Saturday, August 21, 2010

Peringatan 5K bagi Melayu oleh A Rahman Basrun

19 Ogos 2010

KOMENTAR

KALAM INSAN
Peringatan 5K bagi Melayu

Oleh
A. Rahman Basrun
KITA kini kenal kembali konsep 5K - Kereta, Kad kredit, Kondominium, keanggotaan Kelab dan wang Kertas (tunai).

Bahasa Inggerisnya, 5C - Car, Credit card, Condominium, Country club dan Cash.

Konsep 5C itu popular sejak lebih sedekad lalu. Waktu itu, ia dikatakan Impian Singapura.

Kini, Menteri Kanan mengemas kininya sesuai dengan tuntutan masa dan negara.

Menurut Encik Goh Chok Tong, 5C itu kini career, comfort, children, consideration dan charity.

Bahasa Melayunya, Kerjaya, Keselesaan, Kanak-kanak, Keihsanan dan Kebajikan.

MODEL LAMA VS BARU

Memang saya kurang menyetujui 5K yang asal.

Apakan tidak, tiga unsurnya - kad kredit, kondominium dan kereta - sering membabitkan amalan berhutang.

Lainlah kalau impian kita supaya hutang keliling pinggang!

Apakah gejala berhutang dengan tailong dewasa ini berkait dengan pengejaran 5K itu? Tepuk dada tanyalah selera.

Hakikatnya, 5K asal itu berciri kebendaan. Sebagaimana kata Encik Goh, ia boleh dijadikan ukuran tercapainya impian. Tidak lebih daripada itu.

5K baru lebih menyeluruh - mencakupi aspek duniawi dan rohani.

Ia lebih sesuai dengan sebuah negara yang sudah maju seperti Singapura dari segi ekonomi dan prasarana sedang warganya kian matang.

MELAYU DAN 5K

Dulu, sempena 'demam' 5K, saya sarankan perlu ada 5K bagi Impian Melayu (Masyarakat Melayu pun perlukan 5K, BH, 23 November 1996), iaitu:


Kukuhkan institusi Keluarga (sama dengan saranan Encik Goh kini).

Banyak masalah masyarakat kita disebabkan keluarga yang rapuh.


Kental jati diri.

Walau apa pun cabarannya, kita menghadapinya tanpa sedikit pun berganjak daripada jati diri kita.


Kendur atau pandai ubah suai diri, lebih-lebih lagi dalam suasana globalisasi kini.


'Kurang ajar' yakni berani meluahkan pendapat dan menonjolkan diri melalui kreativiti, dengan adab dan tatasusila tetap terjaga.


Kendiri (berdikari).

Pun, saran saya, Melayu perlu bawa 5K 'kecil' di bawah ini ke mana-mana:


Kompas agar boleh solat di mana-mana ke arah kiblat (yakni jaga agama);


Kalam dan Kertas (atau Komputer) agar boleh merakamkan semua urusan dan ilham (bersistem).


Kitab untuk mengisi masa kita (berilmu dan tidak leka).


Kalkulator agar Melayu dapat mengira di mana-mana sahaja, bijak berbelanja dan meloncat rintangan psikologi dalam bidang matematik.

Selepas lebih sedekad berlalu, saya rasa kesemua itu masih terpakai bagi Melayu.

Maaf cakap, kita tampak belum sampai ke peringkat di mana kita tidak memerlukan kesemua ciri itu lagi.

BEKALAN 5K

Malah, selain 5K 'kecil' dan 'besar' itu, saya ingin saran pula 5K lagi yang perlu ada pada warga dan masyarakat Melayu selaku 'capital' atau modal pembangunan:


'Clout' atau Kuasa (pengaruh):

Biarlah kita masyarakat yang kecil tetapi berpengaruh besar.

Pengaruh itu bukanlah dengan membuat kacau seperti puak 'Baju Merah' di Thailand, tetapi dengan cara membina kewibawaan dan tukikan kita dalam negara dan jagat.

Jika ada kebergantungan terhadap kita, dari situlah pengaruh secara sendiri akan tumbuh.

Namun, pengaruh itu kita gunakan untuk manfaat masyarakat sekeliling.


'Contacts' atau Kenalan:

Kita perlu bina rangkaian kenalan kita.

Usah asyik mengharapkan orang-orang yang sama saja.

Pelbagai kenalan daripada segala lapisan masyarakat memastikan kepelbagaian idea dan sumber yang boleh kita salur dan gunakan secara tersusun dan bijaksana.


'Character' atau Karakter:

Kita harus membina perwatakan masyarakat Melayu yang dapat menampung kita di alaf baru.

Kita tidak harus lagi berpuas hati dengan imej kita sebagai masyarakat yang misalnya suka bergotong-royong atau yang anak mudanya suka sangat kesenian.

Bayangkan bagaimana watak dan akhlak Nabi Muhammad saw hinggakan digelar 'Al-Amin' dahulu.

Bahkan, selepas baginda diangkat menjadi Nabi pun, orang bukan Islam tetap meminta pertolongannya menjaga harta benda mereka.

Begitu jugalah kita harus paparkan nilai-nilai murni hinggakan masyarakat kita dikaitkan dengan nilai- nilai tersebut.

Caranya tidak lain tidak bukan melalui pengamalan din Islam sebagai satu sistem kehidupan yang serba lengkap.


