19 Ogos 2010
KOMENTAR
KALAM INSAN
Peringatan 5K bagi Melayu
Oleh
A. Rahman Basrun
KITA kini kenal kembali konsep 5K - Kereta, Kad kredit, Kondominium, keanggotaan Kelab dan wang Kertas (tunai).
Bahasa Inggerisnya, 5C - Car, Credit card, Condominium, Country club dan Cash.
Konsep 5C itu popular sejak lebih sedekad lalu. Waktu itu, ia dikatakan Impian Singapura.
Kini, Menteri Kanan mengemas kininya sesuai dengan tuntutan masa dan negara.
Menurut Encik Goh Chok Tong, 5C itu kini career, comfort, children, consideration dan charity.
Bahasa Melayunya, Kerjaya, Keselesaan, Kanak-kanak, Keihsanan dan Kebajikan.
MODEL LAMA VS BARU
Memang saya kurang menyetujui 5K yang asal.
Apakan tidak, tiga unsurnya - kad kredit, kondominium dan kereta - sering membabitkan amalan berhutang.
Lainlah kalau impian kita supaya hutang keliling pinggang!
Apakah gejala berhutang dengan tailong dewasa ini berkait dengan pengejaran 5K itu? Tepuk dada tanyalah selera.
Hakikatnya, 5K asal itu berciri kebendaan. Sebagaimana kata Encik Goh, ia boleh dijadikan ukuran tercapainya impian. Tidak lebih daripada itu.
5K baru lebih menyeluruh - mencakupi aspek duniawi dan rohani.
Ia lebih sesuai dengan sebuah negara yang sudah maju seperti Singapura dari segi ekonomi dan prasarana sedang warganya kian matang.
MELAYU DAN 5K
Dulu, sempena 'demam' 5K, saya sarankan perlu ada 5K bagi Impian Melayu (Masyarakat Melayu pun perlukan 5K, BH, 23 November 1996), iaitu:
Kukuhkan institusi Keluarga (sama dengan saranan Encik Goh kini).
Banyak masalah masyarakat kita disebabkan keluarga yang rapuh.
Kental jati diri.
Walau apa pun cabarannya, kita menghadapinya tanpa sedikit pun berganjak daripada jati diri kita.
Kendur atau pandai ubah suai diri, lebih-lebih lagi dalam suasana globalisasi kini.
'Kurang ajar' yakni berani meluahkan pendapat dan menonjolkan diri melalui kreativiti, dengan adab dan tatasusila tetap terjaga.
Kendiri (berdikari).
Pun, saran saya, Melayu perlu bawa 5K 'kecil' di bawah ini ke mana-mana:
Kompas agar boleh solat di mana-mana ke arah kiblat (yakni jaga agama);
Kalam dan Kertas (atau Komputer) agar boleh merakamkan semua urusan dan ilham (bersistem).
Kitab untuk mengisi masa kita (berilmu dan tidak leka).
Kalkulator agar Melayu dapat mengira di mana-mana sahaja, bijak berbelanja dan meloncat rintangan psikologi dalam bidang matematik.
Selepas lebih sedekad berlalu, saya rasa kesemua itu masih terpakai bagi Melayu.
Maaf cakap, kita tampak belum sampai ke peringkat di mana kita tidak memerlukan kesemua ciri itu lagi.
BEKALAN 5K
Malah, selain 5K 'kecil' dan 'besar' itu, saya ingin saran pula 5K lagi yang perlu ada pada warga dan masyarakat Melayu selaku 'capital' atau modal pembangunan:
'Clout' atau Kuasa (pengaruh):
Biarlah kita masyarakat yang kecil tetapi berpengaruh besar.
Pengaruh itu bukanlah dengan membuat kacau seperti puak 'Baju Merah' di Thailand, tetapi dengan cara membina kewibawaan dan tukikan kita dalam negara dan jagat.
Jika ada kebergantungan terhadap kita, dari situlah pengaruh secara sendiri akan tumbuh.
Namun, pengaruh itu kita gunakan untuk manfaat masyarakat sekeliling.
'Contacts' atau Kenalan:
Kita perlu bina rangkaian kenalan kita.
Usah asyik mengharapkan orang-orang yang sama saja.
Pelbagai kenalan daripada segala lapisan masyarakat memastikan kepelbagaian idea dan sumber yang boleh kita salur dan gunakan secara tersusun dan bijaksana.
'Character' atau Karakter:
Kita harus membina perwatakan masyarakat Melayu yang dapat menampung kita di alaf baru.
Kita tidak harus lagi berpuas hati dengan imej kita sebagai masyarakat yang misalnya suka bergotong-royong atau yang anak mudanya suka sangat kesenian.
Bayangkan bagaimana watak dan akhlak Nabi Muhammad saw hinggakan digelar 'Al-Amin' dahulu.
Bahkan, selepas baginda diangkat menjadi Nabi pun, orang bukan Islam tetap meminta pertolongannya menjaga harta benda mereka.
Begitu jugalah kita harus paparkan nilai-nilai murni hinggakan masyarakat kita dikaitkan dengan nilai- nilai tersebut.
Caranya tidak lain tidak bukan melalui pengamalan din Islam sebagai satu sistem kehidupan yang serba lengkap.
'Charisma' atau Karisma:
Ini menyentuh keterampilan orang kita.
Saya tertarik dengan lelaki Gurkha; mudah mengenal mereka bukan saja dari segi air muka, bahkan juga postur badan yang tegap-tegap belaka.
Kita perlukan keterampilan sedemikian yang mudah dicam orang. Bukan maksud saya kita semua pakai pakaian seragam.
Misalnya, boleh tak kita buang imej 'lepak'? Atau setiap orang kita tampak sasa, bukan boyak?
'Creativity' atau Kreativiti:
Ini penting dalam kita mencari jalan keluar daripada masalah lama yang membelenggu dan mengorak langkah baru.
Adakah kadar kita menghuraikan masalah terlalu lembap dan langkah-langkah huraian yang kita laksanakan pula tiada kesan jangka panjang?
Kenapakah sesetengah kita masih terperangkap dalam kepercayaan merugikan dan tidak kreatif langsung seperti sihir dan amalan tidak produktif seperti pembahagian rambang bubur masjid?
Kenapakah cara-cara kita masih di takuk lama? Misalnya, mengumpul dana dengan menjual kalendar yang 'hayat' kegunaannya setakat setahun atau menerusi tabung.
Akhir kalam, ayuh kita kejar 5K itu.
Memang daripada bertatih dulu, kita telah bertapak maju. Namun, kita belum berjalan laju.
Usah hingga 5K lain menimpa orang kita: Kelam, Kecewa, diKotak-katikkan, Ke belakang dan Kecundang
No comments:
Post a Comment