Friday, February 26, 2010

Bak Purnama Di Gelita Malam - Maarof Salleh

26 Feb 2010
KOMENTAR
PANDANGAN

Bak purnama di gelita malam

Oleh Maarof Salleh

Seorang yang amanah, terpilih, mengajak kebaikanBagaikan purnama yang menghilangkan kegelapan.
DEMIKIANLAH gambaran Nabi Muhammad saw menurut sahabat karibnya, Abu Bakar Assyiddiq, yang juga khalifah pertama selepas kewafatan baginda.
Ungkapan ringkas itu tepat menggambarkan betapa ketinggian akhlak mulia Penghulu segala nabi itu yang terpancar untuk seluruh insan dalam memandu keluar daripada segala bentuk kejahilan.
Kisah keagungan baginda telah banyak ditulis oleh sarjana dan tokoh Islam dan bukan Islam. Antara lain, sarjana Amerika berdarah Yahudi, Michael H Hart, dalam bukunya, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History (1992) telah meneliti banyak tokoh dan memilih 100 yang dianggap berperanan mengubah sejarah dunia. Nabi Muhammad saw diletakkannya di kedudukan pertama kerana dianggap insan paling berjaya dalam sejarah di bidang sekular dan agama.
Namun terdapat juga pelbagai penghinaan terhadap baginda sejak detik kenabiannya sehingga kini, terutama sejak peristiwa serangan pengganas 9/11 dan kes kartun di akhbar Denmark. Setiap datangnya 12 Rabiulawal seperti hari ini, umat Islam pasti memperingati sumbangan besar baginda, terutama dari segi adab.
AKHLAK AGUNG
Warisan malar segar baginda ialah kemuliaan dan kemulukan akhlaknya untuk diteladani. Tanpa adab atau sifat mulia dan akhlak muluk baginda, tidak mungkin Islam berkembang luas sehingga membentuk sekitar 1.6 bilion penganut atau seperlima umat manusia kini.
Baginda mencerminkan empat sifat mulia iaitu kebenaran, amanah, kebijaksanaan dan penyampaian berkesan. Dua warisannya - Al-Quran dan Sunah (kata, perbuatan dan persetujuannya) - merupakan pegangan utama umat Islam.
Al-Quran merupakan firman Allah yang mengandungi khazanah terus relevan. Ayat Al-Quran bukan sahaja puisi indah yang tiada taranya malah berisi peringatan tajam dan menyentak pegangan dan kepercayaan tradisi masyarakat Arab ketika itu yang telah mereka warisi turun-temurun.
Quran berisi sejarah, fenomena alam, hukum, jangkaan hari muka seperti kiamat dan suri teladan (kisah nabi dan wali). Sedangkan yang dipunyai masyarakat Arab ketika itu hanyalah ilmu kaji bintang tanpa kepakaran dan peralatan sains yang lain. Namun, semua maklumat berupa wahyu itu disampaikan baginda yang telah disahkan seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Inilah keajaiban dan keindahan Islam.
KEBENARAN RISALAH
Misalnya, perihal penciptaan alam dan edaran cakerawala pada jarak dan kelajuan yang terkawal oleh Allah merupakan suatu yang sukar diterima ketika Al-Quran diturunkan. Umat Islam awal menerimanya kerana lebih didorong faktor keimanan.
Namun sains yang dipelopori para tokoh Islam telah membuktikan kebenaran Al-Quran. Misalnya, suria dan bukanlah bulan, sebagai pusat edaran sistem cakerawala kita. Islam telah menyingkap tabir kegelapan di seluruh benua.
Hanya ratusan tahun kemudian, barulah penemuan Copernicus pada abad ke-16 M mengesahkannya. Memandangkan kepercayaan Eropah ketika itu menempatkan bumi sebagai pusat edaran cakerawala, maka Copernicus dijatuhi hukuman bunuh kerana dituduh berdusta dan sesat.
Pada abad kemudiannya, Galileo, melalui bantuan teleskop yang lebih canggih, membenarkan dapatan Copernicus. Pun beliau juga ditentang dan dihukum oleh pihak gereja agar menggugurkan pegangan ilmunya.
Dalam abad ke-20, barulah pegangan Copernicus dan Galileo diakui pihak Gereja.
Al-Quran kaya dengan penjelasan mengenai alam dalam bahasa yang indah tetapi penuh rahsia:
'Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan Dialah yang menentukan perjalanan setiap sesuatu itu pada tempat-tempat peredarannya supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak mencipta sesuatu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) bagi orang-orang yang mengetahui.' (Surah Yunus: 5).
Bulan dinyatakan bercahaya tetapi tidak bersinar. Kerana bulan bukanlah bintang tetapi cakerawala satelit (pengiring bumi) yang menerima cahaya matahari yang dipantulkan ke bumi.
