Saturday, July 21, 2012

selamat datang ramadhan

SEMPENA RAMADAN

Selamat datang Ramadan



RAMADAN menjelang lagi!
Beruntunglah umat Islam yang berjaya menemui lagi ketibaannya.
Ini kerana berbagai-bagai ganjaran pahala yang boleh diraih daripadanya.
Umat Islam yang berjaya mengamalkannya dengan sempurna akan mampu menjimatkan biaya hidup!
Umat Islam di rantau ini akan memulakan ibadah ini esok.
Di Singapura, khususnya, keghairahan menyambut bulan penuh barakah ini mula dirasakan sekitar sebulan dua lalu apabila masjid-masid mula diperindah untuk solat tarawih. Demikian juga apabila gerai-gerai Ramadan, khususnya di Geylang dan di Jurong, mula dibina.
Ibadah puasa mengandungi banyak hikmah dan kebaikannya kepada umat yang melakukannya. Demikian juga dari segi faedah dan kesihatannya.
Berhubung dengan hikmah puasa, Allah menjelaskan dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
Menurut ayat ini rahsia dan faedah puasa itu yang utama ialah supaya orang yang berpuasa itu sentiasa menjadi umat bertakwa kepada Allah.
Puasa Ramadan diwajibkan pada tahun kedua setelah hijrah. Kafirlah sesiapa yang menentang kewajipannya. Dalam soal ini banyak disebutkan dalam hadis Nabi saw , antaranya:
Daripada Salman Al Farisi ra :
"Rasulullah saw bersabda kepada kami pada akhir bulan Syaaban:
"Wahai sekalian manusia, akan datang kepada kamu bulan yang di dalamnya terdapat malam Al-Qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Allah mewajibkan puasa dan mensunatkan ibadah malamnya. Sesiapa yang beribadah pada malam itu seperti dia melakukan ibadah wajib pada bulan lainnya.
"Dan sesiapa yang melakukan ibadah wajib, ia seperti orang melakukan 70 ibadah lainnya. Ia adalah bulan sabar. Pahala sabar adalah syurga. Ia bulan rezeki orang Mukmin. Siapa yang memberi makan untuk berbuka puasa, ia mendapat (pahala) memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya.
"Kami bertanya: Wahai Rasulullah, setiap kami tidak menemukan sesuatu untuk berbuka.
"Baginda bersabda: Allah memberi pahala kepada sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka kepada sesiapa yang berpuasa, seteguk susu atau air atau sebiji kurma.
"Sesiapa yang memberi makan hingga kenyang kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapatkan keampunan dosanya dan Tuhan akan memberinya minuman dari telaga-Nya seteguk hingga ia tidak akan terasa haus selamanya. Dan untuknya pahala laksana orang berpuasa tanpa sedikit pun kurang.
"Itulah bulan yang awalnya penuh rahmat, pertengahannya penuh keampunan dan hujungnya bebas daripada neraka."
Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah berfirman:
"Setiap amal manusia itu untuknya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya."
KELEBIHAN BERPUASA
Puasa mempunyai banyak kelebihan, antaranya:
  • Dapat melatih disiplin dalam kehidupan.
Berbukalah pada masa yang sama - tidak ada yang ingin menangguhkannya.
  • Dapat membina kesihatan jasmani dan rohani apabila dikerjakan menurut petunjuk Al-Quran dan sunah Rasulullah.
Rasulullah bersabda:
"Berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat."
  • Dapat melatih setiap Muslim dan Muslimah beribadah semata-mata kerana mencari keredaan Allah.
  • Dapat melatih hidup berjimat dan bersederhana. Cara Rasulullah berbuka dan bersahur sangat baik diteladani.
  • Dapat melatih diri supaya bersifat amanah dan boleh dipercayai.
Seyogia, ketika anda sedang berpuasa tiada siapa tahu andai anda minum atau makan, namun anda tidak melakukannya.
  • Dapat menyedar dan menyegarkan ingatan bahawa kita hamba Allah yang wajib mematuhi dan mentaati perintah-Nya.
  • Dapat menghidupkan kekuatan fikiran dan kekuatan basirah (penglihatan mata hati).
  • Dapat melatih dan melentur manusia supaya senantiasa bersifat sabar dan tabah menghadapi kesulitan dan kesukaran.
Rasulullah, menurut riwayat, apabila akan menghadapi sesuatu peperangan melawan musuh, baginda berpuasa terlebih dahulu supaya terlatih sifat sabar dan tabah menghadapi kesukaran dalam peperangan di samping mendekatkan diri kepada Allah.
  • Dapat membersihkan jiwa dengan jalan memenuhi perintah-perintah-Nya, menjauhi segala larangan-Nya dan melatih diri untuk menyempurnakan ibadah kepada Allah semata-mata.
Dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Majah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Puasa itu setengah daripada kesabaran."
  • Dapat menyihatkan tubuh dan menenangkan jiwa dan fikiran manusia.
  • Dapat membangkitkan semangat bersyukur terhadap nikmat-nikmat Allah semata-mata.EEE
  • Dapat mengingatkan orang-orang kaya akan penderitaan orang-orang miskin.
  • Dapat mengingatkan manusia agar senantiasa menjadi insan bertakwa.
KEISTIMEWAAN BERPUASA
Ibadah puasa mengandungi berbagai-bagai keistimewaan - sama ada dari segi kesihatan, ekonomi, kemasyarakatan ataupun peningkatan takwa.
Setiap orang Islam yang bertakwa kepada Allah dan rasul-Nya hendaklah bersungguh-sungguh mencari keredaan Allah supaya puasa mereka diterima keseluruhannya.
Di samping itu perlulah dijaga adab dan hukum-hukumnya dengan sebaik-baiknya.
Dalam bulan yang mulia ini kita akan memperoleh berbagai-bagai hikmah dan kelebihannya, antaranya:
  • Menanamkan sifat kasih sayang kepada mereka yang kurang bernasib baik.
  • Membiasakan diri dengan sifat amanah kerana puasa adalah amanah Allah.
  • Mengawal tubuh atau jasmani. Lazimnya kian melemah jasmani seseorang akan terkawal pulalah keinginan syahwatnya dan sebaliknya akan membersihkan rohaninya.
  • Ibadah puasa merupakan latihan penting untuk mengawal dan mengekang hawa nafsu seseorang

Tuesday, May 29, 2012

tamadun melayu dalam siber


Tamadun Melayu Dalam Siber


Usaha masyarakat Barat 'angkat' warisan ilmu Melayu


TAHUN 1511 merupakan satu titik hitam dalam lipatan sejarah orang Melayu di rantau ini.
Pada tahun tersebut, kerajaan Melaka telah ditawan tentera Portugis.
Bersama dengan peristiwa itu, sejarah ketamadunan orang Melayu mula menjadi pudar.
Ibarat ayam yang kehilangan tajinya, bangsa Melayu diajak menyedari betapa pukulan zaman boleh berubah pada bila-bila masa.
Jelasnya, setiap zaman membawa cabaran-cabaran baharu bagi setiap tamadun.
Sama ada tamadun tersebut mampu hidup mekar dalam persekitaran yang semakin sengit bergantung pada keintelektualan, kreativiti, dan kebijaksanaan bangsa tersebut.
Ketiga-tiga aspek harus bergerak selari dalam memastikan warisan tamadun tersebut sentiasa terbela.
Hal yang sama barangkali wajar dilihat pada usaha melestarikan budaya Melayu hari ini.
Seandainya ketiga-tiga perkara tersebut tidak diselarikan, terdapat ancaman serius bahawa budaya Melayu bakal dijatuhkan martabatnya sebagai sebuah budaya yang sekadar dilihat dalam majlis-majlis perkahwinan dan hari-hari tertentu sahaja.
Lantaran itu, masyarakat Melayu harus didedahkan dengan kesedaran akan nilai-nilai ketamadunan tinggi di sebalik budaya mereka sendiri.
Tanpa disedari ramai, sedang masyarakat Melayu berlumba-lumba menghadirkan 'pembaharuan' yang lebih 'moden', masyarakat Barat sebaliknya giat berusaha mengembangkan warisan ilmu Melayu.
Dalam erti kata lain, terdapat kegusaran bahawa ilmu Melayu lebih dinikmati dan dihargai masyarakat luar berbanding masyarakat sendiri.
Hal tersebut antaranya dapat dilihat dalam era realiti siber, yakni dalam sebuah realiti yang sengaja direka dalam alam siber agar bercanggah dengan hakikat nyata.
Dalam realiti siber, sebuah ruang dan realiti baharu dicipta.
Lewat wadah tersebut, zaman kegemilangan tamadun dunia dapat dipanjangkan ke dunia moden.
Demikianlah yang berlaku pada permainan-permainan video yang berteraskan strategi.
Antara permainan tersebut ialah Napoleonic Total War 3.
Tanpa kita sedari, dalam permainan tersebut, bangsa Melayu telah dipaparkan setara dengan tamadun-tamadun besar lain.
Menariknya, sedang para prajurit Melayu lama lazimnya dibayangkan bangsa sendiri sebagai individu-individu yang berkeris semata, permainan tersebut memaparkan kemahiran peperangan Melayu yang sebenar.
Dalam hal ini, sesuai dengan tuntutan pertempuran, para prajurit Melayu telah ditonjolkan memegang tembak dan senapang pada tangan kiri dan parang pada tangan kanan masing-masing.
Bagaikan sindiran keras terhadap masyarakat Melayu, tukang-tukang seni generasi baru dalam peradaban Barat seolah-olah lebih cenderung mengkaji dan mencungkil ilmu-ilmu Melayu.
Sebaliknya, masyarakat setempat lebih gemar menggunakan filem-filem Melayu lama sebagai rujukan utama.
Jelas sekali, hal tersebut tidak sewajarnya berlaku.
Dalam hal ini, masyarakat Melayu harus akur bahawa masih banyak khazanah intelektual Melayu yang belum tersingkap dalam filem-filem lama.
Malahan, pada era kemuncak filem-filem Melayu, seorang penulis Barat secara diam telah mengembangkan ilmu perkerisan secara kreatif.
Dalam hal ini, keris Melayu telah diangkat Frank Herbert dalam novel Dune (1965) sebagai crysknife.
Secara kreatif, Frank Herbert telah mengolah bentuk dan budaya keris sebagai sebuah elemen dalam novel sains fiksyennya.
Bahkan, dalam novel tersebut, beliau bermadah bahawa sesiapa yang melihat crysknife tanpa restu pemilik akan ketemu ajalnya.
Hal ini secara langsung terkait dengan elemen mistik dan sakral berhubung dengan keris.
Susulan daripada catatannya dalam novel Dune, ilmu Melayu seterusnya sama-sama diangkat apabila novel tersebut diterjemahkan sebagai permainan komputer pada 1992.
Sejak itu, permainan tersebut telah dihasilkan semula dalam pelbagai edisi. Membanggakan bagi masyarakat Melayu, crysknife terus diangkat setiap kali menampilkan watak bangsa 'Fremen'.
Selari antara novel dan permainan komputer, beliau menggambarkan pisau crysknife sebagai senjata yang sengaja ditempa agar retak dan pecah dalam pertempuran.
Fenomena ini sekali gus selari dengan sains dalam ilmu perkerisan.
Dipercayai, keris merupakan satu-satunya senjata yang kadangkala sengaja ditempa agar patah dalam pertempuran.
Lewat teknik ini, sebahagian keris akan sengaja ditinggalkan dalam liang tubuh musuh. Pastinya, kecederaan pihak lawan menjadi lebih kritikal.
Ironinya, sedangkan ilmu-ilmu Melayu terus diangkat masyarakat Barat, masyarakat Melayu sendiri bagai tidak menghargai warisan nenek moyang mereka.
Seolah-olah, warisan Melayu itu kuno, lapuk, dan antik serta selayaknya dihayati dalam muzium semata.
Hakikat yang pahit ditelan, sejak kejatuhan Melaka pada 1511, peradaban Barat tidak pernah lelah dalam mengkaji ilmu Melayu.
Berhubung itu, para penggiat ilmu tamadun Melayu harus menggunakan akal bijaksana untuk menempuh cabaran zaman.
Ironinya, sedang budaya Melayu menjadi semakin indah dan kemas dengan peredaran zaman, isinya jelas masih kosong dengan ilmu.
Walhal, lewat ilmu, generasi penerus tamadun Melayu akan sentiasa diajak mengkaji, meneliti dan menghuraikan semula fenomena-fenomena tamadun tinggi bangsanya

Sunday, May 13, 2012

penolakan konsep rumpun melayu

2 Mei 2012

KOMENTAR

PANDANGAN
Penolakan konsep rumpun Melayu di Indonesia

Oleh
Zin Mahmud

TIDAK lama dahulu, akhbar Kompas, Indonesia, menyiarkan laporan ini:

'Anggapan yang salah jika dikatakan Indonesia merupakan bangsa serumpun dengan Malaysia. Indonesia lebih hebat dan lebih beragam dibandingkan Malaysia.

