Thursday, July 21, 2011

sebutan baku

15 Jul 2011

SINGAPURA

Akur sebutan baku bahasa Melayu hambat penutur, harus dihenti

Saranan Editor BH/BM dirasa tepat pada masanya, perlu dilaksana

Oleh
Hisham Hasim Dan Linilidia Abdul Hamid
SARANAN agar disemak pengajaran dan penggunaan sebutan baku bahasa Melayu tepat pada masanya dan harus dilaksana.

Ini kerana sebutan baku tidak digunakan dalam perbualan harian, sebaliknya terhad dalam bilik darjah dan media massa.

Demikian pandangan beberapa anggota masyarakat Melayu berhubung saranan Editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Mohd Guntor Sadali, itu.

Membuat saranan itu dalam berucap di majlis Anugerah Jauhari anjuran Berita Harian/Berita Minggu kelmarin, Encik Mohd Guntor berkata penggunaan sebutan baku di sini sejak hampir dua dekad lalu tidak menunjukkan kemajuan.

Mereka yang dihubungi akhbar ini turut bersetuju dengan pandangan Encik Mohd Guntor bahawa usaha membakukan ejaan baik dan perlu disokong.

Yang menjadi 'masalah' ialah aspek sebutan baku, kata mereka.

Mantan ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Kamsiah Abdullah, berkata: 'Sebutan bahasa Melayu dalam percakapan harian berdasarkan loghat Riau Johor adalah sebutan yang telah pun baku.

'Perlu disedari bahawa gerakan sebutan baku di Singapura bukanlah usaha pembakuan sebutan bahasa Melayu tetapi mengubah sebutan bahasa Melayu yang telah sedia baku kepada suatu bentuk baru yang tiada penutur jatinya.

'Tiada suatu kelompok besar ataupun kecil yang menggunakannya (sebutan baku sekolah sekarang) dalam kehidupan sehari-sehari, di luar dari bilik darjah bahasa Melayu.'

Profesor Madya Kamsiah berkata beliau bersyukur kerana akhirnya masyarakat sedar usaha hampir 20 tahun membakukan sebutan bahasa Melayu 'perbuatan sia-sia'.

Memberikan reaksinya, pengerusi Angkatan Karyawan Islam (AMP), Encik Nizam Ismail, berpendapat bahawa sudah tiba masanya pemerintah menyemak dasar penggunaan sebutan baku itu.

'Sejak sekian lama sebutan baku masih tidak digunakan masyarakat am dan hanya terbatas pada ruang formal.

'Oleh itu, ia tentunya sesuatu usaha yang tidak berkesan.

'Sebutan bahasa yang digunakan haruslah mencerminkan realiti kehidupan dan identiti sebenar masyarakat Melayu kita.

'Tentu sekali sebutan baku tidak menonjolkan sedemikian,' kata Encik Nizam, seorang peguam.

Seorang pensyarah politeknik, Cik Nur Dian Mohamad Rasid, berpendapat tekanan yang dirasai untuk bertutur dalam sebutan baku sesuatu yang 'tidak perlu wujud', yang hanya membataskan keupayaan seseorang itu meluahkan pemikirannya.

'Ia juga mengurangkan keyakinan diri seseorang itu untuk bertutur dalam bahasa Melayu, yang seharusnya digunakan secara natural sebagaimana yang kita tutur hari-hari,' kata Cik Dian.

Isu mengenai penggunaan sebutan baku telah banyak kali ditimbulkan sebelum ini dalam forum akhbar dan perbincangan bahasa serta di ruang siber seperti di Facebook.

Ramai melahirkan rasa 'lega' mengenai saranan Encik Mohd Guntor itu dan berkata semakan harus dilakukan kerana sudah terlalu lama.

Sebuah laman Facebook bertajuk 'Beku Baku' turut dibangunkan baru-baru ini bagi tujuan serupa.

Menyuarakan pandangannya, Ketua Pegawai Kreatif, Mini Monsters, sebuah syarikat yang menjalankan program pengayaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah, Cik Rilla Melati Bahri, berkata penggunaan sebutan baku menyukarkan dan tidak menambah nilai kepada para pelajar yang berusaha menjiwai semangat bahasa itu sendiri.

'Di rumah kita bercakap Melayu loghat Riau, tetapi di sekolah ia terpaksa berubah.

'Sebagai pengacara, saya berbahasa baku tetapi penonton atau peserta yang menyertai program saya tidak berbuat demikian, jadi ini satu kejanggalan,' katanya.

Bulan Bahasa eksklusif

17 Jul 2011

EKSTRA!

Bulan Bahasa eksklusif?

Acara-acara yang diadakan lebih pada golongan tertentu seperti sasterawan dan penulis sahaja, kurang menarik mereka yang bukan peminat bahasa


APABILA seniman Rafaat Hamzah melaungkan tiga puisi tulisannya, Sajak Luka, Pulau Melebih dan Dari Muara di teater terbuka Esplanade Teater Di Pesisiran Sabtu lalu, sambutan yang diberikan penonton, begitu hebat.

Ada yang bersiul. Ada yang bersorak menyambut setiap bait-bait mencuit hati yang dilaungkan.

Bayangkan gema tepuk sorak yang menghargai persembahan deklamasi puisi itu adalah daripada lebih 3,000 penonton - separuh daripadanya merupakan golongan remaja.

Cukup membanggakan.

Maklum, bukan mudah untuk mendapatkan bilangan penonton yang sebegitu besar mendengar sebuah persembahan berunsur sastera.

Tetapi, acara yang berlangsung pada Sabtu lalu sebenarnya tidak ada kena- mengena dengan majlis sastera dan ia juga bukan acara Bulan Bahasa 2011.

Ia merupakan sebahagian daripada acara Muara - Pesta Tari Melayu, yang menggabungkan lebih 700 penari dan 70 persembahan di Singapura sepanjang tempoh tiga hari yang secara keseluruhannya berjaya menarik kira-kira 10,000 penonton.

Sambil menyelam minum air.

Terlanjur ada peminat seni tari Melayu yang begitu ramai, ditambah pula dengan pelancong dan kunjungan warga pelbagai bangsa, acara bahasa yang biasanya terbatas kepada peminat sastera, dapat juga tempias kemeriahan dan apresiasi peminat seni secara amnya. Apatah lagi jika personaliti yang ditampilkan mempunyai pengikut yang ramai.

Pengajarannya: acara bahasa seperti deklamasi sajak yang biasanya hanya menarik penggiat sastera, sebenarnya masih boleh menarik golongan bukan peminat bahasa, jika pendekatannya dibuat secara bersahaja, profesional dan tanpa perlu ada agenda mendesak (hard sell).

Sejauh manakah acara-acara Bulan Bahasa 2011 yang dilancarkan pada 25 Jun lalu dilihat memberi kesan kepada pengguna bahasa Melayu di sini?

Apabila pertanyaan ini saya jadikan status di laman sosial Facebook, kalau dapat disimpulkan sentimen daripada 27 komen yang diberikan; 'setiap tahun sama saja... tidak meninggalkan kesan'.

Namun, lain pula yang dirasakan oleh pihak penganjur.

Dalam interviu dengan Berita Harian baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2011 yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Encik Hawazi Daipi, telah melahirkan rasa senangnya akan sambutan orang ramai terhadap kegiatan-kegiatan yang telah dianjurkan sejak ia dilancarkan pada 25 Jun lalu.

'Berdasarkan maklum balas, sambutan yang diberikan memberangsangkan,' ujarnya.

Langkah Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) menggunakan media baru seperti Facebook dan menyediakan saluran interaktif khusus bagi golongan muda untuk merangsang minat terhadap bahasa ibunda adalah tepat, sejajar dengan peredaran zaman.

Sebanyak 41 kegiatan yang diatur sehingga 30 Julai ini pula bertempat di balai-balai rakyat, perpustakaan, sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Inisiatif merakam semula lagu-lagu rakyat dan kanak-kanak prasekolah yang boleh dimuat turun daripada laman MBMS juga mendapat sambutan.

Antara yang memanfaatkannya termasuklah penggiat teater, Encik Saiful Amri Ahmad Elahi atau lebih dikenali dengan nama Dandyamri, yang mengakui anak kecilnya kini cukup suka menyanyi lagu Enjit-Enjit Semut.

Tetapi, dalam nada yang sama, Encik Saiful Amri merasakan ada yang tidak kena dengan pendekatannya, terutama jika sasarannya ialah 'generasi masa depan.'

Ia kurang merakyat. Bulan Bahasa masih dilihat sebagai elitis - untuk kaum sasterawan dan penulis sahaja.

'Masih keras,' kata pelakon dan penulis berusia 30-an tahun itu.

'Untuk dekati masyarakat belia, sifat kegiatan tidak boleh dipaksa, struktur tak boleh keras. Perlu ada ejen-ejen spontan yang boleh lakukan perkara-perkara organik. Selagi kegiatan itu dilihat seperti usaha daripada atas (pihak berkuasa, gologan elit), belia-belia yang di bawah ini akan berasa tak kuasa,' ujarnya.

Encik Rafaat, 45 tahun, yang juga penulis antologi sajak, Yang Bilang, juga mendapati acara-acara Bulan Bahasa bersifat eksklusif, lantas gagal menarik minat mereka yang merasakan tidak ada kena-mengena dengan acara yang dianjurkan.

