Monday, December 19, 2011

Melayu Tulen Melayu Campur

4 Dis 2011

KOMENTAR

Melayu Tulen Melayu Campur

Usah sempitkan sangat takrif masyarakat kita


SAYA masih ingat, sewaktu baru jadi wartawan dahulu, saya pernah diajak berbicara oleh seorang wartawan Melayu masa itu yang bertugas dengan akhbar The New Nation (kini sudah tiada lagi).

'Awak tahu tak, kebanyakan orang Melayu yang berjaya di Singapura sekarang ini mempunyai darah campuran seperti Cina, India, Arab atau Pakistan?

'Kalau tidak percaya, tengoklah sekeliling. Cuba tengok diri awak sendiri, awak tentu ada darah campuran 'kan?'

Memang kebetulan, saya mempunyai darah campuran. Bapa saya keturunan Bugis dan ibu saya kelahiran negeri China.

Tetapi, darah yang mengalir dalam tubuh saya dan budaya amalan ibu bapa saya menebalkan semangat Melayu dalam jiwa saya.

Ketika itu, saya rasakan beliau seolaholah memperkecil-kecilkan keupayaan orang Melayu sahaja.

Lagi pula, pada saya, itu perkara kecil sahaja.

Baru-baru ini, seorang teman saya menimbulkan perkara serupa.

Katanya, sudah ramai Melayu yang mata sepet, kulit putih kuning.

'Ada pula yang muka macam orang India. Muka Mat Salih pun ada. Kau rasa, Melayukah mereka tu?'

Kalau nak diturutkan, perkara seperti ini boleh timbulkan perbahasan yang berlarutan tanpa kesudahan.

Mereka yang berasa diri mereka Melayu tulen - yang ibu bapa mereka keturunan Melayu dari rumpun Melayu seperti Jawa, Bawean, Banjar, Bugis dan seumpamanya - akan berasa kecil hati... seolah-olah mereka tidak cukup bagus pula.

Demikian juga sebaliknya, mereka yang ada darah campuran pula akan berasa mereka bagaikan tidak diterima sebagai orang Melayu, walhal jiwa raga dan cara hidup mereka benar-benar macam orang Melayu.

Anda ingat pada istilah-istilah seperti DKK yang pernah digunakan untuk merujuk kepada orang Melayu keturunan India?

Perkara-perkara seperti ini boleh mengeruhkan suasana dalam masyarakat kita sendiri.

Namun, bagi saya, kita tidak perlu membeza-bezakan sangat sama ada seseorang itu Melayu tulen atau Melayu kacukan.

Seseorang itu boleh di panggil Melayu jika mereka bergama Islam, mengamalkan cara hidup Melayu dan boleh serba sedikit bertutur bahasa Melayu

Jika mereka berkahwin dengan bangsa lain tetapi anak-anak mereka beragama Islam, boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu, maka mereka pun boleh dianggap orang Melayu.

Masyarakat Melayu kita sekarang pun merupakan masyarakat majmuk - satu hakikat yang tidak boleh kita nafikan, walau dari sudut mana pun kita memandangnya.

Kita ada ramai orang Melayu kacukan India, Pakistan dan Arab; ramai yang ada darah campuran Cina, Serani; bahkan ada juga bermata biru berambut perang hasil perkahwinan campur dengan 'Mat Salih'.

Kesemua ini adalah hasil perkahwinan campur yang sudah menjadi amalan sejak berpuluh-puluh tahun lamanya - sejak zaman datuk nenek sampai ke generasi kita sekarang ini.

Trend orang Melayu kita yang berkahwin campur - tidak kira sama ada lelaki Melayu berkahwin dengan kaum lain atau wanita Melayu dengan kaum lain - berterusan hingga ke hari ini.

Bahkan, ia mungkin akan terus meningkat lagi pada masa akan datang.

Walaupun ada anak-anak hasil perkahwinan campuran ini yang tidak disenaraikan sebagai Melayu dalam kad pengenalan, kerana mengikut bangsa atau keturunan sebelah bapa mereka, tidak semestinya mereka bukan Melayu.

Yang penting, mereka ini beragama Islam, hidup dalam lingkungan orang Melayu serta serba sedikit boleh berbahasa dan berbudaya Melayu.

Kita perlu terima hakikat bahawa mereka inilah - bersama orang-orang Melayu keturunan Jawa, Bugis, Bawean, Minang, Banjar dan sebagainya - yang membentuk masyarakat Melayu/Islam sekarang dan memperkayakan budaya kita di Singapura.

Lantaran itu, kalau disebut masyarakat Melayu/Islam Singapura, kita bukan merujuk semata-mata kepada keturunan orang Melayu Seletar atau orang Melayu Kallang yang dianggap sebagai orang Melayu asli yang pernah mendiami Singapura dahulu.

Kalau merekalah sahaja yang kita anggap sebagai orang Melayu Singapura, maka berapa keratlah sahaja orang Melayu kita di sini.

Definisi sebegini terlalu sempit dan tidak mencerminkan hakikat sebenar Melayu/Islam kita di Singapura sekarang.

Ada juga di kalangan kita yang mempersoalkan penggunaan istilah Melayu/Islam.

Mereka berpendapat mengapa tidak gunakan istilah Melayu sahaja kerana Melayu itu adalah bangsa dan Islam pula adalah agama.

Kalau ada orang Melayu yang tidak beragama Islam, adakah mereka ini tidak boleh dianggap Melayu lagi?

Sekali lagi, pada pandangan saya, kita tidak perlu mempersoalkan sangat perkara ini.

Yang penting, pada saya, kita harus bersikap inklusif, iaitu berlapang dada menerima kepelbagaian dalam masyarakat kita.

Kalau ada anak-anak kita yang hendak berkahwin dengan kaum atau bangsa lain, kita terima dengan senang hati, tanpa terlalu mempersoalkan sangat apa akan jadi pada anak-anak mereka nanti.

Sebagaimana yang telah diamalkan datuk nenek kita, kita perlu terima kehadiran orang asing dalam masyarakat kita, kerana merekalah yang akan memperkayakan lagi masyarakat kita dari segi budaya, amalan hidup dan sebagainya.

Sejak zaman nenek moyang kita lagi, interaksi atau percampuran orang Melayu dengan bukan Melayu telah meninggalkan pengaruh yang besar sekali terhadap kebudayaan dan cara hidup masyarakat Melayu.

Ia juga mencerminkan sifat warga Singapura sendiri yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Yang penting, pembauran kaum dan budaya ini dilakukan atas dasar saling menghormati, serta saling menerima perbezaan satu sama lain.

Inilah yang menjadi kelebihan pada masyarakat kita.

Jadi, jangan fikirkan sangat kalau lihat ada anak Melayu yang mata sepet atau berambut perang atau berkulit hitam.

Mereka pun anak Melayu juga dan merekalah yang akan terus memperkayakan budaya serta adab resam kita.

No comments:

Post a Comment