Monday, April 15, 2013

MELESTARI BUDAYA MELAYU


Cabaran melestari budaya Melayu

KEBUDAYAAN Melayu memang indah kerana adanya unsur Islam yang dapat menjadi jambatan antara budaya sebelumnya dan budaya masa kini.
Namun, kebudayaan Melayu dan Islam juga berdepan dengan pelbagai bentuk tentangan dan halangan silih berganti sejak dari zaman awal Islam lagi.
Antara cabaran yang dihadapi ialah gerakan liberalisme serta pluralisme agama dan gelombang globalisasi.
Kededua unsur ini berupaya memberi kesan negatif terhadap kehidupan beragama dan kebudayaan bangsa pada jangka masa panjang.
Liberalisme adalah fahaman bahawa semua agama itu baik dan menuju kepada Tuhan. Ertinya, Islam tiada bezanya dengan agama lain. Fahaman begini berasal dari Barat dan popular dalam kalangan sarjana, terutama di Indonesia.
Al-Quran sering dikritik seperti buku sastera dan sunah atau hadis pula dipertikai kesahihan atau ketulenannya.
Cabaran kedua adalah globalisasi atau penyejagatan. Ia satu proses dan fenomena berbilang dimensi merangkumi ekonomi, politik, kemasyarakatan, budaya dan ideologi.
Fahaman songsang 'jihad' oleh Al-Qaeda adalah akibat globalisasi dan disebar secara berkesan menerusi Internet.
Dunia kian tanpa sempadan, hujah wartawan terkemuka, Thomas L Freidman dalam The Lexus and the Olive Tree (2000), yang menyifatkan globalisasi sebagai sistem antarabangsa yang membentuk politik tempatan dan hubungan antarabangsa setiap negara.
Globalisasi tidak mengenali pusaka bangsa tersebut. Gelombang itu juga tidak peduli adat sopan, tradisi bangsa, agama dan lain-lain.
Salah satu definisi Melayu itu sendiri ialah bangsa beragama Islam, berbahasa Melayu dan berbudaya Melayu.
Di Singapura, jika kita ingin memelihara budaya kita agar indah, maka langkah berikut perlu dilakukan:
  • Mencari ilmu dan mengamalkan budaya Melayu
Selain pendidikan di sekolah dan madrasah (termasuk hujung minggu di masjid), orang Melayu perlu sering mengikuti bahan baca berbahasa Melayu, seperti akhbar Berita Harian.
  • Melestari dan mengembangkan kebudayaan Melayu.
Dengan adanya perancangan pemerintah dan penggalakannya, budaya Melayu boleh terus mekar. Mentelah terdapat usaha badan besar seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura sehingga kegiatan teater seperti Ekamatra.
Tugas kita di sini adalah menyuburkan azam atau semangat, kesedaran dan kerjasama yang utuh diperlukan untuk terus berkembang sambil mempertahankan semua unsur jati diri bangsa Melayu ini;
  • Pupuk generasi muda
Mengapa orang Melayu yang bermastautin di Australia Barat atau di Cape Town, Afrika Selatan, didapati kian menipis pengenalan bangsa dan diri mereka sendiri?
Jelas ini berlaku kerana kebudayaan Melayu diabaikan dari segi penuturan, penulisan sehingga kegiatan harian.
Bahkan di Singapura, kajian menunjukkan anak yang kurang berbahasa Melayu di rumah sering mendapati sukar menguasai bahasa Melayu untuk peperiksaan.
Tak kenal, maka tak cinta.

