Monday, September 27, 2010

Kuih Melayu

27 Sep 2010
EKSTRA!

Jangan pandang pada nama dan rupa saja

Di sebalik setiap nama kuih yang unik pasti ada cerita menarik yang dapat dijadikan pengajaran

Oleh
Roslie Sidik
NAMA kuih-muih Melayu yang pelik-pelik sering kali membuat kita tertawa.

Ada yang mempunyai nama yang cukup lucu dari segi sebutannya dan tidak kurang pula yang cukup pelik dari segi maknanya sehinggakan sering membuat kita tertanya-tanya tentang asal usul nama-nama itu. Kadangkala, bukan sahaja namanya pelik-pelik malahan rupa dan bentuknya juga kelihatan sama peliknya.

Saya cuba menyingkap beberapa keunikan di sebalik nama kuih-muih yang unik ini, seperti kuih keciputan, batang buruk dan cakar ayam.

KUIH KECIPUTAN

Ia sejenis kuih tradisional Melayu yang dibuat daripada tepung pulut dan telur.

Berbentuk bulat seperti guli, kulit luarnya disaluti dengan bijan dan sangat garing apabila dimakan.

Walaupun nama kuih ini begitu sukar sekali disebut oleh kanak-kanak sehingga sebutannya sering kali kedengaran melucukan, kuih ini sangat digemari dalam kalangan mereka kerana ia cukup ringkas dan rangup seperti keropok apabila dimakan.

Kuih keciputan ini terkenal dengan beberapa nama julukan yang lain seperti kuih buah rotan.

Bentuknya yang bulat dan bersisik serta warnanya yang keemasan memang menyerupai buah rotan.

Dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura, kuih ini juga dikenali dengan nama kuih Bawean.

Hal ini mungkin terjadi kerana orang-orang Bawean memang suka membuat kuih ini khususnya pada hari perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha.

Menerusi perbualan saya dengan beberapa warga emas, saya dimaklumkan bahawa kuih keciputan ini juga dikenali dengan satu lagi nama julukan iaitu kuih wirid.

Proses membuat kuih ini amatlah menjenuhkan kerana tukang masaknya terpaksa mencubit adunan dan menggentel untuk membulatkannya sebelum menggolekkannya dalam dulang berisi bijan.

Untuk melepaskan rasa jenuh dan demi mencari keredaan Allah, si tukang masak akan membayangkan adunan itu seperti biji-biji tasbih, dalam masa yang sama ketika si tukang masak sibuk menggentel adunan itu, mulut mereka juga sibuk berzikir dan mengucapkan kalimat-kalimat Allah.

Salah satu daripada keunikan kuih keciputan ini ialah keupayaannya untuk tahan lama. Tidak seperti kuih-kuih lain yang mudah rosak atau bercendawan, kuih ini dapat terus bertahan sepanjang Syawal. Oleh itu, kuih ini masih terus diminati sehingga kini.

Siapa sangka, kuih yang mempunyai nama yang lucu ini mempunyai cerita-cerita yang menarik di sebaliknya.

KUIH BATANG BURUK

Kalau kuih keciputan terkenal dengan namanya yang lucu, kuih ini pula terkenal kerana kehodohannya.

Daripada rupa luarannya sehinggalah kepada namanya, kuih batang buruk ialah di antara kuih yang terhodoh pernah tercipta di bumi Melayu.

Nama kuih batang buruk kemungkinannya disebabkan daripada rupanya yang berbentuk seperti batang pokok tetapi disaluti dengan serbuk kacang hijau menjadikannya seperti kayu buruk.

Jika dibandingkan dengan kuih-kuih lain yang lebih cantik, kuih batang buruk masih mampu bertahan sehingga ke hari ini disebabkan rasanya yang unik, manis dan enak.

Kata orang, belum cuba belum tahu, sekali kuih ini disuapkan ke dalam mulut, pasti anda menginginkannya lagi. Kuih itu seolah-olah hancur dan cair sebaik sahaja dimasukkan ke dalam mulut.

Kuih batang buruk ialah sejenis kuih yang dibuat daripada tepung gandum dicampur dengan tepung beras dan tepung kelapa. Kemudiannya diuli buat menjadi doh dan dibentuk membentuk silinder bulat berongga dan diisi dengan serbuk kacang hijau yang digoreng.

Kuih batang buruk ini mengajar kita beberapa perkara penting dalam kehidupan.

Pertama, usahlah kita tergesa-gesa membuat andaian dengan hanya memandang pada rupa.

Kuih batang buruk ini tetap enak walaupun kurang cantik bentuk luarannya.

Kedua, kuih batang buruk ini mengajar kita agar jangan bersifat gelojoh. Tepung kacang hijau yang bersalut di bahagian luarnya akan melekit pada jari orang yang memakannya dan mudah lerai menyebabkan seseorang itu terpaksa berhati-hati ketika memakannya. Bagi sesiapa yang bersifat gelojoh, tentulah buruk padahnya apabila makan kuih tersebut.

KUIH CAKAR AYAM

Ada juga kuih Melayu yang dikaitkan dengan perkara yang negatif berdasarkan ungkapan maknanya. Kuih cakar ayam umpamanya, jika dikaitkan dengan makna peribahasanya bererti tulisan yang kurang kemas; mempunyai konotasi yang agak negatif.

Namun, jangan cepat salah sangka. Kuih ini mungkin saja kelihatan kurang menarik bentuknya tetapi tetap disukai ramai. Bahkan, kuih ini dianggap sebagai makanan ringan yang popular walaupun di luar musim perayaan.

Ada juga yang langsung tersalah sangka bahawa ada daging ayam yang digunakan di dalam kuih ini.

Sebenarnya, kuih ini diperbuat daripada keledek yang telah disagat halus memanjang. Setelah digoreng, keledek itu dimasak dengan air gula merah.

Pemilihan nama kuih ini ialah lebih kepada bentuknya yang benar-benar menyerupai bekas cakaran yang dibuat oleh ayam ketika mengais tanah mencari makan.

