Friday, September 10, 2010

Semangat Singapura Harus Bersifat Global

6Sep 2010

EKSTRA
Semangat Singapura harus bersifat global

Masyarakat sejagat perlu ada nilai-nilai yang tidak terikat kepada bangsa, bahasa dan agama untuk terus bersatu

Oleh
Noorkiah Hashim
ADAKAH masyarakat Singapura kurang keyakinan dan sikap bersatu- padu sehinggakan kita perlu memupuk semangat kesingapuraan?

Semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan di Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura tempoh hari, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bukan sahaja menyentuh malah mengalu-alukan masyarakat Singapura memperkuatkan lagi semangat kesingapuraan itu.

Pada dasarnya, dengan memperkukuhkan lagi semangat tersebut dan mengamalkan sikap terbuka terhadap kedatangan pekerja dan bakat asing, ia sekali gus mendorong Kota Singa ke tahap kemajuan yang lebih tinggi.

Lantas, apa yang dimaksud sebagai 'semangat kesingapuraan' dan mengapa, pada pandangan penulis semangat kesingapuraan itu penting dalam konteks kita hari ini?

Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan, Perdana Menteri menekankan bahawa semangat itu tidak boleh berasaskan bangsa, bahasa dan agama tetapi nilai-nilai yang dikongsi seperti meritokrasi, berbilang bangsa, sikap menghormati setiap bakat, tanggungjawab dan komitmen kepada negara.

Sememangnya, sukar mendefinasikan semangat kesingapuraan tetapi secara tuntas semangat kesingapuraan adalah:


Keazaman mengharungi detik-detik sukar nan mencabar bersama,


Kepercayaan terhadap satu sama lain walaupun kita berhadapan dengan situasi seperti pengganasan yang mampu mengancam keharmonian kaum dan memecah-belahkan masyarakat kita,


Kecekapan, kebanggaan dalam diam dan disiplin yang memastikan Singapura melaksanakan kerja dengan betul, seperti semasa Sukan Olimpik Belia baru-baru ini,


Keyakinan yang kita akan mengatasi apa jua cabaran.

Pada hemat penulis, semangat kesingapuraan merupakan sesuatu yang harus dipupuk dalam setiap individu tidak kira apa jua latar belakang kita.

Ini kerana dunia semakin bersifat global. Tambahan pula, penghijrahan individu-individu dari negara lain ke Singapura berlaku dengan pesat dan ini menjadikan Kota Singa sebagai sesebuah negara kosmopolitan.

Ini bermakna perbezaan dari segi latar belakang, bangsa, bahasa dan agama semakin ketara.

Oleh itu, masyarakat yang bersifat sejagat memerlukan nilai-nilai yang tidak terikat kepada bangsa, bahasa dan agama untuk terus menyatupadukan masyarakat tersebut.

Di sini penulis tidak beranggapan bahawa aspek-aspek seperti bangsa, bahasa dan agama tidak lagi relevan untuk menyatukan masyarakat tetapi semangat kesingapuraan adalah asas yang melahirkan persamaan dan persamaan itu penting dalam sesebuah masyarakat yang penuh dengan pelbagai perbezaan.

Hakikatnya, semangat kesingapuraan bukanlah sesuatu yang baru. Malahan sejak 1966 di mana rakyat Singapura mula-mula melafazkan ikrar negara, masyarakat sudah berjanji akan bersatu tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama.

Dari segi sejarah, ini menunjukkan bahawa sejak dahulu lagi sudah timbul pemahaman bahawa kita perlu mengatasi perbezaan kita antara satu sama lain demi membina sesebuah negara yang maju.

Secara kesimpulan, walaupun semangat kesingapuraan bukan sesuatu perkara yang baru, masyarakat lebih-lebih lagi generasi muda harus memikirkan bagaimana kita memupuk dan memperkuatkan lagi semangat kesingapuraan.

Ini kerana berikrar tanpa merealisasikan keazaman dan semangat untuk bersatu-padu sama sahaja seperti melepaskan batuk di tangga.

Nota: Penulis mahasiswa sosiologi, Universiti Teknologi Nanyang

No comments:

Post a Comment