Thursday, October 13, 2011

Melayu Boleh

2 Okt 2011

KOMENTAR

SIAPA KATA MELAYU TIDAK BOLEH?

Mesti yakin orang kita boleh berjaya, walau kita minoriti


DARI masa ke masa, saya mendengar keluhan dan rungutan daripada orang-orang kita: kenapa tiada Presiden Melayu di Singapura? Kenapa Menteri Melayu cuma seorang?

Sungutan ini biasanya semakin lantang semasa atau selepas pilihan raya, baik Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Presiden seperti yang kita saksikan baru-baru ini.

Bahkan, saya lihat ada nada putus asa di kalangan sesetengah orang kita.

Mereka berfikir, dengan sistem Presiden Dipilih sekarang, maknanya tiada harapan kita melihat seorang Presiden Melayu. Maklumlah kita minoriti.

Nampaknya, Allahyarham Yusof Ishak sahajalah satu-satunya orang Melayu yang jadi Presiden, fikir mereka.

Saya faham sungutan mereka, tetapi saya tidak begitu kecewa.

Bagi saya, tidak perlu kita fikirkan sangat tentang ada tidaknya presiden Melayu atau ada lebih dari seorang menteri... sekurang-kurangnya buat masa ini.

Apa guna ada presiden Melayu atau lebih menteri kalau nasib masyarakat kita tetap tidak berubah?

Antara seorang presiden Melayu dengan bertambahnya bilangan serta peratusan anak Melayu yang cemerlang dalam pelajaran atau bidang-bidang kehidupan yang lain, saya fikir yang kedua lebih bererti bagi kita.

Antara seorang menteri tambahan Melayu dengan 1,000 keluarga miskin yang berjaya keluar daripada lingkaran kemiskinan, saya pilih yang kedua.

Bagi saya, apa yang penting sekali ialah masyarakat Melayu kita secara kolektif membuat usaha untuk meningkatkan taraf dan mutu kehidupan mereka.

Memang kejayaan dalam hidup tidak semata-mata bererti kita mesti cemerlang dalam pelajaran. Tidak semua orang boleh dan mahu jadi doktor, misalnya.

Kita tidak perlukan semua anggota masyarakat kita jadi arkitek, saintis dan jurutera semata-mata.

Jika anda ingin jadi penyanyi dan yakin anda ada bakat jadi penyanyi , teruskan.

Anda boleh berjaya, tetapi jangan setakat menjadi penyanyi yang rakam satu album dan kemudian album tidak laku (atau jadi mangsa cetak rompak), atau jadi penyanyi bawah kolong sahaja.

Kalau ingin jadi penyanyi, kerja keras seperti M. Nasir, atau lebih berjaya dari itu.

Begitu juga jika ada anak kita yang ingin menjadi pelakon. Apakah cukup setakat jadi pelakon drama dalam televisyen setempat yang bayarannya tak seberapa?

Anda boleh berjaya jika anda kerja keras dan ikut jejak langkah Aaron Aziz dan Adi Putra misalnya, yang berjaya menempah nama di Malaysia.

Lebih baik lagi, kalau anda berusaha melangkah lebih jauh ke Hollywood misalnya.

Kalau anda ada bakat jadi tukang masak, anda boleh berjaya, dengan syarat anda ikuti kursus memasak profesional dan jadi cef antarabangsa yang berjaya.

Siapa kata tukang masak tidak boleh hidup senang?

Lihat Cef Wan dari Malaysia atau beberapa cef Melayu kita yang sampai berjaya membuka restoran sendiri berdasarkan kemahiran masing-masing.

Kalau anda ingin berniaga, anda boleh sahaja mulakan secara kecil-kecilan, tetapi jangan berhenti di situ.

Penjual nasi lemak dan epok-epok pun boleh berjaya, seperti yang anda lihat bagaimana syarikat Old Chang Kee berjaya meneroka pasaran antarabangsa dan setempat hanya bermula dengan epok-epok. Kalau orang lain boleh buat, kenapa tidak kita?

Syaratnya, kita kena bijak berniaga, bekerja keras dan cari peluang.

Pokoknya, jangan jadikan kekurangan sebagai halangan kita untuk maju.

Memang kita inginkan anak-anak kita cemerlang dalam pelajaran, tetapi tidak semua akan berpeluang masuk universiti.

Jika tidak dapat tempat di universiti setempat, kenapa tidak hantar anak ke universiti luar negara, seperti yang dilakukan kian ramai anak Melayu kita sekarang ini?

Kebetulan, saya duduk dalam lembaga pengamanah biasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Tugas jawatankuasa ini ialah memberikan biasiswa kepada anak Melayu yang layak, berdasarkan ukur tara yang ditetapkan.

Jawatankuasa ini juga diberi tugas mewawancara calon yang memohon biasiswa berprestij di 10 universiti terunggul dunia.

Peluang ini menjadi pembuka mata kepada saya: bahawa kian ramai anak Melayu kita yang bukan sahaja cemerlang, bahkan diterima belajar dalam universiti-universiti terkemuka seperti Oxford, Harvard, Cambridge, University College of London dan sebagainya.

Mereka sanggup berkorban, gunakan wang simpanan ibu bapa atau bantuan lain. Biasiswa LBKM setakat mencukupkan keperluan mereka.

Ada yang sanggup jual rumah untuk mengejar cita-cita mereka.

Bagi saya, inilah semangat yang diperlukan oleh anak-anak Melayu kita untuk berjaya.

Usah terlalu bimbang tidak dapat kerja bila pulang ke tanah air kelak. Jika tidak dapat di sini, cari peluang di luar negara. Kian ramai anak Melayu yang kini bertapak di luar negara dan berjaya dalam kerjaya mereka.

Saya teringat seorang rakan sedarjah ketika sama-sama belajar di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) dahulu dan kemudian sama-sama ke universiti.

Kini beliau sedang menghabiskan pengajian untuk ijazah PhD di Australia sambil menjadi pensyarah di sebuah universiti di situ.

Kami bertemu setiap kali beliau pulang ke tanah air. Saya ingat beliau pernah berkata pada saya: 'Mail, aku dulu cuma sekolah Melayu sahaja sebelum ke universiti.

'Tapi kini aku jadi pensyarah dan beri kursus kepada pelajar-pelajar yang kebanyakannya pelajar kulit putih.

'Mereka terima aku dan mana-mana aku bertemu mereka, mereka hormat sambil kata good morning Sir!'

Beliau bukan mendabik dada, tetapi setakat ingin membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menghalang anak Melayu kita untuk berjaya, walau di mana jua pun.

Yang penting, kita ada keyakinan diri, sanggup bekerja keras dan tidak takut menempuh cabaran.

Kita mesti yakin bahawa orang Melayu kita boleh berjaya, walau kita setakat minoriti.

Pengalaman teman saya itu mengingatkan saya bahawa bumi Tuhan ini amat luas untuk kita terokai.

Merantaulah jika perlu, tebarkan sayap seluas-luasnya di bumi Allah ini demi mencipta kehidupan lebih baik.

Ibarat kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Siapa kata Melayu tidak boleh?

Wisma Geylang Serai

5 Okt 2011

FORUM

Beberapa syor hidupkan Wisma Geylang Serai


PERDANA Menteri Lee Hsien Loong melalui Rapat Hari Kebangsaan 2011 telah mengumumkan komitmen pemerintah untuk membangunkan kawasan Geylang Serai sebagai Hab Warisan Masyarakat Melayu Singapura.

Saya yakin ramai anggota masyarakat Melayu Singapura yang ingin melihat kawasan Geylang Serai yang bakal dibangunkan semula itu menjadi ikon kebanggaan masyarakat Melayu.

Kita harapkan semoga Geylang Serai menjadi gemilang seperti kawasan Little India dan Chinatown yang berjaya menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara.

Seluruh lapisan masyarakat Melayu perlu berganding bahu dengan pemerintah untuk memastikan projek pembangunan semula kawasan Geylang Serai berjaya menjadi pusat pelbagai kegiatan รข€“ budaya, sosial dan ekonomi yang berunsurkan kemelayuan.

Para pelajar dan karyawan dalam bidang seni halus, binaan dan landskap juga diharap dapat memberikan usulan berkaitan reka bentuk bangunan Wisma Geylang Serai dan hiasan untuk kawasan sekitarannya.

Perkataan 'Kampung Melayu' mungkin merupakan suatu istilah yang akrab dan membawa kenangan nostalgik dalam sanubari setiap anggota masyarakat Melayu Singapura.