Dunia Melayu sebenarnya tidak pernah terpisah dengan alam semula jadi termasuk dalam pembikinan kuih-kuih Melayu.

Daripada kuih keciputan, batang buruk sehinggalah kuih cakar ayam, alam semula jadi sentiasa menjadi inspirasi orang-orang Melayu. Di sebalik setiap nama kuih yang unik ini pasti ada cerita yang menarik yang dapat dijadikan pengajaran.

Nilai-nilai kebijaksanaan, keindahan dan kreativiti orang-orang Melayu amat terserlah menerusi kuih-kuih Melayu. Biarpun diserang dengan ciptaan kuih-muih moden yang jauh kelihatan lebih menarik, kuih-kuih lama ini tetap mampu bertahan sehingga kini.

Kuih Melayu

27 Sep 2010

EKSTRA!

Jangan pandang pada nama dan rupa saja

Di sebalik setiap nama kuih yang unik pasti ada cerita menarik yang dapat dijadikan pengajaran

Oleh
Roslie Sidik

FATWA CPF

24 Sep 2010

SINGAPURA

Demi maslahat tanggungan, ahli keluarga yang lebih memerlukan

Berikut fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).


SYARIAT Islam telah menetapkan bahawa setiap harta yang dimiliki oleh seseorang akan menjadi sebahagian daripada tarikahnya (pusaka).

Tarikah terikat dengan beberapa hukum agama seperti pelunasan hutang-piutang si mati (seperti hutang zakat, haji dan lain-lain) dan pengagihannya mengikut wasiat si mati sebelum diagihkan kepada ahli waris mengikut hukum faraid.

Berkaitan wang CPF yang dimiliki oleh pencarum, Jawatankuasa Fatwa Muis telah memutuskan pada 1971 bahawa wang CPF tersebut merupakan tarikah pencarum yang perlu dibahagikan mengikut faraid.

Fatwa tersebut juga menyentuh tentang status nominee (penama), bahawa seorang nominee itu hanyalah pengamanah dan bertanggungjawab untuk membahagikan wang tersebut kepada ahli waris mengikut hukum faraid.

Berdasarkan maklum balas daripada masyarakat, terdapat banyak kes di mana keluarga-keluarga Islam menghadapi kesulitan kerana Fatwa terdahulu tidak mengiktiraf segala nominasi yang dilakukan untuk tanggungan dan ahli keluarga yang lebih memerlukan.

Pada masa yang sama, terdapat banyak perubahan kepada pentadbiran wang CPF sejak 1971, terutama dari segi penerimaan wang CPF oleh si pencarum sewaktu hidupnya.

Di antara perubahan terbaru dan yang ketara yang mempunyai implikasi terhadap hukum berkaitan wang CPF adalah bahawa wang simpanan CPF tidak akan diserahkan kesemuanya kepada pencarum secara serentak apabila tiba masa mengeluarkannya (draw down age).

Sebaliknya, pencarum hanya akan memperolehi sejumlah wang secara bulanan yang dapat memenuhi keperluan perbelanjaan bagi dirinya sahaja.

Berpandukan dapatan di atas, maka Jawatankuasa Fatwa merumuskan perkara-perkara berikut:

(i) Setiap fatwa yang dikeluarkan secara umum kepada masyarakat tidak seharusnya menyempitkan pilihan yang ada. Fatwa perlu mengambil kira keadaan dan situasi berbeza yang dihadapi setiap individu. Maka fatwa perlu memainkan peranan memberi ruang kepada masyarakat untuk menentukan maslahat yang diperlukan.

(ii) Jawatankuasa Fatwa tetap berpendapat bahawa wang CPF merupakan sebahagian daripada tarikah, oleh itu bagi mereka yang tidak melakukan nominasi, ia akan dibahagikan mengikut faraid.

(iii) Sistem nominasi merupakan cara pengurusan wang yang baru. Ia tidak terdapat di dalam penulisan dan karya para ulama dahulu. Namun, sistem nominasi ini ada beberapa persamaan dengan hibah.

(iv) Perbandingan di antara sistem nominasi dan hibah menghasilkan dapatan berikut:

NOMINASI CPF


Nominasi adalah untuk wang CPF milik peribadi.


Wang CPF masih lagi menjadi hak milik pencarum selagi mana wang tersebut belum diserahkan kepada nominee.


Pencarum CPF berhak menarik balik nominasinya, selagi mana tiada qabadh (penerimaan secara zahir) terhadap pemberiannya.


Pencarum CPF boleh meletakkan nama warisnya sebagai nominee.


Tiada had bagi nominasi.


Nominee hanya akan mendapat wang CPF selepas kematian pencarum.

HIBAH


Hibah hanya sah dengan harta milik peribadi.


Wang yang ingin dihibahkan terus menjadi hak milik pemberi sehingga penerima menerimanya (berlaku qabadh).


Orang yang memberi hibah berhak untuk menarik balik atau menukar hibahnya, selagi mana tiada qabadh terhadap pemberiannya.


Hibah boleh diberikan kepada ahli waris.


Tiada had bagi hibah.


Hibah boleh diterima (berlaku qabadh) selepas kematian pemberi, dengan syarat- syaratnya.

Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa terdapat dua aspek yang membezakan antara hibah dengan sistem nominasi CPF. Ia adalah berikut:

NOMINASI CPF


Nominasi boleh dibuat pada jumlah wang CPF yang belum dimiliki oleh si pencarum.


Sistem nominasi CPF mensyaratkan bahawa penerimaan (qabadh) hanya boleh berlaku selepas kematian tanpa perlu keizinan waris.

HIBAH


Seseorang hanya boleh melakukan hibah pada harta yang sudah berada di dalam pemilikannya.


Sebahagian ulama mensyaratkan bahawa jika tiada qabadh sebelum kematian pemberi, maka hibahnya hanya boleh dilaksanakan dengan keizinan waris si pemberi.

Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa syarat di dalam hibah yang menyatakan bahawa harta yang diberikan mestilah sudah berada di dalam pemilikan si pemberi ketika hibah dibuat, adalah bertujuan mengelakkan ketidakpastian yang mengakibatkan penipuan (gharar) atau penganiayaan (zhulm) kepada si penerima.

Di dalam nominasi CPF, walaupun akan terdapat penambahan kepada jumlah wang dalam simpanan si pencarum, unsur-unsur ketidakpastian, penipuan atau penganiayaan tidak wujud kerana niat dan kesungguhan si pemberi tidak diragui, ditambah pula dengan adanya perlindungan undang-undang CPF.

Jawatankuasa Fatwa berpendapat juga bahawa sistem nominasi boleh dianggap sebagai hibah kerana ia dibuat sewaktu si pencarum masih hidup.

Qabadh tidak berlaku mengikut ketetapan undang-undang CPF. Ini adalah berbeza daripada jenis hibah yang biasa yang boleh diterima (qabadh) yang mensyaratkan keizinan waris jika berlaku kematian si pemberi sebelum qabadh.

Maka apabila pencarum membuat nominasi secara rasmi, ia merupakan satu bukti jelas tentang kesungguhan pencarum dan janjinya untuk memberi wangnya kepada nominee.

Firman Allah swt yang bererti:

'Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah segala perjanjian-perjanjian.' (Surah Al-Maidah: 1)

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud:

'Dan tunaikanlah janji, sesungguhnya setiap janji itu akan dipersoalkan.' (Surah Al-Isra': 34)

Hukum asal dalam urusan muamalat ialah harus, berpandukan kaedah fiqh berikut:

'Hukum asal bagi akad adalah sah, kecuali apa yang dibatalkan ataupun dilarang oleh Syara'.'

Maka, dasar Islam di dalam perkara berkaitan muamalat adalah meraikan kebaikan (maslahah) dan mengelakkan kerosakan (mafsadah).

Atas sebab-sebab tersebut, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa:

(i) Setiap pencarum CPF berkewajipan menilai cara yang terbaik yang membawa maslahah dan mengelakkan mafsadah dalam menguruskan wang CPF-nya.

Dia boleh memilih untuk menggunakan instrumen nominasi atau pengagihan wang CPF-nya mengikut hukum faraid, atau kedua-duanya sekali.

Perkiraan dan pertimbangan ini tertakluk pada hal keadaan ahli warisnya, dan siapa yang lebih memerlukan wang tersebut.

(ii) Sistem nominasi merupakan cara baru pembahagian harta. Cara ini tidak terdapat dalam penulisan dan karya para ulama terdahulu, namun ia dibenarkan kerana ia dianggap sebagai jenis hibah yang baru.

Ia juga dapat menjaga maksud di sebalik faraid, khususnya kerana perubahan yang berlaku pada undang-undang CPF, di mana pencarum tidak akan menerimanya setelah bersara dengan jumlah yang membolehkan dia berbelanja bagi tanggungannya. Pada masa yang sama, nominasi tidak boleh dibuat dengan niat dan tujuan menzalimi ahli waris yang lain.

Penerima wang CPF, sama ada melalui faraid atau sistem nominasi, berkewajipan memastikan segala hutang si mati, jika ada, diselesaikan dahulu sebelum mengambil wang tersebut.


**** **** ****

ANGGOTA JAWATANKUASA FATWA MUIS 2007-2010

Pengerusi:

Mufti, Syed Isa Mohd Semait

Anggota:

Ustaz Haji Ali Mohamed
Ustaz Firdaus Yahya
Ustaz Mohamed Hasbi Hassan
Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat

Anggota Bersekutu

Ustaz Syed Ahmad Syed Mohd
Ustaz Saripi Rawi
Ustaz Ahmad Dahri
Ustaz Mohamed Khair Rahmat
Ustaz Azmi Abdul Samad
Ustaz Badrul Fata Muhd Ridwan
Ustaz Mohd Murat Md Aris

Friday, September 10, 2010

Keindahan di sebalik amalan bermaaf-maafan

8 Sep 2010

EKSTRA!

Keindahan di sebalik amalan bermaaf-maafan

Kemaafan yang terbit ikhlas daripada hati lebih bermakna

Oleh
Roslie Sidik
AMALAN ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sudah menjadi tradisi yang sebati dalam kalangan masyarakat kita setiap kali tibanya Syawal.

Setelah sebulan berpuasa di dalam bulan mulia Ramadan, Syawal dianggap sebagai bulan kemaafan yang disambut dengan penuh ketakwaan dan kegembiraan.

Apakah kemanisan dan keindahan budaya bermaaf-maafan yang selama ini dipegang oleh masyarakat kita?

Apakah pula yang menjadi sandaran dalam mengekalkan budaya ini?

SUASANA HARMONI

Biasanya sebelum si ayah pergi menunaikan solat Aidilfitri, si isteri dan anak-anak akan menghulur tangan memohon kemaafan. Pipi dan tangan dikucup tanda kasih sayang.

Luahan kata-kata kemaafan disusun ringkas dan indah dengan penuh rasa rendah diri dan harapan.

Alangkah indahnya budaya ini telah mewujudkan suasana rumah tangga yang aman dan harmoni.

Aidilfitri akan bertambah kesyahduannya dan sering diiringi dengan titisan air mata kegembiraan.

Jika budaya ini diteruskan di luar bulan Syawal, pastinya suasana rumah tangga akan menjadi bertambah aman dan makmur di bawah pengampunan dan keredaan Allah.

MENGUKUH SILATURAHIM

Dalam suasana Hari Raya ketika ziarah-menziarahi sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat-handai, amalan saling bermaaf-maafan ini diteruskan.

Walaupun kadang-kadang lidah terasa kelu untuk meluahkan kata-kata memohon ampun dan maaf, cukuplah kita menyusun rangkaian kata yang seikhlasnya.

Yang terbit ikhlas daripada hati lebih bermakna.

