Tuesday, August 18, 2009

Hari Kesyukuran Watan Majmuk

15 Ogos 2009

KOMENTAR

ANAK PASCA MERDEKA

Hari kesyukuran watan majmuk Oleh Mohd Noor A. Rahman

ANTARA Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang terbaik, menarik dan menghiburkan! Itulah rumusan hasil sembang saya dengan beberapa teman mengenai sambutan Hari Kebangsaan yang baru berlalu.
Peralihan dari satu babak ke satu babak memang teratur dan lancar.
Banyak persembahan menarik disajikan, termasuk kisah masyarakat berbilang bangsa dan babak cemas penggempuran pasukan keselamatan bagi mengatasi serangan pengganas.
Cuma, ada dua acara paling menarik perhatian saya.
Pertama, kisah Temasek yang ditemui Sang Nila Utama.
Pulau ini dikatakan sebagai tempat menarik baginya kerana tidak berlaku bencana alam seperti gempa bumi.
Sang Nila Utama dikatakan mendarat di tanah lapang di Kuala Temasek (sekarang Esplanade) dan melihat seekor haiwan yang menurut pengikutnya seekor singa.
Maka dinamakan Singapura, atau Kota Singa.
Dalam bahasa Sanskerta, perkataan 'singa' bermakna 'raja binatang yang gagah' dan 'pura' bermakna 'kota'.
Walaupun kisah penemuan Kota Singa itu dilakukan secara humor dan bersahaja (membabitkan pelakon dan pelawak Suhaimi Yusof dan Mark Lee), bagi saya ia masih penuh bermakna.
Ini kerana sebelum ini, sering ditekankan 'penemuan' Singapura moden oleh Sir Stamford Raffles.
Ia memberi gambaran seolah- olah pulau ini, sebelum penemuan Raffles, ibarat kurang pembangunan, kegiatan manusia atau perdagangan.
Walhal mengikut penemuan sejarah, Singapura mempunyai tamadun beberapa ratus tahun lamanya sebelum penemuan Raffles dengan Bukit Larangan, atau Fort Canning, dan juga kawasan Kampong Gelam menjadi antara nadi tamadun itu.
Mengenai Temasek pula, fakta sejarahnya tidak begitu banyak diketahui.
Memang sejak kedatangan Raffles, pulau ini membangun dengan pesat, khususnya sebagai pusat perdagangan di rantau ini dan juga dunia.
Ia menjadi pusat laluan perdagangan penting antara negara Timur Jauh seperti China dan Jepun dengan kawasan benua India, Timur Tengah dan Eropah.
Cuma hakikatnya, Singapura dinamakan si penemunya, Sang Nila Utama, bukan Raffles yang mentadbir pulau ini bagi pihak British.
Cerita ini perlu diuar-uarkan kepada warga setempat agar mereka tahu akan sejarah pulau kecil ini.
Sebab itu, penampilan kisah Sang Nila Utama dalam perbarisan kali ini amat menggembirakan saya sebagai anak jati negara ini.
Cuma ada yang mengkritik penyampaian cerita Sang Nila Utama sebagai terlalu bersahaja dan remeh - bak kurang memberi penghormatan kepada penemu pulau ini.
Berkaitan ini, ingin saya sarankan agar dapat diberikan nama jalan, bangunan atau institusi baru dengan nama penemu pulau ini, Sang Nila Utama.
Penghormatan sedemikian demi membantu warga mengingati beliau dan membentuk jati diri bangsa Singapura.
Pernah sebuah sekolah diberikan atas nama beliau, Sekolah Sang Nila Utama, namun ia telah tutup pada 1987.
Kini, ada banyak bangunan, tempat dan jalan raya diberi nama sempena Raffles, namun kurang sekali atas nama Sang Nila Utama.
Sementara itu, satu lagi acara yang menarik perhatian saya adalah detik membaca Ikrar Negara tepat pada 8.22 malam.
Walaupun ia bukan acara baru, kali ini pihak penganjur begitu bersungguh-sungguh mahu melibatkan seramai mungkin warga menyertai pembacaan ikrar ini - bukan sahaja merangkumi penonton di pelantar terapung di Marina Bay.
Dilaporkan ribuan lagi rakyat di beberapa lokasi lain seperti pusat membeli-belah setempat dan di beberapa negara serata dunia turut sama membaca Ikrar Negara yang ditulis pada 1966 oleh salah seorang bapa kemerdekaan Singapura yang juga Menteri Ehwal Luar pertama Singapura, mendiang S. Rajaratnam.
Saya dan anggota keluarga turut sama berdiri di depan televisyen di rumah dan melafazkan ikrar tersebut genap pada 8.22 malam. Alahai, patriotik juga anak-anak saya.
Lagipun, sejak meninggalkan bangku sekolah, inilah peluang saya - sekali dalam setahun - untuk melafazkan Ikrar Negara yang begitu bermakna.
Sememangnya, jika Ikrar Negara ini diamalkan setiap anak watan di sini, Singapura pasti dapat terus menikmati kemakmuran, kemajuan dan keharmonian di kalangan penduduknya yang berbilang bahasa, bangsa dan agama.
Dan itulah harapan saya sempena hari ulang tahun Singapura kali ini - satu bangsa Singapura yang memandang jauh daripada sekadar perbezaan kaum, bahasa dan agama dalam apa jua keadaan, tetapi mengutamakan persamaan.
Sebuah bangsa yang tidak mudah tergugat atau berpecah belah atau mudah termakan fitnah atau ideologi mana-mana pihak yang mahu memecahbelahkan masyarakat majmuk watan ini.
Justeru, kita perlu menyokong usaha memperkukuh perpaduan sosial dan usahlah meremehkannya, apatah lagi menjengkelnya sebagai kurang bermanfaat.
Singapura telah merdeka sejak 44 tahun lalu dan banyak cabaran yang telah, sedang dan bakal kita hadapi dari segi perpaduan sosial yang sentiasa menguji tahap persefahaman dan kerjasama kita sebagai sebuah bangsa Singapura.
Namun, dalam lubuk hati saya yakin Singapura akan terus makmur dan harmoni kerana sikap warganya yang berhati waja bak singa dan mensyukuri nikmat sebagai satu bangsa.
Dirgahayu Singapura.

No comments:

Post a Comment