Memang para saintis Barat berpegang pada fahaman evolusi bahawa apa jua berlaku dengan sendirinya. Seluruh semesta ini dianggap para saintis Barat sebagai bermula dengan satu letusan kuat (Big Bang Theory) tetapi mereka tidak dapat menjelaskan kehadiran 'hukum alam' sehingga tiada sistem cakerawala yang bertembung.
Pada 1929, Edwin Hubble dari California berjaya membuat penemuan paling bersejarah dalam astronomi. Apabila dengan bantuan teleskop gergasi, beliau mendapati bintang dan cakerawala bergerak jauh, secara tetap dan berterusan, bukan sahaja daripada manusia, malah daripada sesama mereka. Ini bermakna, alam terus berkembang pada kadar yang sama (constant).
Padahal, lebih 1,400 tahun dahulu, Nabi Muhammad sudah pun menyampaikan maklumat tersebut menerusi ayat-ayat Al-Quran berikut: 'Langit itu kami bangunkan dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskan (atau membuatnya berkembang).' (Surah Adz-Zariyat: 47).
Malah dalam ayat berikut: 'Tuhan telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu tidak akan melihat pada ciptaan-Nya sebarang kecacatan. Maka lihatlah berulangulang. Pandanganmu akan kembali kepadamu dalam keadaan bersilau dan meletihkan.' (Surah Al-Mulk: 2-3).
REFORMIS
Bersikap baik kepada semua orang merupakan misi baginda. Tercatat bukti bahawa baginda tidak pernah mengherdik atau berkata 'cis!' kepada khadamnya atau mencelanya kerana sesuatu perbuatan atau meninggalkan sesuatu pekerjaan.
Baginda kasihkan anak yatim, orang miskin dan menghadiri jenazah mereka. Bahkan baginda bangkit memberi hormat kepada jenazah seorang Yahudi yang sedang diusung.
Pernah dalam mengurus penyembelihan seekor kambing untuk dimakan dan orang sibuk berbahagi tugas, baginda tampil menawarkan khidmat mengumpul kayu api. Ketika orang berat menyetujuinya, baginda menjelaskan dirinya tidak mahu dilihat berbeza daripada orang lain.
Baginda telah merubah faham lapuk masyarakat Arab termasuk dalam memberi layanan kepada anak-anak, orang muda dan wanita.
Baginda mencontohkan bagaimana orang tua harus bersikap dan melayan baik anak-anak dan orang muda. Pesan baginda itu boleh dirasakan hikmahnya sekarang setiap kali kita menghadapi masalah anak muda hari ini yang umumnya terbit daripada jurang hubungan antara mereka dengan ibu bapa.
Kasih baginda kepada puterinya Fatimah menjadi contoh paling berkesan merubah sikap tradisi masyarakat Arab ketika itu yang kasar terhadap anak perempuan.
Sebahagian penulis yang bermotif jahat telah mengkritik amalan poligami Nabi tanpa mahu mengakui tujuan dan hikmah di sebalik tindakan baginda. Padahal perkahwinan baginda itu bukan sahaja bertujuan mengangkat martabat wanita malah mengandungi hikmah-hikmah sosial yang sukar dicapai menerusi cara-cara yang lain.
Kehidupan berkeluarga baginda telah membolehkan para isterinya (bergelar ibu para Mukmin atau ummul mukminun) memerhati, belajar dan mengamalkan apa juga ilmu yang diperolehi secara langsung daripada baginda. Mereka inilah yang kemudiannya menjadi kader-kader yang mendidik wanita-wanita lain, khususnya yang berasal daripada kabilah yang sama, baik yang tua mahupun yang muda.
Walaupun termulia di sisi Allah dan menang dalam perjuangannya, baginda tidak pernah menggunakan pengaruhnya untuk kepentingan sendiri. Ketika sedang sakit kuat menjelang hari-hari kewafatannya, baginda menawarkan dirinya supaya diqisas.
Katanya, 'Barang siapa yang pernah aku rotan belakang tubuhnya, maka inilah belakang tubuhku, silalah membalasnya. Sesiapa yang pernah aku jatuhi maruahnya, maka inilah maruahku, silakan membalasnya.'
Apabila seorang lelaki, Akasyah, tampil memberitahu tubuhnya pernah secara tidak sengaja terkena hayunan cabuk Nabi, baginda segera membenarkan lelaki itu membalasnya. Akasyah menangis terharu sambil berkata dia sesekali tidak berniat mengambil balasan terhadap Nabi, sebaliknya memohon keizinan memeluk tubuh mulia yang sedang sakit berat itu.
Sehari sebelum kewafatannya, baginda memerdekakan semua hamba sahayanya dan menginfakkan tujuh dinar yang ada dalam simpanannya. Satu-satunya baju besi yang dimilikinya digadaikan kepada seorang Yahudi dengan bayaran 30 gantang gandum.
Dengan kehidupan zuhud di puncak kuasanya, baginda tidak mewariskan sebarang harta untuk keluarganya di saat kewafatannya. Pilihan baginda hanyalah untuk segera bertemu Allah.
Sebagai rahmat seluruh alam, maka benarlah ungkapan Abu Bakar ra: baginda bak 'purnama yang menerangi kegelapan'.