'Kalau disebut bangsa serumpun, identik dengan Melayu saja, sedangkan suku bangsa, bahasa, dan budaya suku lain dinihilkan (ditiadakan).

'Serumpun apanya? Dalam bidang suku dan budaya, Malaysia tidak ada kaitannya sama sekali dengan budaya Papua, Flores, maupun budaya lainnya yang ada di Indonesia. Indonesia lebih luas, hebat, dan beragam!' kata sejarawan Dr Anhar Gonggong dalam Seminar Cross Cultural Fertilization: Sebuah Strategi Kebudayaan yang berlangsung di Universiti Paramadina Jakarta.

Saya tertarik dengan laporan itu kerana ia menunjukkan bahawa gagasan rumpun Melayu antara Malaysia dengan Indonesia rupanya ditolak oleh pihak-pihak tertentu di Indonesia.

Sedangkan di Malaysia, sekurang-kurangnya konsep rumpun Melayu yang meliputi Malaysia dan Indonesia itu adalah sesuatu yang diterima sebagai fakta sejak negara ini belum merdeka lagi.

Ia seolah-olah hanya pihak Malaysia, atau lebih tepat lagi orang Melayu di negara ini, yang terhegeh mahu menjadi saudara serumpun kepada Indonesia, sedangkan di sebelah seberang sana, ada antara mereka tidak dapat menerimanya.

Tetapi, saya berasakan penolakan mereka terhadap gagasan rumpun Melayu itu adalah kerana konsep bangsa Melayu yang ditafsirkan secara berbeza oleh kedua-dua pihak.

Bagi orang Malaysia, apabila disebut rumpun Melayu, ia meliputi keseluruhan peribumi yang mendiami seluruh gugusan kepulauan Melayu, dari segi sempadan politiknya kini meliputi Malaysia dan Indonesia.

Melayu itu hanyalah nama suatu bangsa keluarga besar bagi keseluruhan bumiputera kepulauan Melayu. Ia merujuk bukan saja Melayu di Semenanjung Malaysia dan Sumatera, malah semua suku kaum, besar dan kecil, termasuk Jawa, Aceh, Batak, Iban, Kadazan, Bugis, Banjar hinggalah ke Maluku, Flores malah Papua. Maknanya keseluruhan peribumi di kepulauan Malaysia dan Indonesia.

Justeru apabila ada pihak menyebut bahawa Malaysia tidak ada kaitan dengan Flores dan Papua, maka negara ini dan Indonesia tidak boleh dianggap serumpun, adalah tidak tepat.

Dalam Malaysia pun, kalau dikira daripada suku kaum, Melayu tidak ada kaitan dengan Iban dan Kadazan di Sarawak dan Sabah. Tetapi kalau dikira sebagai serumpun, maka sudah tentu Melayu, Iban, Kadazan dan lain-lain Bumiputera adalah serumpun. Dari segi suku kaum, sudah tentu Iban di Sarawak dan Kalimantan adalah berkaitan walaupun mereka berada di negara berbeza.

Dalam Indonesia, kalau dikirakan suku kaum, tentulah Melayu di Sumatera berbeza daripada peribumi Flores. Begitu juga dengan Jawa.

Bagaimanapun, kini kesemuanya dianggap sebagai satu bukan kerana masing-masing berada dalam negara yang sama iaitu Indonesia, tetapi dari segi leluhur adalah menduduki suatu kawasan besar yang berkaitan dan berhubungan.

Maka Melayu yang disebut sebagai rumpun hanyalah satu istilah. Nama lain boleh digunakan, umpamanya rumpun Nusantara bagi merujuk pada keseluruhan bangsa peribumi Malaysia dan Indonesia.

Tetapi perkataan Melayu dipilih kerana kededua negara Malaysia dan Indonesia menggunakan bahasa Melayu. Maka adalah wajar rumpun bangsa di Malaysia dan Indonesia ini disebut sebagai Melayu walaupun dari segi darah keturunan atau budaya adalah berbeza.

Hakikatnya, pemisahan antara Malaysia dengan Indonesia adalah hasil daripada proses sejarah dengan kehadiran penjajah di rantau ini. Indonesia mewarisi tanah jajahan Belanda, dan Malaysia tanah jajahan Britain. Tetapi dari segi rumpun, kedua-dua negara memiliki hubungan yang wajar dicari persamaan, dan bukannya perbezaan.

Persamaan utama adalah kededuanya menggunakan bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia. Tetapi ia tetap dikenali sebagai bahasa Melayu di Brunei, Singapura dan Thailand Selatan.

Orang Malaysia mengakui kehebatan keluasan dan kepelbagaian Indonesia, jauh lebih daripada Malaysia.

Tetapi itu tidak bermakna apabila orang Malaysia mendukung gagasan rumpun Melayu, ia bertujuan mahu memperkecilkan kedudukan bangsa Indonesia, atau 'menihilkan' peribumi bukan Melayu.

Ini kerana dalam laporan Kompas itu, Dr Anhar menyatakan bahawa bangsa Indonesia jangan mahu direndahkan oleh bangsa mana pun dengan imingiming (pujukan) sahabat dekat, bangsa serumpun, dan sebagainya, tetapi di belakang merendahkan bangsa Indonesia dengan sebutan Indon dan sebagainya.

'Ingat, Indonesia dalam sejarahnya ketika masih dalam kekuasaan Kerajaan Sriwijaya dan Majapahit, wilayahnya sangat luas serta mencakup beberapa negara tetangga sehingga disebut Nusantara,' kata Dr Anhar.

Sebutan Indonesia, kata Dr Anhar, merupakan buah fikiran genius para pendiri bangsa yang bervisi jauh ke depan untuk menyatukan suku-suku bangsa, bahasa, dan kebudayaan yang sangat beragam.

Cendekiawan Harry Tjan Silalahi menyatakan jika Indonesia dan Malaysia dianggap serumpun, maka keberadaan suku dan budaya lain di luar Melayu dianggap tak ada. 'Pandangan ini sesat dan berbahaya,' ujarnya.

Sungguh keras mereka menolak gagasan rumpun Melayu itu.

Tetapi hakikat sejarahnya, Sri Wijaya, Majapahit dan Melaka adalah serumpun jua. Mereka berbahasa Melayu. Justeru mereka memiliki memori kolektif serupa berasaskan sastera serumpun. Air dicincang tidak akan putus.

Nota: Penulis ialah penulis pojok 'Untung Sabut Timbul', di Mingguan Malaysia. Makalah ini disiarkan kelmarin.

cerpen warkah oleh sumadi sarkawi

13 Mei 2012

EKSTRA!

Warkah


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang

Ke hadapan anakandaku tercinta.

Apabila anakanda membaca warkah ini, mungkin ayahanda sudah tidak ada lagi di dunia ini. Ayahanda tidak tahu bila anakanda dapat membaca warkah ini. Warkah ini ayahanda tulis pada malam yang hening ketika seisi rumah masih nyenyak dibuai mimpi. Entah mengapa ayahanda tidak dapat melelapkan mata. Mungkin banyak sangat yang ayahanda fikirkan dan tidak pula dapat bersemuka dengan anakanda atau adik-beradik anakanda untuk menyatakan suara hati ayahanda.

Warkah ini ayahanda akan simpan dalam laci di meja tulis dalam bilik ayahanda. Sengaja ayahanda simpan warkah ini dalam laci itu. Ayahanda tahu tentu sekali anakanda tidak berani membongkar laci peribadi ayahanda ini. Jadi ayahanda yakin anakanda hanya akan membaca warkah ini setelah ayahanda tiada lagi.

Warkah ini adalah sebagai peringatan kepada anakanda dan adik-beradik. Ayahanda menulisnya kerana kita sekeluarga jarang sekali dapat berkumpul dan berbual membincangkan keadaan keluarga dan kehidupan kita. Ayahanda tahu kamu semua mempunyai tugas dan kewajipan masing-masing sehingga kita payah sekali untuk bertemu muka. Payah untuk kita bertemu di ruang tamu rumah kita sendiri. Masing-masing sibuk dengan urusan keduniaan kita sendiri. Seringkali juga kita terlepas pandang akan perkara-perkara sebegini.

Anakanda,

Rakan dan taulan adalah penting dalam kehidupan kita. Tetapi hubungan keluarga lebih penting lagi. Ingatlah, air dicencang tak akan putus. Ingatlah anakanda, rakan dan taulan hanya masa kita berada. Janganlah kita berjauhan dari keluarga. Walau bagaimana jauh pun keluarga kita, yang kita anggap hanya bau-bau bacang, ia tetap keluarga kita juga. Jadi muafakatlah kita semua. Hendaklah diingat jua akan keluarga semenda kita. Mereka juga tergolong dalam keluarga kita.

Memang, kita semua ada pendapat sendiri.Tidak semua orang akan bersetuju dengan pendapat kita. Mungkin pendapat kita sendiri ini tidak sepadan dan tidak disetujui anggota keluarga yang lain. Tetapi janganlah kerana perselisihan pendapat ini kita bercerai-berai dan bermasam-masam muka, apatah lagi kalau kita terus berpatah arang. Ini kerana kepala sama berbulu, pendapat lain-lain. Hiduplah dengan berpegang kepada carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Pesan ayahanda, jangan sesekali anakanda mengambil sikap seperti enau dalam belukar.

Ingatlah anakanda, kita semua perlu menghormati pendapat anggota keluarga yang lain, walaupun pendapatnya itu tidak sejajar dengan pendapat kita sendiri. Biarlah kita berbeza pendapat tetapi tetap berpadu. Ini tidak akan merugikan kita sekeluarga. Hendaklah kita sekain sebaju, selauk senasi, sebantal sekalang ulu dan setikar seketiduran.

Tidak ada masalah yang tidak dapat dihuraikan. Cuma kita sahaja, anakandaku, yang kekadang tidak mahu mengambil sikap tolak ansur dalam membentangkan pendapat kita. Sering kita sangka bahawa pendapat kita seorang sahaja yang terbaik. Pendapat orang lain tidak pula kita timbang dan perhatikan kemungkinan ia menjulur kepada penyelesaian. Mungkin itu silap kita dalam banyak hal.

Anakanda,

Warkah ini ayahanda tulis dalam bahasa Melayu yang baku. Bukan. Bukan sebutan baku. Tetapi ia adalah bahasa baku. Jadi mungkin anakanda payah untuk memahami beberapa perkataan yang ayahanda tuliskan dalam warkah ini. Ayahanda faham. Sekarang anakanda semua berpendidikan Inggeris, kerana itulah hakikat di negara kita. Sekiranya anakanda tidak memahami perkataan-perkataan yang tertera dalam warkah ini, bertanyakanlah pada yang arif bahasa. Ataupun sekurang-kurangnya anakanda rujuklah pada kamus yang ada ayahanda simpan di rak-rak buku di rumah kita ini.

Ayahanda mengerti anakanda dan adik-beradik anakanda belajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Apa yang dimaksudkan dengan bahasa kedua pun ayahanda tidak mengetahui. Memang ayahanda tidak mengerti maksud itu. Sama ada yang dimaksudkan oleh orang yang mencipta istilah itu hanya mahukan bahasa Melayu sebagai bahasa kelas kedua. Ataupun orang yang berbahasa Melayu dianggap sebagai manusia kelas kedua. Ataupun yang dimaksudkan ialah bahawa bahasa Melayu yang anakanda pelajari tidak setinggi dengan bahasa Inggeris yang diajar di sekolah. Oleh itu ayahanda faham sekiranya anakanda tidak memahami beberapa perkataan yang ayahanda gunakan dalam warkah ini.

