Friday, September 3, 2010

Tuisyen

2 Sep 2010

KOMENTAR

KALAM INSAN
Perbetul sikap terhadap tuisyen

Oleh
A. Rahman Basrun
NAK tuisyen atau tidak? Itulah tajuk yang hangat dibincangkan kini. Sebabnya? Di satu dialog baru-baru ini yang dihadiri Menteri Pendidikan, Dr Ng Eng Hen, ada ibu bapa meluahkan rasa prihatin tentang trend tuisyen yang kian menjadi-jadi.

Ada pihak menyoal kewajarannya. Alasannya? Tidak adil jika tuisyen memberi kelebihan hanya kepada pelajar yang mampu membayar kosnya. Akibatnya, pelajar yang tidak mampu tentu ketinggalan.

Benar atau tidak? Bukan mudah jawapannya. Antara lain, ia bergantung pada sama ada tuisyen adalah satu kemestian.

Misalnya:


apabila sistem persekolahan kurang mampu menampung keperluan pelajarnya.

Jadi, terpaksalah pelajar yang terjejas dek kekurangan pada sistem itu mencari bantuan daripada sumber luar seperti guru tuisyen.

Saya rasa sistem kita yang ada sekarang, walaupun masih boleh diperbaiki, tidaklah berkeadaan sehingga memestikan tuisyen.


apabila seseorang pelajar bermasalah kesihatan yang menjejas keupayaannya belajar berbanding pelajar lain.

Dalam kes sebegini, guru tuisyen berupaya memberi lebih tumpuan peribadi kepadanya.


apabila seseorang pelajar terkebelakang berbanding pelajar lain sungguhpun dengan kelas dan program tambahan yang diadakan pihak sekolahnya.

Tuisyen boleh membantu pelajar tersebut mengejar yang lain.

Jadi, tiga senario tadi mewajarkan tuisyen bagi pelajar.

Mentelah dewasa ini, kian banyak pilihan tuisyen di watan ini.

Kalau mampu ambil yang mahal, silakan. Cuma, cubalah pastikan tuisyen sedemikian benar-benar perlu dan berkesan. Kalau tidak, lebih baik duit itu disalurkan kepada lain-lain kepentingan.

Tuisyen murah dan percuma pun ada, sebagaimana ditawarkan sesetengah badan kebajikan. Pilihlah ikut kemampuan.

Namun, terus terang, bagi saya persoalan sama ada tuisyen perlu atau tidak tidaklah sebesar isu sikap sesetengah orang kita terhadap tuisyen itu sendiri:


Jenama Melayu:

Entah kenapa sesetengah orang kita mati-mati inginkan guru tuisyen sebangsa untuk anak mereka. Ini tiada salahnya, asalkan mutu tuisyen terjaga.

Jika tidak, tiada salahnya kita mencari yang terbaik - tidak kira apa warna kulitnya - demi masa depan anak kita.


Melayu murah?:

Mungkinkah sebabnya guru tuisyen Melayu jauh lebih murah khidmatnya?

Kalau tanya kenapa begitu murah, guru tuisyen Melayu akan cepat menjawab bahawa tujuan mereka setakat menolong mempertingkat masyarakat Melayu.

Terharu saya setiap kali mendengar jawapan sebegitu.

Cuma, dua masalahnya. Pertama, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan sungguhpun mereka berkemampuan.

Kedua, saya sendiri mendapati keluarga yang menanggung kos tuisyen yang tinggi lebih ambil berat tentang tuisyen tersebut.

Maklumlah, tak nak rugi.

Sebaliknya, mereka yang membayar yuran rendah bersikap ambil sambil lewa - termasuk datang lambat, tidak buat tugasan yang diberi dan ponteng tanpa alasan.

Lagipun, saya rasa tidak adil kenapa ada jangkaan agar guru tuisyen Melayu mengenakan yuran rendah, jika mutunya setara bukan Melayu.

Yang pelik, ada orang kita sanggup berbelanja hingga beribu dolar sebulan tanpa banyak soal kalau guru tuisyennya orang bukan Melayu, apalagi mat salih!


Macam beli ikan:

Pun saya dapati sesetengah orang kita tawar-menawar tentang kos tuisyen macam nak beli ikan di pasar.

Macam-macam alasan diberikan - gaji kecillah, ada tanggungan lainlah, padahal kesnya bukan sedemikian.

Kalau boleh, mahu dapat tuisyen percuma. Kita lupa bahawa guru tuisyen pun perlu cari makan. Mentelah pendidikan tidak ternilai harganya.


Jangkaan melampau:

Sudahlah beli ikan merah pada harga ikan selar, cerewet pula. Sudahlah mahukan tuisyen semurah mungkin, banyak pula kerenahnya.

Misalnya, sesetengah ibu bapa menjangkakan anak mereka cemerlang selepas baru sebulan dua tuisyen.

Jika sebelum tuisyen si anak gagal mata pelajaran, baru masuk tuisyen sudah harapkan anak dapat gred 'A1'!

Ada juga tukar waktu tuisyen macam tukar baju - ikut sesuka hati, itu pun atas alasan remeh seperti ada jemputan kahwin!

Sudah rosak baru hantar: Tanda-tanda kemerosotan anak dalam pelajaran sudah nampak sejak awal lagi, namun tidak dipeduli.

Selepas anak sudah jadi kes teruk atau 'gone-case', baru hendak dihantar ke guru tuisyen - seolah-olah guru tuisyen itu wali yang boleh menjadikan pelajar itu pandai melalui keramatnya.


Kes saat terakhir:

Lebih dahsyat, ada yang hantar anak ke tuisyen hanya sebulan atau seminggu dua sebelum peperiksaan akhir tahun!

Macamlah guru tuisyen boleh memindahkan segala ilmu yang diperlukan kepada si pelajar melalui suntikan!


Tuisyen sebagai kelebihan:

Orang selalu nampak tuisyen sebagai kerja membaiki labu, yakni memperbaiki pelajar lemah.

Padahal tuisyen juga berguna sebagai wadah mempertingkatkan keupayaan pelajar cerdas agar dia dapat mara ke tahap selanjutnya.

Lainlah halnya jika sekolah pelajar itu memang ada skim mempertingkat pelajar cerdas sebagaimana terdapat di sebilangan sekolah di sini.

Ini harus diambil kira dalam pemantauan Kementerian Pendidikan (MOE) ke atas perkembangan tuisyen setempat yang dinyatakan Dr Ng di dialog tersebut.

Akhir kalam, tuisyen memang wajar dimanfaatkan masyarakat kita.

Namun, ia bukan satu-satunya jalan keluar meningkatkan prestasi anak kita dalam pelajaran.

Lebih penting adalah asuhan.

Ertinya, dari awal lagi kita pupuk dalam anak kita disiplin dan kemahiran belajar, sentiasa berinya sokongan dan rangsangan seraya menyediakannya sekitaran yang sihat dan mesra untuk dia belajar di rumah.

Kalau ini boleh kita lakukan, saya pasti tiada masalah anak Melayu dalam pendidikan di watan ini.

No comments:

Post a Comment