FALSAFAH INDAH DALAM BUDAYA MELAYU


Falsafah 'indah' dalam budaya Melayu

Makalah ini membincangkan falsafah 'indah' dalam kebudayaan Melayu. Keindahan itu berasaskan falsafah Islam dari segi akidah, rasional Islam, toleransi Islam dan kesejagatan. Ia dibentangkan dalam Seminar Belia Raffles Institution di institut itu baru-baru ini.
UMUMNYA apabila dikatakan sesebuah kebudayaan itu 'indah' tentulah ada kayu ukur untuk menilainya.
Kebudayaan adalah suatu istilah yang dicipta pada akhir 1950-an oleh pengkaji Mahmud Ahmad (1907- 1976) dalam siri ceramahnya, Kebudayaan Melayu Sepintas Lalu, di Radio Malaya dan kemudian dibukukan.
Sebelum ini, istilah yang digunakan adalah kultur (Latin: cultural atau penanaman) dan adat (bahasa Arab).
'Budaya' dibentuk oleh Cikgu Mahmud daripada gabungan dua kekata: budi dan daya.
Budi merujuk kepada nilai terpuji seperti bijaksana, jujur, gigih, teliti, indah dan sebagainya.
Daya pula usaha mencapai budi. Di sini dimaksudkan budi sebagai 'hasrat' atau 'nilai', tetapi hanya apabila dijaya atau diusahakan, maka barulah terhasil kesannya.
Memandangkan 'budi' merupakan nilai baik, maka kebudayaan hendaklah mencerminkan yang terbaik dan berguna kepada manusia atau insan Melayu, hujah budayawan besar Singapura, Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (Dr MAS), lewat bukunya, Nilam (2007).
Kebudayaan bagi orang Melayu mencerminkan matlamat dan usaha luhur yang perlu menjadi cerminan peribadi atau jati dirinya.
Hari ini, kebanyakan rumpun Melayu atau orang Melayu beragama Islam. Maka sarjana seperti Syed Muhammad Naquib Alatas, John Bousfield, Vladimir Braginsky, Ismail Hussein, A.H. John, Mohd Taib Othman, Siddiq Fadzil, Mohd Uthman El-Muhammady, Abdul Aziz Deraman, Hamdan Hassan dan Ismail Hamid membahas peradaban atau kebudayaan Melayu ini.
Bahkan mereka mengiktiraf bahawa Islam adalah unsur penting yang membentuk pola budaya masyarakat Melayu.
Berdasarkan sejarah rantau ini, agama Hindu dan Buddha mendahului Islam dari segi pertapakan di daerah ini. Hampir 800 tahun Hindu-Buddha mempengaruhi minda dan amalan orang Melayu.
Hari ini masih ada puak Melayu yang menganut agama Hindu, seperti di Bali, yang baru-baru ini mengadakan sidang antarabangsa mengenai agama ini. Masih ada orang Melayu menganut Buddha dan Kristian sehinggalah amalan nenek moyang, seperti di Jawa.
Apabila Islam datang mulai akhir abad ketujuh Masihi kerana rantau ini sering disinggahi pedagang Arab, terutama dari Hadramaut (Yaman), berlakulah transformasi besar-besaran yang melibatkan perubahan falsafah hidup, pemikiran dan jiwa orang Melayu di Alam Melayu.
Kebudayaan adalah cara hidup. Namun Islam juga cara hidup. Dalam hal ini, kebudayaan Melayu diletak di bawah Islam, sebagaimana dalam perbilangan Adat Perpatih (dari Minangkabau, Sumatera Utara):
Adat bersendikan syarak
Syarak bersendikan Kitabullah.
Yang menjadi pokok budaya itu adalah akidah atau menjunjung Keesaan Tuhan dan membenarkan kerasulan Muhammad saw.
Ajaran pokok ini menjadi teras budaya dan seni Islam. Ketiadaan teras ini, hujah Dr MAS, menjadikan aspek lain tidak bermakna.
Walaupun keindahan dan kecantikan diterima sebagai suatu kesukaan semula jadi manusia, 'kebenaran' adalah dasar. Kebudayaan Islam merangkumi juga nilai indah (al-Jamaal) dengan kebenaran (al- Haqq).
Para seniman, termasuk artis (dalam pengertian yang luas), adalah orang yang semestinya mendukung falsafah di atas. Seni yang diperjuangkan pula kerana Allah untuk manusia bukan seni untuk seni.
'Indah' merupakan antara zat Allah. Jadi, budaya yang indah bukan saja dari segi cara atau teknik, malah indah dalam kebenaran hakiki.
Pada Islam, orang Melayu mendapati tiada banyak percanggahan, seperti dalam pantun nan indah ini:
Yang kurik kundi,
yang merah saga;
yang molek budi,
yang indah bahasa.
Kebudayaan Melayu mengandungi falsafah dan usaha. Falsafahnya, antara lain, terpapar pada peribahasa yang cukup besar perbendaharaannya.
Menurut Dr MAS, peribahasa ibarat 'hadis' yang menjadi pegangan rumpun Melayu. Ada peribahasa yang mudah, seperti kiasan (kaki ayam) sehingga perbilangan adat. Usaha pula dilembagakan menjadi bidang khas seperti:
  • persuratan (kesusasteraan);
  • binaan (seni bina);
  • perusahaan (pembinaan perahu, membuat kain seperti songket dan batik, persenjataan seperti keris dan sebagainya);
  • perhubungan (adat perkahwinan dan berkeluarga, bermasyarakat);
  • Keilmuan seperti ilmu pemaliman (navigation) sehingga falak.
''Budaya' dibentuk oleh Cikgu Mahmud daripada gabungan dua kekata: budi dan daya.
Budi merujuk kepada nilai terpuji seperti bijaksana, jujur, gigih, teliti, indah dan sebagainya.
Daya pula usaha mencapai budi. Di sini dimaksudkan budi sebagai 'hasrat' atau 'nilai', tetapi hanya apabila dijaya atau diusahakan, maka barulah terhasil kesannya.
Memandangkan 'budi' merupakan nilai baik, maka kebudayaan hendaklah mencerminkan yang terbaik dan berguna kepada manusia atau insan Melayu, hujah budayawan besar Singapura, Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (Dr MAS), lewat bukunya, Nilam (2007).
Kebudayaan bagi orang Melayu mencerminkan matlamat dan usaha luhur yang perlu menjadi cerminan peribadi atau jati dirinya.

