Friday, September 10, 2010

Keindahan di sebalik amalan bermaaf-maafan

8 Sep 2010

EKSTRA!

Keindahan di sebalik amalan bermaaf-maafan

Kemaafan yang terbit ikhlas daripada hati lebih bermakna

Oleh
Roslie Sidik
AMALAN ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sudah menjadi tradisi yang sebati dalam kalangan masyarakat kita setiap kali tibanya Syawal.

Setelah sebulan berpuasa di dalam bulan mulia Ramadan, Syawal dianggap sebagai bulan kemaafan yang disambut dengan penuh ketakwaan dan kegembiraan.

Apakah kemanisan dan keindahan budaya bermaaf-maafan yang selama ini dipegang oleh masyarakat kita?

Apakah pula yang menjadi sandaran dalam mengekalkan budaya ini?

SUASANA HARMONI

Biasanya sebelum si ayah pergi menunaikan solat Aidilfitri, si isteri dan anak-anak akan menghulur tangan memohon kemaafan. Pipi dan tangan dikucup tanda kasih sayang.

Luahan kata-kata kemaafan disusun ringkas dan indah dengan penuh rasa rendah diri dan harapan.

Alangkah indahnya budaya ini telah mewujudkan suasana rumah tangga yang aman dan harmoni.

Aidilfitri akan bertambah kesyahduannya dan sering diiringi dengan titisan air mata kegembiraan.

Jika budaya ini diteruskan di luar bulan Syawal, pastinya suasana rumah tangga akan menjadi bertambah aman dan makmur di bawah pengampunan dan keredaan Allah.

MENGUKUH SILATURAHIM

Dalam suasana Hari Raya ketika ziarah-menziarahi sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat-handai, amalan saling bermaaf-maafan ini diteruskan.

Walaupun kadang-kadang lidah terasa kelu untuk meluahkan kata-kata memohon ampun dan maaf, cukuplah kita menyusun rangkaian kata yang seikhlasnya.

Yang terbit ikhlas daripada hati lebih bermakna.

Yang penting selepas memohon kemaafan, kita perlu sedar dan insaf atas kesilapan yang telah dilakukan, baik yang sengaja mahupun yang tidak disengajakan.

Seterusnya kita harus didorong dengan rasa keazaman dan kesungguhan daripada mengulangi kesilapan yang sama pada lain masa.

Amalan ini jika dilakukan dengan seikhlas hati bukan sahaja dapat menimbulkan rasa kasih sayang dan saling hormat-menghormati, bahkan dapat mengukuhkan silaturahim antara satu sama lain.

MENERIMA DENGAN LAPANG DADA

Namun, hakikatnya kadangkala orang-orang yang rapat dengan kita telah melakukan suatu kesilapan besar ke atas diri kita.

Kesilapan itu rasanya terlalu berat dan begitu sukar sekali dimaafkan apa lagi dilupakan. Bak kata orang, lukanya mungkin sudah pulih tetapi parutnya masih tetap ada.

Keberkatan Aidilfitri seolah-olah memberi jaminan bahawa hati sekeras mana sekalipun akan berupaya menjadi lembut.

Terlalu banyak kisah yang kita dengar dan mungkin telah kita saksikan sendiri bagaimana seseorang begitu rela memaafkan kesilapan orang lain biarpun kesilapan itu dirasakannya cukup besar.

Namun, kita juga seharusnya menerima dengan tabah sekiranya permohonan maaf kita ditolak dengan sekeras-kerasnya.

Mungkin kesilapan itu terlalu besar sehinggakan si penerima belum sedia memaafkan kita.

Dalam menghadapi hal yang sedemikian, setelah segala usaha memohon maaf telah gagal, kita tidak seharusnya berputus asa.

Kita sewajarnya terus menerus berdoa agar Tuhan membuka pintu hatinya untuk memaafkan kita.

Selain itu, kita juga harus mendoakan yang terbaik untuk orang tersebut selagi orang itu masih hidup.

Yang lainnya itu menjadi urusan Allah dan sebagai hamba yang lemah kita hanya mampu berusaha dan menerima segalanya dengan reda.

Di dalam mengamalkan budaya bermaaf-maafan ini, amat penting si peminta maaf bersikap ikhlas dan tulus dalam pengucapannya dan insaf serta bertekad tidak mahu mengulangi kesilapan itu lagi.

Si penerima pula haruslah mengambil sikap yang lebih terbuka dan menerima ucapan maaf itu dengan lapang dada.

Mudah-mudahan dengan mengambil sikap sebegini akan terbentuk sikap penyayang dan mengikis pula sifat-sifat buruk seperti menyimpan dendam dan amarah dalam jiwa masing-masing.

TERBENTUK SIFAT TAKWA

Amalan bermaaf-maafan ini juga bersesuaian dengan nilai-nilai Islam. Bahkan dalam menggambarkan ciri-ciri orang yang bertakwa, Allah berfirman: 'Mereka adalah orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan' - (Ali 'Imran: 134).

Amalan bermaaf-maafan ini mencerminkan ketertiban dan kesopanan orang Melayu. Memang telah menjadi adat, kita sentiasa menjaga hati orang-orang yang kita cintai.

Dalam suasana Aidilfitri bagi tahun ini dan tahun-tahun berikutnya, biarlah kita terus menghidupkan semangat budaya ini sebaik-baiknya.

Orang yang ikhlas memohon maaf dan orang yang rela memberikan kemaafan, kedua-duanya saling dipandang mulia.

Salam Aidilfitri, menyusun jari maaf dipinta.

1 comment: