Friday, January 15, 2010

BERBILANG BUDAYA & SEKULARISME

15 Jan 2010 Berita Harian

Berbilang budaya dan sekularisme

Oleh Zainul Abidin Rasheed

SEJARAH awal Islam mengisahkan satu peristiwa yang amat penting bagi kefahaman kita tentang sikap Islam dalam hubungan dengan agama lain.

Sebahagian sahabat Rasulullah saw telah bersuaka di Habsyah demi mengelakkan penganiayaan di Makkah. Raja Habsyah, Negus, merupakan seorang Kristian yang warak. Beliau menyambut mereka dan bertanya mengenai agama baru. Sedar bahawa Islam tidak sama dengan agamanya, Negus diriwayatkan membuat garisan dengan kakinya seraya berkata: 'Perbezaan anda dan kami tidak lebih daripada garisan halus ini.'

Hampir 1,500 tahun, akibat campur tangan politik dan kepentingan ekonomi serta tebaran tempelan (stereotaip), perbezaan antara pelbagai penganut di dunia tampak lebih besar daripada garisan tipis yang dilakarkan oleh Raja Negus. Kini kita bercakap tentang peri perlunya dialog antara agama dengan tamadun.

Ramai pihak, daripada ahli siasah sehinggalah aktivis agama menekankan keperluan dialog sedemikian. 2001 diisytiharkan sebagai Tahun Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dialog Antara Tamadun. Apakah yang dapat dikatakan mengenai pembangunan dialog sepanjang dekad terakhir?

Sepanjang hubungan Islam dengan agama lain, saya yakin dua perkara harus ditonjolkan:
Pertama, kita melihat anjakan maju daripada sekadar dialog kepada penekanan peri perlu amalan berbilang budaya (multiculturalism).

Kedua, ada keperluan bagi lebih penumpuan bukan sahaja pada Islam malah agama lain.
Persoalan damai, harmoni dan kewujudan bersama di kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum di dunia sering ditangani dengan menegaskan peri perlu dialog antara agama atau kepercayaan.

Namun, turut diiktiraf bahawa dialog boleh dan akan lebih mudah dan berkesan dengan pemupukan nilai-nilai berbilang budaya.

Dialog secara harfiah bermaksud sembang antara dua pihak. Ia melibatkan perbicaraan mengenai perkara yang menjadi keprihatinan bersama antara dua atau lebih kumpulan yang mempunyai tasawur (worldview) yang berbeza.

Berbilang budaya pula merujuk pada pandangan atau doktrin bahawa pelbagai budaya boleh dan harus wujud bersama secara aman dalam sebuah negara. Berbilang budaya menjadi amalan sesebuah negara berdasarkan falsafah dan pandangan yang bukan sahaja mengiktiraf kepelbagaian agama dan kaum, malah pemerintahnya juga gigih menggalak rakyat meraih manfaat daripada kepelbagaian tadi.

Hanya dengan pengiktirafan bersama akan sumbangan membina oleh semua agama dan kumpulan kaum, maka dialog boleh dijayakan. Jika matlamat dialog ialah membentuk bukan sahaja toleransi malah persefahaman, penghormatan dan kekaguman, ini hanya terlaksana dengan amalan berbilang budaya sebagai syaratnya.

Amalan berbilang budaya kian diiktiraf sebagai bumbu asas untuk dialog yang berjaya. Ia melibatkan bukan sahaja rakan dialog malah seluruh masyarakat. Ia melibatkan bukan sahaja perubahan kerangka minda untuk beberapa individu yang terlibat dalam dialog malah seluruh negara. Perubahan ini boleh dijana menerusi pendidikan tetapi lebih segenerasi diperlukan untuk membawa kesan pada masyarakat.

Satu lagi perkara yang ingin saya ketengahkan ialah peri perlu tumpuan lebih pada peranan agama selain Islam dalam hal ehwal hari ini. Misalnya, sudah terdapat perhatian besar pada sifat pelampau Muslim dan peranannya dalam hal ehwal antarabangsa.