FALSAFAH ISLAM DALAM KEBUDAYAAN MELAYU


Falsafah Islam dalam kebudayaan Melayu

PROFESOR Syed Muhammad Naquib sering menekankan tentang jasa besar Islam menggerakkan daya rasional dan intelek manusia Melayu.
Hal ini ditegaskan beliau pada seminar sempena Pameran Aksara anjuran Lembaga Perpustakaan Negara pada 2007. Menurut beliau, bahawa Islam telah menyerlahkan 'zaman baru' di rantau ini - bermakna Islam telah memberikan wajah dan inspirasi baru pada kehidupan dan kebudayaan Melayu.
Abad ke-16 dan ke-17 Masihi, menurut beliau, adalah tempoh subur dalam penulisan sastera dan falsafah, metafizik dan teologi, lahir tokoh-tokoh ternama menulis atau menyalin bahan dari Timur Tengah dalam bidang-bidang di atas.
Malah, kitab suci Al-Qur'an telah diterjemahkan dan disyarah berdasarkan pendekatan Imam al-Baydawi. Alam Melayu dilanda pengaruh persuratan yang meluas.
Dari segi penulisan, Alam Melayu telah menyaksikan lahirnya karya-karya besar. Di Champa (pesisir Kemboja sehingga Vietnam), misalnya, didapati sebanyak 1,350 buku mengenai pemikiran dan penulisan falsafah agama yang dihasilkan sejak abad kelima, termasuk yang ditulis oleh Jaya Inderawarman VI.
Di Seriwijaya ada tokoh pemikir dan guru Dharmapala dan Syakyakirti. Di Jawa, terdapat penulis terkenal seperti Empu Kanwa, Empu Dharmaja, Empu Tantalur dan Empu Parapanca yang telah menghasilkan buku Nagarakartagama.
Di Sunda, ditemui Hikayat Perahyangan. Di Sulawesi terdapat hikayat I La Galigo yang merupakan karya besar rumpun Melayu - lebih panjang berbanding gabungan cerita Ramayana dan Mahabaratha asal India.
Di Tanah Melayu pula, Bendahara Johor Tun Sri Lanang menghasilkan Sulalatus Salatin, yang lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu.
Hikayat Hang Tuah yang tidak diketahui penulisnya menetapkan erti 'wira' dalam konteks peradaban Melayu beraja.
Daya cipta rumpun Melayu tinggi maka terhasil hikayat-hikayat saduran dan yang membawa mesej Islam melalui penceritaan tokoh atau peristiwa, seperti Hikayat- Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Mi'raj, Hikayat Nabi Wafat, Hikayat Iskandar Dzulkarnain, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Hanafiah, Hikayat Nabi Sulaiman dan Hikayat Amir Ibn Umayah - semua memang berasal dari Islam dan Timur Tengah tetapi diadunkan dalam konteks Melayu.
Terdapat juga karya bersifat Nusantara, seperti Hikayat Raja Pasai, Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Melayu, Hikayat Panji Kuda Semirang, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Shah Kobat, Hikayat Hang Tuah dan lain- lain lagi.
Kedatangan Islam telah ditandai oleh kehadiran kerajaan Islam, seperti Pasai (1250-1524), Melaka (1400-1511), Johor (1511-1779), Aceh (1500-1900), Palembang (1650-1824), Riau (1779-1911) dan lain-lain.
Bakti ulama dan penulis agama dalam perbincangan tentang tamadun Melayu ini terpapar pada warisan persuratan Syed Hussain Jamaluddin al-Qubra, Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumaterani, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Sinkel, Syeikh Yusuf al-Makasari, Syeikh Daud al-Fatani, Haji Wan Ahmad bin Muhamad Zain bin Mustafa al-Patani, Abdul Samad al-Palembani, Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi, Syeikh Muhamad Arsyad al-Banjari, Syed Abdul Kadir Kedah, Syeikh Abdul Malik Tuk Pulau Manis, Terengganu, Haji Abdul Samad bin Muhamad Salleh al- Kelantani (Tuan Tabal), Muhamad Yusuf bin Ahmad al-Kenali (Tuk Kenali), Syeikh Muhamad Idris Abdul Rauf al-Marbawi dan lain-lain lagi.
Di Jawa, Wali Songo, iaitu dewan ulama-pemimpin tasauf, menghasilkan suasana toleransi beragama sehingga Islam tidak mencetuskan perang berlanjutan dengan kerajaan Hindu-Buddha.