Tetapi yang anehnya, bahasa Inggeris yang anakanda gunakan kekadang ayahanda dengar semacam tunggang langgang nahunya. Mungkin ayahanda tersalah dengar. Mungkin juga ayahanda sedang diserang tunarungu menyebabkan pendengaran tutur bahasa Inggeris anakanda tidak lancar ayahanda dengar. Oleh itu, ayahanda sehingga sekarang ini pun, masih ragu sama ada bahasa Inggeris yang anakanda tuturkan itu bahasa yang apa yang dikatakan oleh orang sebagai Queen's English ataupun.... Entahlah, ayahanda pun kekadang bingung. Sudahlah bahasa Melayu anakanda tidak mencapai tahap yang tinggi, bahasa Inggeris anakanda pun hampir sama tarafnya dengan bahasa Melayu anakanda. Janganlah hendaknya bahasa-bahasa yang anakanda gunakan, kata orang seperti berselimut kain sehasta. Itu pendapat ayahanda.

Mengapakah anakanda berhenti mempelajari bahasa Melayu selepas bersekolah? Tidakkah anakanda berasa perlu mendalami lagi bahasa kita itu. Adakah anakanda berpendapat bahawa bahasa Melayu ini tidak punya nilai dalam kehidupan moden kita sekarang dan pada masa depan? Dengan pengetahuan bahasa kita yang mendalam, kita dapat melungsuri sejarah dan kesusasteraan Melayu dengan lebih baik lagi, tanpa perlu menunggu terjemahan atau buku yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana kita hidup di rantau Nusantara, banyak buku sastera Melayu yang dihasilkan dalam bahasa Melayu itu sendiri. Sekiranya kita tidak mahu membaca sejarah sastera Melayu sendiri, siapakah yang akan melakukannya? Ayahanda berharap anakanda memahami keadaan ini.

Anakanda,

Dalam mengejar nikmat dunia ini, janganlah anakanda lupa akan tanggungjawab sebagai orang yang beragama Islam. Kita boleh dan harus bersikap moden mengikut peredaran hidup sekarang yang lebih memerlu dan mementingkan kebendaan. Janganlah kita sesekali lupa akan kehidupan kita sebagai penganut agama Islam.

Sekarang ini pun, ayahanda sering perhatikan yang anakanda dan adik-beradik sering terlepas melakukan solat-solat asas yang diwajibkan walaupun acapkali ayahanda menegurnya. Seringkali anakanda memberikan alasan sedang sibuk menyiapkan kerja-kerja pejabat yang harus diselesaikan sebelum anakanda ke pejabat esok harinya. Ataupun sibuk dengan kerja-kerja sekolah yang semakin menimbun setiap hari. Oleh kerana kesibukan yang anakanda katakan itu, anakanda terlepas waktu untuk menghadapi Yang Esa. Tetapi anehnya, anakanda punyai masa untuk menunaikan solat Jumaat, walau bagaimana sibuk pun dengan kerja pejabat atau sekolah. Tetapi, ayahanda tidak mengetahui sama ada anakanda memberikan masa juga untuk melakukan solat-solat waktu yang lain.

Ingatlah anakanda, sekiranya anakanda hanya melakukan solat Jumaat seminggu sekali, tanpa melakukan solat-solat yang lain, kelakuan anakanda tidak ubah seperti yang dilakukan oleh penganut-penganut agama lain yang hanya ke tempat ibadah mereka seminggu sekali.

Anakandaku, sebagai seorang penganut agama Islam, solat-solat asas itu adalah sebahagian daripada kehidupan kita di dunia. Ia adalah kewajipan kita. Kenapa kita mudah abaikan tuntutan agama kita? Sekiranya kita pandai mengatur waktu, pasti tuntutan-tuntutan ini dapat kita lakukan dengan mudah. Ini telah dijanjikan oleh Allah bahawa Dia tidak memberatkan umatnya dengan beban yang tidak terpikul oleh kita. Ingatlah!

Ketahuilah anakanda, kesibukan itu hanyakan perlakuan diri kita sendiri. Kita yang tidak bijak membahagikan masa dan menyebabkan kita dikongkong oleh waktu. Bukan sebaliknya, kita yang mengaturkan waktu itu. Waktu untuk kita hidup. Waktu untuk bekerja. Waktu untuk berkeluarga. Waktu untuk tuntutan agama dan sebagainya. Kita sering terlupa bahawa kitalah yang mengawal waktu, bukan sebaliknya.

Anakanda,

Ayahanda mengakhiri warkah ini di sini sahaja. Ayahanda berharap dan berdoa agar anakanda ingat akan pesanan ayahanda seperti yang tercatat dalam surat seperti yang di atas. Sekiranya anakanda tidak memahami maksud warkah yang ayahanda tuliskan ini, anakanda carilah mereka yang arif untuk mempelajari apa yang ayahanda ingin sampaikan itu. Juga anakanda perlu bermuafakat dengan adik-beradik dan keluarga semenda untuk manfaat keluarga kita. Hiduplah sebagai aur dengan tebing.

Sekian wassalam warahmatullahi wabarakatuh.

Ayahanda kamu.

tangan

5 Mei 2012

EKSTRA!

REFLEKSI
Tangan Juga Lambang Kuasa

Tangan sangat bermakna dalam kehidupan dan harus disyukuri serta tidak disalah guna


SETIAP tahun dunia menghargai sumbangan para pekerja dengan menetapkan 1 Mei sebagai Hari Buruh atau Hari Pekerja. Tahun ini, ia jatuh pada Selasa lalu.

Pak Su tertarik dengan pendekatan akhbar The Straits Times Sabtu lalu meletakkan makna menjelang sambutan Hari Buruh atau Hari Pekerja - iaitu dengan memaparkan 13 pasang tangan pekerja mewakili beberapa bidang pekerjaan - pekerja binaan, mekanik, operator penyembelihan, tukang masak, tukang urut tapak kaki, tukang cuci pinggan, pembantu rumah, tukang urut badan, juruketip kuku, tukang gunting rambut, pembantu kedai kopi, petani dan tangan pekerja di pelabuhan ikan.

