Thursday, March 21, 2013

Sastera Penulis Singapura



KHAS BUAT PELAJAR: Penyunting antologi, Dr Sa'eda Buang (bertudung) dan Encik Suraidi Sipan (dua dari kiri), menemui pengkarya (dari kiri) Encik Ahmad Jaaffar, Encik Mohamed Latiff Mohamed dan Cik Noridah. Turut hadir dalam pelancaran antologi di The Arts House semalam ialah Encik Yatiman (dua dari kanan), selaku tetamu terhormat.
- Foto TUKIMAN WARJI

Sastera penulis setempat mendapat tempat

Dua antologi bakal dimanfaatkan pelajar GCE 'O' dan 'A'
KARYA sastera Melayu ilham penulis setempat kian mendapat tempat di sekolah- sekolah Singapura.
Penggiat sastera setempat pula dicabar agar terus dapat menampung keperluan pembelajaran dan pengajaran sastera di sini.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Kenya dan Rwanda, Encik Yatiman Yusof, menerusi ucapannya selaku tetamu terhormat majlis pelancaran antologi gabungan usaha Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Kementerian Pendidikan (MOE) bertajuk Tekad dan Begitulah Kata-Kata semalam berkata:
"Saya kira kita telah memulakan langkah ke arah tuntutan ini. Dengan adanya buku-buku seperti ini, bertambahlah lagi senarai dalam perbendaharaan (sumber-sumber) kesusasteraan Melayu tanah air.
"Soal peri pentingnya isu pemindahan nilai dan kaitan rapat antara sastera dan budaya, dengan pembelajaran bahasa ibunda merupakan perkembangan yang perlu diberi perhatian. Malah, kita perlu memikirkan semula mengenai pengajaran sastera dalam sukatan pelajaran sekolah.
"Saya juga berharap usaha ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi penulis-penulis muda kita untuk menyumbang kepada kepustakaan Melayu Singapura, mengikuti langkah penulis-penulis terdahulu," ujar Encik Yatiman, dalam majlis yang berlangsung di The Arts House semalam.
Diadakan buat julung-julung kalinya dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum (CPDD) MOE, kededua antologi itu menghimpunkan pilihan cerpen, sajak serta skrip drama sejak 1975.
Buku-buku tersebut bakal digunakan pelajar sastera Melayu dalam tempoh lima tahun mendatang ini.
Selain barisan karya penulis mapan seperti Encik Peter Augustine Goh, Encik Suratman Markasan dan Encik M. Saffri A. Manaf, karya penulis yang sudah meninggal dunia juga tidak dilupakan.
Umpamanya, sajak Begitulah Kata-Kata karya Allahyarham Masuri SN, dan cerpen Ruang ilham Allahyarham Ismail Wardi.
Yang menarik, terdapat juga karya yang dipetik daripada Sejarah Melayu dan hikayat-hikayat terdahulu, selain disisipkan sebuah glosari perkataan dan soalan-soalan bantuan.
Difahamkan sekitar 1,900 pelajar dari lapan sekolah menengah dan 14 maktab rendah (JC) serta institut pusat (CI) dijangka memanfaatkan buku-buku terbitan Marshall Cavendish Education itu.
Menurut MOE, sastera Melayu dipelajari pelajar yang mengambil Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu Lanjutan peringkat Menengah Tiga dan Empat sebagai mata pelajaran pilihan bagi Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O'.
Sebelum ini, mereka menggunakan antologi bertajuk Anak Laut dan Anak Bumi Tercinta.
Tambah MOE, antologi Tekad, yang dilancarkan tahun lalu, akan menggantikan kedua-dua buku tersebut serta menjadi sebahagian bahan peperiksaan GCE 'O' tahun depan.
Sekolah-sekolah, JC dan CI pula akan diberitahu butir sukatan pelajaran baru termasuk perihal penggunaan buku Begitulah Kata-Kata, dalam masa terdekat.
Menurut penyunting Tekad, yang juga guru pesara, Encik Suraidi Sipan, karya dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti gaya bahasa, tema sesuai tuntutan pembelajaran dan sama ada pernah menerima anugerah sastera.
Tambah penyunting Begitulah Kata-Kata, Dr Sa'eda Buang, karya sastera mampu mendidik para pelajar mendalami erti kehidupan, nilai kemanusiaan dan peradaban bangsa.
Ketika ditemui, pensyarah sambilan, Cik Noridah Kamari, 33 tahun, berharap sajaknya yang berjudul Tanda Tangan dalam antologi Begitulah Kata-Kata dapat menyuntik semangat berkarya di kalangan generasi muda.
"Saya gembira karya itu diangkat sebagai bahan sastera pelajar. Moga ada kesinambungan selepas ini, untuk anak muda ikut bermain dan mencari makna dalam kata-kata," ujar Cik Noridah, yang berjinak-jinak menulis sejak berumur 12 tahun lagi.
Penulis cerpen Jago - yang juga dimuatkan dalam Begitulah Kata-Kata - Encik Ahmad Jaaffar Munasip, turut meluahkan rasa gembira dan menyifatkan usaha itu sebagai "satu permulaan yang bagus bagi sastera Melayu Singapura".
"Namun saya berharap usaha ini dapat dikembangkan pula kepada bahagian novel pada masa depan," ujar Encik Ahmad, 45 tahun.
Orang ramai boleh membeli Tekad dan Begitulah Kata-Kata di kedai buku Popular pada harga $8.90, sebelum GST.

No comments:

Post a Comment