Seorang anggota Wali Songo, Sunan Kalijaga, misalnya merubah wayang kulit menjadi alat berdakwah dengan menampilkan para tokoh dalam sejarah Islam.
Seorang lagi anggota Wali Songo, ialah Sunan Bonang, menggubah lagu Tombo Ati (Penawar Ati), sebuah nyanyian syahdu walaupun tidak sepanjang dibaie yang kini dipopularkan semula oleh penyanyi Opick:
Tombo Ati iku limo perkorone
Kaping pisan moco Quran lan maknane
Kaping pindo sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe
Salah sawijine sopo iso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani
Oleh kerana falsafah Islam serasi dengan kehidupan dan jiwa orang Melayu, nilai- nilai Islam terus diserap dalam kehidupan orang Melayu, seperti dalam cara berpakaian dan meraikan tetamu. Misalnya baju kurung, yang bererti dikurung dari segi syarak: tutup aurat, labuh, tidak tipis.
Penerimaan dan penyerapan itu juga amat jelas dalam bidang senibina, seni khat, seni ukir, dan seni teater yang mempunyai falsafah Islam:
  • Seni bina
Masjid, surau dan rumah orang Melayu tradisional, iaitu di kampung, cukup jelas mempamerkan senibina Islam yang dipadankan dengan Alam Melayu. Reka bentuk bumbung biasanya direka dalam bentuk limas, atau limasan, iaitu cerminnya bertingkap tiga atau lima, lebar di bahagian bawah dan menirus ke atas.
Masjid Agong Demak di Jawa dan juga Masjid Kampung Laut Kelantan antara contoh terbaik seni bina ini.
Bumbung limas itu melambangkan tahap atau tingkat perjalanan kaum sufi, iaitu tariqat, haqiqat dan makrifat. Bahagian bawah yang lebar menggambarkan lautan manusia, manakala bahagian atas yang tirus pula mempamerkan tentang matlamat akhir yang dituju dan dituntut oleh umat Islam, iaitu keredaan Tuhan Yang Maha Esa.
Bahan binaan adalah daripada kayu waktu itu, seperti kayu berlian atau besi, jati sehinggalah cengal, tetapi kini diganti dengan simen dan batu-bata. Namun, unsur-unsur kesenian Islam masih ketara.
Bentuk kubah masjid pula umumnya ditafsir sebagai lambang langit yang melengkungi kehidupan kita, sementara lampu- lampu yang dipasang adalah bintang- bintang di langit dan lantai pula bumi ini sendiri.
  • Seni khat (kaligrafi)
Orang Melayu antara pewaris seni khat yang indah setelah berlaku penerimaan tulisan Arab atau Al-Quran. Tulisan jawi (dengan tambahan lima aksara) berpunca di sini.
Melalui pengembangan agama dan persuratan, seni khat turut sama berkembang sejajar dengan seni bina, seni ukir, sulaman dan tenunan.
  • Seni ukir
Seni ukir Islam bertebaran pada rumah orang Melayu di seluruh Nusantara. Kalimah seperti Allah, Muhammad dan Bismillah sering menjadi bahan ukiran pada kayu yang diletakkan di pelbagai tempat dalam rumah, masjid dan lain-lain institusi yang ada hubungan dengan agama dan adat budaya setempat.
Konsep ukiran teratai, umpamanya, banyak ditemui dalam ukiran-ukiran pada mimbar masjid. Ukiran ini membuktikan penghayatan Islam orang-orang Melayu sudah dibudayakan dalam seni ukir.
Kelopak teratai berkembang memancarkan rukun Islam atau rukun iman yang tercantum harmoni dalam satu ikatan tauhid.
Orang Melayu turut merealisasikan citra keislamannya dalam ukiran-ukiran
  • Seni teater
Wayang kulit mempunyai peranan penting dalam penyebaran Islam, seperti yang dirintis Wali Songo di Jawa. Sebelum Islam, seni ini dikuasai pengaruh Hindu yang sebelum itu menyerap pengaruh animisme.
Wayang kulit memancarkan isi penting daripada ajaran Islam bagi orang-orang yang dapat memahaminya. Misalnya, Lakon Jimat Kalimasada - kekata 'jimat' adalah bahasa Jawa yang bermakna 'azimat'. Adapun kalimasada pula bermaksud kalimah syahadah.
Seni ini mengisahkan kekeramatan kalimah syahadat, azimat yang dimiliki keluarga baik-baik, seperti Pandawa.
Pandawa Lima ditafsirkan sebagai rukun Islam yang lima. Ada juga ditafsirkan sebagai sembahyang lima waktu.