Ia melambangkan betapa tangan memainkan peranan penting dalam pelbagai pekerjaan.

Sebenarnya, kalau hendak disenaraikan terlalu banyak kerana hampir setiap bidang kerja perlukan gerakan tangan. Tangan menjadi lambang kerja. Maka itu, tenaga kerja dalam sesebuah syarikat diistilahkan juga sebagai kakitangan.

Namun peranan tangan kehidupan adalah jauh lebih luas. Pelbagai perbuatan - menulis, melukis, mengangkat, menyuap, membuka, memutar, mencuci, membancuh, memasak, makan dan minum, membuka, membina, membaling, menyangkul, mengorek, bermain dan seribu satu macam perbuatan - memerlukan penggunaan tangan.

Orang yang cacat penglihatan dan pendengaran banyak menggunakan tangan sebagai bahasa isyarat. Bayangkan betapa sukarnya hidup tanpa tangan.

Ia begitu bermakna hinggakan 'tangan' digunakan dalam banyak istilah.

Mengendalikan sesuatu, seperti masalah atau urusan, disebut dengan istilah 'menangani' (seperti menangani masalah).

Ungkapan 'kaki tangan dalam perut' menggambarkan sikap kepura-puraan seseorang - dari luar kelihatan baik, tetapi hal sebenarnya tidak begitu.

Ungkapan 'tangan yang mengayun buaian yang akan menggoncang dunia' pula menggambarkan hebatnya peranan wanita yang berkesan dalam kehidupan.

'Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan' menggambarkan kesudian dengan rasa besar hati dan rendah hati menerima sesuatu.

'Ringan tangan' maknanya suka pukul; 'tangan macam lipas kudung' maknanya pergerakan yang sangat pantas; 'perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan' bermakna ada kuasa melakukan ikut suka hati; 'menerima dengan tangan terbuka' menunjukkan kerelaan dan lapang dada.

Dalam majlis yang dihadiri ramai orang, jika mahukan perhatian (atau bertanya), seseorang perlu angkat tangan bagi menarik perhatian.

Dalam lain ketika (dan istilah), 'angkat tangan' juga bermakna menyerah kalah; 'turun tangan' bermakna selalu rugi (dalam perjudian), 'campur tangan' bererti masuk campur; 'lepas tangan' bermakna memisahkan diri daripada sesuatu keadaan yang melibatkan pertanggungjawaban; 'dalam tangan' (sudah hampir menang atau mencapai sesuatu); dan 'panjang tangan' ialah perbuatan mencuri (di Arab Saudi, pencuri dan perompak menghadapi hukuman potong tangan jika sabit kesalahan).

Tangan kiri dikatakan kidal, tangan kanan pula, selain bermakna tangan sebelah kanan, ia juga bermakna orang kanan (pembantu utama).

Ungkapan 'sayang anak tangantangankan...' pula memberi makna perlunya mendisiplinkan anak, hatta terpaksa berkeras (dengan menggunakan tangan).

Jika memberi bantuan, terutama menderma, biarlah dengan ikhlas hinggakan tangan kiri tidak tahu tangan kanan yang memberi.

'Buah tangan' pula adalah pemberian yang dibawa bersama semasa mengunjungi seseorang; 'kerja tangan' menggambarkan sesuatu yang dihasilkan oleh seseorang; dan 'kraf tangan' adalah barangan yang dihasilkan khusus daripada kepakaran penggunaan tangan seperti bakul dan barang hiasan.

Selain makna membersihkan tangan, 'cuci tangan' juga bermakna sudah meninggalkan sesuatu perbuatan yang jahat (misalnya, dia sudah 'cuci tangan' daripada dadah, mencuri dan sebagainya).

Dalam hubungan, baik di peringkat antarabangsa, mahupun di peringkat orang biasa, tangan menjadi lambang hubungan baik iaitu dengan berjabat tangan.

Dua pihak yang bertelingkah, setelah berbaik, berjabat tangan sebagai tanda masalah selesai.

Dari sudut agama, adalah afdal (lebih utama) melakukan perkara baik dengan tangan kanan.

Tangan juga lambang kuasa.

Misalnya, jika melihat sesuatu kemungkaran, betulkan dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu, dengan kata-kata, jika tidak dengan hati (doa dan itulah selemah-lemah iman).

Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyebut tentang 'tangan' yang bermakna 'kuasa Allah'. Antaranya ialah 'sesungguhnya kurnia itu di tangan Allah (kuasa)' (Ali Imran: 73; Al-Hadiid: 29) dan 'maka Maha Suci (Allah) di tangan-Nya (kekuasan) segala sesuatu.' (Yasin: 83).

Tangan juga adalah antara anggota wuduk yang wajib dicuci dan ini disebut dalam Al-Quran: 'Hai orang-orang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah mukamu dan tanganmu sampai ke siku' (Al-Maidah: 6). Malah ketika tiada air, hanya dua bahagian yang wajib dicuci dengan debu tanah (tayamum) iaitu muka dan tangan.

Kenapa tangan perlu dicuci? Antara lain kerana tangan adalah anggota utama yang melakukan pelbagai perkara, termasuk yang menyalahi peraturan dan tegahan - mengotori, merosakkan, mencuri, merompak, mencederakan, mengambil hak orang dan sebagainya. Hal ini termaktub dalam beberapa ayat Al-Quran. (Antara lain, sila rujuk As-Syuura: 30; Ar-Ruum: 41; Ali Imran: 182; Al-Anfaal: 51).

Dan dalam zaman ini, banyak kesilapan lain yang mudah dilakukan menggunakan tangan - seperti gosip, bertengkar, menghina, mengumpat, mengata, membohong, memfitnah, menyeleweng dan sebagainya menerusi SMS dan Internet (Facebook, e-mel, twitter, blog dan seumpamanya.)

Al-Quran menyatakan 'Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka kerana apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri.' (Al-Baqarah: 79)

Sebagai umat Islam, kita percaya pada Hari Pembalasan. Setiap anggota akan dipertanggubjawabkan. Anggota tubuh kita, termasuk tangan, akan menjadi saksi atas perbuatan kita. (Sila rujuk An Naba: 40; Al-Hajj: 10; An-Nuur: 24; dan Yasin: 65).

