12 Ogos 2009
KOMENTAR
PANDANGAN
Harga sebuah kemerdekaan
OlehMohd Ayub Johari
TIADA kata yang paling merangsangkan di rantau ini selain 'merdeka'. Itulah kekata yang disebut oleh Perdana Menteri, Encik Lee Kuan Yew, 44 tahun lalu, ketika menyongsong kelahiran watan ini selepas dikeluarkan dari Malaysia.
Kemerdekaan kita memang tidak seperit sesetengah negara lain seperti Indonesia yang menuntut pengorbanan darah.
Sejak dijajah Belanda sejak 1619 apabila Syarikat Hindia Belanda membuka Batavia (sekarang Jakarta), Indonesia telah mengisytiharkan kemerdekaannya pada 1945 selepas penjajah Jepun menyerah kalah. Namun Belanda dengan sokongan British telah menyerang untuk berkuasa semula.
Rakyat Indonesia dan Asia menyaksikan bagaimana Jepun, sebuah negara Asia, dapat mengalahkan kuasa-kuasa Eropah termasuk Perancis, Inggeris dan Belanda di Asia Tenggara atau Russia. Kejayaan Jepun, walaupun di sebalik kekejamannya di rantau ini, telah membakar semangat juang anak bangsa.
Dua hari selepas hari keramat 17 Ogos 1945 ketika Presiden Sukarno dan Naib Presiden Hatta mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia daripada penjajahan Belanda, gempuran Belanda berlaku di udara, laut dan darat.
Indonesia hanya mempunyai tentera rakyat yang serba kekurangan pimpinan Jeneral Sudirman, bekas seorang santri Muhammadiyyah. Tentera Nasional Indonesia dibantu oleh kumpulan-kumpulan gerila yang menggunakan senjata buatan sendiri, termasuk bambu runcing (buluh yang ditajamkan hujungnya seperti tombak). Ia menjadi lambang perjuangan rakyat jelata.
Selain Belanda dan British, Indonesia berdepan dengan pemberontak haluan kiri yang cuba merampas kuasa seperti yang berlaku di Madiun. Presiden Sukarno memerintahkan ketumbukan Siliwangi pimpinan Jeneral Abdul Haris Nasution untuk menumpaskan gerakan pemisah itu.
Akhirnya Belanda akur dengan kemerdekaan Indonesia.
Namun gerakan komunis berterusan pada 30 September 1965 sehingga mengorbankan enam jeneral dan hampir membunuh Jeneral Haris Nasution. Bangkit Jeneral Suharto yang menguasai keadaan dan akhirnya menggantikan Sukarno sebagai presiden kedua.
Di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga terdapat usaha melawan British yang berkuasa dalam abad ke-18, bermula di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Penentangan terhadap pemerintahan Inggeris berlaku secara kecil-kecilan, tidak menyeluruh seperti Datuk Dol Said di Naning (1832), Dato Maharajalela di Perak (1875), Dato Bahaman di Pahang (1891), Tok Janggut di Kelantan (1910) dan Mat Salleh di Sabah (1894-1900).
Selepas pendudukan Jepun, tercetus gerakan kemerdekaan selepas British cuba memperkenalkan Malayan Union pada 1 April 1946. Gagasan ini menamatkan kedudukan orang Melayu sebagai anak jati. Maka tertubuhlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) tetapi lebih dikenali dengan singkatan Inggeris, Umno.
Mungkin British sedar kesilapannya di Amerika Utara (kemerdekaan Amerika Syarikat) dan beberapa tempat lain yang merdeka menerusi perang. Proses kemerdekaan Tanah Melayu berlaku menurut rundingan dan perundangan. Mentelah sudah berlaku pemberontakan komunis yang mendorong perintah darurat (1948-1960).
Dengan kerjasama kaum-kaum Cina dan India, Tunku Abdul Rahman dapat membentuk perikatan yang membawa kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Singapura menjadi negara berpemerintahan sendiri pada 1959 menerusi kejayaan Parti Tindakan Rakyat yang meraih 43 daripada 51 buah kerusi. Untuk merdeka, Singapura disyaratkan British agar menyertai Malaysia.
Selepas pungutan suara, mandat besar diterima untuk penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 (kebetulan hari lahir Encik Lee Kuan Yew).
Namun kehadiran Singapura dalam Malaysia ternyata tidak selesa kerana pelbagai masalah ideologi dan keperibadian. Akhirnya Tunku memutuskan sendiri untuk mengeluarkan Singapura. Maka merdekalah watan kecil ini.
Pada mulanya, banyak pihak menyangsi keupayaan Singapura untuk berdikari. Bahkan tentera British mengundurkan kehadirannya lebih awal sehingga memburukkan suasana pengangguran.
Ekonomi kita bergantung kepada pangkalan tentera Inggeris yang menggaji sebahagian besar para pekerja. Pelaburan asing sangat kurang.
Namun berkat usaha gigih pemerintah mengatasi silap tadbir dan rasuah, Singapura berjaya mengatur penakatannya di rantau ini. Kegiatan samseng dapat dikawal dan mogok dihentikan menerusi gerakan kesatuan yang sanggup bekerjasama dengan majikan. Pendidikan dipertingkat untuk menjadikan pekerja Singapura antara yang terbaik di dunia.
Lama-kelamaan, pelabur terbuka hati untuk ke sini. Dalam pada itu, peranan pemerintah dipertingkat menerusi persyarikatan. Rizab negara terus bertambah.
Dalam tempoh kurang empat dekad, Singapura sudah mengatasi bekas penjajahnya dari segi taraf hidup. Kemajuan Singapura terletak pada kepimpinan dan kerjasama rakyat dalam membina keharmonian dan keamanan. Inilah buah 'merdeka' yang kita nikmati.
Pun kita sedar bahawa sebuah negara berbilang bangsa dan agama ibarat sebuah mozek. Untuk membentuk mozek yang lengkap, setiap masyarakat mempunyai peranan masing-masing. jika kita tidak berhati-hati, mozek itu boleh pecah.
Kita, Malaysia dan Indonesia memiliki banyak persamaan - pernah terjajah, berbilang bangsa, budaya dan agama serta pernah diancam keselamatannya.
Kita gembira kerana ramai rakyat Malaysia dan Indonesia bekerja di Singapura sedang firma Singapura pula banyak menanam modal di Indonesia dan Malaysia. Keeratan hubungan rakyat tiga negara ini menentukan suasana mantap di rantau ini.
Jelaslah hari kebangsaan Singapura yang ke-44 dan setengah abad ulang tahun berpemerintah sendiri bak suatu detik kesyukuran. Merdeka merupakan satu rahmat dan wajar kita berikrar untuk meneruskannya:
Kami warganegara Singapura, sebagai rakyat yang bersatu padu, tidak kira apa bangsa, bahasa atau agama, berikrar untuk membina suatu masyarakat yang demokratik, berdasarkan keadilan dan persamaan untuk mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan bagi negara kami.
Nota: Penulis ialah mantan guru dan aktif dalam gerakan akar umbi.
No comments:
Post a Comment