Namun, sesuai dengan perubahan masa dan konsep pembangunan yang bakal dilakukan, saya ingin menyarankan agar nama Kampung Melayu Geylang Serai dipertingkat menjadi Hab Melayu Geylang Serai.

Istilah 'hab' akan memberi gambaran yang dinamik kepada kawasan Geylang Serai.

Semoga kawasan Geylang Serai yang baru akan menjadi pusat/nadi yang senantiasa berdenyut dengan pelbagai kegiatan masyarakat Melayu Singapura.

Para usahawan Melayu/Islam serta Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) diharapkan dapat merancakkan kegiatan ekonomi dengan perniagaan yang beraneka jenis dan mesra pengguna.

Alangkah baiknya jika ada pusat beli-belah di situ yang menjadi hab produk keperluan Melayu dari pelbagai pelosok dunia.

Semoga hab itu juga menjadi pusat mendapatkan khidmat daripada karyawan Melayu/Islam seperti peguam, doktor, pereka hias dan sebagainya.

Selain itu, pertubuhan Melayu/Islam seperti PPIS, Jamiyah, Persatuan Ain dan beberapa lagi bolehlah diberi peluang bertapak dan mendapat ruang di Wisma Geylang Serai agar memudahkan masyarakat Melayu/Islam yang memerlukan khidmat/bantuan badan-badan tersebut.

Kehadiran restoran makanan halal bertaraf antarabangsa di hab itu juga boleh menjadi daya tarikan kepada pengunjung luar negara agar menjamu selera sambil membeli-belah di kawasaan Hab Melayu Geylang Serai.

Tidak kurang pentingnya ialah peranan yang perlu dimainkan penggiat seni untuk memastikan Hab Melayu Geylang Serai dapat dijadikan hab seni dan kebudayaan Melayu.

Saya ingin menyarankan supaya diadakan kegiatan seni dan kebudayaan secara berkala.

Setelah penat membeli-belah, alangkah baiknya jika berhampiran Wisma Geylang Serai dibangunkan sebuah Taman Aromatik (Aromatic Garden) untuk membolehkan pengunjung menikmati udara harum dan menyegarkan.

Taman tersebut boleh dihiasi dengan tanam-tanaman yang menghasilkan bau wangi lagi menyegarkan.

Tanam-tanaman seperti cempaka, tanjung, melati, mawar, melur, pandan, serai wangi, siantan, limau purut dan lain-lain lagi sesuai untuk mengisi sekitaran taman tersebut.

Kehadiran Taman Aromatik dan Wisma Geylang Serai akan menjadikan Hab Melayu Geylang Serai suatu destinasi yang unik lagi menarik bagi para pengunjung.

Morni Sulaiman

Jaga Maruah Masyarakat Kita

9 Okt 2011

KOMENTAR

JAGA MARUAH MASYARAKAT KITA

Buktikan bahawa Melayu sanggup bekerja keras, amanah dalam menjalankan tanggungjawab


KITA mungkin sudah biasa mendengar rungutan daripada beberapa orang kita yang berkata orang Melayu bagai dipinggirkan di tanah air sendiri.

Ada antara kita mengadu, sukar sekali mereka mencari pekerjaan hanya semata-mata kerana warna kulit atau kerana mata kita 'tidak sepet' ...sampai ada majikan lebih suka menggajikan pekerja asing daripada orang Melayu.

Ada pula yang kata terdapat diskriminasi terhadap orang Melayu, terutama wanita memakai tudung, dalam pekerjaan.

Bagi saya, mungkin ada kebenaran pada sebahagian rungutan itu. Memang diskriminasi berlaku di mana-mana, bukan di Singapura sahaja.

Namun, apa yang penting bagi saya ialah reaksi kita sendiri terhadap apa yang kita tanggapi sebagai diskriminasi itu.

Apakah kita harus berpatah semangat, lalu membuat kesimpulan bahawa memang tiada gunanya kita bekerja keras kerana ia hanya sia-sia angkara diskriminasi?

Atau mungkinkah masalah itu berpunca daripada diri kita sendiri yang gagal menunjukkan etika kerja yang baik untuk meyakinkan majikan bukan Melayu menggajikan kita atau memberi jawatan penting kepada kita?

Sebab, terdapat ramai juga anak Melayu kita yang diberi jawatan penting, baik dalam sektor awam mahupun dalam syarikat-syarikat swasta.