Duta Bahasa yang dipilih (terutama Dr Jazlan Joosoph, pakar perbidanan dan sakit puan dan Encik Khairudin Saharom, arkitek dan personaliti media), walaupun layak, tetapi secara amnya dilihat sebagai eksklusif - justeru kesannya hanya mencapai golongan yang sama.

Seorang lagi duta ialah adik Noshin Putri Adel, tujuh tahun. Peranan duta-duta ini tidak jelas.

'Seperti muzik dakwah, kalau kita buat album nasyid, dengan kulit yang jelas memaparkan imej dakwah, tentu sahaja yang akan membeli album tersebut ialah mereka yang dekat dengan agama dan kegiatan masjid. Ia sukar menarik golongan yang sebaliknya.

'Maka dakwah yang ingin disampaikan itu akhirnya berpusing-pusing dan berbalik kepada kelompok yang sama dan tidak menjangkau khalayak lainnya. Walhal golongan itu sudah auto pilot keluar masuk masjid. Bagaimana pula dengan budak-budak skateboard dan mat motor?' kata Encik Rafaat.

Mungkinkah pendekatan penyanyi lagu-lagu kerohanian Inggeris seperti Maher Zain merupakan contoh yang lebih bijak kerana dakwahnya turut menarik remaja bertatu?

Acara yang dilakarkan perlu strategi pemasaran tahap profesional, sementara tenaga sukarewalan hanyalah sebagai penyokong demi menjimatkan belanja.

Selain mendekati masyarakat dengan siri pementasan bergerak atau road show, menggunakan sepenuhnya personaliti berpengaruh dalam pelbagai bidang, Bulan Bahasa juga harus menggunakan wadah televisyen secara bijak demi mencapai penonton yang lebih ramai.

Publisiti yang meluas tidak akan berkesan kalau produknya tidak memikat hati golongan sasaran.

Jika bajet untuk Bulan Bahasa 2011 sebanyak $150,000 berjaya ditingkatkan berbanding tahun sudah, tentu lebih menggembirakan jika impaknya juga mencapai nilai yang sama.

Sajak - Putih Salji

Mudah cetak
E-mel

17 Jul 2011

EKSTRA!

Putih Salji


Salji turun sejak petang semalam
renyai kekapas, sejuk menitis di pipi
merembes gegas pejalan
terukir senyum mahal penduduk
puncak kedinginan berhari
paling menggigit malam semalam.

Kubuka payung hitam, menangkis
tapi tangan masih ghairah
mencecah butiran salji
indah lembut melayang
Jatuh ke bawah,
cepat menutup bebatu jalan
deretan kereta, basikal yang tersadai

Di loteng apartmen, senja tadi
kubuka jendela kaca, berkabus
masih renyai-renyai
wah, putih menyalut
bumbung-bumbung bangunan
di samar kejauhan suara riang kanak-kanak
gembira mengepal, melontar salji tertaburan
Ah, anak-anak alam, spontan,
murni menghayati.
pasti nanti Aqil, Hannah riang bermain salji ini
ketika berkunjung tiba dua minggu lagi

Subuh ini lebih sepi dari biasa.
jendela loteng kubuka lagi
selimut putih tebal masih membungkus
tubuh dingin kota tua Leiden.

Kugapai lapisan terdekat atas bumbung bawah
halus lembut terasa di gengggaman
seketika terpaksa kulepaskan

Begitu pantas waktu, musim berlalu,
meninggalkan warna, suasana kami tiba
pertengahan September lalu.

Sebentar nanti
selesailah langkah meniti khazanah sastera
di gedung universiti
Bastion of Liberty, terdiri 435 tahun lalu.

Sebentar nanti
akan dibentangkan sari penemuan awal
jalinan Eropah dan sastera Melayu
saliran penjajah, tebing budaya minda.

Jejak anak Asia menyusur dasar warisan
sepanjang terusan sejarah
jauh
lama terpisah dari renangan
gapaian anak bangsa
terkumpul, terpelihara megah
di jantung kotanya
kini tebal tersalut putih salji

Di perairan, angsa-angsa masih setia berenang
beburung putih kelabu
terus gagah berterbangan
biarpun cuaca, suasananya telah bertukar.

Hadijah Rahmat

30 November 2010

Kamar van Goyen, Leiden

Munsyi Abdullah

17 Jul 2011

EKSTRA!

Pelayaran MENJEJAK Munsyi Abdullah

oleh Dewani Abbas

Pensyarah kagumi sifat pemikir dalam masyarakat Melayu abad ke-19 ini yang progresif untuk zamannya


ANDAI Munsyi Abdullah berupaya mengetahui bahawa tiga abad selepas pemergiannya, pengaruhnya kepada masyarakat Melayu dan di luar rantau ini masih dikaji, Allahyarham pasti bangga.

