Tuesday, August 18, 2009

Negara/ Kebangsaan

12 Ogos 2009

KOMENTAR

E-MEL DARI HAWAII

Mencari ikatan sebuah watanOlehM Effendy A Hamid

KETIKA Singapura dalam suasana menyambut Hari Kebangsaan dengan acara perbarisan, pemasangan bendera di bangunan dan rumah serta menyerap amanat Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, saya merenung erti dan konsep bangsa dan negara.
Ernest Renan, ahli falsafah Perancis yang terkenal dengan tulisan What is a Nation? (syarahan 1882 di Universiti Sorbonne), telah mengetengahkan dua fakta yang harus difahami:
Pertama, pemilikan warisan memori dan azam untuk tinggal bersama dan mengekalkan pusaka atau warisan.
Kedua, sebuah negara atau bangsa juga memerlukan semangat dan azam yang sama untuk bertindak demi membawa kebanggaan bersama.
Tetapi aspek yang paling penting, hujah Renan, sejarah silam penuh dengan kegemilangan dan tokoh masyhur merupakan penyatu bangsa dan negara.
Ini kerana rakyat akan mahu meneruskan kejayaan seperti yang dilakukan dalam sejarah.
Juga penting, hujahnya, ialah konsep penderitaan bersama. Zaman duka bersama akan tertancap dalam ingatan kebangsaan dan menjadi penggerak rakyat untuk bangkit.
Konsep 'menderita bersama' dan 'bersatu untuk melawan musuh' menjadi unsur kesedaran nasional bagi kebanyakan negara di Asia Tenggara.
Di Thailand, rakyatnya bangga dengan kejayaan raja-raja Siam seperti Maharaja Mongkut dan Chulalongkorn dalam perkembangan watan itu ke arah kemodenan tanpa dijajah Eropah, termasuk British dan Perancis.
Di Vietnam, kesedaran nasional berunsur sejarah perperangan yang bermula daripada kemenangan orang Vietnam utara melawan musuh hebat seperti Dinasti Cina, Mongol (yang menakluki negara Cina dan kemudian menyerang Vietnam), Perancis dan Amerika Syarikat.
Di Filipina, penentangan bapa kemerdekaan Jose Rizal yang menentang Sepanyol sentiasa diperingati. Di Indonesia pula, semangat Sukarno membakar azam menentang Belanda.
Apakah ada unsur 'menderita bersama' dan 'bersatu untuk melawan musuh' di Singapura? Bolehkah pengalaman sejarahnya disamakan dengan negara lain di Asia Tenggara?
Ini membuatkan saya berfikir tentang beberapa isu penting dalam penulisan sejarah Singapura.
Hakikatnya, memang susah untuk menyelidik sejarah Singapura sebelum era penjajahan British. Sumber-sumber sejarah dan arkeologi ada tetapi tidak sekaya tempat lain di Asia Tenggara - misalnya pulau Jawa dan Kemboja.
Seorang kawan Amerika telah membaca syarahan Renan dan mengikuti sejarah Singapura. Beliau amat tertarik dengan cara Singapura cuba membina jati diri kebangsaan sejak merdeka pada 1965.
Menurutnya, zaman 'derita bersama' Singapura adalah ketika Pendudukan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Ia amat mengazabkan dan sungguh berkesan untuk membina sebuah penyatuan yang kuat sekali sesama rakyat jelata - bak dihujahkan Renan.
Tetapi pada hemat saya, zaman Jepun juga memulakan proses pembaharuan identiti orang Singapura yang sedar mereka merupakan anak jajah empayar Britain.
Proses seterusnya melibatkan perubahan minda yang mendorong harga diri untuk merdeka dan mempunyai pemerintahan sendiri.
Tiba-tiba rakan Amerika itu bertanya: fakta sejarah mana dan apakah yang harus diingati dan apakah yang harus dilupakan oleh Singapura dalam rangka integrasi rakyatnya?
Saya merujuk kembali kepada Renan. Iaitu, sejarah kemerdekaan Singapura boleh dikatakan 'baru'.
Jadi, untuk memiliki sejarah lama, Singapura perlu menggali akar kehadiran sewaktu dinamai Temasek atau lebih lama lagi selagi tidak menimbulkan kepekaan antara kaum. Ertinya:
Sejarah kesultanan dan raja-raja Singapura: Dilupakan atau diingati kembali? Mengapa sejarah kesultanan penting kepada sejarah nasional Singapura? Bagaimanakah ia boleh diintegrasikan dalam penulisan sejarah Singapura tanpa masalah?
Sejarah identiti orang 'Melayu', 'Cina' dan 'India' di Singapura. Haruskah identiti awal golongan ini dipersoalkan? Adakah ini akan bercanggah dengan matlamat utama iaitu membina sebuah identiti nasional?
Penyelidikan arkeologi Singapura untuk meningkatkan kefahaman mengenai peranan Singapura dalam sejarah rangkaian perdagangan, politik dan masyarakat Asia Tenggara. Bagaimanakah ia boleh digunakan untuk menguatkan identiti rakyat Singapura?
Dengan meneliti isu-isu yang mencabar lagi rumit ini, Singapura akan lebih berupaya menguatkan jati diri nasionalnya.

No comments:

Post a Comment