'Charisma' atau Karisma:

Ini menyentuh keterampilan orang kita.

Saya tertarik dengan lelaki Gurkha; mudah mengenal mereka bukan saja dari segi air muka, bahkan juga postur badan yang tegap-tegap belaka.

Kita perlukan keterampilan sedemikian yang mudah dicam orang. Bukan maksud saya kita semua pakai pakaian seragam.

Misalnya, boleh tak kita buang imej 'lepak'? Atau setiap orang kita tampak sasa, bukan boyak?


'Creativity' atau Kreativiti:

Ini penting dalam kita mencari jalan keluar daripada masalah lama yang membelenggu dan mengorak langkah baru.

Adakah kadar kita menghuraikan masalah terlalu lembap dan langkah-langkah huraian yang kita laksanakan pula tiada kesan jangka panjang?

Kenapakah sesetengah kita masih terperangkap dalam kepercayaan merugikan dan tidak kreatif langsung seperti sihir dan amalan tidak produktif seperti pembahagian rambang bubur masjid?

Kenapakah cara-cara kita masih di takuk lama? Misalnya, mengumpul dana dengan menjual kalendar yang 'hayat' kegunaannya setakat setahun atau menerusi tabung.

Akhir kalam, ayuh kita kejar 5K itu.

Memang daripada bertatih dulu, kita telah bertapak maju. Namun, kita belum berjalan laju.

Usah hingga 5K lain menimpa orang kita: Kelam, Kecewa, diKotak-katikkan, Ke belakang dan Kecundang

Wednesday, August 4, 2010

Jasa Padi pada budaya

20 Jul 2010

EKSTRA!

BICARA BAHASA
Jasa padi pada budaya

Oleh
Othman Salam
NASI, makanan ruji orang Melayu tidak dapat ditukar ganti. Nasi daripada beras dan beras daripada padi. Padi pula daripada pokok padi yang tumbuh subur di sawah negara-negara Asia termasuk negara Nusantara.

Sejarah juga membuktikan bahawa cara hidup masyarakat Melayu juga berkembang di kampung-kampung yang menghasilkan padi. Sebelum bandar-bandar besar seperti Singapura membangun, selain menjadi nelayan orang Melayu menjadi pesawah.

Padi menjadi sebahagian hidup mereka. Oleh itu kebudayaan Melayu yang berkembang tidak melupakan jasa padi kepada mereka. Natijahnya, pelbagai falsafah hidup dipelajari daripada resmi padi. Seandainya kita kaji dan bermuhasabah akan peranan padi, beras dan nasi dalam hidup orang Melayu, kesemuanya memainkan peranan yang amat besar selain menjadi makanan utama kita.

Pelbagai kebudayaan Melayu menggunakan padi, beras dan nasi sebagai teras cara hidup dan menjadi unsur orang Melayu belajar pelbagai ilmu sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi. Orang-orang Melayu membentuk dan membangunkan IQ, EQ dan SQ mereka melalui penghayatan terhadap pertumbuhan padi sehingga beberapa orang tua yang arif budiman menghasilkan beberapa peribahasa berfalsafah tinggi daripadanya.

'Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk' memang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan. Peribahasa ini terpakai sejak ratusan tahun lalu dan akan terus dipakai oleh orang Melayu yang peka terhadap pentingnya sifat mulia tersirat di dalamnya. Kecerdikan pencipta peribahasa ini bukan sahaja berakhir di situ.

Peribahasa malar segar ini juga dipadankan dengan resmi tumbuh-tumbuhan yang menjadi musuhnya, lantas dipadankan dengan 'jangan ikut resmi lalang, semakin lama semakin menjulang tanpa hasil yang berfaedah' setakat menghabiskan baja sahaja.

Lantas lahirlah kekata berfalsafah tidak ternilai ini 'baik membawa resmi padi, makin berisi makin rendah; jangan membawa resmi lalang, makin lama makin tinggi', memberi maksud semakin berilmu atau tinggi pangkat semakin merendah diri dan tidak sombong.

Untuk memberi amaran kepada orang ramai pula terdapat peribahasa 'bukan tanahnya menjadi padi', bermaksud tidak semua orang yang kelihatan tampan merupakan orang baik-baik.

Sifat positif juga dapat disemai melalui peribahasa seperti 'padi dikebat dengan daunnya', bermaksud seseorang mesti menggunakan segala daya usahanya yang gigih dan arif untuk menjadikan sesuatu kerjaya berhasil. Lantas dia mendapat untung berlipat ganda seperti kata orang tua-tua dahulu, 'padi masak jagung mengupih'. Jangan sesekali menjadi seperti 'padi sekepuk hampa', yang kelihatan kaya tetapi sebenarnya miskin kerana mengamalkan sikap 'menyisip padi dengan bilalang (lalang)' iaitu mencampurkan sesuatu yang baik dengan yang jahat, akhirnya musnahlah yang baik.

Sebaliknya, amalkan sikap 'jika kasih akan padi, buangkanlah akan rumput', bermaksud berhenti mengasihi orang lain jika anda mengasihi isteri dan anak sendiri demi kemantapan keluarga yang tercinta.

Falsafah hidup sedemikian rupa sepatutnya kita pelajari semasa berada di bangku sekolah agar kita memahami kebudayaan Melayu yang suci dan tulen ini.

Apabila pokok padi sudah dituai, biji-biji padi akan menghasilkan beras. Beras akan menjadi sumber pendapatan dan makanan orang kampung.

Beras juga menjadi bahan mentah pelbagai produk industri makanan di serata dunia selain menjadi nasi sebagai santapan pelbagai bangsa di Asia. Negara-negara yang pandai mengeksploit dan menghormati nasi pula boleh menjadi kaya raya seperti negara Jepun yang terkenal dengan susyinya itu.

Walaupun orang Melayu kurang berjaya dalam bidang industri yang berasaskan beras, orang Melayu telah berjaya beriltizam menghayati peranan beras sepenuhnya, lantas mencipta peribahasa 'kalau tiada beras, kerja tiada deras', bermaksud semua kerja atau usaha tidak akan berhasil kerana pelaku mengamalkan sikap tidak berkerja bersungguh-sungguh.

Secara sinis, peribahasa ini mencemuh seseorang yang tidak mempunyai fokus membuat sesuatu pekerjaan lantas akan menerima nasib menakutkan. Lantaran itu dia akan menghadapi masalah seperti 'beras lembap, dijual tak laku, ditanak tak mual' kerana dirinya sudah tidak berharga akibat sikap dan perbuatan cuai serta lalai.

Sebaliknya, kita mesti mengamalkan sikap seperti 'tak padi, antah dikisik' agar kita berusaha sebaik mungkin semasa melakukan sesuatu kerjaya untuk mencapai maksud daya usaha kita. Selaku seorang Muslim yang baik kita juga dinasihati agar mengamalkan sikap seperti 'taruh beras dalam padi', lantaran tidak membuka rahsia penting sama ada rahsia peribadi, keluarga atau negara kepada orang lain.

Beras ditanak akan menjadi nasi. Kalau beras yang dimasak dengan terlalu banyak air, kita tidak mendapat nasi kerana 'nasi sudah menjadi bubur' yang dikiaskan sesuatu perbuatan yang sudah terlanjur, alangkah baiknya seandainya orang yang terjerumus akibat sikap terlanjurnya itu memahami mesej yang disampaikan peribahasa ini.

Oleh sebab nilai nasi sangat tinggi di dalam hidup orang Melayu, biasanya dipadankan dengan sikap penting dalam diri seseorang; contohnya 'nasi sama tanak, kerak dimakan seorang', bermaksud pelaburan dilakukan bersama tetapi keuntungan diambil oleh seorang sahaja.

Akibatnya kita akan ketahuan akan sikap buruk sahabat berkenaan seperti maksud peribahasa yang berbunyi 'nasi habis, budi bersama'. Lantaran itu, kita perlu melakukan kerja secermat mungkin agar kita tidak menghadapi masalah serupa pada masa mendatang walaupun bilangannya bertambah ibarat 'nasi tak dingin, pinggan tak retak'.

Nota: Penulis ialah guru pesara.

Bahasa Kian Pupus Di Alam Siber

20 Jul 2010

EKSTRA!

TREND
Bahasa kian pupus di alam siber

Lebih ramai pelungsur Internet Melayu pilih tulis dalam Inggeris

Oleh
Nadzri Eunos
PENGGUNA Internet Melayu yang sering melayari alam siber sebelum ini selalu menggunakan bahasa ibunda mereka dalam tulisan-tulisan blog dan saluran-saluran perhubungan melalui komputer (CMC) lain apabila membincangkan isu-isu tertentu yang dekat di hati.

Isu bangsa, bahasa dan agama termasuk dalam kategori tersebut.

Malah, para penulis berkenaan tidak teragak-agak untuk meluahkan isi hati mereka dengan menggunakan bahasa Melayu.

Namun, keadaan di alam siber kini sudah pun berubah.

Kini lebih ramai pelungsur Internet Melayu memilih untuk menulis dalam bahasa Inggeris, walaupun mengenai isu-isu bangsa, bahasa dan agama.

Trend tersebut menggariskan satu masalah besar yang sedang dihadapi bahasa Melayu iaitu menjadi salah sebuah bahasa dunia yang semakin pupus.

Demikian rumusan satu kajian yang dilakukan oleh pensyarah Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Encik Mohamed Pitchay Ghani, baru-baru ini.

Kajian yang merupakan sebahagian daripada kajian Encik Pitchay untuk ijazah Doktor Falsafahnya (PhD) itu bertujuan menilai kesegaran bahasa Melayu melalui CMC.

Beliau telah dijemput untuk menyampaikan hasil tinjauan itu di Persidangan Global bagi Disiplin Akademik di Universiti Harvard, Massachusetts, bulan lalu.

Ditemui baru-baru ini, Encik Pitchay menjelaskan kajian itu melibatkan pemerhatian 1,000 blog dan 1,000 akaun rangkaian sosial Facebook sepanjang tempoh tiga bulan antara September dengan November 2009.

Secara keseluruhan, empat peratus komunikasi di dalam blog dan Facebook tersebut dilakukan dalam bahasa Inggeris.

'Namun satu perkara yang menarik ialah terdapat peralihan dalam aspek-aspek yang sebelum ini berakar dalam bahasa Melayu iaitu keluarga, bangsa, agama dan bahasa,' jelas Encik Pitchay.

Katanya, kajiannya menunjukkan 74 peratus perbincangan mengenai keetnikan dibuat dalam bahasa Inggeris.

'Ia boleh dirumuskan bahawa bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu secara progresif sebagai bahasa perantaraan di Internet di kalangan orang Melayu,' kata beliau.

Kajian itu menunjukkan daripada 1,000 blog yang dikaji, 22 isu utama telah dikenal pasti seperti pendidikan, tekanan dan bangsa.

Daripadanya penggunaan bahasa Melayu paling ketara ialah dalam perbincangan isu bangsa (36 peratus); bahasa (30 peratus) dan agama (20 peratus).

Isu-isu yang lainnya rata-rata dibincangkan dalam bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi jika ia berkenaan pendidikan dan tekanan - hanya 6 peratus menggunakan bahasa Melayu.

Namun, Encik Pitchay merumuskan dari satu sudut, perkembangan yang dikesan itu bersifat positif kerana ia menunjukkan bahawa masyarakat Melayu setempat telah berjaya disepadukan dengan masyarakat majmuk negara menerusi penggunaan bahasa Inggeris.

Menggunakan darjah kecergasan bahasa yang dipelopori Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) untuk membandingkan hasil dapatan kajiannya, Encik Pitchay berkata bahasa Melayu mencapai darjah dua atau tiga iaitu digunakan hanya dalam beberapa wadah CMC.

Menurut Encik Pitchay, kajiannya mengenai kesegaran bahasa Melayu di Singapura telah menyajikan sebuah paradigma baru mengenai kesucian bahasa di kalangan masyarakat Melayu.

'Kesan jangka panjang trend ini akan dirasakan bukan sahaja daripada aspek sosio-budaya masyarakat kita, tetapi juga oleh 'industri Melayu' yang bergantung kepada masyarakat Melayu bagi penakatannya,' ujar Encik Pitchay.


***************************************

PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DI INTERNET

Dalam 1,000 blog yang dikaji:


Bahasa Melayu - 15%


Bahasa Inggeris - 85%

Isu yang ditulis dalam bahasa Melayu:


Pendidikan - 6%


Sekolah - 10%


Hubungan - 13%


Perasaan - 15%


Agama - 21%


Bahasa - 30%


Bangsa - 36%

Dalam 1,000 akaun Facebook yang dikaji:


Bahasa Melayu - 32%


Bahasa Inggeris - 68%

Sumber: Mohamed Pitchay Gani

Monday, July 19, 2010

Tapis - censor

24 Jun 2010

KOMENTAR

KALAM INSAN
Teruskan tapis

Oleh
A. Rahman Basrun
PENGAWALAN (regulation) atau penapisan (censorship)? Begitu hangatnya perbincangan mengenai kebebasan berkarya, termasuk filem dan pementasan.

Sayangnya, sekali lagi kehangatan itu langsung tidak terasa di kalangan masyarakat kita. Padahal kesudahannya boleh menjejas nilai dan pegangan orang kita nanti.

Apakah isunya?

Sedang Jawatankuasa Semakan Penapisan (CRC) yang dibentuk pemerintah meneliti semula sistem penapisan karya seni di Singapura, muncul satu kertas saranan di Internet hasil sekumpulan seniman setempat (http://sites.google.com/site/artsengagesg).

Kini lebih 850 orang membubuh sokongan di laman web itu - hanya sekitar 30 orang atau 4 peratus daripadanya Melayu.

Ringkasnya, kertas saranan itu menampilkan pendirian:

Penapisan tidak berkesan, jadi amalkanlah pengawalan.

Apa itu penapisan? Mengharamkan sesebuah karya atau menyunting sebahagian karya itu.

Pengawalan pula bermaksud membataskan siapa yang boleh menikmati karya seni itu - misalnya menurut batasan usia seperti kategori R21 bagi filem.

Secara amnya, penapisan atau pengawalan dilaksana menurut sejauh mana nilai-nilai yang terkandung dalam sesebuah karya itu bercanggah dengan nilai-nilai yang dianggap menjadi pegangan sesebuah masyarakat.

Sebenarnya, kalau dibaca betul-betul, kertas saranan di Internet itu tidak menolak penapisan secara bulat-bulat, tetapi menyalahkan penapisan yang tidak telus sehingga melahirkan suasana tidak pasti dan curiga.

Lebih teruk jika sistem penapisan tadi mencipta budaya menapis karya sendiri (self-censorship) atas dasar khuatir karyanya itu kelak ditapis.

Misalnya, menurut kertas itu:

'Maka kami hanya ada satu saranan: gantikan sistem yang ada kini dengan sistem yang jelas membezakan antara pengawalan dengan penapisan.' Yang dimahukan adalah 'proses yang konsisten, jelas dan telus'.

Kalau itu kisahnya, saya setuju. Cuma persetujuan saya bersyarat.


Peradaban masyarakat Asia

Kita maklum bagaimana penyelewengan dan kelakuan tidak senonoh anggota masyarakat kita - termasuk orang Melayu - semakin berani dan berahi pada usia semakin muda. Misalnya, gejala berpacaran dan seks luar nikah.

Melonggarkan kriteria penapisan atas dasar masyarakat kita kini lebih 'berfikiran terbuka' tentang gejala sebegitu tentu tidak bijaksana. Kalau serigala semakin lapar dan buas, takkanlah kita buka lebih luas pintu kandang kita?