Walaupun fenomena ekstremisme Muslim merupakan satu realiti, tidak dapat dinafikan bahawa ia wujud kerana ia antara lain sebagai respons kepada ekstremisme dalam masyarakat beragama yang lain. Ini termasuklah fundamentalisme Kristian dan juga ekstremisme Yahudi.
Sebarang dialog berkesan antara tiga agama Ibrahimiah, misalnya, mesti mengambil kira ciri ekstrem dalam kesemua tiga agama. Keperluan ini memang jelas. Tidak dapat dipersalah sikap melampau sebuah masyarakat beragama bagi masalah yang dihadapi dunia kini. Juga, mengetengahkan fenomena ekstremisme di kalangan bukan Muslim juga akan membantu memikat hati Muslim demi meyakinkan mereka bahawa Muslim bukanlah satu-satunya yang bertindak sedemikian.

Semua tumpuan pada agama haruslah tidak membuat kita membayangkan bahawa sekularisme (berbanding dengan agama) sebagai huraian bagi permasalahan ini. Terdapat juga apa yang disebut fundementalisme sekular.

Mutakhir ini kita dapat menyaksikan sengketa serius terbit daripada dasar pemerintah sekular di pelbagai negara. Ini berlaku apabila negara sekular tidak mengambil kedudukan neutral (tidak memihak) mengenai agama, tetapi melakukan yang sebaliknya pula. Ia juga berlaku apabila sekularisme wujud tanpa usaha menggalak amalan berbilang budaya.

Di antara negara sekular yang gigih menggalak amalan berbilang budaya dan bersikap neutral antara agama yang berbeza, boleh dikatakan negara ini bertindak secara membina. Dengan cakap lain, sekularisme boleh berperanan neutral jika amalan berbilang budaya berada di sisinya.

Nota: Makalah ini merupakan ucapan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) dalam forum 'Agama dan Berbilang Budaya' di Universiti Nasional Singapura, minggu lalu

Wednesday, January 6, 2010

Dr Mahathir gigih bela bahasa Inggeris

5 Jan 2010
KOMENTAR

Dr Mahathir gigih bela bahasa Inggeris

BENARKAH daya saing negara ditentukan oleh bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa?
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, masih bertegas mengenai hal ini.

Selepas lama membisu, beliau kini kembali berkempen agar bahasa Inggeris tidak dinyahkan begitu sahaja selepas pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak menukar semula dasar pendidikan.

Sebelum ini, beliau mengadakan semacam tinjauan di laman blognya dan mendapati ramai rakyat Malaysia yang menyokongnya.

Hakikatnya, Bahasa Malaysia akan kembali digunakan untuk pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran Matematik dan Sains (PPSMI) di hampir semua sekolah (kebangsaan, Cina dan Tamil) mulai 2012.

Perubahan berpaling ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Julai lalu.

Menurut beliau, keputusan itu diambil berdasarkan dapatan kajian tuntas yang menunjukkan pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Inggeris gagal menepati sasaran.

Dasar mengajar dua subjek itu dalam bahasa Inggeris dilakukan oleh pentadbiran Dr Mahathir hampir sedekad lalu.

Para pejuang bahasa Melayu seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) telah mempersoalkan kejayaannya kerana kekurangan guru yang cekap dalam bahasa Inggeris dan suasana tidak sesuai di kawasan luar bandar.

Dr Mahathir telah mengkritik dasar kerajaan Najib dalam satu sidang akhbar kelmarin selepas menyampaikan ucapan penting dalam persidangan Islamic World Academy of Sciences yang berlangsung di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor. Persidangan itu telah dibuka secara rasmi oleh Sultan Selangor.

Sejak kembali menjadi anggota Umno (berhenti kerana menentang dasar penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi), Tun Mahathir sering dinilai sebagai 'menteri kanan' secara tidak rasmi kepada kabinet Datuk Seri Najib.