Yang penting selepas memohon kemaafan, kita perlu sedar dan insaf atas kesilapan yang telah dilakukan, baik yang sengaja mahupun yang tidak disengajakan.

Seterusnya kita harus didorong dengan rasa keazaman dan kesungguhan daripada mengulangi kesilapan yang sama pada lain masa.

Amalan ini jika dilakukan dengan seikhlas hati bukan sahaja dapat menimbulkan rasa kasih sayang dan saling hormat-menghormati, bahkan dapat mengukuhkan silaturahim antara satu sama lain.

MENERIMA DENGAN LAPANG DADA

Namun, hakikatnya kadangkala orang-orang yang rapat dengan kita telah melakukan suatu kesilapan besar ke atas diri kita.

Kesilapan itu rasanya terlalu berat dan begitu sukar sekali dimaafkan apa lagi dilupakan. Bak kata orang, lukanya mungkin sudah pulih tetapi parutnya masih tetap ada.

Keberkatan Aidilfitri seolah-olah memberi jaminan bahawa hati sekeras mana sekalipun akan berupaya menjadi lembut.

Terlalu banyak kisah yang kita dengar dan mungkin telah kita saksikan sendiri bagaimana seseorang begitu rela memaafkan kesilapan orang lain biarpun kesilapan itu dirasakannya cukup besar.

Namun, kita juga seharusnya menerima dengan tabah sekiranya permohonan maaf kita ditolak dengan sekeras-kerasnya.

Mungkin kesilapan itu terlalu besar sehinggakan si penerima belum sedia memaafkan kita.

Dalam menghadapi hal yang sedemikian, setelah segala usaha memohon maaf telah gagal, kita tidak seharusnya berputus asa.

Kita sewajarnya terus menerus berdoa agar Tuhan membuka pintu hatinya untuk memaafkan kita.

Selain itu, kita juga harus mendoakan yang terbaik untuk orang tersebut selagi orang itu masih hidup.

Yang lainnya itu menjadi urusan Allah dan sebagai hamba yang lemah kita hanya mampu berusaha dan menerima segalanya dengan reda.

Di dalam mengamalkan budaya bermaaf-maafan ini, amat penting si peminta maaf bersikap ikhlas dan tulus dalam pengucapannya dan insaf serta bertekad tidak mahu mengulangi kesilapan itu lagi.

Si penerima pula haruslah mengambil sikap yang lebih terbuka dan menerima ucapan maaf itu dengan lapang dada.

Mudah-mudahan dengan mengambil sikap sebegini akan terbentuk sikap penyayang dan mengikis pula sifat-sifat buruk seperti menyimpan dendam dan amarah dalam jiwa masing-masing.

TERBENTUK SIFAT TAKWA

Amalan bermaaf-maafan ini juga bersesuaian dengan nilai-nilai Islam. Bahkan dalam menggambarkan ciri-ciri orang yang bertakwa, Allah berfirman: 'Mereka adalah orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan' - (Ali 'Imran: 134).

Amalan bermaaf-maafan ini mencerminkan ketertiban dan kesopanan orang Melayu. Memang telah menjadi adat, kita sentiasa menjaga hati orang-orang yang kita cintai.

Dalam suasana Aidilfitri bagi tahun ini dan tahun-tahun berikutnya, biarlah kita terus menghidupkan semangat budaya ini sebaik-baiknya.

Orang yang ikhlas memohon maaf dan orang yang rela memberikan kemaafan, kedua-duanya saling dipandang mulia.

Salam Aidilfitri, menyusun jari maaf dipinta.

Semangat Singapura Harus Bersifat Global

6Sep 2010

EKSTRA
Semangat Singapura harus bersifat global

Masyarakat sejagat perlu ada nilai-nilai yang tidak terikat kepada bangsa, bahasa dan agama untuk terus bersatu

Oleh
Noorkiah Hashim
ADAKAH masyarakat Singapura kurang keyakinan dan sikap bersatu- padu sehinggakan kita perlu memupuk semangat kesingapuraan?

Semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan di Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura tempoh hari, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bukan sahaja menyentuh malah mengalu-alukan masyarakat Singapura memperkuatkan lagi semangat kesingapuraan itu.

Pada dasarnya, dengan memperkukuhkan lagi semangat tersebut dan mengamalkan sikap terbuka terhadap kedatangan pekerja dan bakat asing, ia sekali gus mendorong Kota Singa ke tahap kemajuan yang lebih tinggi.

Lantas, apa yang dimaksud sebagai 'semangat kesingapuraan' dan mengapa, pada pandangan penulis semangat kesingapuraan itu penting dalam konteks kita hari ini?

Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan, Perdana Menteri menekankan bahawa semangat itu tidak boleh berasaskan bangsa, bahasa dan agama tetapi nilai-nilai yang dikongsi seperti meritokrasi, berbilang bangsa, sikap menghormati setiap bakat, tanggungjawab dan komitmen kepada negara.

Sememangnya, sukar mendefinasikan semangat kesingapuraan tetapi secara tuntas semangat kesingapuraan adalah:


Keazaman mengharungi detik-detik sukar nan mencabar bersama,


Kepercayaan terhadap satu sama lain walaupun kita berhadapan dengan situasi seperti pengganasan yang mampu mengancam keharmonian kaum dan memecah-belahkan masyarakat kita,


Kecekapan, kebanggaan dalam diam dan disiplin yang memastikan Singapura melaksanakan kerja dengan betul, seperti semasa Sukan Olimpik Belia baru-baru ini,


Keyakinan yang kita akan mengatasi apa jua cabaran.

Pada hemat penulis, semangat kesingapuraan merupakan sesuatu yang harus dipupuk dalam setiap individu tidak kira apa jua latar belakang kita.

Ini kerana dunia semakin bersifat global. Tambahan pula, penghijrahan individu-individu dari negara lain ke Singapura berlaku dengan pesat dan ini menjadikan Kota Singa sebagai sesebuah negara kosmopolitan.