Lantaran itu, saya menyeru agar kriteria penapisan dan pengawalan diperketatkan lagi, terutamanya perihal media telefon bimbit dan Internet.

Saranan CRC kelak juga harus cukup luas dan luwes untuk menampung kemunculan media baru dalam tahun-tahun mendatang.


Gambaran seniman itu mulia

Sebagaimana seniman mahu proses penapisan lebih 'jelas dan telus', saya juga mahu seniman menjadi lebih 'jelas dan telus'.

Maaf cakap, bukan sekali saya menemui karya yang membuat saya mempersoal ketulusan senimannya.

Pernah saya membidas pameran seorang artis Melayu kerana berunsur lucah.

Apabila The New Paper menyoalnya kemudian, beliau marah-marah menafikannya - padahal akhbar The Straits Times sendiri menyifatkan lukisannya sebagai 'berbentuk erotik yang menggambarkan kemaluan wanita' seminggu sebelum tersiarnya pojok saya itu!

Bahkan, brosur di galeri pamerannya itu sendiri menyatakan lukisannya memang berunsur 'sensual' dan 'erotik'. Tak marah pun?

Kerana itulah, penapisan masih diperlukan bagi menutup sebarang kemungkinan seseorang seniman memaparkan atau 'menyeludup' unsur tidak sihat melalui seninya.

Seniman sungguhpun bebas berkarya masih ada tanggungjawab moral kepada masyarakatnya.


Seniman insan yang agung

Pun ada gambaran bahawa seniman adalah insan yang agung dan arif tentang seninya, yang memperjuangkan seninya dan menuntut kesempurnaan dalam berkarya.

Hakikatnya, seniman juga insan biasa.

Pernah sebuah pementasan memaparkan seorang isteri dirogol ketika membaca Al-Quran dan ketika suaminya bersembahyang. Apa yang 'agung' tentang unsur itu?

Baca ulasan di akhbar ini tentang adegan rogol tersebut:

'Malah, ia agak memberahikan dan menimbulkan kegelisahan penonton. Sesetengah penonton wanita dilihat menutup mukanya ketika (si perogol) membenamkan wajahnya ke dada (si mangsa).'

Mungkin seniman sengaja mahu menimbulkan rasa jelik di kalangan penonton. Namun, memandangkan seniman insan kreatif, tiadakah cara lebih 'agung' tetapi sama kesannya?


Seniman tidak kisah wang ringgit

Seniman pun perlu cari makan.

Kehadiran adegan tidak wajar (gratuitous) atau kononnya berunsur seni (artsy) dalam sesebuah pementasan atau filem - biasanya percumbuan, seks atau berbogel - menunjukkan betapa sesetengah seniman masih menggunakan unsur 'sensasi' murahan untuk menarik perhatian. Di sinilah, penapisan tetap perlu.


Karya peka

Tentang isu bahasa, perkauman dan agama atau keselamatan negara, saya lebih menggemari pengawalan, bukan penapisan - selagi perutusannya 'jelas dan telus'. Ini sejajar dengan lebih matangnya masyarakat kita. Lain kisahnya jika karya itu berniat jahat.

Akhir kalam, wartawan Clarissa Oon menyokong pengawalan agar seniman setempat dapat bangkit setara di negara lain (ST, 20 Jun, Time to censor the censors).

Bagi saya, buat apa, jika cara seniman itu sendiri tidak telus, terhormat atau mulia.

Bahasa ibunda sendiri pelat, bahasa Inggeris pun koyak

3 Jul 2010

EKSTRA!

CAKAP ORANG TUA
Bahasa ibunda sendiri pelat, bahasa Inggeris pun koyak


APABILA membaca tentang penggunaan bahasa Melayu di kalangan orang kita dalam akhbar Berita Minggu Ahad lalu, Nenek jadi terpinga-pinga.

Bukan apa... Nenek cuma hairan dengan sesetengah orang Melayu yang lebih selesa berbahasa Inggeris daripada menggunakan bahasa ibunda sendiri.

Malah, ada seorang yang diinterviu tu berkata, beliau pernah dianggap kampungan hanya kerana bertutur bahasa Melayu!

Hai... kasihan bahasa ibunda kita ya. Sedih Nenek lihat perkembangan bahasa kita yang Nenek anggap sangat cantik dan lembut sebutannya, dianggap macam orang kampung oleh sesetengah orang.

Kenapa, hina sangat ke orang kampung? Tidak tahukah anda (yang merendah-rendahkan bahasa Melayu dan menganggapnya bahasa orang kampung) betapa ramainya orang kampung yang sudah berjaya?

Malah, orang-orang yang menghina dan merendah-rendahkan bahasa sendiri itu Nenek sifatkan sebagai orang yang tidak sedar asal-usul, tidak ada jati diri dan lupa bahawa mereka dan keturunan mereka adalah orang Melayu.

Nenek memang geram betul melihat sikap orang-orang yang memandang rendah kepada bahasa sendiri.

Bahasa menunjukkan bangsa. Kalau dah si Melayu tu tak mahu cakap bahasa sendiri, bahasa apa yang nak mereka banggakan? Nak agung-agungkan bahasa Inggeris, nak jadi Orang Putih?