Sejak media perdana tidak menyiarkan pendapatnya, Tun Mahathir telah menggunakan blognya, Che Det, untuk menyelar dasar kerajaan.

Menurut Dr Mahatir, langkah menimba dan menguasai ilmu amat penting dalam menentukan masa depan negara. Bahasa Inggeris, hujahnya, sudah terbukti sebagai wahana bagi menimba ilmu sedunia.

Tambahnya, dengan bercakap dalam bahasa Inggeris tidak bererti bahawa seseorang rakyat itu kurang setia atau tidak patriotik kepada negaranya. Fahaman saperti ini adalah salah dan perlu diperbetulkan.

Beliau mengesyorkan rakyat Malaysia agar cekap menguasai bahasa Inggeris, selain bahasa Melayu, agar dapat maju setanding dengan bangsa-bangsa lain.

Ada kalangan yang berpendapat isu bahasa Inggeris yang ditimbulkan oleh Dr Mahathir itu masih boleh dibahaskan. Tetapi ada juga yang berpendapat bahawa banyak negara seperti China, Jerman, Jepun dan Korea Selatan tetap maju jaya walaupun hanya segelintir rakyatnya fasih bahasa Inggeris.

Yang utama ialah sistem pendidikan Malaysia perlu menjadi yang terbaik untuk menancapkan ilmu dalam dada setiap rakyatnya. Bahkan ada saranan agar sekolah di bandar utama menawarkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau Melayu sebagai pilihan.

Melayu Lemah Matematik oleh Ahmad Salik

30 Dis 2009
FORUM
Tiga sebab Melayu lemah matematik

SAYA guru matematik dan ingin memberi beberapa saranan untuk membantu menghuraikan masalah kelemahan murid Melayu dalam mata pelajaran ini.

Saya dapati ada tiga sebab utama mengapa pelajar Melayu lemah dalam pelajaran matematik.
Pertama, masalah gerun yang berpunca daripada kurang keyakinan pada diri sendiri. Ini adalah masalah jiwa. Pelajar itu sebelum mencuba atau sebelum membaca soalan sudah menyerah kalah dan mengatakan dirinya tidak boleh. Mereka 'yakin' akan gagal.

Kedua, lemah bahasa Inggeris. Pelajar yang menghadapi masalah ini membaca soalan tetapi tidak dapat memahaminya. Justeru mereka tidak dapat menjawab soalan dengan baik walaupun mereka memahami konsep-konsep matematik.

Ketiga, asas yang lemah. Oleh kerana pelajaran matematik bersifat membangun atau mengembang (developmental), pelajar yang sudah ketinggalan di peringkat bawah akan menghadapi kesukaran mengikuti dan memahami pelajaran di peringkat lanjut.

Untuk mengatasi masalah gerun, saya sarankan supaya pelajar itu didedahkan kepada soalan-soalan yang asas atau mudah dahulu sebelum mencuba soalan lebih mencabar.

Apabila mereka dapat rasakan bahawa diri mereka sebenarnya boleh jika mereka mencuba dan berusaha, keyakinan diri mereka dengan perlahan akan meningkat.

Satu lagi cara adalah melalui pengongsian pengalaman pelajar inspirasi iaitu mereka yang meraih gred A* atau A dan pelajar yang biasanya gagal tetapi kemudiannya lulus dalam PSLE.

Sukatan pelajaran Matematik kini tidak sahaja memerlukan pemahaman konsep matematik yang baik tetapi penekanan juga dibuat pada kemahiran berfikir.

Asas pelajaran matematik tidak bermula daripada darjah satu kerana pada usia tujuh tahun, kira-kira 95 peratus kemampuan otak-saraf sudah pun terbina. Maka itu, tidak hairanlah kalau ada pelajar kita yang gagal dalam matematik di peringkat darjah satu lagi.