Memelihara Hati Agar Berjiwa Murni oleh M Zuhal a Lathief

26 Feb 2010

KOMENTAR HIKMAH

Memelihara hati agar berjiwa murni

Oleh M. Zuhal A. Lathief

HATI ialah perkataan yang mudah diucapkan namun susah sekali dierti dan dihuraikan bahkan susah sekali menjaganya.
Jagalah hati, jangan kau kotori,Jagalah hati, lentera (lampu penerang) hidup ini,Jagalah hati, jangan kau nodai, Jagalah hati, karunia Ilahi...
Itulah sekerat bait-bait lagu pendakwah terkenal Indonesia, Aa' Gym.
Sunan Kalijaga (antara tokoh penting dalam kumpulan Wali Songo di Jawa dalam abad ke-15 Masihi) memberikan sedikit huraian dan ubat dalam sebuah tembang Jawa yang dipanggil Tombo Ati (Ubat Hati).
Hati yang sakit disebabkan tercemar.
Menurut Sunan Kalijaga, hati boleh dibersihkan dengan amalan berikut:
Membaca Al-Quran dan mencuba memahami isi kandungannya.
Berkumpul dan bergaul dengan solihin.
Solat malam untuk mendekatkan diri kepada Allah yang boleh membolak-balikkan hati.
Berzikir mengingati Allah pada malam hari.
Berpuasa.
Selain itu, hemat dalam pemakanan - pastikan makanan itu halal dan berkhasiat dan jauhi makanan dan minuman daripada sumber yang belum jelas.
Imam Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin, menghujahkan bahawa hati bak cermin dan dosa bagaikan kotoran. Jika jiwa penuh dengan dosa, maka hati menjadi gelap sehingga hilang fungsi sebagai cermin.
Rasulullah saw berpesan, menurut Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir:
'Ingatlah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa seketul daging itu ialah hati.' (Hadis riyawat Imam Bukhari dan Imam Muslim)
Hadis ini memang terkenal dan wajar diingati.
Jadi, di manakah hati sebenarnya? Di jantung atau organ yang dipanggil hati?
Menurut para saintis dalam kajian terbaru, terdapat segumpal daging di sebalik perut yang dipanggil gut. Organ ini mempunyai sistem saraf yang amat peka dan dapat mengawal seluruh gerak tindak manusia.
Hati ibarat raja dan seluruh anggota badan manusia bagaikan rakyatnya. Raja zalim, rakyat teraniaya dan begitulah sebaliknya.
Allah berfirman dalam Surah Al-A'raaf, ayat 58, yang ertinya:
'Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang gersang (tanahnya) tidak tumbuh tanam-tanamannya melainkan dengan keadaan bantut...'
Ibnu Hajar dalam syarahnya, Syamail At-Tirmizi, menyebutkan bahawa Rasulullah saw beberapa kali dibedah dan dibersihkan hatinya oleh Malaikat Jibrail - semasa kecilnya, semasa akan menerima wahyu yang pertama dan semasa sebelum Israk Mikraj.
Hati ialah wadah keyakinan, ilmu dan penjana hayat ke arah kebaikan dan keburukan.
Hati manusia sering dikaitkan dengan akal atau otak yang memberikan garapan rasional, imaginasi dan sebagainya.
Oleh itu, seringlah kita berdoa selepas solat atau sewaktu tahiyat akhir:
'Ya Allah, yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agama-Mu.'

Friday, February 19, 2010

Perspektif Baru Mengenai Melayu oleh Effendy A. Hamid

17 Feb 2010
KOMENTAR
E-MEL DARI HAWAII

Perspektif baru mengenai Melayu

Oleh Effendy A. Hamid

SEBANYAK mana kita tahu perihal Singapura yang ditakluk secara muslihat halus oleh British selepas 1819?
Kita selalu fikirkan bahawa Thomas Stamford Raffles menubuhkan Singapura pada awal abad ke-19 Masihi dan terus menempatkan pulau ini dalam rangkaian politik dan ekonomi empayar British.
Mungkin kita juga tahu tentang sejarah Singapura atau Temasek daripada sumber-sumber Cina dan Melayu dan juga bukti arkeologi daripada abad sebelumnya.
Kini muncul dapatan baru daripada buku Dr Peter Borschberg, The Singapore and Melaka Straits: Violence, Security and Diplomacy in the 17th century (Singapura dan Selat Melaka: Keganasan, Keselamatan dan Diplomasi dalam abad 17 Masihi).
Beliau menggunakan sumber Belanda, Jerman, Portugis dan Sepanyol pada zaman 1600-1700 yang menunjukkan bahawa kuasa-kuasa Eropah tersebut sudah lama bergiat cergas dalam teater politik, ketenteraan dan ekonomi dunia Melayu.