Ringkasnya, tangan sangat bermakna dalam kehidupan. Ia harus disyukuri dengan tidak disalah guna.

PAK SU

gamelan

1 Mei 2012

EKSTRA!

Gamelan Melayu: Menimang Burung Ke Pangkuan Jelata

Oleh
Muhammad Jalani Abu Talib

DALAM persekitaran serba moden dan canggih, muzik Timur sering dianggap sebagai hiburan yang kuno dan purba.

Turut menjadi mangsa, muzik tradisional Melayu yang menerima kesan pukulan daripada alam yang menganggap Barat sebagai kiblat kemodenan.

Kesannya, pengaruh dan kepentingan peradaban sendiri dianaktirikan anak jati dan bangsa.

Di samping itu, anak jati Melayu yang cenderung terhadap budaya leluhurnya dibiarkan mencari jati dirinya sendiri.

Menambahkan garam pada kesan luka, tanpa kesedaran yang mendalam, jati diri mereka dicari daripada gugusan-gugusan pulau yang lain sekitar Nusantara.

Atas dasar realiti masa kini serta kurangnya sumber-sumber kajian mahupun bahan pengajian tentang budaya Melayu, budaya seputar Indonesia menjadi 'santapan' utama.

Dalam konteks muzik gamelan, gamelan Jawa menjadi pilihan.

Sebagai pengenalan, gamelan merupakan himpunan alat muzik yang antara lain menonjolkan gambang, gendang, kenung, bonang, dan gong.

Tanpa disedari ramai, selain daripada versi Jawa, gamelan turut hadir di beberapa daerah lain. Antaranya termasuklah Madura, Bali, Lombok, Sunda dan Semenanjung Malaysia.

Bergantung pada daerah, terdapat variasi-variasi tertentu bagi melahirkan identiti yang kental dan unik.

Misalnya, dalam konteks gamelan Bali, rentak permainan lazimnya lebih rancak manakala gamelan Sunda cenderung ditandai tiupan seruling.

Namun, sesuai dengan istilah 'gamel' ataupun tukul, kesemua versi permainan yang disebut menampilkan peralatan besi yang berdengung apabila dipukul.

Meneliti perkembangan gamelan di tanah Melayu, permainan muzik tersebut pertama kali didedahkan kepada dunia Barat pada 1875 apabila Frank Swettenham menjadi Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada waktu itu.

Biarpun demikian, gamelan Melayu sebenarnya telah pun hadir jauh lebih awal lagi dan dibawa ke Pahang daripada kerajaan Riau-Lingga.

Malahan, dalam sorotan sejarah, gamelan Melayu masih lagi aktif di Istana Pulau Penyengat, Riau, sekitar 1883-1911 dan dijangkakan telah pun hadir jauh lebih awal lagi.

Terkait dengan sejarah Singapura, Tan Sri Mubin Sheppard, seorang cendekiawan dalam sejarah Melayu, mencatatkan permainan gamelan Melayu di Pekan, Pahang, pada 1811.

Menurutnya, gamelan Melayu telah dimainkan untuk mengiringi majlis persandingan Tengku Hussain dari Singapura dan Wan Esah, adinda kepada Bendahara Tun Ali.

Seterusnya pada 1885, permainan gamelan Melayu telah berkembang ke Terengganu apabila Sultan Zainal Abidin dari Terengganu mula menunjukkan minat terhadap kesenian tersebut.

Terkesan dengan alunan gamelan Melayu, baginda meminjam set gamelan berserta pemainnya daripada kesultanan Lingga.

Kini, permainan gamelan Melayu akhirnya berkembang mekar di Terengganu sedangkan permainan tersebut kian tidak lagi berkembang secara aktif di Pahang mahupun Riau.

Ibarat bunga melati yang kembang mekar, sejak diperkenalkan ke daerah Melayu, gamelan Melayu kini subur dengan lebih daripada 30 rentak asas.

Himpunan lagu-lagu tersebut turut membentuk rentak utama dalam gamelan Melayu.

Sementara itu, permainan gamelan lazimnya diiringi tarian.

Menariknya, tarian-tarian tersebut dirujuk penari gamelan sebagai 'cerita'.

Dalam erti kata lain, karya yang mengiringi tarian sekali gus menampilkan sebuah persembahan teater yang lengkap dengan kesan bunyiannya.

Hal ini antara lainnya dapat dilihat tarian rentak 'timang burung'. Menurut cerita, pada zaman dahulu, ada seorang raja yang telah kehilangan burung kesayangan.

Dalam keadaan serba hiba, baginda cuba mencari burung kesayangannya.

Namun, beliau akhirnya pulang dengan tangan kosong.

Bagi mengubat rindu baginda terhadap burung kesayangannya, beliau akhirnya bertitah agar sejenis tarian dicipta bersempenakan kehilangannya.

Harapnya, lewat tarian tersebut, hatinya yang berduka dapat terubat.

Menggambarkan fenomena masyarakat serta persekitarannya, gamelan Melayu bertindak sebagai wadah bagi merakamkan sosio-budaya, pola pemikiran dan emosi masyarakat Melayu.

Biarpun selaras dengan gamelan Jawa, gamelan Melayu jelasnya lebih dekat dengan jiwa orang Melayu. Apatah lagi pola permainan gamelan Melayu turut jauh lebih ringkas berbanding gamelan Jawa.

Dalam konteks persekitaran seni Melayu Singapura, gamelan Melayu jelasnya lebih dekat dan sesuai dengan selera masyarakat tempatan.

Lewat seni gamelan Melayu, masyarakat tempatan sekali gus didedahkan kepada persekitaran kerajaan Riau-Lingga yang secara langsung terkait dengan sejarah Singapura.

Sayangnya, tanpa kesedaran tersebut dalam kalangan penggiat seni Singapura, seni Melayu yang lebih dekat dengan jiwa tempatan akan terhakis secara bertahap.

Lantaran, bagi mengubat rindu yang teraniaya, penggiat seni hari muka terpaksa bertopangkan seni yang dipinjam namun tidak pernah berkembang secara nyata dalam sejarah bumi sendiri.

keris

8 Mei 2012

EKSTRA!