Di sinilah letaknya peranan ibu bapa dalam memastikan anak mereka yang berumur 0-7 tahun membina potensi yang diperlukan untuk menguasai bahasa dan memahami konsep matematik.
Jika ini tidak dilakukan, kemungkinan besar anak mereka akan ditinggalkan jauh oleh rakan-rakan mereka yang mendapat pendedahan dan pendidikan asas yang lebih sempurna.
Akhir sekali, oleh kerana sukatan pelajaran semua subjek baik bahasa Inggeris, bahasa Melayu, matematik atau sains telah berubah mengikut peredaran masa, kita dapati ramai ibu bapa yang sudah tidak mampu membimbing anak mereka sendiri di rumah walaupun ada antara mereka mungkin berpangkat sarjana.
Apa yang mereka pelajari di sekolah rendah dahulu sudah lapuk. Ada guru pembimbing yang diambil ibu bapa pula tidak terlatih atau tidak biasa dengan kaedah baru yang digunakan di sekolah kini dan ini boleh memudaratkan lagi masalah.
Oleh itu, saya sarankan pihak sekolah dan badan bantu diri seperti Mendaki dan Angkatan Karyawan Islam (AMP) tidak hanya memusatkan perhatian mereka kepada kelas bimbingan untuk pelajar sahaja tetapi turut mengadakan bengkel kilat untuk ibu bapa dan guru pembimbing.
Usaha pihak sekolah, guru, ibu bapa, guru pembimbing dan pelajar itu sendiri mestilah sehaluan. Dengan kerjasama ini, barulah pelajar yang lemah dalam matematik dapat dibantu dengan sebaik-baiknya.

Ahmad Salik Ahmad Ishak

menjalin cinta dengan gadis sekolah

6 Jan 2010

KATA ABANG...

Mungkinkah anda menjalin cinta dengan gadis sekolah?
'Saya pernah menjalin hubungan cinta dengan seorang remaja perempuan yang masih bersekolah. Jarak umur kami lebih kurang 10 tahun. Namun, hubungan ini bukan atas dasar ingin 'menaja' si gadis. Sebaliknya, ia cinta yang ikhlas dan jujur lagi merupakan cinta pandang pertama.

'Cinta ini buta, tanpa mengira jarak usia dan kondisi seseorang itu. Sebagai seorang yang lebih dewasa dan sudah bekerja, saya harus bijak menilai baik buruknya menjalinkan hubungan seumpama itu. Komitmen dan tanggungjawab dalam hubungan juga amatlah penting.
'Si gadis harus bijak membahagikan masa antara cinta dan pelajaran. Dan oleh kerana itu, kami tidak seharusnya mencampur-adukkan hubungan percintaan dengan pelajaran gadis tersebut yang saya rasa boleh terjejas dek masalah hubungan kami.

'Akhirnya, cinta yang terjalin tidak kesampaian. Kini, saya lebih selesa bercinta dengan gadis yang sudah bekerja. Saya mahupun gadis itu harus matang dan komited jika ingin hubungan yang dibina kekal bahagia hingga ke jenjang pelamin.'

ENCIK MOHAMMAD NASER AHMAD,33 TAHUN,
EKSEKUTIF KEWANGAN


6 Jan 2010

PENTAS HIDUP

Cinta dua generasi

Haryani Ismail meninjau trend ini - sejauh mana cinta dua generasi ini membungakan hasil yang menggembirakan kedua-dua pihak?