Singapura 300 tahun lalu merupakan sebahagian daripada rangkaian politik dan ekonomi kawasan Sungai Johor dan perdagangan jarak jauh di dalam Asia yang penting.
Kerajaan Johor yang berpusat di Batu Sawar (tidak jauh dari Kota Tinggi) menempatkan Singapura sebagai pusat penting.
Saya bertemu Dr Borschberg di Batam kerana diundang mewawancara beliau tentang buku terbarunya itu.
Beliau ialah profesor madya di Jabatan Sejarah, Universiti Nasional Singapura (NUS). Telah lama beliau meneliti sejarah Dunia Melayu, terutama peranan penjajah Barat antara kurun 16 dengan 18 Masihi.
Pendapatnya mencetuskan bahas kecil ketika wawancara dijalankan.
Menurutnya, kuasa yang amat disegani pada masa itu bukanlah penjajah Barat, tetapi kerajaan Aceh yang pengaruhnya besar ke atas politik dan ekonomi kerajaankerajaan Melayu pesisir Selat Melaka sehinggalah Sungai Johor.
Hujah Dr Borschberg: 'Kuasa Eropah pada masa itu bukan hebat sangat. Portugis, walaupun sudah lama berada dalam rantau Melayu (selepas menakluk Melaka dalam tahun 1511), sebenarnya sudah lemah di Dunia Melayu dalam aspek ketenteraan. Untuk mengatasi kelemahannya, Portugis membina kekuatan diplomatik dan politik. Belanda dan Sepanyol juga menggunakan strategi yang sama. Sebenarnya kuasa-kuasa Barat terjebak dalam aktiviti politik raja-raja Melayu yang amat rumit kerana berebut kuasa dan takluk.'
Matlamat utama kuasa-kuasa Eropah ialah menamatkan kuasa Aceh yang menguasai Selat Melaka.
Untuk itu, Kerajaan Johor menjadi tumpuan utama kesemua pihak Eropah. Johor diharap dapat menangani Aceh dan menukarkan imbangan kuasa di Selat Melaka.
Menurut Dr Borschberg, Singapura menjadi sangat penting pada masa itu kerana kedudukannya sebagai laluan perdagangan Barat dan Timur (empayar China). Singapura pula tidak jauh dari Sungai Johor.
Portugis, Belanda, Sepanyol, British dan Perancis memang bersaing untuk berkuasa di rantau Asia Tenggara.
Untuk itu, mereka berasa amat perlu memperdaya raja-raja Melayu. Namun tugas tersebut amat sukar kerana catatan penjajah menunjukkan raja-raja Melayu juga agak pintar.
Pada halaman 72 buku Dr Borschberg, terpapar salinan surat keterangan yang ditulis pada 27 Ogos 1603 oleh Laksamana Belanda, Jakob van Heemskerk, yang memberi butir tentang pertolongan daripada Raja Bongsu, Sultan Johor.
Raja Bongsu menyarankan tempat terbaik untuk menyerang kapal Portugis (Portugis ialah musuh bersama Johor dan Belanda) ialah di muara Sungai Johor. Ternyata, Belanda akhirnya berjaya menyerang dan merampas kapal Santa Catarina yang memuat banyak harta.
Kata Dr Borschberg, ini menunjukkan bahawa pada abad ke-17, penjajah Eropah memerlukan sokongan raja-raja Melayu seperti Sultan Johor yang disifatkan sebagai seorang yang sangat terhormat dan disifatkan sebagai seorang yang sebanding dengan seorang raja Eropah.
Pada halaman 110 buku ini terdapat salinan surat yang ditulis kepada Belanda - Raja Bongsu sangat marah terhadap Belanda dan membidas mereka kerana suka menukar fikiran dengan persetujuan dalam surat perjanjian yang sudah dibuat.
Tetapi hubungan kuasa Eropah bertukar semasa zaman pencerahan (Enlightenment) kerana negara Eropah bangga akan tamadun mereka. Sejak itu mereka memandang rendah kawasan jajahan mereka.
Saya bertanya kalau penelitian dalam bukunya itu boleh memberi pandangan baru tentang erti 'Melayu'.
Kata Dr Borschberg, 'Melayu' disifatkan secara keseluruhannya sebagai satu rumpun bahasa dan belum lagi bererti satu bangsa atau kaum pada zaman itu.
Pada saya, soal takrif 'Melayu' memang penting dan wajar dibahaskan. Namun, penting juga mencari bukti sejarah untuk memahami zaman penentuan kurun ke-17 - percaturan kuasa Barat dengan raja-raja Melayu.
Banyak lagi perlu dibuat, hujah Dr Borschberg. Beliau mengharapkan hasil bukunya itu boleh dikembangkan lagi dengan sumbangan sejarawan Melayu yang mengkaji pelbagai manuskrip abad tersebut.
Dr Borschberg berkata projek seterusnya ialah mencari makam Raja Bongsu yang mangkat dalam tahun 1623 di Tambilan Besar arah barat Puluh Tujuh (kini Natuna