WARISAN KITA
Hulu Keris: Kemuncak Seni Ukir Melayu

Oleh
Muhammad Jalani Abu Talib

SEKIRANYA inginkan rumah yang berkonsepkan Melayu, perkara pertama yang sering menjadi penelitian ialah kayu-kayu yang berukir. Hal ini langsung berbeza daripada konsep estetika dalam tamadun-tamadun lain yang menjadikan batu mahupun besi sebagai tumpuan utama.

Bahkan, bagi menilai keagungan tamadun tersebut, evolusi peradaban lazimnya dilihat dalam konteks artifak-artifak besi dan batu.

Namun, dalam konteks ketamadunan Melayu, kayu memainkan peranan yang lebih besar. Apatah lagi, ekologi rantau ini kaya dengan sumber kayu.

Dalam rangka pemikiran Melayu, setiap perkara dalam dunia mempunyai roh dan semangat yang tersendiri.

Tidak terkecuali, kayu dipercayai sebagai bahan yang dianugerahkan Tuhan dengan kekuatan-kekuatan tertentu.

Kayu yang bersemangat tinggi dibataskan penggunaannya buat peralatan-peralatan yang setara.

Lantaran itu, tidak menghairankan, kayu- kayu yang bersemangat tinggi lazimnya digunakan buat seni pertukangan keris.

Apatah lagi, keris merupakan antara seni budaya yang menjadi lambang jati diri manusia Melayu. Malahan, segala perbincangan tentang kedaulatan dan jati diri masyarakat Melayu tidak akan lengkap tanpa kaitan dengan keris.

Sejak zaman awal lagi, keris bukan sahaja menjadi lambang kepahlawanan semata.

Selain bertindak selaku senjata, keris turut dianggap sebagai simbol status serta pusaka bagi pemilik.

Menariknya, dahulu, majlis pernikahan boleh dilangsungkan tanpa kehadiran mempelai lelaki, yakni dengan menggunakan keris sebagai pengganti.

Tidak menghairankan, tukang-tukang kayu Melayu tidak memandang remeh terhadap pembikinan keris.

Mentelah lagi, mereka menyedari bahawa keris tersebut akan disimpan sesebuah keluarga buat berzaman. Malah, hayat keris tersebut dijangkakan akan melampaui jangka hayat hidup mereka sendiri.

Dalam membangunkan keris, tukang keris akan menyimpan bekalan kayu buat hulu (pemegang) dan sarung keris dalam rumah padi. Kononnya, lewat kaedah tersebut, semangat kayu akan menjadi semakin menyerlah.

Sementara itu, reka bentuk pakaian keris tersebut akan dilakarkan bersesuaian dengan kedudukan penempah serta penggunaannya.

Jelasnya, keris tersebut akan dibangunkan bergantung pada perwatakan dan niat penempah.

Hal ini jelas dapat dilihat dalam reka bentuk hulu kerdas yang sesuai digunakan dalam pertempuran.

Sementara itu, secara khususnya, reka bentuk hulu tajung dibangunkan untuk mencerminkan kedudukan dan jawatan pemilik keris.

Mencerminkan kehalusan dan ketelitian para tukang Melayu, pakaian keris menjadi kebanggaan pemilik pusaka senjata Melayu.

Tanpa disedari ramai, hasil daripada ketelitian yang lebih terhadap pakaian keris Melayu, seni ukiran pada hulu dan sarung keris menjadi semacam sumber rujukan.

Lewat pembangunan keris tersebut, dapatlah diteliti sosio-budaya dan akal fikiran masyarakat pengguna keris tersebut.

Paling jelas sekali, sebelum kedatangan Islam, hulu-hulu keris Melayu kebanyakannya kuat dipengaruhi gambaran dewa-dewa.

Antaranya termasuklah simbol-simbol dewa Hindu-Buddha seperti Siva, Vishnu, Garuda, Ganesh, Bima, dan Arjuna.

Lebih penting lagi, bentuk-bentuk tersebut tidak pernah diambil secara sewenang- wenangnya.

Dalam mengukir hulu mahupun sarung keris yang sesuai, gambaran dewa-dewa yang dipaparkan haruslah sesuai dengan niat utama bagi pembangunan keris.

Mengambil iktibar daripada hakikat tersebut, bagi menaikkan semangat badi ataupun gerun pada pihak lawan, gambaran watak Kala digunakan pada hulu.

Hal ini sengaja dilakukan bagi menaikkan semangat keris agar sesuai dengan kehendak dan keperluan keris.

Sedangkan demikian, keris yang digunakan dalam acara-acara adat semata akan menampilkan watak-watak yang berbeza.

Meski begitu, Islam membawa angin perubahan pada gaya ukiran hulu keris.

Gambaran-gambaran tersebut lama- kelamaan terhakis untuk membentuk gaya yang abstrak dan moden.

Merujuk pada bentuk garuda, gambaran tersebut kemudiannya telah direka semula untuk memperlihatkan bentuk ala manusia dalam keadaan menggigil. Bentuk tersebut digelar sebagai bentuk Jawa Demam.

Menariknya, tanpa disedari ramai, bentuk Jawa Demam turut mencerminkan psikologi orang Melayu.

Secara politik, masyarakat Melayu belum pernah berhadapan dengan sebarang kemenangan dengan masyarakat Jawa, khususnya dalam medan perang.

Hakikat tersebut boleh diteliti dalam segenap hikayat dan teks sejarah Melayu.

Lantaran itu, hulu Jawa Demam merupakan tindak balas songsang masyarakat Melayu terhadap orang Jawa.

Merumuskan penulisan ini, pembangunan hulu keris, khususnya daripada sudut seni ukir Melayu merupakan sebuah khazanah yang wajar dibanggakan.

Sedangkan terdapat pelbagai peradaban luar yang mempunyai seni ukir mereka tersendiri, seni ukir Melayu mempunyai keunikan tertentu, khususnya atas kesedaran akan konsep semangat dalam hasil ciptaan Tuhan.

Jelasnya, seni ukir Melayu sekadar menaikkan semangat tersebut dan tidak berhasrat memberikan bentuk-bentuk tertentu pada perkara yang mati.

Seni ukir, bagi masyarakat Melayu, ibarat sebuah pelestarian terhadap zat Tuhan yang langsung ditumpahkan pada alamnya.