MATA Irah (bukan nama sebenar) sekejap-sekejap menatap jam di dinding bilik darjahnya. Hatinya berbunga- bunga cinta menanti kedatangan Abang Malik (juga bukan nama sebenar), jejaka 14 tahun lebih tua daripadanya, di depan pagar sekolah.
Loceng yang berbunyi sekitar 1.30 petang menyentak lamunannya yang menerawang memikirkan tentang Abang Malik dan motosikal Harley Davidsonnya yang 'membelah' jalanan dengan deruan enjinnya.
Abang yang penyayang jadi tempat bermanja
Sepanjang menjalinkan hubungan lebih dua tahun dengan Abang Malik, 31 tahun, seorang mekanik yang dikenali menerusi laman Facebook, Irah, 17 tahun, pelajar menengah lima, yang ditemui Ekstra, terasa bagaikan 'puteri' yang sentiasa dimanjakan dengan hadiah seperti teddy bear dan minyak wangi.
'Ada teman-teman saya yang mencebik-cebikkan bibir mereka setiap kali nampak saya dan Abang Malik yang saya panggil 'Baby'. Mereka kata 'tuanya boyfriend kau'! Tetapi, tak kurang juga yang iri hati. Maklumlah, saya balik naik motor dua kali seminggu. Kalau tengok wayang dan makan di luar, tak perlu keluar duit. Semuanya 'ditaja'!' cerita Irah, yang terpikat pada sifat penyayang dan penyabar Abang Malik.
Sehingga kini, Irah akui masih bercinta dengan Abang Malik yang pandai menambat hatinya dengan gurau-senda. Mereka jarang bertengkar sebab kebanyakan masanya, Abang Malik dikatakan yang lebih banyak mengalah.
'Kalau ada pun, biasanya, kerana Irah terlalu manja dan Abang Malik sibuk dengan kerjanya. Jadi, kita tak dapat jumpa dan Irah merajuk,' jelasnya dengan nada sayu, bagaikan meminta dikasihani.
Cuma masalah Irah ialah hubungan itu disorok daripada pengetahuan ibu bapanya yang dijangka akan meledak jika mereka tahu dia sudah pandai bermain cinta, lebih-lebih lagi dengan lelaki yang sudah sampai masanya menamatkan zaman bujang.
'Bagaimanapun, saya fikir ibu bapa saya mula mengesyaki saya ada teman lelaki. Sebabnya, saya pernah ternampak ayah saya memeriksa SMS saya sewaktu saya cuci piring di dapur. Cuma, mungkin, ayah tak tahu Abang Malik ni jauh lebih matang,' katanya, terus terang.
Kebanyakan masanya, pasangan dua generasi ini keluar menonton wayang atau duduk bersembang di kafeteria. Mereka sama seperti pasangan lain yang cuba serasikan diri dengan cita rasa berbeza.
Melihatkan Irah yang tampak masih mabuk dilamun cinta, tertanya-tanya juga, tidak pernahkah cita rasa yang berbeza atau matlamat hidup itu menjadi sebab mereka terasing? Masakan hubungan itu sepi dari masalah?
Lama juga Irah termenung panjang sambil menghirup jus lobak merahnya. Matanya seakan-akan enggan menatap tepat mata penulis, seakan cuba melindungi sesuatu.
'Er... sebenarnya, adalah juga beberapa masalah. Misalnya, saya kadangkala cemburu dengan teman-teman perempuan Abang Malik. Pernah sekali dua, dia ajak saya ikut dia ke parti. Saya tengok mereka pandang saya lain macam. Saya kira mereka tahu, saya masih budak lagi. Saya cuba pakai macam wanita 20-an tahun tetapi, tentunya wajah saya nampak jauh lebih muda.