Sunday, April 7, 2013

ADI PUTRA, PINTAR MATEMATIK




PANTAS TEPAT: Penulis menguji kebolehan Adi (kanan) mendarab 280,987 (tarikh lahir penulis) dengan 999,999, dan Adi berjaya memberi jawapan tepat dalam beberapa saat sahaja tanpa menggunakan kalkulator sambil disaksikan ibunya, Cik Seri Hana Elias.
- Foto M.O. SALLEH

Pintar matematik walau sekolah hanya setahun

Kepintaran Adi Putra secara semula jadi kerana ibu bapa bukan ahli matematik
BUDAK genius, atau pintar luar biasa, matematik Adi Putra Abdul Ghani, 14 tahun, dari Perak nyata tidak seperti remaja lain.
Pada usia sembilan tahun dia menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat barangan makanan kesihatan yang dipasarkan di bawah namanya sendiri.
Pada usia 10 tahun, Adi diundang memberi ceramah di universiti.
Pada usia 12 tahun, dia menerbitkan bukunya sendiri - Seni Matematik Islam - yang memaparkan hanya 12 daripada lebih 200 formula matematik ciptaannya.
Baru-baru ini Adi berada di Singapura atas undangan Jamiyah untuk mengendalikan satu bengkel matematik bagi pelajar dan ibu bapa bersama Ketua Jabatan Matematik, Sekolah Rendah Meridian, Cik Aisah Mohd Osman.
Bengkel Ahad lalu di auditorium Masjid Sultan itu disertai lebih 500 orang.
Dalam bengkel itu Adi mengajar pelbagai kaedah mudah menghuraikan soalan matematik menerusi formula berilhamkan alam semula jadi, seperti formula yang diberi nama 'bukit', 'pelangi' dan 'cakerawala'.
Bagi Adi, itulah seni 'matematik Islam' yang ingin diceburinya.
Bahkan sejak berusia empat tahun anak bongsu dalam tiga adik-beradik itu bercita-cita menjadi profesor matematik Islam.
"Bagi saya, seseorang itu bukan pakar sebenar sebelum beliau menjadi hafiz Al-Quran," ujar Adi, yang sudah selesai mengikuti kursus tahfiz, dalam satu temu ramah dengan Berita Harian.
Semasa ditemu ramah, penulis menguji kebolehannya mendarab 280,987 (tarikh lahir penulis) dengan 999,999.
Adi berjaya memberi jawapan tepat dalam masa beberapa saat sahaja tanpa menggunakan kalkulator.
Kebolehan Adi dalam matematik dikesan ibu bapanya apabila dia dapat menguasai sifir satu hingga 12 pada usia empat tahun.
Bapanya teknisyen pesara manakala ibunya seorang pengurus yang pernah menjadi guru.
Ibunya, Cik Seri Hana Elias, 38 tahun, berkata tiada pendidikan khas yang diberi kepada Adi untuk menjadikannya sangat pintar.
Bahkan, Adi tidak menjalani pendidikan formal kecuali selama setahun sewaktu berusia tujuh tahun kerana sistem pembelajaran di sekolah itu didapati tidak sepadan dengan kebolehan Adi, kata Cik Seri.
Memandangkan hingga kini beliau belum menemui sistem pendidikan paling sesuai bagi potensi Adi, anaknya itu sekarang tidak dimasukkan di mana-mana sekolah.
Buat masa ini, dia belajar di rumah secara sendirian dan memberi ceramah atau mengendali bengkel pada hujung minggu.
"Ada menyarankan kami bawanya ke luar negara, tetapi sebenarnya Adi belum bersedia," ujar Cik Seri, yang mengaku beliau dan suaminya bukan ahli matematik.
Namun, Adi sendiri bercita-cita melanjutkan pengajian.
"Saya ingin mendapatkan ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah agar orang lain dapat mengambil serius formula matematik yang saya cipta," ujar Adi.
Ditanya apa yang menghalangnya melanjutkan pengajiannya, Adi berkata keluarganya menghadapi cabaran dari segi kos kerana tiada sokongan atau tajaan daripada sebarang pihak.
Keluarganya tinggal di Gombak, Kuala Lumpur, sejak enam tahun lalu tetapi baru sahaja berpindah ke Tanjung Malim di Perak.
Abangnya, Amirul Izuan, 18 tahun, baru lulus Sijil Pelajaran Malaysia (sama seperti Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O'), dan akan melanjutkan pengajian dalam jurusan sains sukan di universiti.
Kakaknya, Seri Amelia, 16 tahun, di form empat (sama seperti menengah empat).
Cik Seri mengaku adik-beradik Adi agak cemburu dengan perhatian yang diberi kepadanya, tetapi mereka kini sudah biasa dan belajar daripada satu sama lain.
"Saya memastikan setiap anak saya berasa mereka istimewa. Jika Adi berkebolehan, dia masih perlu hormat abangnya yang paling tua dan kakaknya yang merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga kami," ujar beliau.
Cik Seri juga berkata beliau membesarkan Adi sama seperti ibu-ibu lain, tanpa sebarang cara khas.
Kepintaran Adi semula jadi kerana beliau dan suaminya tidak memberinya pendidikan khas dalam matematik untuk menjadikannya pintar dalam mata pelajaran itu, ujarnya.
Dan seperti ibu bapa lain, Cik Seri prihatin memandangkan Adi kini telah memasuki alam remaja.
Namun, beliau berkata: "Saya pasti Adi sudah kenal baik dan buruk."
Oleh itu, Cik Seri berkata beliau tidak menyekat kebebasan Adi.
Adi pula, seperti remaja lain, gemar main permainan XBox, makan ayam goreng KFC, minat pasukan bola sepak Liverpool dan aktif di Twitter meskipun tidak seaktif di Facebook.
"Walaupun orang pandang saya lain daripada lain, sebenarnya saya seperti kanak-kanak lain dan mahu hidup seperti biasa," ujarnya.
Namun, dia sedikit terkilan kerana 'terlepas' peluang menikmati zaman kanak-kanaknya.
"Kadangkala, saya rasa teringin dilahirkan seperti kanak-kanak biasa dan lakukan perkara biasa. Tetapi saya sedar, apa yang saya lakukan sekarang - bekerja membantu keluarga, belajar dan mengajar - inilah norma bagi saya.
"Saya tidak rasa kesal dilahirkan sebegini, sebaliknya saya rasa bersyukur saya dapat bantu orang dan bantu keluarga," ujarnya.
Kini, membantu kanak-kanak lain dalam matematik menjadi misi Adi.
Nasihatnya, sifir ialah asas dalam matematik dan perlu dimahir pada usia seawal mungkin.
"Selain itu, pelajar tidak harus berputus asa jika gagal menghuraikan soalan matematik kerana kegagalan itu sebahagian daripada kejayaan," ujar Adi.