Tuesday, February 9, 2010

Rangsang Semula Melayu Untuk Bangkit oleh M Maidin Packer Mohd

8 Feb 2010
KOMENTAR
PANDANGAN

Rangsang semula Melayu untuk bangkit

Oleh Mohd Maidin Packer Mohammad

SEBUAH sekitaran baru yang dinamis.
Itulah visi yang digambarkan Jawatankuasa Strategi Ekonomi (ESC) yang baru saja membentangkan laporannya.
ESC telah menetapkan matlamat sekitaran baru di sini dengan landasan 'Rakyat berkemahiran Tinggi, Ekonomi Berdaya Cipta dan Bandar Jagat yang Unggul' menjelang 2020.
Ke arah itu, ESC mencadangkan ekonomi Singapura dirombak agar lebih berteras daya penghasilan dalam 10 tahun.
Ini membuka peluang dan cabaran baru kepada semua rakyat Singapura, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu/Islam.
Ada peluang kerana usaha ini boleh memperkukuh penakatan Singapura sebagai bandar ekonomi sejagat dan mengundang pelbagai perusahaan yang akan memerlukan tenaga kerja dengan taraf kemahiran tinggi dan ganjaran besar.
Ia juga cabaran kerana peluang ini amat bermakna kepada orang berpendidikan dan berkemahiran tetapi sebaliknya mereka yang tidak cukup terdidik atau terlatih mungkin tidak dapat merasakan kesan dan manfaat daripada usaha baru itu.
Rancangan masa depan ini perlu disambut awal-awal lagi oleh masyarakat Melayu/Islam dengan membuat persiapan segera di peringkat individu, keluarga dan kolektif.
Kita perlu menggandakan usaha dan kesungguhan:
mempersiap generasi muda dengan ilmu dan kemahiran baru dan,
membantu dan membangunkan golongan sudah berusia agar menyesuaikan diri dan meningkatkan kemahiran sejajar dengan keperluan sekitaran baru itu.
Ini bermakna, setiap keluarga Melayu/Islam harus mengikuti dengan teliti pelaksanaan pelbagai saranan ESC.
Badan-badan Melayu perlu segera mengaturkan program kaunseling dan jaya diri untuk membantu orang Melayu bersemangat menggarap peluang kursus dan latihan demi meraih peluang pekerjaan atau bidang baru kelak.
Kita tidak boleh tunggu sampai sudah terhantuk baru tengadah.
Cuba kita nilai kelakonan masyarakat kita sebelum ini:
Oleh kurang persiapan dari segi pendidikan dan latihan kemahiran, ramai muda mudi Melayu masuk ke aliran 'hanyut' dalam sektor pekerjaan dan perniagaan di sini.
Kekurangan ini selanjutnya mengakibatkan banyak anak muda kita tertinggal dari segi peluang baru dan yang membawa ganjaran lumayan.
Akibatnya ramai terpaksa menerima pekerjaan kurang mahir dan bergaji rendah.
Kesannya selanjut ialah taraf dan mutu keluarga Melayu/Islam di sini terjejas.
Masih ramai belum dapat keluar daripada lingkaran musibah dengan pelbagai gejala, seperti perceraian dan pengabaian jagaan anak, penagihan dadah dan gam, jenayah dan gangsterisme.
Sejarah membuktikan bukan kita tidak pernah mencuba mengatasi masalah kita secara kolektif.
Sejak 1920-an lagi masyarakat kita cuba bangkit daripada kelemahan dengan menubuhkan pelbagai badan bantu diri, seperti Kesatuan Melayu Singapura (1926) dan Majlis Pelajaran Melayu (1955) dan seumpamanya.
Namun dalam perlumbaan maraton kemajuan, orang kita masih tertinggal. Ini terpapar dalam Banci Penduduk 1980 yang mencetuskan rasa insaf sehingga menjulang kegigihan untuk membentuk Majlis Pendidikan Anak-Anak Islam atau Yayasan Mendaki.
Mendaki telah mencetuskan minat baru dalam masyarakat Melayu/Islam untuk bangkit dan maju selaras pembangunan ekonomi di sini.
Ia dilancarkan semula pada 1989 demi memperkukuh kewujudan dan peranannya.
Memandangkan masih ada kekurangan besar, maka dibentuk pula Angkatan Karyawan Islam (AMP) oleh kalangan bijak pandai kita yang tidak puas hati.
Mereka berkeyakinan dan berharapan tinggi bahawa mereka akan dapat mencapai cita-cita serupa dengan lebih berkesan lagi.
Pada 1999, kita mengadakan konvensyen Ekonomi Berteras Ilmu (KBE) guna merangsang masyarakat agar lebih siap dengan perubahan yang sedang dan akan berlaku.
Ini diikuti dengan Konvensyen AMP pada tahun berikutnya.
Kini sudah hampir tiga dekad Yayasan Mendaki menjadi tunggak untuk membela usaha menjadikan Melayu/Islam di sini lebih maju dan berjaya sebagai masyarakat berilmu dan berkemahiran.
Tidak syak lagi, memang ada data membuktikan masyarakat kita lebih maju. Namun dalam maraton negara, kita masih corot lagi, mentelah dengan kehadiran bakat asing (termasuk pekerja asing) sekitar 1.3 juta jiwa.
Jadi, kita sedar matlamat kita masih jauh dan tugas kita belum selesai. Masih banyak perlu dilakukan. Masih ada deretan masalah sosial, soal taraf pendidikan dan mutu kehidupan yang perlu ditangani.
Kebelakangan ini, sebahagian daripada masalah kepincangan masyarakat kita kian menampakkan kehodohannya sehingga sesetengah berasa malu.
Ia tidak terjadi dengan sendirinya. Malah, ada kaitannya dengan isu-isu lain yang disebut lebih awal.
Jika isu-isu asas seperti pendidikan, pekerjaan dan nilai-nilai hidup dapat ditangani, kita harap masalah berkaitan juga dapat dikurang dan kejayaan Melayu/Islam semakin menyerlah.
Mungkin sudah tiba masa untuk kita merangsang semula masyarakat Melayu/Islam agar kembali menyusun langkah.
Kita perlu palu gong lebih kuat, lebih ghairah dan kukuh menumpukan usaha ke bidang pendidikan dan kemahiran sebagai kunci penghurai masalah.
Barangkali sesudah 10 tahun berseminar dan konvensyen, perlu diberikan satu pelancaran baru semangat Melayu/Islam dalam bidang-bidang tersebut.
Sayang sekali kalau Muis, Mendaki, AMP, Jamiyah, Pertapis, LBKM dan badan-badan lain terus aktif tetapi anggota masyarakat umumnya masih berpeluk tubuh, tidak terangsang, apatah lagi kurang terbabit sama dalam arus usaha berkenaan.
Maka itu, pancarkanlah warisan gotong-royong kita agar mereka yang perlukan sokongan dan dorongan tidak terus tersadai di pinggiran.
Tonjolkan maruah atau harga diri tinggi kita.
Masyarakat kita perlu dibangkit semula, lebih tangkas dan lebih berkesan - agar berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, ke lurah sama dituruni dan ke puncak sama di daki.

Nota: Penulis pemimpin masyarakat dan usahawan.

Sunday, February 7, 2010

Pendekatan rohani hurai masalah kepincangan keluarga

Wan Hussin Zoohri

7 Feb 2010
EKSTRA!

Pendekatan rohani

SEJAK Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menerbitkan kenyataan beliau mengenai keluarga pincang di kalangan masyarakat Melayu tidak berapa lama dahulu, isu ini telah menimbulkan beberapa reaksi.
Ada yang berasa kasihan, marah, hampa dan ada yang berasa lebih terpanggil untuk membuat sesuatu demi peningkatan nasib keluarga pincang ini.
Yang sebenarnya, masalah keluarga pincang ini sudah wujud agak lama juga, sebab ia terheboh sekarang kerana timbul semula arus keinginan yang kencang di kalangan pemimpin masyarakat kita untuk menziarahi kembali masalah ini dan ingin mengatur strategi-strategi baru bagi menanganinya.
Pada hemat saya, masalah keluarga pincang ini memang sulit dan kompleks puncanya. Dan lebih sulit dan kompleks lagi mencari huraiannya.
PUTARAN PUAKA
Selama ini, pemimpin masyarakat kita telah bertungkus-lumus ke arah peningkatan taraf pendidikan pelajar-pelajar kita.
Kita telah berjaya menghapuskan putaran puaka (vicious cycle) yang membelenggu masyarakat kita hingga terbukti kejayaan anak-anak kita di bidang pendidikan dari segi kuantiti dan kualitinya. Ada kepercayaan bahawa pendidikan dapat menghapuskan kemiskinan.
Kini, dalam rangka usaha kita yang komprehensif di bidang pendidikan, masih wujud golongan pincang yang terlepas dari jaringan usaha komprehensif pendidikan ini.
Ini bermakna pendekatan pendidikan selama ini nampaknya tidak berjaya menembusi minda dan hati mereka yang menyebabkan mereka seolah-olah terbebat (insulated) dari arus perubahan masyarakat.
Akibatnya, mereka terus kekal di dalam kepompong kepincangan.
Pada pandangan kasar saya, punca keluarga pincang ini ada tiga:
Pertama, kedudukan ekonomi mereka yang meleset. Ini kerana taraf pendidikan mereka yang rendah.
Kedua, faktor sosial atau cara hidup mereka yang tidak berdisiplin. Ini kerana sifat tabii mereka diburukkan dengan pengaruh luaran yang negatif seperti pengaruh teman, pergaulan dan media massa.
Ketiga, unsur kerohanian yang rapuh yang ada kaitannya dengan asas keagamaan yang rendah atau nihil.
Ketiga-tiga faktor ini seolah-olah telah membelit syahsiah mereka hingga membelenggu minda, jiwa dan tindakan mereka, menyebabkan mereka hilang semangat untuk membela nasib sendiri.
PENDEKATAN KEROHANIAN
Oleh yang demikian, perlu difikirkan agar pendekatan serampang tiga mata - ekonomi, sosial dan kerohanian - dapat diusahakan dengan serentak dan seimbang.
Di sini saya hanya ingin menyorot pendekatan kerohanian (keagamaan) sahaja. Ini disebabkan kurangnya perhatian yang telah ditumpukan pada pendekatan ini.
Pada hemat saya, pembinaan dan peneguhan alam kerohanian seseorang itu adalah punca dan pemangkin ke arah sikap dan pandangan hidup yang positif. Alam kerohanian ini perlu dikaitkan dengan kefahaman dan kepercayaan mereka terhadap ketuhanan (tauhid).
Apabila mereka insaf bahawa nasib manusia tergantung kepada kesatuan dua faktor iaitu usaha oleh manusia dan doa kepada Allah, mereka akan sering mengingati dan mendekatkan diri mereka kepada Allah.
Simbiosis inilah yang telah membawa kehidupan yang selesa dan barakah kepada ramai manusia.
Allah telah berjanji di dalam Al-Quran dengan maksud:
'Jika manusia mahu berjalan lurus dalam kehidupan agama, maka Allah akan jamin rezekinya dan keberkatan kehidupannya.' (Surah Al-Maidah:66).
Sebaliknya, Allah juga mengingatkan dengan maksud:
'Namun jika mereka ingkar; jauh dari agama Allah, maka Allah akan memberi kesempitan hidup dengan berbagai-bagai masalah dan akan bermasalah juga di akhirat.' (Surah Thahaa:124-127).
TIDAK ANCAM HARGA DIRI
Di sini, saya teringat cerita tentang usaha-usaha sukarela yang telah dilakukan oleh pegawai eksekutif Masjid Muhajidin beberapa tahun lalu terhadap sekumpulan orang-orang 'pincang'. Mereka telah dijemput menghadiri 'dialog kerohanian' di masjid itu yang menggunakan pendekatan interaktif yang lembut dan tidak mengancam harga diri mereka.
Mereka tidak dileteri dengan tindakan lama mereka yang berdosa atau makanan masa lalu mereka yang haram dan kemungkinan mereka menjadi bahan api neraka.
Apa yang ditekankan ialah sifat-sifat Allah yang Pemurah (ar-Rahman), Pengasih (ar-Rahim), Pengampun (al-Ghaffar), dan Lembut (al-Lathif). Allah sangat suka didekati dan dicintai, bukan dihindari dan ditakuti.
TINDAKAN LANJUTAN Pertemuan ini disusuli dengan lawatan ke rumah-rumah mereka sebagai tindakan lanjutan untuk mengeratkan silaturahim dengan mereka dan bertanya khabar keadaan hidup mereka. Sesekalikali-kali mereka akan diberi sedikit habuan semasa lawatan tersebut.
Saya difahamkan bahawa natijahnya menggalakkan dan kelihatan perubahan sikap yang positif di kalangan golongan pincang itu. Tentu sekali contoh ini adalah usaha kecil-kecilan yang perlu dikaji dengan mendalam. Tetapi prinsip 'ingat Allah dan Dia mengingatimu' boleh diterjemahkan dalam hidup kita, lebih-lebih lagi kepada keluarga pincang.
Saya tidak menafikan sama pentingnya pendekatan ekonomi (pendidikan) dan sosial terhadap masalah ini.
Saya hanya ingin mengesyorkan agar pendekatan kerohanian ini disatukan dalam pendekatan serentak tiga serampang dalam menangani isu keluarga pincang.

Nota: Penulis ialah pemimpin masyarakat dan beberapa pertubuhan.

Menuntaskan ciri pincang keluarga

6 Feb 2010
KOMENTAR
PANDANGAN

Menuntaskan ciri pincang keluarga
Oleh Pasuni Maulan

MASALAH keluarga yang berkhemah di tepi pantai atau mereka yang terpaksa menumpang di rumah kendalian badan bukan Islam adalah sebahagian daripada pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat Melayu.
Apakah masalah kita dapat diselesaikan dengan pelaksanaan undang-undang yang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baru? Yang menjadikan pantai tempat kediaman didakwa dan untuk mengurangkan perkahwinan remaja ditingkatkan umur untuk bernikah?
Pendekatan seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah yang membelenggu masyarakat jika sumbernya tidak dikesan dan dituntas. Program yang dilakar harus menyertakan usaha mengurangkan puncanya.
Pada Khamis lalu, akhbar ini memaparkan di muka depannya kejayaan seorang anak berumur 13 tahun yang berhasrat menyambung pelajaran ke universiti dan berita di sebelahnya pula mengenai peningkatan anak Melayu yang ketagih dengan penghiduan gam. Lebih membimbangkan, 72 peratus daripada keseluruhan pesalah berumur 20 tahun ke bawah.
SINDROM NAFI
Hanya sindrom penafian sahaja yang tidak mengakui masalah kita sememangnya besar. Meskipun begitu, kita mensyukuri kejayaan yang diraih walau sekecil mana, tetapi ia tidak akan dapat menutup rentetan masalah yang menyelubungi masyarakat.
Kadar perceraian yang dikatakan menurun pada 2008 jika dibandingkan dengan tahun lalu tidak seharusnya menjadikan kita menarik nafas lega kerana masalah lain, seperti jumlah anak-anak kita yang ditahan di pelbagai pusat tahanan tidak berkurang dan hubungan seks bebas di kalangan remaja, tidak menampakkan tanda telah reda.
SEMAK PROGRAM
Dengan senario sedemikian, masalah terus membelit masyarakat. Adalah kurang bijak jika kita meneruskan program yang sama sedang hasilnya hanya sekadar melepas batuk ditangga.
Segala usaha yang menggunakan tenaga, wang dan penglibatan banyak pihak perlu mempunyai kayu pengukur yang jelas, dapat dinilai dengan angka pada waktu- waktu tertentu, umpamanya dalam lima tahun akan datang berapa peratus kadar penghuni penjara dapat dikurangkan.
UBAH FUNGSI
Penubuhan lebih banyak pusat khidmat keluarga dan seruan mengadakan rumah tumpangan sementara bagi keluarga yang bermasalah adalah satu pengakuan bahawa masyarakat kita dalam keadaan yang kritikal. Kalaupun mahu diwujudkan, ia perlu diubah fungsi dan peranannya.
Masih ramai pasangan yang berpendapatan antara $800 dengan $1,500 sebulan (paras gaji golongan miskin) yang bernikah, mereka perlu diberikan bimbingan dan bukan setakat menasihatkan mereka mengikuti program yang tidak selari dengan semangat ajaran Islam.
Mungkin ada yang berpendapat keluarga seperti ini harus dibantu ibu bapa atau adik-beradik dan merekalah patut dilibatkan secara langsung. Realitinya ialah mereka produk daripada keluarga yang kurang mampu dan tidak berkemahiran, apakah mereka dapat memikul satu lagi tanggungjawab baru setelah anak atau anggota keluarga mereka bernikah?
Pendekatan yang menyeluruh perlu dilakar agar usaha membangun dapat dilakukan dengan berkesan, bukan sebaliknya iaitu hanya memperbaiki kerosakan yang berlaku.
MANFAATKAN RANGKAIAN
Masyarakat Islam mempunyai prasarana sosial yang baik jika dibandingkan dengan masyarakat lain, seperti kumpulan penduduk Islam, kumpulan qaryah masjid dan sebagainya, tetapi kita masih belum memanfaatkannya atau terlepas pandang.
Usaha memberikan bimbingan kepada pasangan yang dikenal pasti mempunyai kelemahan adalah satu cara yang dianggap sesuai untuk membendung masalah dan menghentikan lingkaran musibah.
Kita harus mengambil langkah yang benar dan tepat dengan menyasarkan matlamat yang boleh diukur. Kita juga perlu mencuba pendekatan yang lebih berkesan daripada hanya berbangga dengan program yang dikendalikan.