'Abang Malik pernah tanya saya bila nak kahwin? Saya kata, tunggu dulu. Saya nak habiskan GCE 'O' saya dulu. Nasib baik, dia tak pressure saya lagi,' jelas Irah sambil menguis kertas tisu di atas meja.
Ditanya mengapa gadis-gadis sekolah masa kini terpikat pada jejaka-jejaka yang jauh lebih berusia, Irah berkata kebanyakan masanya, gadis-gadis sebayanya tidak perlu bimbangkan soal pengangkutan untuk ke sana ke mari kerana biasanya 'abang-abang' ini memiliki motosikal atau kereta sendiri. Mereka juga akan sering dibelanja dan dimanjakan dengan barangan berjenama atau dihujani SMS romantik.
'Budak-budak lelaki sebaya selalunya tak romantik, tak ada duit untuk belanja kita dan masih kebudak-budakan. Macam mana dia nak jaga dan lindungi kita? Kita pula yang perlu jaga dia!' kata Irah, tertawa.
Tidak semua 'abang-abang' boleh diharap
Irah mungkin antara gadis-gadis yang masih lagi dalam awang-awangan dunia cintanya dengan seorang jejaka yang jauh lebih berusia. Min, 18 tahun, seorang pelajar politeknik, bagaimanapun, nyaris- nyaris hanyut kerana hubungannya dengan seorang 'abang penipu'.
'Saya mengenalinya menerusi seorang teman di majlis barbeku pada usia saya 16 tahun. Raziz nampak tampan, seperti pelakon Bollywood. Saya sangka sayalah yang paling bertuah sebab dia ramai peminat. Usianya pada waktu itu sekitar 22 tahun dan baru tamat Perkhidmatan Negara (NS). Dia akan menanti saya di luar pagar sekolah dengan motosikalnya. Dia pandai bercerita. Banyak kisah kembaranya menarik perhatian saya.
'Cuma, saya dapati lama-kelamaan, duit saku saya termasuk duit simpanan saya sejak kecil mula kekontangan. Raziz menganggur dan tak dapat-dapat kerja. Kalau disuruh cari kerja sambilan, katanya kerja tu tak sesuai atau nanti-nanti saja. Saya yang bekerja sambilan di restoran makanan segera pula yang terpaksa menanggung makan-pakai dia!
'Saya juga terasa stres sebab dia selalu memujuk saya dan memaksa saya melakukan perkara-perkara yang saya tak suka seperti melakukan hubungan seks dengannya.
'Nasib baik, saya tak termakan dengan mulut manisnya. Saya mengambil keputusan memutuskan hubungan kami apabila Raziz tidak pernah berusaha mengubah dirinya, malahan, ingin heret saya jadi remaja hanyut yang lupakan harga diri saya,' jelas Min, dengan nada sayu.
Berdasarkan pengalamannya itu, Min menasihati remaja agar tidak mudah terpedaya dengan rasa cinta dan kagum terhadap 'Abang-Abang' ini.
'Selagi anda masih bersekolah, tumpuan anda harus dijuruskan pada pelajaran dan bukannya pada percintaan. Usah terjebak seperti saya. Mereka ni pandai memujuk tetapi niat mereka, Tuhan saja yang tahu. Dengan usia kita yang masih belasan tahun ini, bimbang kita akan mudah diperdaya,' tambahnya.