Dan kebanggaan itu pasti terjurus kepada Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat yang tidak jemu-jemu mengkaji tentang tokoh persuratan Melayu itu berikutan minat yang berputik sejak beliau di tahun pertama universiti.

Dalam pencarian itu, seperti juga Munsyi Abdullah yang belayar untuk belajar dan meluaskan pengalamannya hingga ke Tanah Suci, Dr Hadijah juga telah belayar tiga kali sejauh ini untuk mengkaji tentang tokoh Melayu silam yang kontroversial itu.

Pelayaran terbaru Dr Hadijah adalah lawatan sabatikalnya ke Leiden, Belanda, dari September tahun lalu yang membawanya juga ke Universiti London, hingga Mac tahun ini.

KARYA DI SERATA DUNIA

'Saya buat kajian ketiga ini di Belanda kerana kajian kedua belum lagi selesai. Tambahan pula karya Munsyi Abdullah saya dapati ada di serata dunia, termasuk di Eropah, khususnya di Belanda.

'Malah, terdapat juga di Perancis, cuma di Perancis ia setakat salinan saja,' terang Dr Hadijah, 53 tahun, Timbalan Ketua, Bahasa dan Kebudayaan Asia, dan Ketua Divisyen Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Di Leiden, Dr Hadijah, yang ditemani suaminya, Encik Hajis Salim, guru pesara, menjalankan kajian di Institut Pengajian Asia Antarabangsa yang merupakan sebahagian daripada Universiti Leiden yang berusia 436 tahun dan banyak dikunjungi mahasiswa Indonesia.

Topik kajiannya diberi tajuk 'Hubungan Eropah dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dan Pengaruhnya kepada Pembangunan Kesusasteraan Melayu-Indonesia'.

Melalui kajian itu, Dr Hadijah ingin meneroka hubungan Munsyi Abdullah dengan beberapa individu British, Belanda dan Perancis memandangkan Allahyarham pernah digajikan oleh ramai pegawai penjajah Eropah, pendakwah Kristian, sarjana dan pedagang Barat sebagai tutor bahasa Melayu mereka ketika itu.

Banyak kisah individu-individu ini ditulis oleh Munsyi dan dipromosikan oleh orang Eropah ini, dan ini yang dikaji Dr Hadijah.

Pertama kali beliau menjalankan kajian akademiknya mengenai Munsyi adalah semasa beliau melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti London dari 1992 hingga 1995 di bawah program pengembangan kakitangan NIE.

Munsyi Abdullah, pemikir dan penulis utama Melayu abad ke-19 yang hidup dari 1796 hingga 1854, merupakan seorang daripada tujuh penulis yang dikajinya ketika itu. Daripada kajian tersebut, Dr Hadijah telah mementaskan sebuah drama mengenai Munsyi.

Selanjutnya pada 2002, beliau membuat kajian kedua di bawah program Fulbright di Universiti Harvard, Amerika Syarikat, untuk menjejaki peninggalan Munsyi di negara itu dan kesan hubungan Amerika dengan sastera Melayu.

'Orang selalu melihat hubungan sastera Melayu adalah dengan British saja, tetapi sebenarnya kaitan itu terjalin juga dengan Amerika.

'Kajian saya menunjukkan bahawa Munsyi Abdullah ada bekerja dengan paderi Amerika. Sebelum itu, beliau pernah bekerja dengan badan pendakwah Kristian London di Melaka dan Singapura.

'Paderi Amerika bernama Alfred North itu yang menggalakkannya menulis Hikayat Munsyi Abdullah, malah beliau belajar bahasa Melayu daripada Munsyi untuk tujuan penterjemahan kitab Injil,' cerita Dr Hadijah, memetik sedikit hasil kajian yang ditimbanya itu di Amerika. Ia termasuk penemuan lebih 20 manuskrip yang berkaitan dengan Munsyi.

Namun, itu semua belum memadai bagi pensyarah ini yang lembut dan teratur budi bicaranya. Beliau ketawa besar apabila diajukan soalan sama ada beliau obses atau terlalu menumpukan perhatian kepada Munsyi, hingga membuat kajian ketiga, juga di bawah program pengembangan kakitangan NIE.

'Dorongan awal saya membuat kajian mengenai Munsyi adalah kerana beliau seorang tokoh yang kontroversial. Ideanya terhadap masyarakat Melayu agak kritikal dan ramai orang yang tidak senang dengan pandangannya. Maka itu beliau digelar tali barut Barat, Abdullah Paderi dan sebagainya.