KISAH KANAK-KANAK PINTAR LAIN
  • Ainan Celeste Cawley orang paling muda lulus subjek Kimia dalam peperiksaan GCE peringkat 'O' pada usia tujuh tahun dan Fizik pada umur sembilan tahun. Ainan kini 13 tahun dan pelajar program Ijazah Peralihan di Universiti Taylor di Kuala Lumpur. Bapanya, Encik Valentine Cawley, warga Ireland, sementara ibunya, Cik Syahidah Osman, warga Singapura.
  • Murid Sekolah Rendah Henry Park, Anthony Yip, lulus A* bagi dua kertas Matematik GCE 'O' tahun lalu pada usia sembilan tahun. Bapanya, Dr Kevin Yip, doktor bedah ortopedik, dan ibunya, Dr Joanna Lin, pakar onkologi (barah). Abang dan kakaknya, Bryan dan Michelle, berusia 14 dan 12 tahun semasa mereka menduduki peperiksaan GCE 'O' pada 2007, dan lulus dengan 15 kepujian.
  • Sufiah Yusof diterima masuk Universiti Oxford dalam bidang matematik pada usia 13 tahun. Beliau mendapat perhatian apabila beliau lari dari rumah, dan kemudian dilaporkan menjadi pelacur. Adiknya, Iskander, tamat pengajian di Universiti Warwick pada usia 15 tahun. Seorang lagi, Zukeila, orang paling muda menduduki peperiksaan GCE 'A' pada usia tujuh tahun. Mereka dididik di rumah oleh ibu bapa mereka, Encik Farooq, seorang penyelidik asal Pakistan, dan ibunya, Cik Halimahton, seorang ahli sains kimia asal Malaysia.

BAITULMAKDIS


Baitulmakdis

Qiblat semua nabi dan rasul, lokasi Masjidil Aqsa, bumi anbiya dan makam tujuh nabi
BAITULMAKDIS kini menjadi tumpuan umat Islam setempat setelah terdapat pengurangan kuota ke atas jemaah haji Singapura yang menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama untuk mengerjakan haji di tanah suci.
Ia juga kini antara destinasi utama yang disertakan dalam atur cara lawatan kebanyakan syarikat pelancongan Islam Singapura dalam pakej umrah dan ziarah mereka.
Sebenarnya ada hikmah besar di sebalik semua sekatan ini.
Yang paling penting, ia mengembalikan semula tumpuan umat Islam kepada tanah yang dikenali sebagai bumi para rasul dan nabi yang seakan dilupakan ini.
Baitulmakdis sebenarnya memang telah lama dan berabad-abad menjadi tumpuan umat sebelum Islam. Ia merupakan qiblat semua nabi dan rasul.
Malah, Baitulmakdis juga pernah menjadi qiblat umat Nabi Muhammad saw selama 16 bulan sebelum dialihkan ke Kaabah atas doa dan permohonan Baginda.
Baitulmakdis juga banyak menyimpan sejarah, hikmah, rahsia dan fakta yang perlu diketahui oleh setiap umat Islam.
Apa tidaknya. Ia menjadi lokasi makam bukan satu, tetapi tujuh nabi dan rasul - Nabi Daud as, Nabi Musa as, Nabi Ibrahim as, Nabi Yunus as, Nabi Isyak as, Nabi Ya'qub as, Nabi Yusuf as.
Bukan itu sahaja. Baitulmakdis juga adalah tempat terletaknya Batu Syurga. Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang ingin melihat Batu Syurga, maka lihatlah Batu Baitulmakdis."
Di atas batu istimewa inilah dibangunkan Masjid Qubbatus Sakhra atau nama Inggerisnya Dome of the Rock, antara tempat ikonik terkenal di seluruh dunia.
Tidak lengkap fakta mengenai Masjidil Aqsa dan Masjid Qubbatus Sakhra jika tidak diterangkan kubah-kubah dam tempat-tempat 'rahsia' di sekelilingnya.
Di Masjidil Aqsa terdapat satu ruang di besmennya yang dikenali sebagai Masjid Aqsa 'Qadim' Lama iaitu bangunan yang didirikan oleh Nabi Sulaiman as dan golongan jin yang bekerja di bawah pemerintahan Baginda.
Di dalam ruang ini juga terdapatnya Mihrab Nabi Zakaria as.
Di bawah Batu Syurga dalam bangunan Masjid Qubbatus Sakhra juga terdapat sebuah gua yang diibaratkan sebagai 'raudhah' iaitu taman syurga, antara tempat mustajab berdoa.
Di pekarangan Masjid Qubbatus Sakhra pula terdapat beberapa kubah dan masjid.
