita mudah membuat kesimpulan 'Ah, inilah sifat orang Melayu!'

Walhal, orang Melayu sebenarnya tidak begitu. Kita mewarisi tamadun yang berusia beribu-ribu tahun lamanya.

Ahli-ahli sejarah mengatakan, orang Melayu telah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu, atau mungkin lebih awal daripada itu.

Lama sebelum kerajaan Melayu Melaka, sudah wujud banyak empayar Melayu lama - baik sebelum mahupun sesudah kedatangan Islam ke rantau ini.

Sudah wujud kerajaan-kerajaan Melayu seperti kerajaan Langkasuka di Thailand Selatan, Kuala Selinsing di Perak,dan Lembah Bujang di Kedah.

Orang Melayu sebenarnya bangsa yang besar, yang mempunyai tamadun budaya dan falsafah sendiri yang jelas tercermin dalam pepatah, pantun warisan dan adat resam nenek moyang mereka.

Banyak lagi ketamadunan Melayu yang dapat kita gali dan kita pelajari - tetapi kita tidak ambil peduli.

Orang Melayu kita sepatutnya bangga kerana mewarisi ketamadunan yang besar, sebagaimana orang Cina berbangga dengan tamadun Cina dan orang Barat dengan ketamadunan mereka.

Kembali menjejak kekayaan warisan kita bukan bermakna kita surut ke belakang, sedang orang lain maju ke depan.

Ia sebenarnya dapat menjadi bekalan penting untuk memberi semangat dan keyakinan kepada kita dalam mengharungi zaman moden sekarang.

Semoga lebih ramai pemimpin Melayu dan bijak pandai kita sealiran pemikiran dengan Encik Masagos... dan berusaha mendidik generasi muda sekarang mengambil inspirasi daripada warisan datuk nenek moyang mereka.

1 comment: