Friday, September 3, 2010

Pencapaian belia melayu (teks penuh ucapan dlm bm pm)

30 Ogos 2010

SINGAPURA

PM: Pencapaian belia Melayu membanggakan


'EKONOMI kita telah bangkit semula daripada kemelesetan tahun lalu.

Perniagaan sedang berkembang, syarikat-syarikat menggaji lebih ramai pekerja, dan kita semua boleh jangkakan lebih banyak kerja lembur dan bonus lebih tinggi.

Masa depan nampak cerah, tetapi kita masih perlu bekerja keras untuk terus makmur. Rantau ini menawarkan banyak peluang kepada syarikat dan karyawan Singapura.

Tetapi, kita juga perlu meningkatkan ekonomi setempat, untuk wujudkan pekerjaan lebih baik bagi pekerja kita di sini. Lagipun, kebanyakan rakyat kita akan sentiasa bekerja di Singapura.

Strategi kita ialah meningkatkan daya penghasilan pekerja kita. Pekerja harus pertingkat kemahiran dan dapatkan kemahiran baru.

Pekerja bergaji rendah hadapi tekanan yang paling besar. Di China dan India, ada berjuta-juta pekerja.

Mereka sedia terima gaji yang amat rendah - jauh lebih rendah daripada gaji kita. Jika anda inginkan gaji lebih tinggi, jalanilah latihan dengan bersungguh-sungguh.

Pemerintah akan menyokong pekerja menerusi program-program Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET).

Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) memberitahu saya bahawa pekerja Melayu menyertai program CET secara aktif, terutama semasa kemelesetan.

Sayangnya, sedang pekerjaan semakin bertambah, majikan dan pekerja kurang mengambil berat akan program CET.

Nasihat saya: Jangan leka. Teruskan usaha ini. Bak kata pepatah: Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Saya tahu sebahagian warga Singapura bimbangkan persaingan daripada pekerja asing di sini. Hakikatnya, sedang pekerja asing bersaing dengan pekerja kita, mereka juga meluaskan peluang bagi kita semua.

Dengan pekerja asing, kita boleh menarik lebih banyak pelaburan ke sini, dan projek-projek ini akan mewujudkan pekerjaan yang lebih bermutu untuk warga Singapura.

Selain pekerja asing, kita juga perlukan pendatang yang akan menjadi penduduk tetap (PR) dan warga Singapura, demi menokok bilangan penduduk kita.

Kita buka pintu kepada pendatang daripada semua suku kaum, asalkan mereka dapat menyumbang kepada ekonomi kita dan berintegrasi dengan masyarakat kita.

Bukan mudah untuk memikat bakat Melayu atau pribumi dari Asia Tenggara. Tetapi kita berupaya menarik sejumlah orang, dan perlu teruskan usaha ini.

Bagaimanapun, biarlah saya yakinkan warga Singapura, khususnya masyarakat minoriti: Kita tidak akan izinkan kemasukan pendatang menjejas kadar campuran kaum di Singapura.

Kadar campuran sekarang adalah stabil dan menyumbang kepada keharmonian kaum dan agama kita.

Kita harus bekerja keras untuk sepadukan pendatang baru ini ke dalam masyarakat kita, agar lambat laun mereka menjadi warga Singapura sejati dalam pandangan hidup dan identiti mereka.

Kedua-dua pihak perlu lakukan usaha ini. Warga Singapura harus menyambut baik ketibaan pendatang dan membantu mereka sesuaikan diri dengan budaya dan nilai-nilai kita.

Pendatang pula perlu selesa bergaul dengan orang lain, termasuk mereka yang berbeza kaum dan agama.

Gambar ini menunjukkan beberapa badan pendatang Islam membahagikan bubur kepada keluarga susah semasa Ramadan.

Saya yakin lama kelamaan golongan pendatang ini akan menjadikan Singapura sebagai tempat tinggal dan negara mereka, lebih-lebih lagi anak-anak mereka.

Satu lagi keutamaan bagi masa depan kita ialah pendidikan.

Warga muda kita mempunyai banyak bakat dan minat yang berbeza - seni, muzik atau sukan, mata pelajaran teknikal atau akademik.

Kita akan pertingkat sistem pendidikan kita. Kita akan wujudkan lebih banyak laluan bagi pelajar dan lebih banyak puncak kejayaan untuk mereka daki.

Setiap sekolah akan menjadi sekolah yang baik. Setiap sekolah akan dilengkapi dengan kemudahan baik dan sumber-sumber yang sempurna.

Dan setiap sekolah akan mempunyai guru-guru berdedikasi dan terlatih. Kita akan siapkan pelajar kita untuk maju jaya dalam banyak bidang di sekolah, di tempat kerja dan dalam kehidupan.

Anda harus manfaatkan sepenuhnya program kebangsaan ini. Kita berjaya mengurangkan kadar keciciran di sekolah kepada paras yang amat rendah.

Pelajar Melayu membuat pencapaian yang baik di semua peringkat. Namun, masih ada sebahagian pelajar Melayu yang tidak memenuhi potensi mereka.

Saya berharap semua pelajar akan berusaha dan mendapat sokongan daripada keluarga masing-masing untuk belajar dengan gigih dan membaiki prestasi.

Selain pendidikan, budaya dan warisan kita juga penting bagi masa depan Singapura.

Saya gembira masyarakat Melayu menghidupkan bahasa dan budaya anda.

Saya diberitahu, Bulan Bahasa yang berlangsung bulan lalu telah menerima sambutan meluas daripada semua lapisan usia, termasuk para pelajar.

Tahun ini ulang tahun ke-10 Program Elektif Bahasa Melayu (atau MLEP) yang berjalan di dua maktab rendah.

Di gambar ini, pelajar MLEP di Maktab Rendah Tampines mempersembahkan dikir barat, sebahagian persembahan budaya tahunan mereka yang bernama Manifestasi.

Para pelajar program MLEP juga pernah berbalas pantun di sebuah stesen radio di Tanjung Pinang. Mereka ke Pulau Bintan di Indonesia untuk mendalami budaya Melayu.

Saya harap dengan sokongan pemerintah, sebagai orang Melayu, anda akan menaruh minat lebih mendalam ke atas bahasa dan budaya anda.

Belia kita kini mencapai impian mereka dalam banyak bidang. Belia Melayu juga menunjukkan pencapaian serupa, antara lain dalam teknologi maklumat, seni kreatif dan sukan.

Seorang pelajar politeknik Melayu, Muhammad Ikhwan Zainal, adalah anggota sebuah pasukan yang menghasilkan sebuah permainan Xbox.

Di sukan YOG baru-baru ini, antara atlit negara yang memenangi pingat adalah dua atlit Melayu - Nurul Shafinas Abdul Rahman dalam acara taekwondo dan Abdul Dayyan Mohamed Jaffar dalam sukan memanah.

Pasukan bola sepak negara yang meraih pingat gangsa mempunyai pemain berbilang kaum, termasuk beberapa pemain Melayu.

Saya ucapkan tahniah kepada mereka semua. Sememangnya, warga muda Singapura hari ini mempunyai keyakinan diri untuk memburu cita-cita mereka dan meninggalkan kesan kepada dunia.

Tetapi dengan globalisasi dan Internet, warga muda kita juga terdedah kepada pengaruh negatif dan bahaya.

Segolongan kecil menjadi terpengaruh dengan fahaman radikal secara sendiri.

Mereka terpesong, sehingga tergamak menyokong pengganasan yang bertopengkan jihad.

Kita telah saksikan beberapa kes baru-baru ini. Mujurlah, kita dapat kesan mereka sebelum mereka timbulkan bahaya kepada diri sendiri atau orang lain.

Saya gembira bahawa masyarakat Melayu/Islam menerima masalah ini dengan terbuka.

Anda telah mengambil pendirian yang jelas menentang sikap pelampau dan pengganasan.

Jadi, kita dapat kekalkan kepercayaan dan keyakinan antara kaum di Singapura.

Bagaimanapun, kumpulan pengganas masih aktif di dunia, dan di rantau ini.

Golongan ekstremis kini menggunakan bahasa Inggeris untuk menyebarkan mesej mereka.

Pokoknya, masalah ini belum berakhir. Jadi, kita mesti terus berwaspada.

Keluarga dan kawan boleh membantu mengesan tanda-tanda awal dalam diri belia.

Orang Islam boleh merujuk kepada Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) untuk mengesahkan kelayakan guru agama.

Beberapa orang ustaz telah menyarankan cara mengukuhkan ARS agar ia lebih berkesan.

Saya harap masyarakat Melayu/Islam dapat menimbangkan bagaimana ini boleh dilakukan.

Ini memang isu sensitif, tetapi saya rasa saya perlu timbulkan. Keprihatinan saya ialah terhadap golongan kecil yang mudah terpengaruh.

Namun, ini tidak seharusnya mengalihkan tumpuan kita daripada isu-isu utama lain - ekonomi dan pekerjaan, pendidikan dan latihan, daya saing dan kecemerlangan.

Bagaimanapun, soal fahaman pelampau dan pengganasan perlukan tumpuan berterusan daripada anda.

Anda telah raih kemajuan dalam sistem meritokrasi kita. Anda mampu berdikari, dan banggakan pencapaian anda.

Anda telah memberi sumbangan besar kepada kemajuan negara. Banyak yang perlu kita lakukan untuk membawa Singapura ke tahap selanjutnya.

Saya menggesa masyarakat Melayu/Islam, terutama para pelajar dan pekerja, agar terus berusaha meningkatkan ilmu dan kehidupan anda.

Dengan cara ini, anda boleh mencapai yang terbaik buat diri anda, masyarakat dan juga Singapura.

Terima kasih dan Selamat Meneruskan Ibadat Puasa.

No comments:

Post a Comment