Bahkan ada diberi kepercayaan memimpin syarikat bukan Melayu seperti Encik Suhaimi Rafdi selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cathay Organisation, dan Encik Shafie Shamsuddin yang menjadi Pengarah Eksekutif Carrefour, sebuah syarikat berbilang negara.

Saya yakin, lebih ramai orang Melayu kita boleh berjaya jika kita membetulkan imej kita sebagai sebuah masyarakat yang sedia bekerja keras, dapat dipertanggungjawabkan dan mampu memikul tugas-tugas mencabar yang diberi.

Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh setiap lapisan masyarakat kita - baik sebagai pelajar, atau pekerja dari peringkat bawahan hingga ke peringkat atasan, serta yang bergelar pemimpin juga.

Sebabnya, kitalah sendiri yang akan menentukan sama ada masyarakat Melayu akan dihormati dan boleh diberi kepercayaan melaksanakan tugas-tugas besar atau menjadi masyarakat yang dipandang sebelah mata sahaja.

Biar saya berikan sedikit contoh.

Kalau kita seorang pekerja, tidak kira apa pun tugas dan jawatan kita, kita perlu melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.

Ini bererti kita bekerja keras, lakukan sebaik baiknya tugas yang diberi.

Kita juga perlu jauhi sifat suka mengelat, berpura-pura bekerja keras hanya di depan bos atau majikan, tetapi di belakang mereka kita curi tulang.

Jangan suka mengeluh dan patah semangat lihat orang lain dapat naik pangkat atau kenaikan gaji lebih besar... lalu dengan mudah berteriak bahawa majikan tidak bersifat adil terhadap kita.

Kalau berniaga sekalipun, kita perlu bersifat amanah.

Jangan terlalu mengejar rasa tamak mahukan keuntungan besar sampai sanggup menipu pelanggan. Nanti lama kelamaan orang akan tahu juga dan perniagaan kita tidak berkat.

Sebagai jiran pun, kita perlu menunjukkan sifat mulia, walau terhadap jiran bukan Melayu.

Kita perlu kikis imej kita sebagai sebuah masyarakat yang tidak habis-habis dilanda pelbagai masalah sosial, penagihan dadah dan sebagainya.

Apa yang perlu kita tonjolkan ialah bahawa masyarakat Melayu kita merupakan masyarakat yang sanggup bekerja keras, amanah dalam menjalankan tanggungjawab dan berpendidikan.

Ringkasnya, kita perlu jaga maruah masyarakat kita.

Tiada gunanya kalau kita setakat mengeluh dan menyalahkan orang lain...lalu berfikiran bahawa memang nasib kita sebagai kaum minoriti, peluang kita sentiasa tersekat.

Kalau kita kata kita gagal kerana kita minoriti, bagaimana pula kaum India boleh berjaya, bahkan lebih berjaya daripada kita?

Bukankah mereka juga minoriti? Bahkan, bilangan mereka lebih kecil daripada kita.

Jika kaum India terkenal sebagai sebuah masyarakat yang banyak menghasilkan peguam handalan, pakar ekonomi dan kewangan, berjaya dalam perniagaan dan bahkan dapat menjadi pemimpin korporat dan mempunyai lebih daripada seorang menteri, apa yang menghalang masyarakat Melayu kita menempah kejayaan yang serupa?

Inilah yang perlu kita fikirkan bersama.

Pada saya, di samping bekerja keras dan mengejar kecemerlangan dalam pendidikan, kita perlu menjaga maruah masyarakat kita.

Sebagai sebuah masyarakat yang bermaruah, kita akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik, jujur dan dipercayai dalam segala aspek kehidupan. Masyarakat yang bermaruah tidak akan menimbulkan kecurigaan orang lain dalam kehidupan berbilang kaum di Singapapura ini.

Kita berusaha sungguh-sungguh tanpa terlalu bergantung pada bantuan orang lain.

Sebuah masyarakat yang bermaruah akan dihormati orang lain dan menyumbang kepada proses integrasi dan pembangunan negara.

Inilah yang harus menjadi matlamat kita. Dengan perjuangan inilah kita akan mendapat tempat di hati orang bukan Melayu - bukan dengan hanya merungut atau mengeluh semata-mata...

Batu Singapura

10 Okt 2011

EKSTRA!