Orang-orang macam ni, yang kadang-kadang bahasa Inggerisnya pun 'hancur', berlagak pula tak mahu cakap bahasa Melayu.

Dan yang buat Nenek lebih menyampah dan meluat ialah apabila mereka dengan nada bangga, berkata bahasa Melayunya teruk.

'Alamak... bahasa Melayu I koyaklah... Nak cakap Melayu pun ada macam sikit gagap-gagap, sikit-sikit kekok. Susahlah cakap bahasa Melayu ni,' kata Lia, salah seorang cucu anak buah Nenek, ketika dia berkunjung ke rumah Nenek baru-baru ini.

Isy! Meluat betul Nenek dengar kata-katanya. Sebab tak tahan dengan lagaknya, Nenek bersuara:

'Amboi... kau kan orang Melayu Lia, tak malu ke orang Melayu tak tahu cakap bahasa Melayu?

'Lagipun Nenek dengar, bahasa Inggeris kau pun bukan betul sangat nahunya. Bahasa ibunda sendiri pelat, bahasa Inggeris pun koyak,' kata Nenek, yang kata orang tu faham jugalah bahasa Inggeris.

Anak Nenek, Noni, mengerling ke arah Nenek sambil memberi isyarat yang Nenek tak seharusnya cakap begitu.

Lia, yang berusia dalam lingkungan awal 30-an dan bekerja di sebuah syarikat swasta, menambah:

'Ala Nek... Lia selalu cakap Inggeris di tempat kerja. Jarang cakap Melayu. Pasal itulah Lia punya bahasa Melayu koyak,' katanya.

'Eleh... engkau yang eksen. Daripada kecik sampai tua sekarang ni cakap Melayu kat rumah, tiba-tiba baru beberapa tahun kerja, dah rasa pelat cakap Melayu. Nasib baik tak duduk kat negeri Orang Putih, kalau duduk sana agaknya, terus lupa daratan.

'Apa, engkau malu jadi orang Melayu? Bahasa Melayu rendah ke tarafnya Lia?

'Kalau dah pelat bahasa Melayu, banyakkanlah membaca surat khabar Melayu, buku Melayu, dengar radio dan tonton rancangan Melayu. Jangan nak berlagak jadi Orang Putih pulak,' kata Nenek dengan nada cukup geram.

'Bukan macam tu Nek. Tapi Lia kan dah hari-hari cakap Inggeris, cakap Melayu macam tak best gitu,' kata Lia, nadanya rendah.

'Kalau sekarang engkau sendiri rasa pelat, rasa kekok berbahasa Melayu, nanti anak cucu engkau pun macam itu, entah-entah langsung tak kenal bahasa Melayu. maklumlah, emaknya dah jadi orang Putih,' kata Nenek menyindir.

'Eh... tak baik Nenek cakap gitu. Lia tetap Melayu Nek, cuma Lia suka cakap bahasa Inggeris,' katanya selamba.

Hmm... tengoklah tu.

Nenek ni bukan antibahasa Inggeris. Tidak sama sekali. Malah, Nenek sedar bahasa Inggeris amat penting hari ini.

Tapi tolonglah... jangan hina dan merendah-rendahkan taraf bahasa Melayu yang tercinta ini.

Kita orang Melayu. Bahasa menunjukkan bangsa. Apatah lagi dalam Bulan Bahasa sekarang ini, marilah ubah sedikit kebiasaan. Bahasa Melayu itu bahasa kita. Gunakanlah.


NENEK

pelajar bahasa melayu

12 Jul 2010

EKSTRA!

PERISTIWA BAHASA
Cakap saja pandai, tulis tersadai


Oleh
Mohd Gani Ahmad
Penulis Tamu

SEMPENA Hari Bapa, saya dan isteri diajak anak dan menantu makan tengah hari. Kami dibawa ke sebuah restoran yang menyajikan masakan Melayu kampung yang terletak di tengah-tengah kota Singapura, di Bencoolen Street.

Hari itu, ramai pengunjung yang makan. Tampang, gaya dan dialek pertuturan bahasa mereka, sepertinya mereka pelancong dari negara jiran: Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Kami makan sambil bersembang dengan anak, seorang guru muda yang baru mengajar setahun.

Saya mengajukan pertanyaan mengenai kerjayanya yang baru diceburinya itu, beliau pun berkata: 'Mengajar kanak-kanak yang pernah menuntut di sekolah antarabangsa di luar negeri; mereka dapat bertutur dengan fasih tetapi tidak dapat menumpahkan kelancaran bertuturnya dalam bentuk tulisan. 'Karangan mereka agak teruk. Ejaan mereka lemah dan tidak dapat membina ayat dengan sempurna dan gramatis.'

Anak-anak Singapura pula, katanya lagi, kurang fasih bertutur tetapi lebih baik menulis.

Itulah antara masalah yang dihadapi anak saya pada masa mengajar.

Anak saya yang selesa dipanggil Ren ini pernah bekerja dengan beberapa syarikat swasta.

Beliau pernah juga mengusahakan syarikat perniagaan dalam bidang teknologi maklumatnya sendiri tetapi kurang berjaya.

Mungkin kerana kurang: berpengalaman dan giat; ada masalah sampingan yang mengganggu perhatian dalam bidang usaha niaganya.