Amalkan Sikap Suka Membaca Dalam Keluarga

3 Feb 2010
FORUM

Amalkan sikap suka membaca dalam keluarga

BUDAYA membaca sebagai salah satu amalan harian mesti disemai oleh masyarakat kita. Sudah tiba masanya kita menukar daripada budaya suka berkaraoke atau gemar berhiburan kepada budaya membaca.
Kita harus semaikan pada diri anak kita sikap suka membaca seawal mereka berusia dua atau tiga tahun. Pada umur sebegini, otak mereka cepat menyerap pelbagai macam maklumat.
Satu amalan yang baik ialah ibu bapa meluangkan masa membaca bersama anak-anak mereka sebelum anak itu masuk tidur, atau semasa waktu lapang keluarga.
Apabila anak kita kian dewasa, kita harus pantau agar anak kita tidak terdedah terhadap bahan bacaan lucah, hiburan atau tahyul kerana ini boleh merosakkan cara pemikiran dan minda mereka.
Dedahkanlah mereka kepada buku ilmiah seperti sains dan teknologi yang boleh menanam minat dalam bidang itu. Buku-buku seperti ini mudah didapati di perpustakaan atau toko-toko buku.
Sebagai orang dewasa, kita harus mengorak langkah dengan amalan membaca yang dapat dicontohi anak-anak kita.
Saya mempunyai beberapa saranan kepada ibu bapa untuk memupuk minat membaca dalam keluarga khususnya dan dalam kalangan masyarakat kita umumnya.
Luangkan masa pergi ke perpustakaan bersama anak untuk meminjam dan membaca buku.
Sering membawa anak-anak ke kedai atau toko buku untuk meninjau buku-buku terbitan terbaru.
Bawa anak-anak ke pesta-pesta atau pameran buku.
Sediakan ruang kecil atau perpustakaan mini di rumah.
Galakkan ahli keluarga membaca surat khabar Melayu dan Inggeris setiap hari.
Bina suasana membaca di rumah dan kurangkan menonton televisyen atau main permainan komputer.
Berikan ganjaran berupa hadiah apabila anak dapat menghabiskan membaca beberapa buku dalam tempoh yang diberikan.
Sering pada hujung minggu, keluarga saya pergi ke perpustakaan, namun saya dapati hanya segelintir keluarga Melayu berada di situ. Ini agak membimbangkan dan kita perlu fikirkan sesuatu demi menanam sikap suka membaca dalam kalangan masyarakat kita.
Selalu, pada hujung minggu, orang kita terlalu sibuk dengan kegiatan berkhemah di tepi pantai atau majlis perkahwinan. Sebaiknya, kita gunakan masa itu untuk membaca, dan bukan setakat beriadah atau bersosial.

Azmi Abdul Aziz

PUPUK SIKAP SUKA MEMBACA

1 Feb 2010
EKSTRA!
KAM-BUZZ

Pupuk sikap suka membaca

Oleh Noorkiah Hashim

BOLEHKAH anda meneruskan kegiatan harian anda tanpa membaca sepatah perkataan pun?
Besar kemungkinan, ini mustahil kerana amalan membaca tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita.

Seorang ibu yang ingin mencuba resipi baru perlu membaca buku masakannya untuk mengenal pasti bahan-bahan yang diperlukan dan cara menyiapkan hidangan tersebut.
Seorang pemandu harus membaca papan tanda (directional signs) yang ada di sepanjang jalan raya untuk mengarahnya kepada tempat yang ingin ditujunya.
Manakala seorang penuntut pula perlu membaca arahan-arahan kertas peperiksaan sebelum memulakannya. Ini kerana jika tersalah menjawab soalan, alamatnya kosonglah markah yang diperolehi.
Natijahnya, membaca itu penting. Ini kerana membaca merupakan 'kunci' kepada ilmu pengetahuan.

Kendatipun, terdapat pelbagai bahan bacaan, surat khabar adalah sumber utama untuk kita memperolehi maklumat dan hal-ehwal semasa.
Bagi sesetengah orang, ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk memulakan hari mereka dengan membaca surat khabar. Sayangnya, kanak-kanak dan golongan remaja pada zaman sekarang kurang berminat membaca surat khabar.
Sememangnya, tidak dinafikan kita boleh memperolehi berita daripada sumber-sumber lain seperti televisyen, radio dan juga Internet tetapi surat khabar lazimnya mengetengahkan sesuatu berita itu dengan lebih terperinci.
Oleh itu, pelbagai manfaat boleh diraih dengan mengamalkan tabiat membaca surat khabar, lantas budaya membaca akhbar perlu dipupuk pada usia yang muda.
Pada hemat saya, ini penting kerana ia membentuk golongan pembaca yang ambil tahu tentang kejadian atau perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
Dengan membaca akhbar, seseorang itu akan bersikap lebih prihatin tentang isu-isu sosial yang dihadapi oleh masyarakat mereka sendiri dan dunia secara am.
Pendek kata, ia tidak melahirkan generasi yang hidup seperti katak di bawah tempurung dan hanya mementingkan diri sendiri.

Selain itu, memupuk sikap membaca akhbar pada usia yang awal bukan sahaja memperkayakan pembendaharaan kata tetapi menyemai minat terhadap bahasa ibunda.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Minat terhadap satu-satu bahasa itu tidak mungkin berputik dengan serta-merta. Malah, pendedahan awal kepada bahasa ibunda boleh dilakukan oleh ibu bapa dengan mengajak anak-anak mereka untuk turut sama membaca akhar tersebut.
Apa yang lebih ketara dan membimbangkan lagi ialah terdapat satu trend di mana kanak-kanak dan remaja Melayu kini kurang fasih berbahasa Melayu. Malahan, penguasaan bahasa tersebut begitu lemah sehinggakan ada yang gagal dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Bukankah itu satu ironi.
Ketidakfasihan berbahasa Melayu mungkin berpunca daripada sikap ibu bapa yang terlalu menitikberatkan penguasaan bahasa Inggeris memandangkan ia adalah lingua franca Singapura.
Namun demikian, keseimbangan perlu wujud untuk memastikan bahasa Melayu tidak luput begitu sahaja. Bayangkan di mana letaknya identiti kita sebagai orang Melayu jika kita tidak fasih bertutur dalam bahasa ibunda kita?
Selain ibu bapa, golongan pendidik juga memainkan peranan. Mereka perlu bersikap kreatif dalam menyampaikan pembelajaran bahasa Melayu sealiran dengan peredaran zaman demi merangsang minat pelajar dalam bahasa.
Yang pasti, membaca adalah kunci kepada cinta bahasa dan jati diri. Bahasa Melayu belum lagi di peringkat bahasa Latin, yang penggunaannya benar-benar terancam. Namun, usaha gigih harus dilakukan mulai sekarang sebelum terlewat.

Nota: Penulis mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU).