Wednesday, September 25, 2013

Cabaran Singapura

Awas jalur baru yang boleh pecah belah Singapura

Chee Hean: Cabaran S'pura ialah manfaatkan kerencaman serta menggembleng tenaga pelbagai kumpulan untuk menyumbang kepada masyarakat
SINGAPURA harus berwaspada akan kemunculan garisan pemisah baru yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Ini termasuk isu kewarganegaraan, orientasi seksual dan nilai sosial, di samping isu perkauman dan agama yang sememangnya sensitif.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, berkata kepelbagaian suara dan pandangan semakin ketara dengan penggunaan sosial media yang berleluasa hari ini.
Cabarannya adalah memanfaatkan kerencaman itu serta menggembleng tenaga pelbagai kumpulan untuk menyumbang kepada masyarakat.
Berucap di Seminar Keselamatan Negara (NSS) yang dihadiri wakil daripada pelbagai agensi keselamatan semalam, Encik Teo berkata:
"Kita harus sedar akan ketegangan dalam masyarakat, dan pelajari cara menanganinya sebagai pegawai awam.
"Kaum dan agama kekal sensitif, dan potensi garisan pemisah lain telah timbul, termasuk kewarganegaraan, orientasi seksual, dan nilai sosial."
Dalam pada itu, Encik Teo berkata media sosial boleh menyatukan mereka yang sekepentingan tetapi ia juga boleh meluaskan jurang pandangan di kalangan warga.
"Kumpulan yang bertentangan kadang- kala membawa masuk isu perjuangan, sikap dan nilai daripada masyarakat serta negara lain dan menindihkannya ke atas fabrik sosial kita," ujar Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri.
Cabaran bagi Republik ini adalah memanfaatkan kerencaman itu, memupuk kesefahaman, sikap saling menghormati dan kepercayaan, serta menggembleng tenaga pelbagai kumpulan kepentingan untuk giat menyumbang.
"Kita harus berusaha agar mewujudkan lebih banyak ruang bagi individu dan kumpulan menyumbang kepada masyarakat di sekeliling mereka.
"Kami berharap warga Singapura sedia menyingsing lengan bagi kebaikan semua, walaupun cita rasa individu kita mungkin tidak dapat dipenuhi dalam setiap situasi," kata Encik Teo.
Singapura juga harus waspada akan perkara yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat serta implikasinya, lebih-lebih lagi sedang Singapura mengorak langkah ke arah baru, ujarnya.
Ekonomi juga sedang menjalani perubahan sedang Singapura kini cuba memanfaatkan peluang bagi mewujudkan pekerjaan baru untuk rakyatnya.
Sekitar 300 orang menghadiri seminar itu termasuk wakil daripada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Pertahanan (Mindef), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di Orchard Hotel, semalam.
Dalam ucapannya, Encik Teo juga mengingatkan warga Singapura, kestabilan sosial, terutama sekali keharmonian kaum dan agama, yang dinikmati di sini sejak berdekad lalu tidak boleh diambil ringan.
Singapura kini berdepan dengan dinamik baru melibatkan penduduk menua, integrasi pendatang baru, serta aspirasi yang lebih tinggi, jurang pendapatan serta kos yang meningkat.
Menyentuh daya tahan negara, Encik Teo berkata pemerintah dan rakyat harus berganding bahu untuk memperkukuhnya, terutama sekali apabila berlakunya krisis dan peristiwa yang tidak diduga, seperti jerebu baru-baru ini.
"Daya tahan adalah berkenaan bagaimana masyarakat kita memberi respons, bukan sahaja bagaimana pemerintah memberi respons," ujarnya.
Oleh itu, agensi keselamatan harus mengiktiraf keinginan warga Singapura mahu memainkan peranan aktif dalam masyarakat, dan menjana tenaga itu untuk membina masyarakat yang lebih berdaya tahan.
Selain itu, Encik Teo juga memuji usaha kumpulan seperti Jamiyah Singapura dan Singapore Buddhist Lodge yang bergabung tenaga membantu golongan memerlukan kerana kerjasama seperti itu membina modal insan dan menyatukan masyarakat bagi satu tujuan bersama.
"Pemerintah mungkin tidak mempunyai jawapan atau huraian terbaik bagi setiap isu. Kadangkala, peranan kami yang paling penting adalah menghimpunkan pelbagai kumpulan demi mencari kesefahaman, atau menyalurkan tenaga mereka ke arah membina.
"Walaupun kita tidak boleh memenuhi setiap keprihatinan dan keinginan, perlu ada ruang bagi setiap warga didengar, di samping menyumbang dan membantu membentuk Singapura yang lebih baik bagi kebanyakan warga," rumus Encik Teo.

LIMA POTENSI GARISAN PEMISAH:
1. & 2. Kaum & Agama
Dua isu ini kekal sensitif dalam masyarakat majmuk Singapura 
3.Kewarganegaraan
Boleh memisahkan warga dan bukan warga

4. Orientasi Seksual
atau pergerakan lesbian , gay, dwiseksual dan pondan (LGBT)

5. Nilai Sosial
diwakili pelbagai pihak dan kumpulan

No comments:

Post a Comment