6 Jan 2010
EKSTRA!
CINTA DUA GENERASI

Pandangan yang empunya diri...
USAH babitkan diri anda dengan hubungan cinta bersama seorang jejaka yang lebih berusia jika anda masih terikat dengan pelajaran anda dan masih bersekolah.

Lebih berbahaya kalau jejaka itu sudah menyertai alam pekerjaan dan mula memikirkan tentang langkah selanjutnya iaitu menamatkan zaman bujangnya.

Pesanan kepada gadis-gadis yang masih bersekolah ini tidak datang daripada kaunselor, ibu bapa atau guru yang biasanya menjadi rujukan dalam menangani isu hubungan remaja lelaki dan perempuan.

Sebaliknya, ia diluahkan sendiri oleh beberapa belia yang telah melalui hubungan jangka panjang dengan teman lelaki mereka yang lebih tua dan kebanyakan masanya telah pun bekerja.
Kami juga mendapatkan pandangan beberapa lelaki yang sudah bekerja dan pernah melalui hubungan cinta dengan gadis remaja.
Apakah antara sebab-sebab yang memungkinkan hubungan ini melalui tekanan dan membawa pada pelbagai pergeseran?

#1: Banyak masa dan tenaga tercurah sehingga memenatkan

Alia, 22 tahun, seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) telah menjalin hubungan selama tujuh tahun dengan Daniel, 26 tahun, yang kini mengikuti latihan kejuruan kejuruteraan penerbangan di Lapangan Terbang Seletar.
'Walaupun kami bertahan selama tujuh tahun, hubungan kami memang tidak sepi dari onak dan duri.
'Saya mengenalinya di saat saya masih di menengah tiga dan dia pula di Institut Pendidikan Teknikal. Segalanya bermula menerusi sembang siber.
'Banyak perkara yang saya perlu tangani - dari soal menyorok hubungan kami dari pengetahuan ibu bapa saya sehingga saya rasa terlalu bersalah menyembunyikan perkara ini dari pengetahuan mereka.
'Kami jarang berjumpa. Ada pula tanda tanya daripada teman-teman, mengapa saya masih kekal setia bersama Danial, sedangkan orangnya tidak setampan mana... ada yang merasakan dia selalu mengawal pergerakan saya.
'Menangani hubungan itu dan tanda tanya orang-orang di sekeliling di samping membahagikan masa untuk pelajaran saya membuatkan situasinya begitu menekan untuk saya ada kalanya. Mujurlah, saya dan Daniel saling mengenali sikap masing-masing dan masalah ini ditangani beransur-ansur.
'Cuma, kerana ia memenatkan, saya menasihati remaja di sana, kalau boleh, elakkan dari bercinta terlalu awal dalam kehidupan mereka. Ada peluang belajar, jangan abaikan,' kata Alia lagi.

#2: Cita rasa jauh beza, matlamat hidup tidak sama

Encik Abdul Aziz Abdul Samad, 34 tahun, seorang pekerja pengiriman barang, pernah menjalinkan hubungan dengan seorang gadis sekolah berusia 15 tahun. Pada masa itu, usia beliau sekitar 26 tahun.
'Hubungan kami tidak panjang sebab cita rasa kami jauh berbeza. Gadis itu masih nak keluar enjoy bersama teman-temannya. Dia minta itu dan minta ini daripada saya. Sebab saya hanya kerja sebagai Mat Despatch, perit juga untuk memenuhi segala keperluannya,' kata bapa dua anak yang akhirnya menamatkan zaman bujangnya dengan seorang pekerja kilang yang hanya dua tahun lebih muda daripadanya.
Encik Abdul Aziz akur sifat manja-manja pada gadis yang beliau panggil Lin itu menarik perhatiannya. Tidak terlintas pula soal perkahwinan walaupun pernah secara mengusik beliau bertanyakan hal itu kepada Lin yang dikenali kerana tinggal di kejiranan yang sama dengannya di kawasan timur Singapura.
'Tapi, bila dia tarik muka panjang saja, saya tahu dia belum bersedia. Dari situlah, saya tahu, tak mungkin 'menjadi' hubungan dengan seorang budak sekolah. Kita dah matang dan bersedia untuk kahwin. Mereka masih mempunyai cita-cita panjang untuk sambung belajar. Tak adil kalau kita ajak dia kahwin dan cita-citanya terbengkalai, bukan?' katanya.
#3 Bila ada yang mengambil kesempatan
Encik Mohd Izzudin Ahmad, 27 tahun, seorang eksekutif perkapalan pula berkata hubungan sebegini ada kalanya 'plastik' sebab masing-masing ingin mengambil kesempatan.
Dalam halnya yang pernah bercinta dengan seorang gadis sekolah menengah berusia 16 tahun, dua tahun lalu, terasa seakan dirinya yang dipergunakan dan akhirnya dikecewakan.
'Orang selalu kata kita, si 'abang-abang' ini akan ambil kesempatan dan fikir bukan-bukan - nak bermesra dan meragut kesucian si gadis sebab nafsu-nafsi. Namun, dalam hal saya, saya yang terkena!
'Si gadis pula mempergunakan saya macam sugar daddy dia. Dia nak apa-apa dia minta saya duit. Beli itu, beli ini... semuanya barangan berjenama. Dia juga 'tayangkan' saya di depan teman-temannya sebab kita ni ada kereta. Jadi macam drebar dialah! Tetapi, dalam diam-diam, dia ada teman lelaki sebaya! Mana tak sakit hati?' ujarnya.
Lantaran itu, langkah yang paling selamat, jelas ketiga-tiga daripada mereka - Alia, Encik Abdul Aziz dan Encik Mohd Izzudin, ialah untuk tidak terlibat dengan hubungan cinta dua generasi ini ketika salah seorang masih lagi berusia belasan tahun dan bersekolah.
'Akan ada masa bercinta suatu hari nanti. Bukan kata elakkan dari bercinta dengan 'abang-abang', tetapi dengan teman sebaya tu OK. Keutamaan anda sebagai pelajar harus diketahui. Banyak perkara menyeronokkan yang boleh anda lakukan untuk mengisi masa anda,' kata Alia lagi.
Kepada gadis-gadis, hati-hatilah kalau berkenalan di laman siber dan rangkaian sosial seperti Facebook. Jangan mudah berikan nombor telefon anda kepada sesiapa yang baru dikenali. Jangan hanya kerana kepingin ada steady, tidak berfikir dua kali.

