6 Sep 2010
EKSTRA!
Pokok selasih banyak khasiatnya
Masyarakat Melayu, India dan Cina sama-sama manfaatkan kebaikan selasih
Oleh
Noor Hasnah Adam
AIR katirah dan bulan Ramadan memang sinonim sekali di Singapura. Bila tiba bulan Ramadan, air katirah akan dicari orang ramai.
Air katirah bukan sahaja dapat melegakan dahaga bahkan mempunyai khasiat yang tinggi untuk memberi tenaga pada tubuh badan.
Antara ramuan air katirah ialah buah semangkuk, buah katira, gajus, kismis, kurma, agar-agar, badam, halwa kabung, susu dan beberapa bahan lain. Paling menarik, air katirah tidak akan lengkap tanpa biji selasih.
Selasih atau nama saintifiknya Ocimum Sandium atau bahasa Inggeris disebut basil, tergolong dalam keluarga Lablatae. Masyarakat Melayu turut menggelarnya ruku-ruku atau ruku hitam.
Spesies pokok ini sebenarnya berasal dari negara beriklim panas seperti India, benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan. Dipercayai, pedagang India telah memperkenalkan dan membawa selasih ke rantau ini.
Selasih adalah sejenis tanaman semusim yang tumbuh menegak dengan ketinggian antara 30 hingga 90 sentimeter.
Batangnya bersegi dan berwarna sama ada hijau, ungu atau perang. Daunnya berwarna hijau pekat, tunggal dan berbentuk bujur telur. Di rantau ini pada kebiasaannya, pembungaan bagi tanaman daripada biji benih bermula selepas lebih kurang 75 hari selepas di tanam ke ladang.
Bunganya terdapat di bahagian hujung batang dan dahan pokok. Kelopak bunganya berwarna hijau keunguan dan bahagian atas bunganya berwarna putih atau merah jambu pucat.
Keseluruhan bahagian tumbuhan boleh mengeluarkan bauan yang sangat beraroma. Namun bauan itu juga boleh memabukkan.
Pokok selasih tumbuh dengan baik di kawasan beriklim tropika. Biasanya masyarakat India menanam pokok ini di halaman rumah dan kuil.
Golongan tua biasanya memakan pucuk dan daun muda selasih sebagai ulam.
Aroma selasih pula digunakan sebagai perasa dalam makanan manakala biji selasih dibuat minuman.
Minuman selasih dipercayai dapat menyejukkan badan.
Di India, selasih mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan menjadi bahan keagamaan serta kepercayaan.
Masyarakat India mengenali tumbuhan selasih ini sebagai 'vishnu priya'. Penggunaan selasih amat penting dalam sistem perubatan Ayurveda masyarakat India dan perubatan Jiu Cheng Ta masyarakat Cina.
Dari sudut saintifik, kajian menunjukkan bahawa daun selasih dapat meningkatkan atau mengembalikan selera, membuang angin dalam perut dan usus, juga membuang hingus dan lendir dalam sistem pernafasan.
Jus daun selasih boleh menjadi penawar kala jengking dan patukan ular, meredakan sakit perut dan mengurangkan tahap gula di dalam darah.
Air rebusan daun selasih boleh digunakan untuk berkumur bagi mengurangkan sakit gigi.
Bagi masyarakat Melayu pula, daun selasih dimakan atau air rebusannya diminum untuk mengurangkan batuk.
Jika demam, daun selasih yang ditumbuk lumat perlu ditampal ke dahi untuk mengurangkan panas dan sakit kepala.
Biji selasih pula digunakan sebagai tonik untuk menjaga kesihatan badan.
Minyak pati yang dihasilkan melalui pengekstrakan daun dan bunga selasih digunakan dalam industri minyak wangi, farmasiutikal, aromaterapi dan makanan dengan memanfaatkan bauan dan perisa yang asli.
Masyarakat Melayu percaya bahawa minyak selasih dapat mengubat sakit telinga, sakit kulit dan turut menjadi pencegah serangga.
Tanaman selasih mempunyai berbagai-bagai kegunaan bukan sahaja di Asia bahkan di Barat. Di Amerika pula disebabkan kecantikan dan bau yang menarik, beberapa baka terpilih telah jadikan sebagai tanaman landskap dan tanaman hiasan.
Dalam pantun-pantun Melayu, banyak mengaitkan 'selasih' dengan hubungan kasih sayang;
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Hilang emak hilang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Batang selasih permainan budak,
Daun sehelai dimakan kuda;
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga.
Dalam sastera rakyat Asal Usul Danau Maninjau, ada disebut pantun berikut;
Sudah lama merendam selasih,
Barulah kini mau mengembang;
Sudah lama kupendam kasih,
Barulah kini bertemu pandang.
Selasih turut menjadi nadi dalam lirik-lirik lagu terkenal seperti yang dinyanyikan oleh Ahmad Jais dan Allahyarhamha Rafeah Buang;
Kutanam selasih
Kutanamkan di hujung halaman
Mengenangkan kasih wahai saying
Yang aku tinggalkan....
Ternyata, tanaman selasih yang kaya dengan khasiat perubatan turut menerbitkan hubungan rapat dan kasih sayang antara manusia Melayu dengan tumbuhan itu. Semuanya jelas terpancar dalam pantun-pantun dan sastera Melayu.
No comments:
Post a Comment