WARISAN
Batu Singapura


SINGAPURA pada sekitar abad ke-13 dahulu pernah menjadi sebahagian daripada pusat pemerintahan Melayu sebelum tibanya Sir Stamford Raffles dalam 1819.

Ketika itu Singapura dikenali sebagai Temasek dan merupakan sebahagian daripada kerajaan Sriwijaya.

Ini berdasarkan tulisan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang menyatakan bahawa ketika Singapura dibersihkan, bukit yang terdapat di situ telah dikenali sebagai bukit larangan, dan terdapat banyak pohon buah yang ditanam di situ.

Ini menunjukkan terdapatnya pusat pentadbiran di situ.

Selain daripada itu, Abdullah Munsyi turut merakamkan penemuan sebuah batu bersurat yang mempunyai ukiran tulisan yang tidak dikenali dan telah kabur.

Malangnya batu bersurat itu telah dimusnahkan tidak lama selepas tibanya Inggeris oleh seorang jurutera.

Artifak yang dikenali sebagai batu Singapura ini merupakan antara tiga serpihan yang dipercayai daripada sebuah batu bersurat.

Batu bersurat itu, yang asal dipercayai setinggi tiga meter dengan lebar tiga meter, ditemui di muara Sungai Singapura.

Ia mengisahkan kerajaan silam Singapura dalam abad ke-13 Masihi. Batu ini pecah dan rosak kerana diledakkan ketika membangunkan pelabuhan Singapura.

Batu Singapura ini mempunyai tulisan Jawa kuno.

Ia mempunyai 50 baris tulisan yang sehingga kini belum dapat ditafsirkan.

Ia dipercayai merupakan kunci kepada sejarah silam Singapura.

IKTIBAR

Tulisan Jawa kuno pada batu bersurat menandakan bahawa Singapura sudah mempunyai sebuah kerajaan.

Hal ini merupakan tradisi bagi kerajaan di rantau ini.

Batu Singapura ini telah disenaraikan sebagai antara khazanah terpelihara oleh Jawatankuasa Kebudayaan dan Penerangan Asean (Coci).

Melayu harus bangga dengan pencapaian

8 Okt 2011

SINGAPURA

'Melayu harus bangga dengan pencapaian'

Mantan Presiden Nathan: Pelajar dan pekerja catat kemajuan

Oleh
Shamsul Jangarodin
MASYARAKAT Melayu/Islam setempat telah mencatatkan kemajuan besar dan seharusnya berasa bangga dengan pencapaian yang telah diraih selama ini.

Pencapaian itu bukan sahaja dicapai oleh para pelajar Melayu yang cemerlang di institusi pengajian tinggi malah oleh para pekerja yang telah mengikuti kursus-kursus latihan kemahiran.

Namun, mereka tidak seharusnya berpeluk tubuh dengan pencapaian yang ada, sebaliknya terus berusaha lebih gigih dengan pendidikan sebagai pemacu kemajuan.

Demikian pandangan berterus-terang mantan Presiden S R Nathan tentang masyarakat Melayu/Islam dalam satu temu bual eksklusif dengan Berita Harian selepas beliau bersara, baru-baru ini.

Menurut Encik Nathan, beliau telah menyaksikan kedudukan masyarakat Melayu naik ke tahap lebih tinggi sepanjang beliau memegang jawatan tertinggi negara itu selama 12 tahun lalu.

Katanya, pendidikan dan kemahiran lebih baik itu telah mampu menaikkan taraf masyarakat Melayu dan membolehkan mereka hidup lebih selesa tetapi beliau akur kadar kemajuan itu tidak secepat yang diinginkan.

'Semakin ramai anak Melayu maju dalam pelajaran mereka, baik di universiti, politeknik mahupun Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

'Kemahiran mereka dapat dipertingkatkan dan dalam banyak industri pengeluaran ramai anak Melayu yang tidak berpendidikan tinggi tapi ada kemahiran, bukan sahaja mampu bekerja malah maju dalam kerjaya.

'Ramai anak Melayu bekerja di ST Engineering, di Sats, membaiki pesawat. Ia bukan doktor atau peguam sahaja. Mereka kini mampu bergerak ke sektor lain. Jadi keseluruhannya saya katakan kemajuan anda besar.

'Anda telah bergerak, sama ada bergerak daripada menggunakan basikal kepada motosikal, kemudian kepada kereta kecil. Semua ini adalah kemajuan dan saya mahu melihat lebih banyak kemajuan dicatatkan. Dan jawapannya ialah pendidikan,' kata Encik Nathan, 87 tahun.