'Ideanya agak progresif. Beliau berani mengkritik sistem kesultanan Melayu dan adat Melayu yang lemah. Jadi, sebagai seorang yang ingin mencari ilmu dan kebenaran, saya ingin tahu apakah masalah masyarakat ketika itu dan apa yang mempengaruhi Munsyi.

'Tapi, apabila sudah mengkaji semua itu, saya menemui banyak lagi yang menarik. Saya mula mengkaji bukan saja tokohnya, bahkan juga sejarah penjajahan Inggeris dan Belanda di daerah sini. Ia seterusnya menjadi kajian mengenai tamadun Timur-Barat dan Islam-Kristian yang lebih luas skopnya,' jelas Dr Hadijah.

Di tengah-tengah penerusan kajiannya itulah, beliau menemui sesuatu yang membuat bulu romanya meremang.

BUKAN TALI BARUT

Ia merupakan rumusannya sendiri bahawa apa yang disangka mengenai Munsyi bahawa beliau tali barut dan bersubahat dengan paderi Kristian, sebenarnya tidak benar.

Tujuan paderi-paderi itu untuk mengkristian orang Melayu pada ketika itu melalui teknologi percetakan yang turut dipelajari Munsyi, menjadi misi yang tidak kesampaian.

Ini kerana teknologi itu sebaliknya telah dimanfaatkan oleh mubaligh Islam untuk mencetak kitab-kitab Islam pula, lantas menjadikan Singapura hab Islam.

'Memang beliau seorang yang berilmu tinggi dan menggalakkan masyarakat belajar dari Eropah dan beliau bekerja dengan orang Barat itu untuk mencari makan.

'Tetapi, semangat keislaman beliau tetap kukuh. Ini terlihat dalam pelayarannya ke Makkah.

'Misalnya, kerana fikirannya yang kritikal, semasa singgah di India, beliau banyak bertanya tentang sejarah masjid-masjid di sana, adat dan budaya penduduknya.

'Beliau juga ada menulis puisi ketika menghadap Kaabah di Tanah Suci dan ini semua menggambarkan jiwa keislamannya,' kata Dr Hadijah.

Tetapi, fakta itu semua sudah disunting oleh Barat menjadi tohmah untuk mengelakkan unsur-unsur keislaman dalam catatan pelayaran Munsyi, hingga beliau difitnah tidak sempat mengerjakan haji kerana meninggal dunia di Jeddah akibat dibunuh orang Arab.

Sungguhpun begitu, kata Dr Hadijah, kajian terakhirnya mendapati orang Belanda menyenangi Munsyi kerana mereka melihat beliau sebagai manusia luar biasa.

Kini, sebagai langkah lanjut, Dr Hadijah ingin menghasilkan buku mengenai kajiannya itu.

Sebuah bukunya, Antara Dua Kota mengenai Munsyi Abdullah di Melaka dan Singapura, mungkin perlu diolah semula merangkumi rentasan dua benua - Eropah dan Amerika.

'Saya harus meluaskannya dengan pendekatan dan persepsi baru,' kata Dr Hadijah, yang juga ingin menulis naskhah mengenai Munsyi dalam bahasa Inggeris untuk sasaran kepada golongan sarjana antarabangsa.

Bila berpantun sudah tiada guna

21 Jul 2011

KOMENTAR

PADA HEMAT SAYA
Bila berpantun sudah tiada guna

Oleh
Mohd Raman Daud

DENGAN bahasa Melayu yang tersekat-sekat, seorang pelajar Maktab Rendah Pioneer bertanya lantang:

'Apakah kepentingan memahami gurindam dan seloka yang semacam tiada gunanya lagi?'

Soalannya pada seminar yang menampilkan Budayawan Riau, Dr Tenas Effendy, di Maktab Rendah Pioneer pada Sabtu lalu, membuat saya teringat peristiwa dua dekad lalu.

Ketika itu, anak seorang saudara bertanya kepada saya perihal puisi lama seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan sesomba.

Baginya, kesemua itu membosankan sehingga susah hendak dihafal.

Bahkan, kata beliau, ia tiada lagi berguna kerana hampir tiada ruang untuk digunakan dalam suasana berbahasa Inggeris di Singapura.

Waktu itu, anak tersebut memang tidak cenderung mempelajari bahasa Melayu - sekadar untuk lulus periksa.

Memang dasar dwibahasa masih ditekankan.

Namun, penekanan penguasaan bahasa ibunda cemerlang ke laluan pengajian tinggi semacam tidak lagi diutamakan.

Trend menolak sastera lama bukanlah baru.

Karya-karya William Shakespeare (1564-1616) pun tidak dinilai penting lagi dalam sukatan pelajaran di bumi kelahirannya, Britain.

Anehnya, Perdana Menteri China, Encik Wen Jiabao, memastikan jadual kunjungan rasminya ke Britain baru-baru ini, dengan lawatan ke Stratford, tempat kelahiran dramatis besar Inggeris itu.

Dr Tenas, 78 tahun, telah mengupas peri pentingnya menyerap dan menghargai 'nilai' daripada puisi lama, khususnya gurindam dan seloka.

Bagaimanapun, ternyata ada semacam 'jurang tanggapan' antara beliau dengan khalayaknya yang terdiri daripada pelajar maktab rendah.

Tentulah untuk menyempitkan atau meniadakan 'jurang' itu, perlu diusahakan semacam program yang menilai semula peranan sastera lama.

Satu contoh 'buku lama' yang terus relevan sehingga kini ialah karya Sun Tzu bertajuk Seni Perang (The Art of War) yang ditafsirkan dalam konteks yang luas - bukan setakat di medan perang.

'Pentafsiran' merupakan satu proses yang penting dalam menilai persuratan lama agar ilmu orang dulu-dulu dapat dinikmati sehingga kini.

Sarjana Malaysia dan pakar motivasi, Cik Ainon Mohd, misalnya, telah memanfaatkan pentafsiran salah satu surah dalam Al-Quran, Surah Yusuf, untuk merangkai novel.

Bukunya kini laris di Malaysia.

Begitulah juga pantun sehingga seloka.

Semuanya merupakan sekadar 'alat bahasa' dan memiliki keindahan tersendiri.

Namun, yang lebih penting ialah isian falsafah dalam kata-kata yang telah dicanai oleh orang arif zaman dahulu.

Untuk guru mengajarkan erti pantun, tentulah perlu dibezakan antara pemantun dengan ahli pantun.

Seseorang pemantun di radio, misalnya, sekadar jual dan beli pantun tanpa sangat mementingkan jumlah suku kata dalam baris, persanjakan, kaitan baris pembayang dengan baris maksud, pilihan kata dan falsafah yang cuba dicernakan.

Sebab kendala utama: masa terhad dan cuma untuk hiburan.

Pendekatan kreatif boleh membuat hal lama menjadi 'baru' lagi menarik.

Sayangnya, pada seminar itu ditayangkan video mengenai gurindam dengan pengacara membacanya di tepi pantai, di kampung dan di tepi hutan - seolah-olah balik ke zaman dulu.

Lebih lucu, terpapar imej Datuk Sharifah Aini yang menggeliat ke sana ke sini tetapi mulutnya terkatup saja sedangkan terdengar lagu latar Gurindam 12! Cukup membosankan!

Untuk murid memahami pantun, perlu dijelaskan kepakaran ahli pantun yang perlu dinilai pada kepandaian bahasa sehingga semantik.

Kini ahli pantun hampir pupus; yang boleh dibanggakan antaranya Mohd Gani Ahmad.

Bagaimanpun, beliau jarang sekali ditampilkan di media radio setempat.

Seorang lagi pengumpul pantun yang gigih ialah Sasterawan Djamal Tukimin, yang diiktiraf dan diambil bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Aspek terpenting dalam pengajaran sastera lama ialah bagaimana menyusun pantun, seloka, gurindam dan sebagainya menjadi bahan motivasi - untuk diingati ketika bekerja, berinteraksi dan sebagainya.

Mentelah konteks pendidikan dewasa ini sudah kembali kepada asas universal - tidak menjurus atau membezakan bidang kemanusiaan daripada teknologi semata- mata.

Kajian menunjukkan siswazah yang mendapat latihan liberal arts (sastera liberal) iaitu arif kejuruteraan dan persuratan atau falsafah boleh menjadi insan yang 'lebih lengkap' - tidak kejur macam robot.

Kini Singapura mencuba pengalaman Universiti Yale dalam bidang sastera liberal.

Kolejnya bakal tersergam di Kota Varsiti, Universiti Nasional Singapura (NUS), kelak.

Lebih jauh lagi, konsep syair yang sarat nilai falsafah sufi juga boleh diajarkan dalam konteks menyanjungi sastera lama.

Tulisan Hamzah Fansuri telah mendahului zamannya dan masih relevan sehingga kini.

Karyanya menenteramkan jiwa dalam suasana dunia dicengkam masalah stres (seorang dalam tiga orang dilanda kemurungan dalam satu-satu masa, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO).

Seyogia, nazam sufi Jalaluddin Rumi digunakan oleh Dr Deepak Chopra dalam klinik dan sesi meditasinya di Barat.

Semua kekayaan khazanah sastera Melayu lama ini masih boleh disusun secara kreatif sekiranya ada sekumpulan guru yang serius dalam profesyennya.

Soalan cepu emas: adakah atau tidak golongan ini?

Menilai kehadiran sejumlah guru dalam seminar minggu lalu, saya seperti ragu.

Lain halnya dengan penglibatan guru tiga dekad lalu - antara lain sering mengisi acara sastera setempat dan gigih berkarya.

Untuk merubah hati dan minda murid yang berasa 'tiada guna belajar pantun dan sebagainya' memanglah bukan mudah.

Mengajar seperti berdakwah. Ertinya, pengajaran bahasa Melayu yang sudah diangkatkan dengan falsafah 'Arif Budiman' tidak lagi sekadar diadakan kerana sudah menjadi ketetapan pemerintah saja.

Pengajaran persuratan Melayu mungkin tidaklah sehebat bahasa Inggeris yang luas digunakan sebagai wahana intelektual di mana-mana.

Namun, perlu dicari jalan agar pengajaran persuratan Melayu dapat mengisi 'rohani' iaitu bahasa jiwa.

Daripada persuratan lama sehingga moden, kita dapat menemukan akal budi sehingga budi bicara orang Melayu yang senonoh dijadikan contoh dan sepadan dijadikan teladan.

Pokoknya, kita perlu arif secara kreatif menyajikannya sehingga anak muda berasa amat terkilan jika tidak mempelajarinya.

Tuesday, May 17, 2011

warkah ibu

12 Mei 2011

EKSTRA!

SEMPENA HARI IBU
Warkah Ibu


'ANAK-ANAKKU, hidup ibu memang cukup gembira dengan kamu semua.

Sehari tanpa melihat wajah kamu, ibu berasa risau. Bagi ibu, kamu semualah mata hati ibu. Pengarang jantung ibu.

Kasih ibu kepada anak tiada bezanya. Semua ibu sayang. Semua ibu hargai dan semuanya menjadi harapan ibu.

Anak-anakku, setiap kali solat, ibu panjatkan doa agar anak-anak ibu sentiasa sihat, menjadi anak yang saleha, anak yang berbudi pekerti tinggi dan anak-anak yang akan menjadi harapan agama, bangsa dan negara.

Ibu beruntung kerana setakat ini, anak-anak ibu memenuhi harapan seorang ibu. Rasa-rasanya, ibu dapat bergantung kasih kepada kamu semua apabila ibu semakin tua nanti.

Anak-anakku, lihatlah sekelilingmu. Pandanglah dengan mata hati kamu keadaan masyarakat kita. Sesetengah anggota masyarakat kita disebut orang sebagai masyarakat yang masih bobrok, masih dalam lingkaran kemiskinan, masih ketinggalan dalam banyak hal apatah lagi kemajuan dalam bidang pelajaran.

Kita, sebagai anggota masyarakat, tentunya bersedih dengan keadaan ini.

Tentunya kita tidak mahu masyarakat kita terus berada dalam keadaan seperti ini. Kita mahu semua anggota masyarakat kita maju, berjaya dalam semua bidang - duniawi dan ukhrawi.

Lihatlah anak-anakku... bagaimana ada di kalangan anak-anak kita yang hidupnya amat memilukan kerana tiadanya bimbingan agama.

Dalam usia remaja, mereka sudah menunjukkan 'belang'.

Pergaulan yang terlalu bebas antara lelaki dengan perempuan hingga berani melakukan seks bebas dan menimbulkan penyakit kelamin, ketagihan dadah atau arak adalah antara yang selalu kita dengar dan sangat menakutkan.

Kasihan mereka. Anakanak sebegini biasanya kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa, mereka kurang kasih sayang, ikatan keluarga tidak kukuh dan yang sangat ibu risaukan ialah kurangnya bimbingan agama.

Alangkah malangnya nasib mereka. Alangkah sedihnya jika mereka ini terus hanyut tanpa bimbingan. Siapa yang harus dipersalah jika mereka terus-terusan hanyut dan menjadi lebih teruk dari sekarang?

Anak-anak ibu yang sudah menjadi ayah dan ibu, tentu sedar betapa pentingnya peranan kamu dalam membimbing anak-anak kamu. Ingatlah, didikan agama yang sempurna dan bimbingan yang diberikan dengan penuh kasih sayang akan menghasilkan anak-anak yang baik, yang menyayangi ibu bapanya dan anak-anak yang tidak akan membiarkan anggota masyarakatnya terus lalai dan hidup tanpa arah tujuan.

Anak-anakku, bagi ibu, kitalah anggota masyarakat yang patut berusaha menyelamatkan mereka. Kita perlu bergotong-royong untuk sama-sama mengajak anak-anak yang tersasar atau anak-anak yang mencari kasih sayang di luar untuk kembali ke pangkal jalan.

Jika ada pihak-pihak yang dapat membimbing mereka, memberi perangsang agar mereka berusaha membaiki diri dan kembali ke pangkal jalan, insya-Allah, ibu yakin mereka itu akan dapat merubah diri menjadi manusia berguna.