Ini bermakna perbezaan dari segi latar belakang, bangsa, bahasa dan agama semakin ketara.

Oleh itu, masyarakat yang bersifat sejagat memerlukan nilai-nilai yang tidak terikat kepada bangsa, bahasa dan agama untuk terus menyatupadukan masyarakat tersebut.

Di sini penulis tidak beranggapan bahawa aspek-aspek seperti bangsa, bahasa dan agama tidak lagi relevan untuk menyatukan masyarakat tetapi semangat kesingapuraan adalah asas yang melahirkan persamaan dan persamaan itu penting dalam sesebuah masyarakat yang penuh dengan pelbagai perbezaan.

Hakikatnya, semangat kesingapuraan bukanlah sesuatu yang baru. Malahan sejak 1966 di mana rakyat Singapura mula-mula melafazkan ikrar negara, masyarakat sudah berjanji akan bersatu tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama.

Dari segi sejarah, ini menunjukkan bahawa sejak dahulu lagi sudah timbul pemahaman bahawa kita perlu mengatasi perbezaan kita antara satu sama lain demi membina sesebuah negara yang maju.

Secara kesimpulan, walaupun semangat kesingapuraan bukan sesuatu perkara yang baru, masyarakat lebih-lebih lagi generasi muda harus memikirkan bagaimana kita memupuk dan memperkuatkan lagi semangat kesingapuraan.

Ini kerana berikrar tanpa merealisasikan keazaman dan semangat untuk bersatu-padu sama sahaja seperti melepaskan batuk di tangga.

Nota: Penulis mahasiswa sosiologi, Universiti Teknologi Nanyang

Pokok Selasih

6 Sep 2010

EKSTRA!

Pokok selasih banyak khasiatnya

Masyarakat Melayu, India dan Cina sama-sama manfaatkan kebaikan selasih


Oleh
Noor Hasnah Adam


AIR katirah dan bulan Ramadan memang sinonim sekali di Singapura. Bila tiba bulan Ramadan, air katirah akan dicari orang ramai.

Air katirah bukan sahaja dapat melegakan dahaga bahkan mempunyai khasiat yang tinggi untuk memberi tenaga pada tubuh badan.

Antara ramuan air katirah ialah buah semangkuk, buah katira, gajus, kismis, kurma, agar-agar, badam, halwa kabung, susu dan beberapa bahan lain. Paling menarik, air katirah tidak akan lengkap tanpa biji selasih.

Selasih atau nama saintifiknya Ocimum Sandium atau bahasa Inggeris disebut basil, tergolong dalam keluarga Lablatae. Masyarakat Melayu turut menggelarnya ruku-ruku atau ruku hitam.

Spesies pokok ini sebenarnya berasal dari negara beriklim panas seperti India, benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan. Dipercayai, pedagang India telah memperkenalkan dan membawa selasih ke rantau ini.

Selasih adalah sejenis tanaman semusim yang tumbuh menegak dengan ketinggian antara 30 hingga 90 sentimeter.

Batangnya bersegi dan berwarna sama ada hijau, ungu atau perang. Daunnya berwarna hijau pekat, tunggal dan berbentuk bujur telur. Di rantau ini pada kebiasaannya, pembungaan bagi tanaman daripada biji benih bermula selepas lebih kurang 75 hari selepas di tanam ke ladang.

Bunganya terdapat di bahagian hujung batang dan dahan pokok. Kelopak bunganya berwarna hijau keunguan dan bahagian atas bunganya berwarna putih atau merah jambu pucat.

Keseluruhan bahagian tumbuhan boleh mengeluarkan bauan yang sangat beraroma. Namun bauan itu juga boleh memabukkan.

Pokok selasih tumbuh dengan baik di kawasan beriklim tropika. Biasanya masyarakat India menanam pokok ini di halaman rumah dan kuil.

Golongan tua biasanya memakan pucuk dan daun muda selasih sebagai ulam.

Aroma selasih pula digunakan sebagai perasa dalam makanan manakala biji selasih dibuat minuman.

Minuman selasih dipercayai dapat menyejukkan badan.

Di India, selasih mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan menjadi bahan keagamaan serta kepercayaan.

Masyarakat India mengenali tumbuhan selasih ini sebagai 'vishnu priya'. Penggunaan selasih amat penting dalam sistem perubatan Ayurveda masyarakat India dan perubatan Jiu Cheng Ta masyarakat Cina.

Dari sudut saintifik, kajian menunjukkan bahawa daun selasih dapat meningkatkan atau mengembalikan selera, membuang angin dalam perut dan usus, juga membuang hingus dan lendir dalam sistem pernafasan.

Jus daun selasih boleh menjadi penawar kala jengking dan patukan ular, meredakan sakit perut dan mengurangkan tahap gula di dalam darah.

Air rebusan daun selasih boleh digunakan untuk berkumur bagi mengurangkan sakit gigi.

Bagi masyarakat Melayu pula, daun selasih dimakan atau air rebusannya diminum untuk mengurangkan batuk.

Jika demam, daun selasih yang ditumbuk lumat perlu ditampal ke dahi untuk mengurangkan panas dan sakit kepala.

Biji selasih pula digunakan sebagai tonik untuk menjaga kesihatan badan.

Minyak pati yang dihasilkan melalui pengekstrakan daun dan bunga selasih digunakan dalam industri minyak wangi, farmasiutikal, aromaterapi dan makanan dengan memanfaatkan bauan dan perisa yang asli.

Masyarakat Melayu percaya bahawa minyak selasih dapat mengubat sakit telinga, sakit kulit dan turut menjadi pencegah serangga.

Tanaman selasih mempunyai berbagai-bagai kegunaan bukan sahaja di Asia bahkan di Barat. Di Amerika pula disebabkan kecantikan dan bau yang menarik, beberapa baka terpilih telah jadikan sebagai tanaman landskap dan tanaman hiasan.