Beliau berkata, usaha lanjut juga perlu dilakukan, khususnya dalam menyedarkan ibu bapa tentang pentingnya pendidikan, bagi memastikan masyarakat Melayu terus mencatat kemajuan.

Beliau juga menegaskan supaya masyarakat Melayu usah menyalahkan orang lain jika mereka lambat atau gagal mencatatkan kemajuan.

'Saya fikir mereka (orang Melayu) telah menunjukkan peningkatan tetapi tidak sepantas yang dimahukan.

'Saya berharap dengan bantuan Mendaki, anda akan dapat mencungkil pelajar cemerlang, mungkin mereka boleh menjadi cendekiawan,' katanya.

Menurutnya, beliau sendiri pernah menemui tiga anak Melayu cemerlang itu yang menuntut di Universiti Cambridge dan Universiti Oxford, yang mencapai kejayaan mereka atas usaha mereka sendiri.

Ditanya nasihat beliau kepada masyarakat Melayu, Encik Nathan berkata selain belajar dengan gigih, seseorang itu harus juga berasa bangga dengan apa yang di lakukannya.

'Walaupun sekadar menjaja, atau bekerja sebagai mekanik atau di kilang pengeluaran, lakukan yang terbaik, tetapi pastikan anak-anak anda tidak melakukan (pekerjaan) yang sama.

'Mereka harus melakukan satu tangga lebih tinggi. Saya rasa ramai ibu bapa Melayu sedang berusaha untuk melakukan sedemikian,' kata Encik Nathan.

Monday, September 26, 2011

Harun Aminurrashid

26 Sep 2011

EKSTRA!

TOKOH WARISAN MELAYU
Penulis paling prolifik

Harun Aminurrashid juga aktif dalam badan-badan Melayu


PATAH tumbuh hilang berganti.

Namun, bagi masyarakat Melayu, terutama di Singapura, Harun Mohd Amin, atau lebih dikenali sebagai Harun Aminurrashid, merupakan seorang tokoh yang sukar dicari ganti hingga ke hari ini.

Anak kelahiran Singapura ini dianggap penulis Melayu paling prolifik dengan puluhan novel, buku teks sastera sekolah, makalah, catatan kembara dan penyunting majalah dan akhbar.

Allahyarham, yang dilahirkan di Kampung Telok Kurau pada 1907, juga seorang aktivis masyarakat dengan menubuhkan Lembaga Bahasa, Parti Rakyat dan Yayasan Rakyat Singapura bagi mendorong kemajuan politik, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

Beliau gigih mencurah bakti dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu dan juga gerakan akar umbi. Novel-novel sejarahnya seperti Panglima Awang masih dianggap unggul sehingga kini.

Semasa hayatnya, beliau juga menggunakan pelbagai nama samaran seperti Har, Gustam Negara, Atma Jiwa dan Si Ketuit.

Harun Aminurrashid merupakan sasterawan yang telah banyak menyumbang terhadap sastera Melayu, khususnya penulisan novel berlatarkan sejarah dan isu nasionalisme sejak 1940-an.

Antara novel Allahyarham ialah Panglima Awang, Wak Chantok dan Darah Kedayan.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Kurau.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Latihan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak, pada usia kira-kira 17 tahun.

Setelah tamat pelajarannya di maktab itu, beliau menjadi guru di maktab itu juga.

Pada 1939, beliau dihantar ke Brunei sebagai 'Penguasa Pelajaran' hingga 1945. Selepas Perang Dunia kedua (1946), beliau dihantar kembali ke Singapura.

Allahyarham meninggal dunia pada 9 November 1986.

Semangat kebangsaan Allahyarham jelas terserlah pada penyertaan aktifnya dalam badan-badan Melayu semasa hayat beliau.

Beliau pernah menjadi Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan Melayu dan Yang Dipertua Majlis Pelajaran Melayu.

Karya beliau sering diterbitkan di ruangan akhbar Warta Malaya, Warta Ahad, Warta Jenaka, Al-Ekhwan, Bulan Melayu dan Jasa.

