6 Apr 2013
Baitulmakdis
Qiblat semua nabi dan rasul, lokasi Masjidil Aqsa, bumi anbiya dan makam tujuh nabi
BAITULMAKDIS kini menjadi tumpuan umat Islam setempat setelah terdapat pengurangan kuota ke atas jemaah haji Singapura yang menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama untuk mengerjakan haji di tanah suci.
Ia juga kini antara destinasi utama yang disertakan dalam atur cara lawatan kebanyakan syarikat pelancongan Islam Singapura dalam pakej umrah dan ziarah mereka.
Sebenarnya ada hikmah besar di sebalik semua sekatan ini.
Yang paling penting, ia mengembalikan semula tumpuan umat Islam kepada tanah yang dikenali sebagai bumi para rasul dan nabi yang seakan dilupakan ini.
Baitulmakdis sebenarnya memang telah lama dan berabad-abad menjadi tumpuan umat sebelum Islam. Ia merupakan qiblat semua nabi dan rasul.
Malah, Baitulmakdis juga pernah menjadi qiblat umat Nabi Muhammad saw selama 16 bulan sebelum dialihkan ke Kaabah atas doa dan permohonan Baginda.
Baitulmakdis juga banyak menyimpan sejarah, hikmah, rahsia dan fakta yang perlu diketahui oleh setiap umat Islam.
Apa tidaknya. Ia menjadi lokasi makam bukan satu, tetapi tujuh nabi dan rasul - Nabi Daud as, Nabi Musa as, Nabi Ibrahim as, Nabi Yunus as, Nabi Isyak as, Nabi Ya'qub as, Nabi Yusuf as.
Bukan itu sahaja. Baitulmakdis juga adalah tempat terletaknya Batu Syurga. Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang ingin melihat Batu Syurga, maka lihatlah Batu Baitulmakdis."
Di atas batu istimewa inilah dibangunkan Masjid Qubbatus Sakhra atau nama Inggerisnya Dome of the Rock, antara tempat ikonik terkenal di seluruh dunia.
Tidak lengkap fakta mengenai Masjidil Aqsa dan Masjid Qubbatus Sakhra jika tidak diterangkan kubah-kubah dam tempat-tempat 'rahsia' di sekelilingnya.
Di Masjidil Aqsa terdapat satu ruang di besmennya yang dikenali sebagai Masjid Aqsa 'Qadim' Lama iaitu bangunan yang didirikan oleh Nabi Sulaiman as dan golongan jin yang bekerja di bawah pemerintahan Baginda.
Di dalam ruang ini juga terdapatnya Mihrab Nabi Zakaria as.
Di bawah Batu Syurga dalam bangunan Masjid Qubbatus Sakhra juga terdapat sebuah gua yang diibaratkan sebagai 'raudhah' iaitu taman syurga, antara tempat mustajab berdoa.
Di pekarangan Masjid Qubbatus Sakhra pula terdapat beberapa kubah dan masjid.
Antaranya ialah tempat solat Rasulullah saw bersama para anbiya; Kubah Mikraj, tempat Rasulullah saw naik ke langit; Masjid Buraq, tempat Rasulullah mengikat buraq Baginda; Ballot Khidir, tempat Nabi Khidir as bersolat di Masjidil Aqsa; Kubah Khidir, tempat Nabi Khidir as berzikir; dan Kursi Nabi Sulaiman as, tempat Nabi Sulaiman duduk dan memerintah golongan jin. Di sini jugalah tempat Nabi Sulaiman as wafat tanpa diketahui sesiapa pun saat wafatnya.
Menurut cendekiawan Islam, Baitulmakdis adalah pusat bumi dan ia tempat yang paling dekat antara bumi dengan langit.
Di atas bumi Baitulmakdis juga terletak beberapa tempat penting dan bersejarah yang perlu diketahui oleh umat Islam.
Antaranya:
- Jabal Zaitun yang terletak di atasnya masjid dan makam Salman Al-Farisi ra, sahabat Rasulullah daripada keturunan Parsi yang berusia lebih 300 tahun; makam Siti Rabiatul Adawiyah rh; dan Mas'ad Isa, tempat Nabi Isa as naik ke langit.
- Jabal Sihyun, yang terletaknya makam Nabi Daud as; tempat wafatnya Siti Maryam ra; dan bilik terakhir tempat Nabi Isa as makan malam bersama Hawariyun.
- Wadi Ba'th dan Mahsyar, yang terdapat di dalamnya makam Siti Maryam, ayahnya Imran dan ibunya Hinnah. Di sini juga terletak Kebun Zaitun yang berusia lebih 2,000 tahun, dan tempat Nabi Isa as bersolat kali terakhir sebelum di angkat ke langit.
Di bandar Hebron pula terdapat:
- Masjid Nabi Ibrahim as yang di dalamnya terletak makam Nabi Ibrahim as dengan isterinya, Sarah; makam Nabi Ishak as dan isterinya, Rifqah; makam Nabi Ya'qub as dan isterinya La'iqah; dan makam Nabi Yusuf as.
- Masjid dan makam Nabi Yunus as.
- Masjid dan makam Nabi Musa as.
Di Jordan, yang berdekatan pula terdapat masjid dan makam Nabi Syuaib as, Gua Ashabul Kahfi iaitu tujuh pemuda yang tidur di dalamnya selama 309 tahun; dan tidak kurang penting ialah bandar Petra, tempat yang menjadi antara tujuh keajaiban dunia.
- Laut Mati. Ia tempat paling rendah di dunia dan tempat kaum Nabi Lut as diangkat dan diterbalikkan sehingga menjadi tasik yang kini dikenali sebagai Laut Mati. Airnya tersangat masin sehingga tidak ada unsur kehidupan di dalamnya.
- Mu'tah, bandar yang berlakunya Perang Mu'tah yang mengorbankan tiga sahabat rapat Rasulullah saw yang meninggalkan kesan mendalam ke atas kerajaan Rom dan Parsi sehingga membolehkan Islam berkembang.
Padat dengan tempat-tempat penting bagi umat Islam, memang sesuailah sebahagian tumpuan kini berpindah ke Baitulmakdis.
Antara hikmah yang banyak akan kelebihan Baitulmakdis adalah:
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: "Nabi Sulaiman as telah berdoa dengan tiga doa, antaranya adalah "tidak seseorang yang keluar dari rumahnya melainkan hanya untuk bersolat di Baitulmakdis, semoga Allah ampunkan dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya"."
Dan Rasulullah saw bersabda lagi: "Aku harap doa Nabi Sulaiman as ini diterima oleh Allah swt."
Siti Maimunah ra telah berkata: "Ya Rasulullah beritahukanlah kepada kami perihal Baitulmakdis?" Jawab Baginda: "Ia adalah Bumi Mahsyar dan Manshar (bumi dibangkitkan dan dikumpulkan), maka datangilahnya dan solatlah di dalamnya kerana satu solat di dalamnya adalah seperti 1,000 solat di tempat yang lain."
Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang mati di Baitulmakdis seumpama dia mati di langit dunia."
Sabda Rasulullah lagi: "Mengalir di bawah Batu Syurga Baitulmakdis sekalian sungai dunia" dan "Dajjal akan memasuki semua pelosok dunia melainkan tiga tempat iaitu Makkah, Madinah dan Baitulmakdis".
Rasulullah saw bersabda lagi yang bermaksud: "Tidak disuruh kita bersusah payah bermusafir melainkan ke tiga masjid: Masjidil Haram, Masjidin Nabawi, di Madinah dan Masjidil Aqsa."
No comments:
Post a Comment