Pada masa berniaga, Ren mencipta beberapa alat bantu mengajarkan bahasa Melayu yang berbentuk permainan komputer: Dekak-dekak, Putaran Minda dan Ingin Jadi Jutawan?

Masalah yang Ren hadapi bagaimana hendak mengajar anak didiknya mengarang dengan baik inilah yang akan kami sembangkan kali ini.

Berdasarkan pengalaman saya yang pernah mengajar bahasa Melayu selama 22 tahun - setahun sebagai penulis tetap di Grow Publication, 13 tahun sebagai penulis khas buku-buku teks dan alat bantu mengajar dan 4 tahun sebagai pegawai kurikulum bahasa Melayu di Kementerian Pendidikan.

Saya dapati masalah kelemahan mengarang di kalangan para pelajar, umumnya kerana mereka kurang diberikan pendedahan yang sewajarnya dan latihan mengarang yang teratur.

Mereka mungkin kurang dikenalkan dengan kaedah mengarang yang betul, bersistem, bertahap-tahap berdasarkan kebolehan dan kegemaran mereka pada peringkat awal.

Kebanyakan mereka terdidik dengan kaedah dan pendekatan komunikatif, yang lebih menekankan kemahiran bertutur daripada menulis.

Mereka biasanya kurang gemar mengarang kerana lemah memindahkan idea yang terkandung dalam emosi dan mindanya ke dalam bentuk tulisan.

Masalah ini sebenarnya menjadi masalah umum manusia. Mereka lebih bijak bercakap daripada melaksanakan sesuatu kerja yang lebih mencabar, apa lagi mengarang.

Mengarang memerlukan bakat, ketrampilan dan latihan yang berulang dan berterusan.

Ketrampilan mengarang ini haruslah dilatih dan diamalkan selalu supaya menjadi tabiat dan budaya hidup sehingga menjadi norma yang sesuai dengan peribahasa: Alah bisa tegal biasa.

Mereka yang memperolehi ketrampilan bertutur sahaja, bahasa mereka kurang gramatis.

Laras lisan boleh disingkat-singkatkan ayatnya, tidak bersandarkan hukum pembinaan ayat yang sempurna.

Kadangkala menggugurkan subjek, predikat atau objeknya, imbuhan, kata depan dan kata hubung yang seharusnya wujud dalam pembinaan ayat yang gramatis.

Untuk mengatasi masalah kelemahan mengarang, berikut beberapa saranan yang saya fikir wajar dipraktikkan dan mudah-mudahan dapat meningkatkan keterampilan mengarang:

Langkah pertama: Giatkan pembelajaran ejaan; adakan latih tubi mengeja akan setiap perkataan yang dituturkannya.

Gunakan permainan bahasa: silang kata, teka kata dan yang sebagainya supaya lebih menarik dan menyeronokkan pembelajaran bahasa.

Galakkan mereka berdampingan atau merujuk kamus pada setiap masa belajar bahasa.

Luaskan pengetahuan kosa kata, perkataan: seerti, seiras, berlawan, berpasang dan pelbagai makna. Banyakkan latihan mengisi tempat kosong dengan perkataan dalam ayat.

Langkah kedua: Galakkan mereka menulis setiap ayat yang dituturkannya.

Banyakkan latihan menyusun semula perkataan-perkataan yang tidak teratur supaya menjadi ayat yang gramatis.

Banyakkan latihan menyusun semula ayat-ayat menjadi wacana atau perenggan yang berurutan dan secara kronologi.

Langkah ketiga: Banyakkan latihan menulis berdasarkan gambar sekeping dan bersiri.

Latihan mengarang di komputer lebih menarik para pelajar yang sedemikian kerana foto atau ilustrasi yang menarik dan merangsang minda boleh digunakan bagi kegiatan mengarang.

Adakan latihan mengisi kotak dialog atau ruang kata bual kepada gambar yang diberikan.

Langkah selanjutnya, latih mereka menulis perenggan demi perenggan, bahagian demi bahagian: pendahuluan, isi dan penutup akan tajuk-tajuk karangan yang menarik perhatian dan yang paling dekat dengan hati golongan ini.

Mengenai pelajar Singapura yang kebanyakannya lebih pandai menulis daripada bertutur, perkara ini akan kami sembangkan dalam esei yang akan datang, insya-Allah.

Usah lupa bahasa kita

16 Jul 2010

EKSTRA!

DUTA MINGGU INI
Usah lupa bahasa kita

Dua pelajar kursus media tajamkan pena demi cinta

Oleh
Haryani Ismail
RASA kurang senang menyelinap di benak dua pelajar politeknik, Nur Amalina Shalan dan Nur Isyana Isaman, setiap kali ada belia Melayu dengan nada bangga berkata:

'Can speak English or not? My Malay is not good!' (Boleh awak bertutur dalam bahasa Inggeris atau tidak? Bahasa Melayu saya tidak bagus!').

'Saya bertemu dengan beberapa remaja Melayu dalam kursus komunikasi massa yang saya ambil ini. Mereka terang-terangan berkata bahasa Melayu tidak kool berbanding bahasa Inggeris. Saya kurang senang dengan kenyataan begitu.