Siapa yang tidak mahu berubah menjadi baik? Siapa yang tidak mahu kehidupan yang lebih baik dan siapa yang tidak mahu kehidupan yang tenteram dan damai serta penuh kasih sayang daripada keluarga?

Semua orang mahukan semua itu. Jadi, untuk mewujudkan semua itu, kita anggota masyarakat perlu sama-sama menggembleng tenaga membantu golongan anak-anak yang kurang bimbingan, kurang kasih sayang hingga menjadi anak-anak yang tersasar.

Anak-anakku, kamu semua akan menjadi generasi penerus masyarakat kita. Kamu dan mereka semua akan menjadi pemimpin masa depan dan kamu semualah tunggak harapan bangsa, agama dan negara.

Jadi, di bahu kamu semualah terpikul tugas-tugas ini - membawa masyarakat kita terus meniti masa depan dalam keadaan yang jauh lebih baik daripada sekarang, maju jaya, berakhlak tinggi, berbudi pekerti dan menjadi masyarakat yang penyayang.

Semoga harapan ibu ini akan tercapai, insya-Allah.'

Ibu

JIRAN


AMAT PRIHATIN DAN SEDIA MEMBANTU: Penerima Anugerah Jiran Baik 2009, Encik Md Saleh Abu, dengan anugerahnya. Beliau juga menerima baucar pasar raya yang dikongsi dengan jiran-jiran dan anak-anaknya. - Foto JOHARI RAHMAT

Mudah cetak
E-mel

15 Mei 2011

SINGAPURA

Baikkah jiran anda?

Saran namanya untuk dicalonkan terima Anugerah Jiran Baik


SEPANJANG 10 tahun menetap di Corporation Drive di kawasan Jurong, Encik Md Saleh Abu tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan jiran-jirannya.

Begitu juga dengan jiran-jirannya yang amat mesra dengannya.

Bukan sahaja mereka bertegur sapa, malah Encik Md Saleh juga kerap menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh jiran-jirannya itu, tidak kira agama dan bangsa mereka.

Selain membantu memerhatikan keadaan jiran-jirannya yang uzur, bapa lima anak itu juga kerap membelikan barangan pasar yang dipesan jiran-jirannya, jika mereka tidak berdaya atau tidak ada masa untuk pergi sendiri.

Encik Md Saleh, 69 tahun, seorang noja di Masjid Assyakirin, turut menemani sesetengah jirannya berjalan-jalan mengambil angin atau sekadar duduk-duduk di kolong blok dan bersembang.

Bukan itu sahaja yang dilakukan Encik Md Saleh. Semasa memenangi Anugerah Jiran Baik atau Good Neighbour Award (GNA) pada 2009, Encik Saleh mengongsi sebahagian hadiah baucar yang dimenangi dengan jiran-jirannya.

'Saya berikan sejumlah $300 baucar pasar raya NTUC daripada $500 yang saya menangi kepada jiran-jiran, selain kepada anak-anak saya.

'Ini saya lakukan kerana sedar, saya tidak akan menang anugerah ini tanpa mereka.

'Mereka juga sangat baik. Jadi, mereka juga harus berkongsi hadiah yang saya menangi,' kata Encik Md Saleh, datuk 18 cucu yang tinggal bersama isterinya, Cik Salmah Ali, di flat satu bilik.

Menurut Encik Md Saleh lagi, walaupun beliau dan jiran-jirannya datang daripada latar belakang yang berbeza, mereka semua memastikan masing-masing dapat hidup dalam suasana harmoni dan berbaik sangka.

Pada tahun ini, Anugerah Jiran Baik akan diberikan lagi.

Dilancarkan dua tahun lalu, anugerah tersebut bertujuan mengenal pasti para penduduk - menerusi penglibatan mereka - yang menyumbang kepada keadaan sekitar yang lebih baik dalam kejiranan mereka.

Antara kriteria anugerah itu ialah kualiti dan sikap jiran yang baik, kelakuan baik yang patut dicontohi seperti membantu atau menerima penduduk baru dengan tangan terbuka serta semangat sukarelawan seperti menyertai kegiatan penduduk dan membantu golongan lebih tua.

Anugerah Jiran Baik dianjurkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Persatuan Rakyat (PA). Ia disokong oleh Gerakan Baik Budi Singapura (SKM) dan Singapore Press Holdings (SPH).

Sekiranya, anda mempunyai jiran-jiran yang baik, anda boleh mendaftarkan nama mereka untuk anugerah tersebut.

Butiran lanjut mengenai anugerah itu dan cara-cara mendaftarkan jiran baik anda bakal diumumkan tidak lama lagi.