Pencemaran - Pemanasan bumi

6 Jan 2010

KOMENTAR

Kita boleh elak pencemaran yang cetuskan pemanasan bumi

ANTARA isu hangat yang dibicarakan di arena dunia ialah perubahan iklim yang dikaitkan dengan pemanasan sejagat. Ini ada kaitan dengan teknologi dan sikap manusia.

Penciptaan alat canggih seperti komputer, telefon bimbit dan sebagainya sudah tentu menggunakan lebih tenaga elektrik. Begitu juga teknologi kenderaan, pesawat atau jentera kerja seperti mesin basuh dan alat hawa dingin.

Hal itu dapat dikurangkan, jika tidak diatasi, dengan menggunakan bahan atau alat mesra alam dan kurang menggunakan tenaga elektrik.

Pembuangan sampah atau najis secara sembarangan pula mencemari ruang udara dan alam sekitaran. Pembakaran hutan belantara hendaklah dihentikan dan pelakunya dihukum.
Pembaziran kertas dapat dielakkan dengan menggunakan kededua halaman kecuali dokumen yang perlu dicetak menggunakan sehalaman sahaja. Surat khabar lama boleh digunakan semula untuk mengelap tingkap.
Oleh kerana kertas berasal daripada kayu, pembazirannya secara langsung menghapuskan pokok-pokok di hutan sehingga menimbulkan pemanasan suhu bumi.

Kain baju lama yang tidak ingin lagi digunakan serta tidak lagi sesuai untuk diberi kepada orang lain sebagai pakaian atau sedekah, boleh dijadikan kain buruk sebagai mengelap lantai, perabot, kereta dan tingkap sebelum ia dibuang.
Ia juga boleh dijahit dan dibuat kain perca yang boleh digunakan sebagai alas meja, selimut dan sebagainya.

Sebagai Muslim, kita hendaklah menjimatkan air di saat berwuduk dan mandi. Terdapat sebahagian Muslim yang mengambil masa yang lama sewaktu berwuduk.
Sementara itu, projek pembinaan rumah pangsa atau kondominium hendaklah peka dengan faktor alam. Janganlah kerana tamakkan keuntungan menyebabkan penebangan tanaman dan penggondolan semak samun sehingga mengurangkan oksigen dan udara segar yang dihasilkan tumbuh-tumbuhan itu.

Al-Quran menyatakan bahawa kerosakan di darat dan di laut adalah hasil tangan manusia yang memperkosa alam (Surah ArRum: 41).
Selagi kita tidak melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan ini, akibatnya akan ditanggung oleh semua penduduk dunia.

Zulkiflee Ali