Dalam pantun-pantun Melayu, banyak mengaitkan 'selasih' dengan hubungan kasih sayang;

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Hilang emak hilang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

Batang selasih permainan budak,
Daun sehelai dimakan kuda;
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga.

Dalam sastera rakyat Asal Usul Danau Maninjau, ada disebut pantun berikut;

Sudah lama merendam selasih,
Barulah kini mau mengembang;
Sudah lama kupendam kasih,
Barulah kini bertemu pandang.

Selasih turut menjadi nadi dalam lirik-lirik lagu terkenal seperti yang dinyanyikan oleh Ahmad Jais dan Allahyarhamha Rafeah Buang;

Kutanam selasih
Kutanamkan di hujung halaman
Mengenangkan kasih wahai saying
Yang aku tinggalkan....

Ternyata, tanaman selasih yang kaya dengan khasiat perubatan turut menerbitkan hubungan rapat dan kasih sayang antara manusia Melayu dengan tumbuhan itu. Semuanya jelas terpancar dalam pantun-pantun dan sastera Melayu.

Friday, September 3, 2010

Pencapaian belia melayu (teks penuh ucapan dlm bm pm)

30 Ogos 2010

SINGAPURA

PM: Pencapaian belia Melayu membanggakan


'EKONOMI kita telah bangkit semula daripada kemelesetan tahun lalu.

Perniagaan sedang berkembang, syarikat-syarikat menggaji lebih ramai pekerja, dan kita semua boleh jangkakan lebih banyak kerja lembur dan bonus lebih tinggi.

Masa depan nampak cerah, tetapi kita masih perlu bekerja keras untuk terus makmur. Rantau ini menawarkan banyak peluang kepada syarikat dan karyawan Singapura.

Tetapi, kita juga perlu meningkatkan ekonomi setempat, untuk wujudkan pekerjaan lebih baik bagi pekerja kita di sini. Lagipun, kebanyakan rakyat kita akan sentiasa bekerja di Singapura.

Strategi kita ialah meningkatkan daya penghasilan pekerja kita. Pekerja harus pertingkat kemahiran dan dapatkan kemahiran baru.

Pekerja bergaji rendah hadapi tekanan yang paling besar. Di China dan India, ada berjuta-juta pekerja.

Mereka sedia terima gaji yang amat rendah - jauh lebih rendah daripada gaji kita. Jika anda inginkan gaji lebih tinggi, jalanilah latihan dengan bersungguh-sungguh.

Pemerintah akan menyokong pekerja menerusi program-program Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET).

Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) memberitahu saya bahawa pekerja Melayu menyertai program CET secara aktif, terutama semasa kemelesetan.

Sayangnya, sedang pekerjaan semakin bertambah, majikan dan pekerja kurang mengambil berat akan program CET.

Nasihat saya: Jangan leka. Teruskan usaha ini. Bak kata pepatah: Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Saya tahu sebahagian warga Singapura bimbangkan persaingan daripada pekerja asing di sini. Hakikatnya, sedang pekerja asing bersaing dengan pekerja kita, mereka juga meluaskan peluang bagi kita semua.

Dengan pekerja asing, kita boleh menarik lebih banyak pelaburan ke sini, dan projek-projek ini akan mewujudkan pekerjaan yang lebih bermutu untuk warga Singapura.

Selain pekerja asing, kita juga perlukan pendatang yang akan menjadi penduduk tetap (PR) dan warga Singapura, demi menokok bilangan penduduk kita.

Kita buka pintu kepada pendatang daripada semua suku kaum, asalkan mereka dapat menyumbang kepada ekonomi kita dan berintegrasi dengan masyarakat kita.

Bukan mudah untuk memikat bakat Melayu atau pribumi dari Asia Tenggara. Tetapi kita berupaya menarik sejumlah orang, dan perlu teruskan usaha ini.

Bagaimanapun, biarlah saya yakinkan warga Singapura, khususnya masyarakat minoriti: Kita tidak akan izinkan kemasukan pendatang menjejas kadar campuran kaum di Singapura.

Kadar campuran sekarang adalah stabil dan menyumbang kepada keharmonian kaum dan agama kita.

Kita harus bekerja keras untuk sepadukan pendatang baru ini ke dalam masyarakat kita, agar lambat laun mereka menjadi warga Singapura sejati dalam pandangan hidup dan identiti mereka.

Kedua-dua pihak perlu lakukan usaha ini. Warga Singapura harus menyambut baik ketibaan pendatang dan membantu mereka sesuaikan diri dengan budaya dan nilai-nilai kita.

Pendatang pula perlu selesa bergaul dengan orang lain, termasuk mereka yang berbeza kaum dan agama.

Gambar ini menunjukkan beberapa badan pendatang Islam membahagikan bubur kepada keluarga susah semasa Ramadan.

Saya yakin lama kelamaan golongan pendatang ini akan menjadikan Singapura sebagai tempat tinggal dan negara mereka, lebih-lebih lagi anak-anak mereka.

Satu lagi keutamaan bagi masa depan kita ialah pendidikan.

Warga muda kita mempunyai banyak bakat dan minat yang berbeza - seni, muzik atau sukan, mata pelajaran teknikal atau akademik.

Kita akan pertingkat sistem pendidikan kita. Kita akan wujudkan lebih banyak laluan bagi pelajar dan lebih banyak puncak kejayaan untuk mereka daki.

Setiap sekolah akan menjadi sekolah yang baik. Setiap sekolah akan dilengkapi dengan kemudahan baik dan sumber-sumber yang sempurna.

Dan setiap sekolah akan mempunyai guru-guru berdedikasi dan terlatih. Kita akan siapkan pelajar kita untuk maju jaya dalam banyak bidang di sekolah, di tempat kerja dan dalam kehidupan.

Anda harus manfaatkan sepenuhnya program kebangsaan ini. Kita berjaya mengurangkan kadar keciciran di sekolah kepada paras yang amat rendah.

Pelajar Melayu membuat pencapaian yang baik di semua peringkat. Namun, masih ada sebahagian pelajar Melayu yang tidak memenuhi potensi mereka.

Saya berharap semua pelajar akan berusaha dan mendapat sokongan daripada keluarga masing-masing untuk belajar dengan gigih dan membaiki prestasi.

Selain pendidikan, budaya dan warisan kita juga penting bagi masa depan Singapura.

Saya gembira masyarakat Melayu menghidupkan bahasa dan budaya anda.

Saya diberitahu, Bulan Bahasa yang berlangsung bulan lalu telah menerima sambutan meluas daripada semua lapisan usia, termasuk para pelajar.

Tahun ini ulang tahun ke-10 Program Elektif Bahasa Melayu (atau MLEP) yang berjalan di dua maktab rendah.

Di gambar ini, pelajar MLEP di Maktab Rendah Tampines mempersembahkan dikir barat, sebahagian persembahan budaya tahunan mereka yang bernama Manifestasi.

Para pelajar program MLEP juga pernah berbalas pantun di sebuah stesen radio di Tanjung Pinang. Mereka ke Pulau Bintan di Indonesia untuk mendalami budaya Melayu.

Saya harap dengan sokongan pemerintah, sebagai orang Melayu, anda akan menaruh minat lebih mendalam ke atas bahasa dan budaya anda.

Belia kita kini mencapai impian mereka dalam banyak bidang. Belia Melayu juga menunjukkan pencapaian serupa, antara lain dalam teknologi maklumat, seni kreatif dan sukan.

Seorang pelajar politeknik Melayu, Muhammad Ikhwan Zainal, adalah anggota sebuah pasukan yang menghasilkan sebuah permainan Xbox.

Di sukan YOG baru-baru ini, antara atlit negara yang memenangi pingat adalah dua atlit Melayu - Nurul Shafinas Abdul Rahman dalam acara taekwondo dan Abdul Dayyan Mohamed Jaffar dalam sukan memanah.

Pasukan bola sepak negara yang meraih pingat gangsa mempunyai pemain berbilang kaum, termasuk beberapa pemain Melayu.

Saya ucapkan tahniah kepada mereka semua. Sememangnya, warga muda Singapura hari ini mempunyai keyakinan diri untuk memburu cita-cita mereka dan meninggalkan kesan kepada dunia.

Tetapi dengan globalisasi dan Internet, warga muda kita juga terdedah kepada pengaruh negatif dan bahaya.

Segolongan kecil menjadi terpengaruh dengan fahaman radikal secara sendiri.

Mereka terpesong, sehingga tergamak menyokong pengganasan yang bertopengkan jihad.

Kita telah saksikan beberapa kes baru-baru ini. Mujurlah, kita dapat kesan mereka sebelum mereka timbulkan bahaya kepada diri sendiri atau orang lain.

Saya gembira bahawa masyarakat Melayu/Islam menerima masalah ini dengan terbuka.

Anda telah mengambil pendirian yang jelas menentang sikap pelampau dan pengganasan.

Jadi, kita dapat kekalkan kepercayaan dan keyakinan antara kaum di Singapura.

Bagaimanapun, kumpulan pengganas masih aktif di dunia, dan di rantau ini.

Golongan ekstremis kini menggunakan bahasa Inggeris untuk menyebarkan mesej mereka.

Pokoknya, masalah ini belum berakhir. Jadi, kita mesti terus berwaspada.

Keluarga dan kawan boleh membantu mengesan tanda-tanda awal dalam diri belia.

Orang Islam boleh merujuk kepada Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) untuk mengesahkan kelayakan guru agama.

Beberapa orang ustaz telah menyarankan cara mengukuhkan ARS agar ia lebih berkesan.

Saya harap masyarakat Melayu/Islam dapat menimbangkan bagaimana ini boleh dilakukan.

Ini memang isu sensitif, tetapi saya rasa saya perlu timbulkan. Keprihatinan saya ialah terhadap golongan kecil yang mudah terpengaruh.

Namun, ini tidak seharusnya mengalihkan tumpuan kita daripada isu-isu utama lain - ekonomi dan pekerjaan, pendidikan dan latihan, daya saing dan kecemerlangan.

Bagaimanapun, soal fahaman pelampau dan pengganasan perlukan tumpuan berterusan daripada anda.

Anda telah raih kemajuan dalam sistem meritokrasi kita. Anda mampu berdikari, dan banggakan pencapaian anda.

Anda telah memberi sumbangan besar kepada kemajuan negara. Banyak yang perlu kita lakukan untuk membawa Singapura ke tahap selanjutnya.

Saya menggesa masyarakat Melayu/Islam, terutama para pelajar dan pekerja, agar terus berusaha meningkatkan ilmu dan kehidupan anda.

Dengan cara ini, anda boleh mencapai yang terbaik buat diri anda, masyarakat dan juga Singapura.

Terima kasih dan Selamat Meneruskan Ibadat Puasa.

Tuisyen

2 Sep 2010

KOMENTAR

KALAM INSAN
Perbetul sikap terhadap tuisyen

Oleh
A. Rahman Basrun
NAK tuisyen atau tidak? Itulah tajuk yang hangat dibincangkan kini. Sebabnya? Di satu dialog baru-baru ini yang dihadiri Menteri Pendidikan, Dr Ng Eng Hen, ada ibu bapa meluahkan rasa prihatin tentang trend tuisyen yang kian menjadi-jadi.

Ada pihak menyoal kewajarannya. Alasannya? Tidak adil jika tuisyen memberi kelebihan hanya kepada pelajar yang mampu membayar kosnya. Akibatnya, pelajar yang tidak mampu tentu ketinggalan.

Benar atau tidak? Bukan mudah jawapannya. Antara lain, ia bergantung pada sama ada tuisyen adalah satu kemestian.

Misalnya:


apabila sistem persekolahan kurang mampu menampung keperluan pelajarnya.

Jadi, terpaksalah pelajar yang terjejas dek kekurangan pada sistem itu mencari bantuan daripada sumber luar seperti guru tuisyen.

Saya rasa sistem kita yang ada sekarang, walaupun masih boleh diperbaiki, tidaklah berkeadaan sehingga memestikan tuisyen.


apabila seseorang pelajar bermasalah kesihatan yang menjejas keupayaannya belajar berbanding pelajar lain.

Dalam kes sebegini, guru tuisyen berupaya memberi lebih tumpuan peribadi kepadanya.


apabila seseorang pelajar terkebelakang berbanding pelajar lain sungguhpun dengan kelas dan program tambahan yang diadakan pihak sekolahnya.

Tuisyen boleh membantu pelajar tersebut mengejar yang lain.

Jadi, tiga senario tadi mewajarkan tuisyen bagi pelajar.

Mentelah dewasa ini, kian banyak pilihan tuisyen di watan ini.

Kalau mampu ambil yang mahal, silakan. Cuma, cubalah pastikan tuisyen sedemikian benar-benar perlu dan berkesan. Kalau tidak, lebih baik duit itu disalurkan kepada lain-lain kepentingan.

Tuisyen murah dan percuma pun ada, sebagaimana ditawarkan sesetengah badan kebajikan. Pilihlah ikut kemampuan.

Namun, terus terang, bagi saya persoalan sama ada tuisyen perlu atau tidak tidaklah sebesar isu sikap sesetengah orang kita terhadap tuisyen itu sendiri:


Jenama Melayu:

Entah kenapa sesetengah orang kita mati-mati inginkan guru tuisyen sebangsa untuk anak mereka. Ini tiada salahnya, asalkan mutu tuisyen terjaga.

Jika tidak, tiada salahnya kita mencari yang terbaik - tidak kira apa warna kulitnya - demi masa depan anak kita.


Melayu murah?:

Mungkinkah sebabnya guru tuisyen Melayu jauh lebih murah khidmatnya?

Kalau tanya kenapa begitu murah, guru tuisyen Melayu akan cepat menjawab bahawa tujuan mereka setakat menolong mempertingkat masyarakat Melayu.

Terharu saya setiap kali mendengar jawapan sebegitu.

Cuma, dua masalahnya. Pertama, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan sungguhpun mereka berkemampuan.

Kedua, saya sendiri mendapati keluarga yang menanggung kos tuisyen yang tinggi lebih ambil berat tentang tuisyen tersebut.

Maklumlah, tak nak rugi.

Sebaliknya, mereka yang membayar yuran rendah bersikap ambil sambil lewa - termasuk datang lambat, tidak buat tugasan yang diberi dan ponteng tanpa alasan.

Lagipun, saya rasa tidak adil kenapa ada jangkaan agar guru tuisyen Melayu mengenakan yuran rendah, jika mutunya setara bukan Melayu.

Yang pelik, ada orang kita sanggup berbelanja hingga beribu dolar sebulan tanpa banyak soal kalau guru tuisyennya orang bukan Melayu, apalagi mat salih!


Macam beli ikan:

Pun saya dapati sesetengah orang kita tawar-menawar tentang kos tuisyen macam nak beli ikan di pasar.

Macam-macam alasan diberikan - gaji kecillah, ada tanggungan lainlah, padahal kesnya bukan sedemikian.

Kalau boleh, mahu dapat tuisyen percuma. Kita lupa bahawa guru tuisyen pun perlu cari makan. Mentelah pendidikan tidak ternilai harganya.


Jangkaan melampau:

Sudahlah beli ikan merah pada harga ikan selar, cerewet pula. Sudahlah mahukan tuisyen semurah mungkin, banyak pula kerenahnya.

Misalnya, sesetengah ibu bapa menjangkakan anak mereka cemerlang selepas baru sebulan dua tuisyen.

Jika sebelum tuisyen si anak gagal mata pelajaran, baru masuk tuisyen sudah harapkan anak dapat gred 'A1'!

Ada juga tukar waktu tuisyen macam tukar baju - ikut sesuka hati, itu pun atas alasan remeh seperti ada jemputan kahwin!

Sudah rosak baru hantar: Tanda-tanda kemerosotan anak dalam pelajaran sudah nampak sejak awal lagi, namun tidak dipeduli.

Selepas anak sudah jadi kes teruk atau 'gone-case', baru hendak dihantar ke guru tuisyen - seolah-olah guru tuisyen itu wali yang boleh menjadikan pelajar itu pandai melalui keramatnya.


Kes saat terakhir:

Lebih dahsyat, ada yang hantar anak ke tuisyen hanya sebulan atau seminggu dua sebelum peperiksaan akhir tahun!

Macamlah guru tuisyen boleh memindahkan segala ilmu yang diperlukan kepada si pelajar melalui suntikan!


Tuisyen sebagai kelebihan:

Orang selalu nampak tuisyen sebagai kerja membaiki labu, yakni memperbaiki pelajar lemah.

Padahal tuisyen juga berguna sebagai wadah mempertingkatkan keupayaan pelajar cerdas agar dia dapat mara ke tahap selanjutnya.

Lainlah halnya jika sekolah pelajar itu memang ada skim mempertingkat pelajar cerdas sebagaimana terdapat di sebilangan sekolah di sini.

Ini harus diambil kira dalam pemantauan Kementerian Pendidikan (MOE) ke atas perkembangan tuisyen setempat yang dinyatakan Dr Ng di dialog tersebut.

Akhir kalam, tuisyen memang wajar dimanfaatkan masyarakat kita.

Namun, ia bukan satu-satunya jalan keluar meningkatkan prestasi anak kita dalam pelajaran.

Lebih penting adalah asuhan.

Ertinya, dari awal lagi kita pupuk dalam anak kita disiplin dan kemahiran belajar, sentiasa berinya sokongan dan rangsangan seraya menyediakannya sekitaran yang sihat dan mesra untuk dia belajar di rumah.

Kalau ini boleh kita lakukan, saya pasti tiada masalah anak Melayu dalam pendidikan di watan ini.