'Bagi saya, bahasa Melayu itu bahasa warisan. Memang tidak dapat dinafikan mungkin penguasaan bahasa Melayu kita ada yang kurang ampuh. Namun, ia bukanlah sebab untuk meninggalkan bahasa Melayu secara menyeluruh atau berasa aib terhadapnya,' kata Nur Amalina, 18 tahun, pelajar Politeknik Ngee Ann.

Penuntut Diploma Media dan Komunikasi di Politeknik Singapura, Nur Isyana, juga 18 tahun, pula menyifatkan masalah paling ketara di dalam masyarakat kita adalah pengaruh negara Barat yang terlalu kuat yang melanda remaja Melayu kita yang terus terikut-ikut dengan budaya Barat sehingga lupa daratan.

'Pada pendapat saya, pucuk pangkal kita semua masih tetap Melayu dan keupayaan fasihkan diri kita dengan bahasa Melayu adalah langkah pertama untuk membuktikannya. Kita sepatutnya berbangga bertutur dalam bahasa Melayu sepertimana warga Jepun berbangga dengan bahasa dan hidangan susyi mereka!' ujar Nur Isyana.

Kededua Nur Amalina dan Nur Isyana, baru-baru ini dipilih sebagai Duta Bahasa bagi institut pengajian tinggi sempena Bulan Bahasa 2010.

Walaupun kursus yang mereka ceburi ini mendedahkan mereka pada lebih banyak penggunaan bahasa Inggeris, dua gadis manis ini tidak melupakan bahasa ibunda mereka, bahkan, aktif mengarang puisi dan menulis rencana dalam bahasa Melayu.

Nur Amalina tidak menduga beliau dipilih sebagai Duta Bahasa kerana sejak meninggalkan bangku Sekolah Menengah Kranji, penggunaan bahasa Melayunya semakin berkurangan. Ini disebabkan faktor struktur kurikulum politeknik yang sememangnya tiada modul atau pengkhususan bahasa Melayu. Meskipun terdapat Persatuan Budaya Melayu, penekanan terhadap aspek bahasa hampir tiada, katanya.

Untuk memastikan beliau sentiasa mesra dengan bahasa Melayu, Nur Amalina sendiri mengorak langkah menulis sajak dan menyiapkan ulasan buku untuk terbitan akhbar ini untuk memastikan penggunaan bahasa Melayunya kekal di tahap memuaskan.

Beliau juga menyahut cabaran mewakili politekniknya di gelanggang bahas Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) sejak tahun lalu. Tahun ini, pasukannya mara hingga ke peringkat akhir dan akan menentang Maktab Rendah Innova.

Nur Isyana yang juga menulis untuk akhbar pelajar, i3, merasakan banyak sekali cara yang boleh diusahakan untuk mendekatkan pelajar dengan keindahan bahasa Melayu. Cara paling mudah, katanya, adalah menerusi lagu-lagu Melayu.

'Mungkin ada di kalangan remaja Melayu yang mengkategorikan lagu-lagu Melayu sebagai 'terlalu jiwang' tetapi jika betul-betul didengari, sebenarnya lirik lagu Melayu mempunyai makna yang dalam dan sebuah cerita yang tersirat. Selain daripada itu, bacalah surat khabar, novel dan majalah!' tambah penerima biasiswa Politeknik Singapura itu.

Beliau akur remaja hari ini ingin suara mereka diperdengarkan dan mencetus perubahan. Justeru cara terbaik membangkitkan lagi semangat belia Melayu hari ini adalah dengan mengadakan bengkel bahasa Melayu bersama karyawan, baik yang terlibat dalam pembangunan negara, peguam, doktor mahupun golongan asatizah.

Apabila diminta menyambung ayat berikut, 'Aku menulis...', Nur Amalina yang bercita-cita menjadi wartawan, berkata beliau mencoretkan ilhamnya kerana ada mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat umum.

'Bagi saya, kebolehan saya untuk menulis ini adalah anugerah dan amanah daripada Allah. Dengan adanya kebolehan ini, saya rasa ia satu tanggungjawab bagi saya untuk menyampaikan mesej atau berkongsi ilmu yang ada kepada masyarakat, khususnya belia, demi mencapai keredaan-Nya dan menegakkan kebenaran hakiki. Insya-Allah,' katanya.

Nur Isyana yang menanam hasrat membuka sebuah syarikat penerbitan filem dan menjual filem-filem dengan unsur-unsur kemelayuan dan keislaman ala Ayat-Ayat Cinta di pasaran global pula menulis sebagai wadah menyuarakan pendapat sambil membangkitkan kesedaran.

Dalam mereka meneroka bahasa Melayu yang indah ini, pernahkah mereka menemui perkataan baru dalam kosa kata Melayu yang mengagumkan atau mencuit hati mereka?

Kata Nur Amalina: 'Ada. 'Lelaman sesawang'. Saya mempelajarinya secara tidak langsung dalam salah satu pusingan pertandingan bahas peringkat suku akhir ketika Madrasah Aljunied Al-Islamiah menentang Maktab Rendah Raffles. Selama ini, saya hanya menggunakan istilah 'lelaman web'.'

Nur Isyana pula menambah: 'Pernah dengar 'gigibiru'? Ia adalah terjemahan bluetooth. Kamus Dewan turut menyenaraikannya tau! Ia merupakan sejenis teknologi wayarles untuk bertukar-tukar data di antara jarak dekat menerusi gelombang radio.'