12 Dis 2011
EKSTRA!
MARI BERPANTUN
Corak pantun biar sesuai dengan majlis
Oleh
Mohamed Ashik
PARA pembaca yang jauhari, dalam perasmian sesuatu acara, seperti acara korporat, majlis melamar, bertunang dan pernikahan, memang cantik kalau dihiasi dengan pantun. Namun corak pantun mestilah sesuai dengan majlisnya dan kalau boleh, pembayang maksud pantun ada kaitan dengan majlis yang diadakan:
Mari kita dengar pantun berikut ini:
Merpati putih terbang berempat
Melayang laju bergaya nekad;
Kunjungan kami membawa hajat,
Hajat besar menunaikan akad.
Rangkap pantun tadi boleh diperbaiki dengan mengarang begini:
Berangan berpeti perahu bersarat,
Pengikat jerami penguat muatan;
Kedatangan kami membawa hajat,
Hajat merasmi hari pernikahan.
Ataupun boleh dipantunkan begini:
Gantang bukan sebarang gantang,
Dibawa dari Pulau Penyengat;
Datang bukan sebarang datang,
Kami ke mari membawa hajat
Seterusnya wakil lelaki berpantun:
Duduk berdua di tepi perigi,
Sambil duduk membakar haruan;
Besarlah sungguh harapan kami,
Kedatangan kita disambut tuan
Pembayang maksud pantun tadi, tiada kena-mengena dengan maksud.
Pantun tadi elok dikarang begini:
Diikat kukuh tali jerami,
Layar dikembang tuju haluan;
Besar sungguh harapan kami
Kedatangan kami disambut tuan.
'Diikat kukuh tali jerami', berupa harapan semoga tali perkahwinan diperkuatkan hingga sampai ke syurga.
Manakala 'layar dikembang tuju haluan', membawa maksud persiapkan serba serbi kelengkapan untuk menempuh alam hidup berumah tangga.
Jadi pembayangnya ada kaitan dengan maksud pantun yang ingin disampaikan.
Pertanyaan wakil lelaki tentunya akan disambut pihak perempuan dengan berpantun begini:
Tepak puan bersirih dara,
Di meja makan tempat hidangan;
Rombongan Tuan disambut mesra,
Sila sampaikan hajat gerangan
Lalu pantun daripada pihak perempuan tadi, dijawab begini:
Daun selasih kelapa puan,
Pengalas jerami disusun rapi;
Terima kasih sambutan Tuan,
Senang kami berada di sini
Kemudian barulah disampaikan hajat kedatangan:
Sirih pinang berserta juadah,
Dibawa rombongan ramai keluarga;
Dilamar sudah bertunang pun sudah,
Melangsungkan nikah telah pun tiba.
Semoga dengan mengikutinya tadi, sambil menilaikan, anda dapat menghasilkan pantun-pantun yang bermutu, hasil karangan anda sendiri.
No comments:
Post a Comment