Beliau juga menerbitkan pelbagai jenis majalah seperti Hiboran; Kenchana; Mutiara; Filem Raya; Melayu Raya; Bulanan Filem Raya; Fashion; Tunas (majalah mingguan kanak-kanak), Belia, Taman Kanak-Kanak, Hiboran Filem, Seni, majalah cerpen Kesah, buku bulanan Dewan Pujangga, buku berkala Punggok dan majalah triwulan Medan Sastera.

Nota: Rencana ini disiarkan dengan kerjasama Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura.

Pantun

26 Sep 2011

EKSTRA!

MARI BERPANTUN
Bak daripada mata turun ke hati daripada pantun budaya dikenali

Oleh
Mohamad Ashik
SEORANG pujangga Barat pernah berkata bahawa kalau ingin mengenali budaya Melayu, kenalilah pantunnya.

Cara hidup orang-orang Melayu lama, yang dimaksudkan oleh Pujangga Barat itu, memang boleh tergambar menerusi pantun-pantun mereka.

Ia sering digambarkan dalam pembayang maksud pada baris pertama dan kedua dalam sesuatu rangkap pantun.

Kalau pantunnya menggambarkan pemandangan laut dan sekitarnya, dapat kita jangka bahawa si pemantun tinggal di pesisiran pantai atau di kampung nelayan yang terdapat sampan, desiran ombak, pohon nyiur yang melambai dan sebagainya.

Jika si pemantun melukiskan pemandangan desa dalam pembayang maksud pantunnya, jelas mereka tinggal di daerah sawah padi, bendang, kebun, kawasan pergunungan, sungai, dan sebagainya.

Untuk menjadi pemantun yang baik, adalah baik jika anda mempunyai deria rasa dan penglihatan yang tajam.

Kita perlu perhatikan keadaan sekeliling dan dapat menguasai perbendaharaan kata atau vokab yang kaya dengan perkataan-perkataan Melayu lama, dan diperkayakan pula dengan bahasa-bahasa daerah nusantara Melayu.

Dengan demikian, kita akan dapat menghasilkan pantun-pantun yang bermutu, dengan rangkap-rangkap pantun yang mempunyai dua baris pertama dan kedua, yang diisi dengan pembayang maksud berkias, dalam maknanya, dan sekurang-kurangnya ada pertalian dengan maksud pantun.

Dengan elemen-elemen ini barulah boleh pantun itu dikatakan pantun bermutu.

Kita digalakkan supaya sentiasa berfikir, dan mengemukakan persoalan mengapa sesuatu perkara itu berlaku.

Misalnya seorang penduduk desa, duduk di tepian sungai dan memerhatikan seekor burung tempua sedang membuat sarang di tebing sungai yang berpokok. Tempua ialah sejenis burung yang pandai menganyam sarang.

Setelah lama memerhatikan gerak-geri si tempua tadi membuat sarang di sebatang dahan pokok yang mencecah ke air sungai, timbul pertanyaan dalam benaknya, mengapa si burung tadi tidak membuat sarang di atas pokok yang tinggi.

Maka daripada situlah timbul peribahasa, kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.

Jika burung tempua bijak berfikir, kenapa kita manusia yang diberikan kelebihan akal, tidak mahu berfikir?

Burung tempua bersarang rendah kerana mudah baginya meminum air sungai, dari sarang yang dibuatnya hampir mencecah air.

Dapatkah pantun peribahasa tadi, dipantunkan? Tentu sekali boleh, kalau kita dapat mengarang pembayang maksudnya.

Pulau Cempedak nampak bertenda,
Perahu dua sibuk memunggah;
Kalau tidak berada-ada,
Masakan tempua bersarang rendah.

Perhatikan bunyi hujung pantun tadi: bertenda, memunggah, ada dan rendah. Bertenda maksudnya khemah.

Ada juga peribahasa yang seakan dengan 'kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah', iaitu kekata 'ada udang di sebalik batu', yang bererti ada sesuatu maksud yang tersembunyi.

Cuba pantunkan peribahasa tadi, dengan mengarang pembayang maksudnya saperti ini:

Kera memanjat pohon berpahat,
Pohon di bendang jalan berliku;
Apa hajat apa muslihat,
Ada udang di sebalik batu.

Perhatikan bunyi hujung setiap baris pantun tadi iaitu 'berpahat, berliku, muslihat dan batu'.

Jadi, kalau kita bijak memilih kata-kata, kita dapat menghasilkan pantun yang bermutu tinggi dengan mempunyai dalam maksud yang tersirat.