Antaranya ialah tempat solat Rasulullah saw bersama para anbiya; Kubah Mikraj, tempat Rasulullah saw naik ke langit; Masjid Buraq, tempat Rasulullah mengikat buraq Baginda; Ballot Khidir, tempat Nabi Khidir as bersolat di Masjidil Aqsa; Kubah Khidir, tempat Nabi Khidir as berzikir; dan Kursi Nabi Sulaiman as, tempat Nabi Sulaiman duduk dan memerintah golongan jin. Di sini jugalah tempat Nabi Sulaiman as wafat tanpa diketahui sesiapa pun saat wafatnya.
Menurut cendekiawan Islam, Baitulmakdis adalah pusat bumi dan ia tempat yang paling dekat antara bumi dengan langit.
Di atas bumi Baitulmakdis juga terletak beberapa tempat penting dan bersejarah yang perlu diketahui oleh umat Islam.
Antaranya:
  • Jabal Zaitun yang terletak di atasnya masjid dan makam Salman Al-Farisi ra, sahabat Rasulullah daripada keturunan Parsi yang berusia lebih 300 tahun; makam Siti Rabiatul Adawiyah rh; dan Mas'ad Isa, tempat Nabi Isa as naik ke langit.
  • Jabal Sihyun, yang terletaknya makam Nabi Daud as; tempat wafatnya Siti Maryam ra; dan bilik terakhir tempat Nabi Isa as makan malam bersama Hawariyun.
  • Wadi Ba'th dan Mahsyar, yang terdapat di dalamnya makam Siti Maryam, ayahnya Imran dan ibunya Hinnah. Di sini juga terletak Kebun Zaitun yang berusia lebih 2,000 tahun, dan tempat Nabi Isa as bersolat kali terakhir sebelum di angkat ke langit.
Di bandar Hebron pula terdapat:
  • Masjid Nabi Ibrahim as yang di dalamnya terletak makam Nabi Ibrahim as dengan isterinya, Sarah; makam Nabi Ishak as dan isterinya, Rifqah; makam Nabi Ya'qub as dan isterinya La'iqah; dan makam Nabi Yusuf as.
  • Masjid dan makam Nabi Yunus as.
  • Masjid dan makam Nabi Musa as.
Di Jordan, yang berdekatan pula terdapat masjid dan makam Nabi Syuaib as, Gua Ashabul Kahfi iaitu tujuh pemuda yang tidur di dalamnya selama 309 tahun; dan tidak kurang penting ialah bandar Petra, tempat yang menjadi antara tujuh keajaiban dunia.
  • Laut Mati. Ia tempat paling rendah di dunia dan tempat kaum Nabi Lut as diangkat dan diterbalikkan sehingga menjadi tasik yang kini dikenali sebagai Laut Mati. Airnya tersangat masin sehingga tidak ada unsur kehidupan di dalamnya.
  • Mu'tah, bandar yang berlakunya Perang Mu'tah yang mengorbankan tiga sahabat rapat Rasulullah saw yang meninggalkan kesan mendalam ke atas kerajaan Rom dan Parsi sehingga membolehkan Islam berkembang.
Padat dengan tempat-tempat penting bagi umat Islam, memang sesuailah sebahagian tumpuan kini berpindah ke Baitulmakdis.
Antara hikmah yang banyak akan kelebihan Baitulmakdis adalah:
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: "Nabi Sulaiman as telah berdoa dengan tiga doa, antaranya adalah "tidak seseorang yang keluar dari rumahnya melainkan hanya untuk bersolat di Baitulmakdis, semoga Allah ampunkan dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya"."
Dan Rasulullah saw bersabda lagi: "Aku harap doa Nabi Sulaiman as ini diterima oleh Allah swt."
Siti Maimunah ra telah berkata: "Ya Rasulullah beritahukanlah kepada kami perihal Baitulmakdis?" Jawab Baginda: "Ia adalah Bumi Mahsyar dan Manshar (bumi dibangkitkan dan dikumpulkan), maka datangilahnya dan solatlah di dalamnya kerana satu solat di dalamnya adalah seperti 1,000 solat di tempat yang lain."
Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang mati di Baitulmakdis seumpama dia mati di langit dunia."
Sabda Rasulullah lagi: "Mengalir di bawah Batu Syurga Baitulmakdis sekalian sungai dunia" dan "Dajjal akan memasuki semua pelosok dunia melainkan tiga tempat iaitu Makkah, Madinah dan Baitulmakdis".
Rasulullah saw bersabda lagi yang bermaksud: "Tidak disuruh kita bersusah payah bermusafir melainkan ke tiga masjid: Masjidil Haram, Masjidin Nabawi, di Madinah dan Masjidil Aqsa."

Pertahankan Wadah Pelestarian Bahasa Melayu


CETUSAN MINDA

Perlu dipertahankan ruang dan wadah pelestarian bahasa Melayu

DI mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Antara lain, maksudnya adalah walau di mana kita berada, peraturan dan adat di tempat itu mesti dipatuhi. Ia ditujukan kepada pendatang asing ke suatu kawasan, atau kita sendiri apabila berkunjung ke negara lain, agar menyesuaikan diri dengan tempat yang didatangi.
Baru-baru ini, timbul isu penggunaan bahasa Melayu di masjid setempat. Pembaca Encik Mohammad al-Fazhan Md Sharif menulis ke Forum (BH, 13 Mac) dengan tajuk Kenapa bahasa Inggeris perlu digunakan di masjid.
Hujahnya, walaupun faham kedudukan bahasa Melayu perlu dipertahankan, perlu ada ruang memahami keperluan Muslim yang bukan Melayu.
Malah, saya sendiri pernah mendengar cadangan agar bahasa Inggeris dijadikan lingua franca atau bahasa pengantar di masjid setempat. Alasannya, kita perlu menampung pertambahan bilangan Muslim yang tidak fasih berbahasa Melayu seperti pekerja binaan sehinggalah golongan profesional.
Namun beberapa kenalan saya yang berkesempatan ke masjid-masjid negara lain mendapati bahasa yang digunakan rata-rata adalah bahasa asli negara itu atau bahasa tempatan.
Jika kita ke Australia, bahasa utama di masjid setempat rata-rata adalah bahasa Inggeris; di Perancis bahasa utamanya adalah bahasa Perancis; di China pula bahasa Mandarin (atau dialek tempatan) digunakan. Di Malaysia dan Indonesia, bahasa utamanya bahasa Melayu.
Malah, saya yakin perkara ini juga berlaku di masjid-masjid serata dunia, baik di benua Afrika, Amerika Selatan mahupun Asia, dengan bahasa tempatan digunakan sebagai bahasa perantaraan di masjid mereka.
Hakikatnya, bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda majoriti besar Muslim setempat, yakni orang Melayu yang juga merupakan peribumi tanah air ini. Bahasa Melayu memang dimaktubkan sebagai Bahasa Kebangsaan tetapi kian tidak luas digunakan kaum lain.
Lihat pula keadaan masyarakat India/Muslim di sini. Ternyata di beberapa 'masjid India' setempat, bahasa ibunda mereka digunakan demi memenuhi keperluan mereka selain memudahkan mereka menjalankan kegiatan agama. Ini memandangkan masyarakat itu juga telah lama bertapak di negara ini.
Namun ini bukan bermakna diketepikan sama sekali penggunaan bahasa lain, atau menafikan keperluan Muslim bukan berbangsa Melayu yang datang ke masjid.
Dalam pengamatan saya, masjid setempat telah berusaha semampunya membantu golongan Muslim bukan Melayu ini.
Antaranya, khutbah Jumaat kadangkala disampaikan dalam bahasa Inggeris. Terdapat juga masjid yang menggunakan layar tayang di bahagian depan masjid untuk menayangkan terjemahan khutbah Jumaat kepada bahasa Inggeris.
Selain itu, ada juga kelas agama yang dianjurkan dalam bahasa Inggeris sebagai usaha pihak pentadbir masjid memenuhi keperluan golongan tersebut.
Masa depan bahasa Melayu dan bahasa ibunda yang lain kian memprihatinkan kerana meluasnya penggunaan bahasa Inggeris.
Masjid, badan Melayu, majlis orang Melayu dan apa jua media termasuk seminar dan majlis kahwin merupakan wadah bagi melestarikan bahasa Melayu.
Kalangan pejuang bahasa Melayu kini mengeluh kerana semakin kurang peluang, kesempatan dan wadah bagi menggunakan bahasa Melayu. Mereka juga sedih kerana dalam sebilangan mesyuarat atau majlis di masjid dan badan Melayu setempat, walaupun semuanya memahami bahasa Melayu, sering bahasa Inggeris digunakan.
Selain di kelas bahasa Melayu (dan mungkin juga di sekolah), penggunaan bahasa ibunda ini agak terbatas. Mentelah sebilangan ibu bapa Melayu menggunakan bahasa Inggeris di rumah kerana mahu anak mereka fasih dalam bahasa itu, sehingga bahasa Melayu kadangkala kurang diberi perhatian.
Sampai-sampai anak mereka tidak fasih berbahasa Melayu dan perlu dibantu lewat tuisyen.
Sebab itu, perlu dipertahankan atau diperbanyak ruang, wadah dan kesempatan bagi orang Melayu menggunakan bahasa mereka dalam lebih banyak kegiatan harian.
Di masjid setempat, sudah sekian lama bahasa Melayu menjadi wadah utama - dalam khutbah Jumaat, ceramah dan kelas agama. Ramai orang Melayu hadiri kegiatan itu dan berasa selesa dengan penggunaan bahasa ibunda itu dalam penyampaian ilmu Islam.
Pendekatan ini bukanlah kerana sikap pentingkan diri dan bukan pula perkara unik bagi Singapura, tetapi juga berlaku di serata dunia, mungkin dalam usaha mempertahankan aspek bahasa ibunda mereka.
Usahlah kerana ada gesaan sebilangan pihak yang mahukan bahasa Inggeris lebih sering digunakan, keadaan di sini terus diubah.
Jika ramai pendatang ke negara lain perlu belajar bahasa jati negara itu, kenapa pekerja/pendatang asing ke negara ini tidak mahu belajar bahasa Melayu untuk lebih memahami dan membuka lebih banyak peluang bagi mereka menghadiri kelas-kelas agama yang diadakan dalam bahasa Melayu?
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak.
Justeru, bagi sesiapa yang kurang memahami bahasa Melayu yang digunakan di masjid-masjid, buatlah penyesuaian sama ada mempelajari bahasa jati negara ini, atau hadiri kelas yang sememangnya diadakan khas dan disasarkan kepada Muslim yang tidak mampu berbahasa Melayu.
Yang penting, usaha dan penegasan perlu terus dilakukan agar penggunaan bahasa Melayu tidak terhakis termasuk penggunaannya di masjid dan pertubuhan Melayu setempat, selain terus dikekalkan penggunaannya di majlis-majlis orang Melayu.
'Usahlah kerana ada gesaan sebilangan pihak yang mahukan bahasa Inggeris lebih sering digunakan, keadaan di sini terus diubah.
Jika ramai pendatang ke negara lain perlu belajar bahasa jati negara itu, kenapa pekerja/pendatang asing ke negara ini tidak mahu belajar bahasa Melayu untuk lebih memahami dan membuka lebih banyak peluang bagi mereka menghadiri kelas-kelas agama yang diadakan dalam bahasa Melayu?